Category: Politik

  • Tiada lagi tembok besi antara kerajaan-pembangkang

    Tiada lagi tembok besi antara kerajaan-pembangkang

    KERAJAAN akan terus memastikan kestabilan politik negara demi kepentingan menjaga kesejahteraan dan kebajikan Keluarga Malaysia dalam berdepan pascapandemik dan fasa peralihan ke endemik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

    Beliau berkata, pendekatan ‘tembok besi’ antara kerajaan dan pembangkang tidak lagi boleh diambil kerana kestabilan politik demi menjaga kebajikan Keluarga Malaysia adalah lebih penting.

    “(Kerajaan) pastikan suasana politik negara stabil, walaupun kita (kerajaan) terpaksa berkorban dengan bekerja, berkongsi dan merancang bersama pihak lawan (pembangkang) yang dahulunya kita dipisahkan dengan ‘tembok besi’ antara kerajaan dan pembangkang.

    “Ego mesti ditanam dalam-dalam, berpuak-puak yang berlebih-lebihan mesti ditolak jauh-jauh, politik solo, semberono, rasa segala-galanya boleh dibuat sendiri bukan formula yang sesuai untuk sekarang… kita perlukan prinsip al-Ta’ayush atau kebersamaan dan muafakat,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Angkasapuri di Kuala Lumpur hari ini.

    Annuar berkata konsep keprihatinan juga perlu diteruskan antara rakyat dengan rakyat, rakyat dengan kerajaan, kerajaan dengan kerajaan dan sebagainya kerana dalam suasana ketika ini negara perlu bergerak ke hadapan bersama nilai-nilai tertentu yang akan didukung Keluarga Malaysia. 

    Sementara itu, Annuar yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata pengurusan pascaCOVID-19 bukan sesuatu yang mudah seperti disangkakan oleh sesetengah pihak.

    “Dalam kegawatan itu ada pihak yang cuba ambil kesempatan dalam kesempitan, menahan lukah di pergentingan, mencari laba (keuntungan) politik jangka pendek untuk menjadi popular dengan menjadi pengkritik dan pencacai yang sememangnya mudah.

    “Dunia dan negara telah buktikan orang yang terlalu permudahkan masalah rakyat, bila dapat peluang untuk uruskan, mereka jadi orang-orang yang gagal sebab semua nak ambil pendekatan yang ‘simplistic’ (terlalu mudah)… semua yang kerajaan buat semuanya tak kena.

    “Orang kata mudah diucapkan daripada melakukan, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul… setakat tengok belum pikul belum tahu,” katanya.

    Annuar berkata berdasarkan sejarah, individu yang sebelum ini mengkritik kerajaan kelihatan bijak, hebat dengan idea yang pelbagai, namun apabila diberi peluang mentadbir akhirnya mereka tidak dapat melaksanakannya kerana menguruskan negara bukan perkara yang mudah.

    Semalam, Annuar mempengerusikan mesyuarat pertama pasukan yang dianggotai Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. 

    Sementara itu, Annuar menegaskan kerajaan mengambil kira semua aspek terutama kemampuan rakyat sebelum mengambil keputusan bagi mengawal harga barangan di pasaran. 

    Memberi contoh harga ayam, beliau berkata walaupun harga ayam di negara jiran jauh lebih tinggi disebabkan kesan inflasi, kerajaan mengambil keputusan untuk tetap tidak mengapungkan harga ayam demi keperluan rakyat.

    “Adakah rakyat bersedia membeli ayam lebih harga RM10? Maka, kerajaan Keluarga Malaysia tetap tidak mengapungkan harga ayam dan ditetapkan harga siling bawah RM10 dan RM1.1 bilion dibelanjakan untuk tujuan itu,” katanya.  – BERNAMA

  • Najib beri SD sokong Anwar jadi PM dengan syarat…

    Najib beri SD sokong Anwar jadi PM dengan syarat…

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah memberi akuan bersumpah (SD) untuk menyokongnya menjadi Perdana Menteri.

    Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu enggan mengikut kemahuan Najib yang meletakkan syarat supaya kes mahkamahnya ‘tidak diteruskan’.

    Memetik laporan FMT, beliau mendakwa, keengganannya bersetuju dengan syarat Najib itu menyebabkannya gagal mendapat sokongan mencukupi untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Penjelasan Anwar itu sekali gus mengesahkan pendedahan yang dibuat bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada Isnin lalu yang mendakwa UMNO menghantar SD menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebagai Perdana Menteri kepada Istana Negara.

    “Apa berlaku selepas itu adalah selepas ditandatangani saya diminta untuk memberi kepastian bahawa urusan mahkamah terutama melibatkan Najib itu tidak akan diteruskan dan saya harus guna kuasa saya selaku Perdana Menteri untuk memastikan ini tidak diteruskan.

    “Saya tidak bersedia untuk melakukan itu. Oleh kerana keputusan tegas saya itulah maka Najib mengusulkan calon lain di saat akhir dan menafikan saya,” katanya dalam satu majlis di Port Dickson.

    Anwar turut mendedahkan Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara 15 pemimpin UMNO yang membuat SD menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

    Katanya, walaupun jumlah sokongan ahli Parlimen ketika itu cukup 120 dan membolehkan beliau menjadi perdana menteri, namun PH menetapkan untuk menolak SD daripada Najib dan Ahmad Zahid.

    “PH pada ketika itu menyatakan walaupun jumlah sehingga 120, prinsip kita tak menerima SD daripada Najib dan Zahid tapi dia ada hak untuk tandatangan menyokong sesiapa.

    “Jadi kita masih ada 118. Jadi walaupun jumlah cukup dan laluan untuk saya menjadi PM sudah cukup kuat, saya tidak bersedia untuk kompromi soal kebebasan badan kehakiman.”

    Anwar menegaskan, gabungan PH yang dipimpinnya kekal dengan prinsip tidak akan bekerjasama dengan Najib.

    “Ada yang kata kita bersedia bersekongkol dengan kleptokrat, itu tidak benar. PH – DAP, Amanah PKR – tegas tidak akan bekerjasama dengan Najib. Itu jelas pendirian kita,” jelasnya.

  • Hans Isaac dahului pemilihan semula Ketua PKR Cabang Ampang

    Hans Isaac dahului pemilihan semula Ketua PKR Cabang Ampang

    PELAKON, Datuk Hans Isaac yang bertanding jawatan Ketua PKR Cabang Ampang mendahului pencabar-pencabarnya yang lain dalam pemilihan semula cabang berkenaan semalam.

    Memetik laporan Malaysiakini, keputusan tidak rasmi dalam laman sesawang pemilihan PKR menunjukkan Hans menerima 748 undi, manakala seorang lagi selebriti, Altimet hanya ketinggalan dua undi di belakang.

    Sebelum pemilihan semula diadakan, Hans memperoleh undi kedua tertinggi di belakang Daing Muhammad Reduan Bachok.

    Daing menerima 942 undi ketika itu, manakala Hans mendapat 609 undi dan Altimet, atau nama sebenarnya Syed Ahmad Abdul Rahman, di tempat ketiga dengan 589 undi.

    Namun, berikutan dakwaan pelanggaran etika dalam pemilihan cabang berkenaan, jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) PKR telah menubuhkan panel siasatan yang kemudiannya mendapati Daing terlibat dalam kegiatan ‘membeli undi’.

    Pengerusi JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata pemilihan semula itu perlu diadakan kerana kemenangan Daing adalah tidak sah.

    Daing juga dilarang bertanding dalam pemilihan semula kali ini.

    Hans, 51, menyertai PKR pada 2020 dan sebelum ini terdapat spekulasi bahawa pelakon itu akan bertanding di kawasan Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Altimet, 43, menyertai parti itu pada April tahun lalu, bersama rakan artis, Datuk Afdlin Shauki.

    Pemilihan semula itu turut menyaksikan tiga lagi calon bertanding jawatan ketua PKR Cabang Ampang iaitu Abdullah Md Zain, Sam Hoo Wai, dan Abdul Latif Shaari, manakala seorang lagi calon Abdul Halim Mohamed Yusof menarik diri daripada bertanding.

  • Ruang Khairuddin kembali ke pangkuan PAS masih terbuka

    Ruang Khairuddin kembali ke pangkuan PAS masih terbuka

    MASIH ada ruang kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali untuk kembali ke pangkuan PAS sekiranya beliau ingin berbuat demikian.

    Memetik laporan FMT, Setiausaha PAS Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, parti itu sentiasa terbuka untuk menerima semula mana-mana bekas pemimpin dan ahli parti untuk kembali termasuk Mohd Khairuddin.

    Menurut beliau, PAS tidak pernah menutup pintu untuk menerima semula mereka sekiranya yakin dengan perjuangan parti.

    “Kita bersedia menerima sesiapa sahaja yang ingin bersama dengan PAS termasuk mereka yang keluar PAS, nak kembali kepada PAS kita sedia terima. Pintu PAS sentiasa terbuka,” katanya kepada FMT ketika ditanya sama ada mereka sedia menerima bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu kembali dalam parti.

    Pada 14 Mac lalu, Khairuddin keluar daripada PAS dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas beberapa bulan selepas digugurkan sebagai ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

    Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum itu mendakwa pengguguran itu dibuat atas sebab disiplin, namun tidak penjelasan lanjut.

    Ditanya sama ada terdapat pemimpin PAS cuba memujuk Mohd Khairuddin, Wan Sukairi berkata, soal itu tidak timbul kerana parti sedar bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkenaan mampu membuat pertimbangan dan keputusan terbaik untuk dirinya.

    “Isu pujuk memujuk tak timbul sebab beliau bukan orang biasa-biasa tetapi orang hebat dan berpengetahuan serta boleh membuat pertimbangan sendiri,” katanya.

    Ketika mengumumkan keputusannya sebelum ini, Khairuddin enggan menyatakan sebabnya berbuat demikian selepas menganggotai parti itu selama 33 tahun.

    Khairuddin yang menyertai PAS ketika berusia 16 tahun berkata, beliau tetap “sayangkan” parti itu dan menyokong perjuangannya yang selaras dengan ajaran Islam.

    Selain itu, Wan Sukairi menafikan bahawa tindakan itu memberi kesan terhadap parti memandangkan ahli dididik untuk mengikut kepimpinan atau jemaah, bukannya individu.

    “Orang PAS dididik sejak dulu, untuk tidak mengikuti individu semata tetapi perlu mengikut kepimpinan, perjuangan, ketua, ikut keputusan parti atau jemaah,” jelasnya.

  • ‘Tuduhan tidak berasas, beri persepsi buruk’ – Mas Ermieyati

    ‘Tuduhan tidak berasas, beri persepsi buruk’ – Mas Ermieyati

    AHLI Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyifatkan dakwaan pucuk pimpinan UMNO yang mengaitkan beliau dengan tuduhan menggunakan dana sayap parti demi kepntingan peribadi adalah tidak benar dan sengaja dicanang  untuk memberi persepsi buruk kepadanya.

    Beliau berkata, kenyataan tersebut tidak benar kerana penggunaan dana yang dimaksudkan telah diagih mengikut ketetapan melalui ketua puteri negeri dan ketua puteri bahagian seluruh negara untuk menjalankan program, aktiviti serta bertujuan untuk persediaan dan gerak kerja menghadapi pilihan raya.

    “Saya keluar UMNO secara rasmi pada 1 Julai 2018, selepas memikirkan saya hanya mampu berkhidmat kepada rakyat Masjid Tanah dengan lebih baik sekiranya saya bersama dengan kerajaan semasa, bukan sebaliknya,” kata dalam satu kenyataan.

    Pada Selasa lalu, ketika memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mendakwa tiga Ahli Parlimen UMNO termasuk Mas Ermieyati keluar parti dan menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana mahu menyelamatkan diri daripada disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ahmad Zahid yang tidak menamakan ketiga-tiga Ahli Parlimen berkenaan berkata, individu pertama yang melompat parti adalah Mas Ermieyati.

    Ketika itu, beliau difahamkan individu terbabit diberi amanah mengendalikan dana pilihan raya umum (PRU) tetapi wang berkenaan tidak digunakan untuk PRU bagi menggerakkan jentera Puteri UMNO.

    “Sebaliknya, wang itu dikeluarkan daripada tabung dan dimasukkan ke akaun lain untuk tujuan peribadi dan tidak digunakan bagi pergerakan jentera Puteri. Ini bukan sahaja diketahui oleh pimpinan tertinggi dan Puteri UMNO tetapi apabila siasatan didengar akan dilakukan, cara untuk selamatkan diri ialah menyertai Bersatu yang ketika itu sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan akhirnya ahli itu selamat, ‘’ dakwa Ahmad Zahid.

    Mengulas lanjut, Mas Ermieyati, kenyataan yang dibuat adalah tidak berasas yang secara tidak langsung mendatangkan persepsi buruk di mata masyarakat dan pengundi di kawasannya.

    Tegasnya , tuduhan sama itu telah dijawab sebelum ini iaitu ketika berlangsungnya PRN Melaka baru-baru ini selain dalam satu kes yang telah ditarik balik oleh pucuk pimpinan parti UMNO.

    Beliau berkata, memandangkan keterangan dibuat di kandang saksi semasa keterangan bersumpah di mahkamah, beliau akan mengkaji lebih mendalam perkara itul kerana ia perlu ditangani dengan serius dan tegas.

  • Suruh bubar UMNO: ‘’Apa bukti dia?’’ – tanya Tun Mahathir

    Suruh bubar UMNO: ‘’Apa bukti dia?’’ – tanya Tun Mahathir

    TUN Dr.Mahathir Mohamad mencabar Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan bukti berhubung dakwaan, beliau meminta Presiden UMNO itu membubarkan parti tersebut.

    Bercakap kepada wartawan di Langkawi, bekas Perdana Menteri itu itu berkata, Ahmad Zahid hanya sentiasa ‘membuka’ bermacam-macam cerita termasuk berkait dengan dirinya namun tiada sebarang bukti didedahkan.

    “Apa bukti dia, yang (mengatakan) saya kata macam itu (memintanya untuk membubarkan UMNO), dia boleh cerita macam-macam, (tetapi) benda kita (yang) bercakap (itu perlu) ditunjuk bukti (mengapa) kita bercakap macam itu,” katanya lapor Astro AWANI.

    Pada Selasa, Ahmad Zahid memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Dr Mahathir memintanya membubarkan UMNO kerana parti itu tiada masa depan dan tidak boleh dipercayai.

    Menurutnya, semasa pertemuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Jun 2018 itu, Dr Mahathir juga memintanya memaklumkan kepada semua ahli UMNO supaya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas nama Melayu.

    Beliau menyatakan kepada Dr Mahathir bahawa kuburnya akan banjir keesokannya, jika beliau keluar daripada UMNO untuk menyertai parti Bersatu.

    “Saya menolak (permintaan Dr Mahathir) untuk membubarkan UMNO. Saya katakan padanya (Dr Mahathir), ditakdirkan saya menyertai Bersatu selepas diberi kepercayaan menjalankan tugas sebagai Presiden, esoknya (apabila) saya mati, kubur saya akan banjir.’’ Kata Zahid.

    Pada Isnin lalu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan, Zahid mengumpul akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    Langkah itu dilakukan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjadi Perdana Menteri manakala UMNO merupakan antara anggota dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

  • Kenyataan Shafie Apdal ‘’tidak berprinsip’’, tidak masuk akal – Anthony Loke

    Kenyataan Shafie Apdal ‘’tidak berprinsip’’, tidak masuk akal – Anthony Loke

    SETIAUSAHA Agung DAP Loke Siew Fook menmembidas Datuk Ser Shafie Apdal kerana “tidak berprinsip” selepas bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, Warisan akan bekerjasama dengan gabungan yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk memastikan kestabilan politik.

    Menerusi program dalam talian, Loke melahirkan kekecewaan terhadap kenyataan Presiden Warisan itu dan menyifatkan ia sebagai “tidak masuk akal”.

    “Kalau sesuatu gabungan itu dah menang, adakah dia nak bekerjasama dengan parti lain lagi? Kecuali kalau beliau tak menang. Baru dia nak bekerjasama.

    “Saya berasa dukacita dengan kenyataan tersebut. Saya rasa ini satu pandangan yang mungkin nampak macam tak berprinsip, yang pertama. Yang Kedua, tak masuk akal,” kata Ahli Parlimen Seremban itu, lapor portal FMT.

    Ahad lalu, media melaporkan Shafie sedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik yang memenangi PRU15 bagi memastikan kestabilan politik dan menjaga kepentingan rakyat.

    Shafie berkata, ini kerana gabungan yang menang dipilih oleh rakyat dan dengan bekerjasama dengan mereka, Warisan menunjukkan bahawa ia menghormati pilihan mereka.

    Bagaimanapun, Shafie menegaskan ia harus menjadi kerjasama yang bijak dan adil, dan mesti mengutamakan kepentingan rakyat.

  • ”Peranan beliau sebagai wakil rakyat amat besar”- Abdul Hakim bidas Mohamaddin

    ”Peranan beliau sebagai wakil rakyat amat besar”- Abdul Hakim bidas Mohamaddin

    KETUA  Bersatu Lahad Abdul Hakim Gulam Hassan bidas dakwaan Mohamaddin Ketapi yang mengumumkan keluar parti itu kerana tidak diberi peranan.

    Beliau sebagai Ahli Parlimen Lahad Datu dan ADUN Segama yang sebelum ini mewakili Bersatu, Mohamaddin memikul peranan lebih besar untuk membantu rakyat.

    “Jadi tidak timbul soal tidak diberi peranan kerana sebagai Ahli Parlimen dan ADUN, peranan beliau sebagai wakil rakyat adalah amat besar. Seperkara lagi, selepas menyertai Bersatu, beliau (Mohamaddin) sebenarnya adalah AJK (ahli jawatankuasa) Bersatu Lahad Datu, kerana perlembagaan parti ini jelas menyatakan bahawa setiap wakil rakyat adalah secara automatik menjadi AJK bahagian.

    “Selaku AJK bahagian parti yang dianggotai juga tidak pernah menghalang beliau untuk menjalankan peranannya,” katanya pada sidang media di Lahad Datu, lapor FMT.

    mohamaddin ketapi
    Mohamaddin Ketapi

    Hakim berkata, jika Mohamaddin inginkan jawatan lebih tinggi seperti ketua bahagian, beliau perlu menunggu sehingga pemilihan parti akan datang.

    “Selepas pemilihan parti yang lalu saya telah dipilih sebagai ketua bahagian dan menjadi tanggungjawab saya untuk mengurus tadbir parti dan juga ahli. Sekiranya beliau mahu jadi ketua bahagian, beliau perlu bertanding pada pemilihan akan datang, kena tunggu dan sabarlah,” katanya.

    Hakim berkata, beliau juga tidak tahu langsung berkenaan dakwaan Mohamaddin yang mengatakan dijanjikan peranan dalam Bersatu di Lahad Datu.

    Katanya, beliau kurang jelas apakah bentuk peranan yang konon dijanjikan kepada Mohamaddin seperti dikatakan dalam sidang medianya semalam.

    “Sebenarnya, saya tidak tahu apa-apa tentang janji tersebut, saya tidak tahu siapa yang menjanjikan beliau dan saya tidak tahu apa sebenarnya dijanjikan kepada beliau.

    “Tetapi, sekiranya maksud beliau dijanjikan peranan untuk memimpin parti adalah jawatan tertentu dalam parti atau bahagian, maka selaku ahli politik yang cukup berpengalaman dan lama terlibat dalam empat parti besar iaitu sejak PBS, PKR, Warisan dan kemudian Bersatu, beliau sepatutnya sedia maklum, untuk menjawat satu-satu jawatan dalam parti harus menawarkan diri bertanding merebut jawatan dalam pemilihan parti,” katanya.

    Sementara itu, Hakim juga menyelar sindiran sinis Mohamaddin terhadapnya yang mengatakan beliau berlagak seperti wakil rakyat.

    “Sebetulnya, saya sebagai ketua parti di peringkat bahagian, saya tidak mempunyai apa-apa peruntukan yang boleh disalurkan kepada rakyat, tetapi saya berusaha semampu yang boleh untuk membantu rakyat. Saya hanya mahu berkhidmat kepada rakyat, walaupun sedar tidak dapat memenuhi atau membantu keseluruhan rakyat di kawasan saya, adakah dengan membantu rakyat itu perlu berlagak sebagai wakil rakyat,” katanya.

    Mohamaddin yang menyertai Bersatu selepas keluar Warisan pada November lalu mengumumkan keluar daripada parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas mesra kerajaan.

  • Mustapa nafi seleweng dana PRU-14 UMNO Kelantan

    Mustapa nafi seleweng dana PRU-14 UMNO Kelantan

    AHLI Parlimen jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau menyeleweng peruntukan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Mustapa turut menafikan tuduhan Ahmad Zahid bahawa penyertaannya dalam Bersatu adalah bertujuan untuk mengelak siasatan oleh pihak berkuasa.

    Berikut kenyataan penuh Mustapa;

     Saya merujuk kepada laporan media mengenai perbicaraan di Mahkamah Tinggi melibatkan Ahli Parlimen Bagan Datuk yang telah membuat kenyataan bahawa saya, Ahli Parlimen Jeli merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan pada masa itu, telah menyeleweng peruntukan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk bahawa saya telah menyeleweng peruntukan yang disalurkan kepada UMNO Kelantan.

    Semua dana parti telah diuruskan mengikut garis panduan parti termasuklah dana untuk pilihan raya. Ianya diuruskan oleh Jawatankuasa berkenaan di peringkat Badan Perhubungan.

    Saya juga menafikan bahawa penyertaan saya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah bertujuan untuk mengelak siasatan oleh pihak berkuasa.

    Selepas PRU-14, saya telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa sebanyak dua kali, iaitu pada akhir tahun 2018 dan pada awal tahun 2019. Saya dipanggil memberi keterangan mengenai perkara- perkara berikut:

    i) Sebagai bekas Ahli Jemaah Menteri, saya diminta memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan minit Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai projek Trans Sabah Gas Pipeline; dan

    ii) Sebagai bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, saya telah memberi keterangan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan yang didakwa diperolehi daripada sumber 1MDB.

    Kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak sebelum ini. Pihak SPRM telah menafikan perkara ini pada 20 September 2018 manakala Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada masa itu telah memberi penjelasan mengenai pengurusan dana PRU-14 pada 16 Januari 2019.

    Tuduhan-tuduhan seumpama ini berniat untuk mencemarkan reputasi saya sebagai Ahli Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen.

    Saya tidak pernah menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk menyertai PPBM dan tidak pernah menyeleweng dana Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan bagi PRU-Saya bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan.

  • Najib, Zahid, Anwar dicabar bersumpah nafi pendedahan Tajuddin

    Najib, Zahid, Anwar dicabar bersumpah nafi pendedahan Tajuddin

    DATUK Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar bersumpah menafikan pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

    Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, ketiga-tiga pemimpin berkenaan yang diketahui gemar bersumpah wajar berbuat demikian bagi membuktikan pendedahan Tajuddin satu fitnah.

    “Apa yang dinyatakan oleh Tajuddin sepatutnya diulas oleh Anwar Ibrahim, Najib Razak dan Ahmad Zahid. Di sini saya boleh cabar beliau untuk bersumpah, sebab dia suka sangat bersumpah. 

    “Najib Razak berapa kali bersumpah, Ahmad Zahid pun cabar Tan Sri Muhyiddin Yassin bersumpah, sekarang kita minta dia bersumpah mengatakan bahawa dia difitnah oleh Tajuddin. 

    “Tak payah nak cerita banyak, sebab dia suka bersumpah, kita cabar dia bersumpah, yang Tajuddin fitnah,” katanya dalam wawancara khas bersama SatuBerita hari ini.

    Kelmarin, Tajuddin mendakwa beliau adalah salah seorang yang diminta menandatangani Akuan Bersumpah (SD) kerjasama Presiden UMNO, Ahmad Zahid dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, walaupun hal tersebut telah banyak dinafikan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu dan rakan pimpinannya dalam UMNO termasuk ketika perhimpunan agung parti berkenaan.

    Razali berkata, ketiga-tiga pemimpin itu perlu bermuhasabah diri serta tumpu kepada rakyat yang masih lagi dalam peralihan untuk mensejahterakan kembali ekonomi negara yang mengalami kejatuhan akibat pandemik Covid-19.

    Dalam pada itu katanya, ketidakstabilan negara tidak datang daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin, namun yang terlibat dalam kemelut itu adalah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    Tambah beliau, rakyat perlu lihat dan menolak pemimpin yang tidak bertanggungjawab serta menganggu kestabilan politik negara.

    “Biarlah mereka selesai, biar rakyat tengok yang SD menyokong Anwar Ibrahim semasa kerajaan PN sedang bergerak. Itu stabil atau tidak stabil? 

    “Saya tidak kata UMNO secara keseluruhan, saya fokus kepada tiga orang, Najib Razak, Ahmad Zahid, Anwar Ibrahim, dia yang mengatakan kita pengkhianat, nak bekerjasama sana sini, sebenarnya dia senyap senyap buat kerja, senang senang dia boleh menipu rakyat, bersumpah sana, bersumpah sini.

    “Rakyat kena faham, perkara itu sedang berlaku, bercakap untuk menstabilkan negara, tetapi keluarga dia sendiri tidak stabil. Bercakap telus dan integriti, tetapi dia juga yang menghuru-harakan negara,” tegasnya.