Category: Politik

  • Bersatu Johor persoal kesahan UMNO pinda perlembagaan

    Bersatu Johor persoal kesahan UMNO pinda perlembagaan

    SEORANG pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan kesahan UMNO apabila mengadakan mesyuarat agung tergempar untuk mengusulkan pindaan Perlembagaan parti itu.

    Pengarah Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shahrin berkata, perkara itu dilakukan ketika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih belum mengumumkan sama ada pindaan perlembagaan UMNO diterima atau tidak.

    Tambahan pula katanya, parti berkenaan kini dipimpin oleh ketua sementara.

    Untuk rekod pindaan yang dicadangkan UMNO itu membolehkan pemilihan parti ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum (PRU) diadakan.

    “Apabila UMNO mengusulkan pindaan berkenaan, keadaan parti berkenaan berbeza daripada apa yang dilakukan MCA ketika ia mengambil langkah sama pada 2019.

    “Pada 2019, pemimpin MCA itu masih berkhidmat dalam penggal mereka (2018-2021), manakala UMNO sekarang, penggal pemimpinnya sudah tamat pada 30 Jun tahun lalu.

    “Kepimpinan UMNO hanya bersifat pemimpin penjaga. Mengikut Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO, majlis tertinggi parti itu mesti dipilih setiap tiga tahun,” tulisnya di Facebooknya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    UMNO mengadakan perhimpunan agung khas bagi meluluskan usul meminda perlembagaan pada 15 Mei lalu.

    Pindaan tersebut membolehkan pemilihan parti berkenaan ditangguhkan sementara bagi memberi ruang kepada mereka memberi perhatian kepada Pilihan Raya Umum ke-15.

    ROS dimaklumkan mengenai keputusan berkenaan sehari kemudian dan agensi yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri itu mempunyai masa sehingga 16 Julai untuk menjawab sama ada ia diluluskan atau tidak.

  • Salah beri subsidi untuk menang pilihan raya – Tun M

    Salah beri subsidi untuk menang pilihan raya – Tun M

    PEMBERIAN subsidi dianggap satu kesalahan sekiranya dilakukan dengan tujuan untuk menjadi popular dan memenangi pilihan raya.

    Pandangan itu disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam dialog bersama para pelajar Seoul National University dan sekumpulan pelajar tajaan Malaysia di Korea Selatan sempena Persidangan Kepimpinan Asia.

    Menurut beliau, ada perkara tertentu yang boleh diberi subsidi dan ada yang tidak.

    Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu memberi contoh, kerajaan boleh beri subsidi untuk kawal harga barangan yang naik berpunca dari pandemik.

    “Tetapi apabila subsidi diberi dengan sebab untuk jadi popular dan menang pilihan raya, itu salah.

    “Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, parti politik semasa itu guna wang merasuah pengundi tetapi beri alasan kononnya itu adalah subsidi.

    “Jadi kita perlu bijak menilai sama ada itu adalah subsidi yang diperlukan ataupun rasuah. Jika subsidi diguna bertujuan merasuah pengundi, ini adalah jenayah. Rakyat perlu bijak menilai antara subsidi dan rasuah,” katanya seperti dikongsi dalam hantaran Facebook hari ini.

    Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kestabilan negara sesudah pilihan raya adalah jauh lebih penting daripada saling berebut tempat.

    Beliau menambah, pihak yang kalah perlu menerima hakikat itu dan menunggu sehingga pilihan raya akan datang.

    “Tetapi biasanya pihak yang kalah tak terima kekalahan sebaliknya tuduh pihak yang menang menipu.

    “Disebabkan itu timbul cubaan untuk menafikan kemenangan dan protes, tunjuk perasaan, demonstrasi, cubaan ambil alih kerajaan dan sebagainya.

    “Ini menyebabkan negara tidak stabil dan banyak kesan buruk,” jelasnya.

    Dr Mahathir turut menekankan tentang perbezaan nilai-nilai antara Barat dan Timur khususnya dari segi penyelesaian konflik.

    “Umpamanya kita tidak bermusuh dan berperang sesama jiran seperti barat. Mereka suka cari penyelesaian dengan berperang.

    “Sedangkan di Asia kita pilih meja rundingan sebagai penyelesaian bagi apa jua krisis dan kemudian kita capai kata sepakat dari rundingan tersebut. Kita tidak pilih untuk berperang sesama sendiri hingga negara musnah,” ujarnya.

  • Elak keliru dengan BN, warna logo PN perlu diubah – Tuan Ibrahim

    Elak keliru dengan BN, warna logo PN perlu diubah – Tuan Ibrahim

    WARNA pada logo Perikatan Nasional (PN) memerlukan pengubahsuaian kerana ianya dilihat mengelirukan pengundi untuk memilih antara PN dan Barisan Nasional (BN).

    Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menjelaskan pengundi menjadi keliru dengan logo PN berdasarkan dua pilihan raya negeri baru-baru ini, di Johor dan Melaka.

    Perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti dan ianya masih meneliti logo dan warna yang sesuai digunakan. “Sebahagian pengundi keliru kerana warna sama, PN dan BN warna biru yang seakan sama dengan BN yang menyebabkan sebahagian pengundi kita jumpa mati-mati sokong Muhyiddin tetapi undi BN, jadi keliru kerana warna.

    “Maka Majlis Pimpinan Tertinggi setuju untuk kaji keperluan warna berbeza dengan BN dan keduanya logo, PN tak ada logo yang ada tulisan. Kita mesyuarat keperluan adakan logo bagi PN,” katanya di Kota Bahru, hari ini, lapor Astro AWANI

    Beliau menjelaskan pengubahsuaian logo itu dijangka selesai sebelum Pilihan Raya Umum ke-5 (PRU15) nanti.

    Tuan Ibrahim turut memaklumkan ketika ini Pas masih belum memutuskan lagi penggunaan logo PN untuk bertanding pada pilihan raya nanti kerana perkara itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Tertinggi Pas nanti.

    Terdahulu Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan PN akan memperkenalkan logo baharu untuk digunakan dalam PRU15 nanti.

    Muhyiddin berkata ianya susulan cadangan untuk mengubah suai logo sedia ada semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

  • Ismail Sabri perlu buktikan beliau tak sama macam Zahid, Najib

    Ismail Sabri perlu buktikan beliau tak sama macam Zahid, Najib

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu membuktikan bahawa dirinya adalah pemimpin UMNO yang berbeza daripada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan segera menunaikan janji yang telah dimeterai sebelum ini.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Ismail perlu bermuhasabah mengapa perjanjian tersebut tidak dilaksanakan agar beliau tidak dikategorikan sebagai mempunyai acuan yang sama dengan Ahmad Zahid dan Najib.

    Menurutnya, sepatutnya segala janji yang dimeterai perlu dilaksanakan serta merta ketika Ismail dikenali sebagai pemimpin bersih, yang memiliki integriti serta berbeza daripada Ahmad Zahid.

    “Di sebelah Perikatan Nasional (PN), kita dah laksanakan apa yang dijanjikan dalam dokumen perjanjian sebelum ini tetapi di pihak lain, Ismail Sabri perlu beri justifikasi kenapa perkara dijanjikan tidak dilaksanakan.

    “Dalam perjanjian antara kedua-dua pihak, perkara yang dijanjikan bukan hanya jawatan melibatkan parti-parti politik tertentu malah turut melibatkan beberapa lagi perkara lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan ibadah korban di Kampung Machang, Jitra, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menegaskan bahawa perjanjian melantik Timbalan Perdana Menteri sememangnya wujud, malah mempunyai saksi daripada Bersatu serta Pas.

    Mengulas lanjut katanya, semua pihak terlibat tahu mengenai perjanjian tersebut yang turut memaktubkan beberapa hal lain.

    “Jadi saya rasa persoalan sebenar adalah mengapa perjanjian itu tak dilaksanakan pada masa ia ditandatangani? Setelah ditandatangani pula, berlaku beberapa situasi di mana jawatan dipegang pemimpin dari PN yang tamat atau ditamatkan, tidak diganti dari orang PN juga malah ‘dirompak’ dengan rakusnya oleh UMNO.

    “Contohnya ada beberapa anak syarikat di Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang mana individu tertentu belum sampai tarikh luput kontrak, tetapi ditamatkan kontraknya dan diganti dengan pemimpin UMNO. Jadi ini jelas melanggar perjanjian tersebut,” katanya.

    Dalam pada itu Wan Saiful memaklumkan, beliau sudah tidak lagi memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) setelah kontraknya tamat pada 17 Jun lalu.

    “Setakat ini saya difahamkan pengerusi baharu belum dilantik. Begitu pun sepanjang empat tahun di PTPTN, saya berbangga dengan usaha dilakukan setelah kita memberi fokus kepada penyelesaian jangka panjang terhadap masalah hutang anak muda.

    “Penyelesaian itu adalah dengan cara menggalakkan penabungan. Semasa mula-mula mengambil alih jawatan itu, kutipan deposit tahunan PTPTN cuma RM700 juta tetapi apabila saya tinggalkan empat tahun kemudian, jumlahnya meningkat lebih empat kali ganda kepada RM3 bilion,” katanya.

  • Takiyuddin akui buat draf perjanjian jawatan TPM

    Takiyuddin akui buat draf perjanjian jawatan TPM

    SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui membuat draf perjanjian berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sepertimana yang dimaklumkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Katanya, pembabitan beliau dalam draf perjanjian itu dilakukan atas kedudukannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) pada waktu itu dan bukan kapasiti parti.

    “Saya adalah bekas Menteri Undang-Undang, jadi semua yang berkaitan dokumen undang-undang saya akan diminta membuat berkenaannya, bukan kerana saya (semata-mata) adalah Takiyuddin. Ia (isu TPM) bukan satu perjanjian, sebaliknya dipanggil sebagai Memorandum Perjanjian (MoA),” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (Zon Tengah) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di Padang Dewan Serbaguna Sungai Kerang, Trong, di Bukit Gantang, hari ini.

    Takiyuddin menjelaskan, walaupun ‘perjanjian’ yang dimaksudkan antara Muhyiddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu secara terperinci ada menyebut mengenai jawatan TPM, namun ia tidak mensyaratkan perlantikannya adalah dimestikan memandangkan klausa mengenai TPM tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

    Sebaliknya, kata beliau kewujudan jawatan TPM menerusi Perdana Menteri sebelum dari kerajaan ditadbir Ismail Sabri adalah melalui perkara dinamakan sebagai konvensyen iaitu suatu amalan yang tiada dalam perlembagaan.

    “Justeru, perlantikan TPM berada pada kehendak Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Jadi bila tiada dalam perlembagaan, maka terpulang kepada YDPA sama ada hendak lantik TPM atau terpulang (sebaliknya). Jadi, tidak boleh kata wajib melantik TPM walaupun Perdana Menteri berhak atas hak prerogatifnya ingin melantik TPM jika beliau berasa memerlukannya,” katanya.

    Menjawab satu soalan, Takiyuddin berkata, beliau tidak pasti sama ada Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengetahui perkara itu atau tidak.

    “Tidak semua orang tahu mengenai ‘perjanjian’ (MoA) itu. Jadi kena tanya Tok Guru (Abdul Hadi) sendirilah dia tahu atau tidak sebab dia bukan orang yang tandatangan MoA berkenaan.

    “Mungkin kenyataannya (Abdul Hadi) sebelum ini (mengenai tidak wujud perjanjian Muhyiddin-Ismail Sabri) adalah jawapannya secara spontan apabila ditanya yang mana dia mungkin tidak tahu,” katanya.

    Semalam, media melaporkan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU meminta Abdul Hadi supaya merujuk kepada Takiyuddin yang didakwanya sebagai ‘draftman’ atau individu bertanggungjawab menggubal draf mengenai kewujudan perjanjian antara Muhyiddin dan Ismail Sabri berkaitan jawatan TPM.

    MoA itu dilapor antara lain turut menyentuh mengenai bilangan jawatan dalam Kabinet khususnya mengenai bilangan kuota parti.

  • Kehadiran ribuan orang bukti PN semakin diterima rakyat – Muhyiddin

    Kehadiran ribuan orang bukti PN semakin diterima rakyat – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kehadiran ribuan orang ke Kenduri Rakyat Aidiladha anjuran Perikatan Nasional (PN) Perak di Manjoi, hari ini membuktikan rakyat semakin menerima gabungan itu yang berpegang kepada prinsip integriti dan berjuang menyelesaikan masalah hidup mereka.

    Pengerusi PN itu berkata,  sokongan padu yang sama seumpama itu  sudah dapat dilihat ketika majlis pelancaran PN Kelantan di Tanah Merah awal bulan ini dengan kehadiran puluhan ribu rakyat.

    ‘’Pada saya apa yang kita lihat ini merupakan petanda baik bahawa rakyat mahukan satu parti yang kurang berpolitik tetapi lebih bekerja membantu menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan teruk sejak dua tahun lalu akibat penangan pandemik Covid-19,’’ katanya dalam Facebook beliau.

    Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Norainee Abd.Rahman, Pengerusi PN Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi, Naib Pengerusi 1 Razman Zakaria dan Naib Pengerusi 2 Datuk Seri See Tean Seng.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menegaskan, rakyat inginkan parti yang turun ke akar umbi mendengar keluh-kesah mereka dan cuba membantu mengurangkan bebanan hidup dengan cara menyediakan pekerjaan serta meningkatkan pendapatan mereka.

    ‘’Saya percaya rakyat akan terus  bersama dan menyokong  jika kita terus menjadikan rakyat sebagai fokus perjuangan parti. PN sendiri telah membuktikan parti ini sentiasa mengutamakan nasib hidup rakyat sewaktu menjadi kerajaan ketika wabak Covid-19 melanda negara sedikit waktu dahulu.

  • Keputusan PKR 2022:JPP sedia beri penjelasan kepada Hans Isaac

    Keputusan PKR 2022:JPP sedia beri penjelasan kepada Hans Isaac

    PENGERUSI Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Zaliha Mustafa sedia memberi penjelasan berhubung keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini kepada pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Hans Isaac.

    “Kita tidak ada masalah untuk memberi jawapan dalam masa seminggu memandangkan kongres melibatkan PKR akan tamat tidak lama lagi.

    “Insya-Allah seminggu sempat. Sebab kita pun akan habis kongres nasional PKR hujung minggu ini. Jadi selepas itu kita boleh fokus beri tumpuan pada surat (tuntutan penjelasan) Hans Isaac,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Zaliha berkata, beliau masih belum tahu lagi kandungan persoalan yang dinyatakan dalam surat tuntutan penjelasan tersebut.

    Bagaimanapun menurutnya, JPP akan sedaya-upaya memastikan supaya mereka dapat memberi penjelasaan secepat mungkin.

    “Biasanya kita akan tengok dulu apa penjelasan yang diminta oleh surat itu, tetapi seeloknya kita akan beri penjelasan itu cepat.

    “Sekarang ini, kita pun sibuk dengan persediaan kongres. Jadi, kalau kita dapat surat itu awal, kita boleh balas awal,” ujarnya.

  • Tajuddin digugur jawatan Duta Besar ke Indonesia

    Tajuddin digugur jawatan Duta Besar ke Indonesia

    AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan daripada jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

    Memetik laporan FMT, perkara itu disahkan oleh seorang sumber kerajaan.

    Sumber tersebut menyatakan nama Tajuddin tidak terkandung dalam senarai terbaru penerima watikah pelantikan diplomat ke luar negara daripada Yang di-Pertuan Agong esok.

    Menurutnya lagi, kerajaan “berubah hati” mengenai pelantikan Tajuddin.

    “Sebab itu nama dia tak dimasukkan dalam senarai utusan terbaharu yang akan terima surat watikah daripada Yang di-Pertuan Agong esok,” katanya kepada FMT.

    Ketika dihubungi FMT, Tajuddin enggan mengulas dan meminta FMT merujuk isu itu kepada Wisma Putra.

    “Tiada komen. Tanyalah Kementerian Luar ke, tanya perdana menteri ke, saya mana tahu,” katanya kepada FMT.

    FMT sedang menghubungi Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan timbalannya, Datuk Kamaruddin Jaffar.

    Pelantikan Tajuddin mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk belas diplomat.

    Awal bulan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak yang mendesak Tajuddin digugurkan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia ibarat mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong, kerana pelantikan beliau sudah diperkenan.

    Tajuddin sebelum ini menyifatkan sebahagian kritikan berhubung pelantikannya sebagai “tidak adil”.

    “Mereka tidak kenal saya, cuma tahu saya orang tua, sedangkan saya sudah berkhidmat dengan kerajaan, negara dan rakyat lebih 45 tahun lalu, sejak berusia 25 tahun lagi. Tetapi, saya dilayan seolah-olah seperti saya ‘orang tepi jalan’.”

    Bagaimanapun, The Malaysian Insight memetik sumber yang rapat dengan Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan FMT, dan pelantikan ahli parlimen itu cuma “ditangguh”.

    Pada Mei 2021, Ahli Parlimen kontroversi itu digugurkan daripada jawatannya sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, beberapa hari selepas sidang medianya yang mendapat kritikan berhubung perlanggaran dua tren LRT.

  • Pemilihan UMNO sebelum hujung tahun jika tolak Pelan B

    Pemilihan UMNO sebelum hujung tahun jika tolak Pelan B

    PEMILIHAN UMNO akan diadakan sebelum hujung tahun ini sekiranya Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan parti itu.

    Memetik laporan Harian Metro, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu juga mempunyai Pelan B jika permohonan pindaan yang membolehkan pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Kami (ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan buat keputusan jika (pindaan perlembagaan tak diluluskan ROS.

    “UMNO ada Pelan B, namun jika tak mahu Pelan B, maka kita akan buat pemilihan parti sebelum 29 Disember ini.

    “Apakah Pelan B itu, kena tunggulah nanti. Kita berharap ROS luluskan permohonan itu kerana ia sama dengan apa yang dilakukan MCA dan sudah diluluskan,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan daging korban di Benut, Pontian, hari ini.

    Mei lalu, UMNO sebulat suara meluluskan Pindaan Perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum, untuk memberi ruang kepada ahli memfokus kepada gerak kerja pilihan raya.

    Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada ROS pada 17 Mei, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata ROS mempunyai masa sehingga 60 hari untuk membuat keputusan berhubung permohonan pindaan itu.

    Sebelum itu, UMNO menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lalu.

    Tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember tahun ini.

  • PRU-15: PN guna logo baharu – Muhyiddin

    PRU-15: PN guna logo baharu – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menggunakan logo baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurut beliau, cadangan itu diketengahkan Majlis Tertinggi PN dua minggu lalu agar beberapa perubahan dibuat pada logo sedia ada.

    Presiden Bersatu itu berkata, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin sedang melihat perkara itu.

    “Mungkin itu apa yang beliau (Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang) maksudkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kenduri Rakyat Aidiladha PN Perak di Manjoi, Ipoh hari ini.

    Beliau mengulas tentang kenyataan Abdul Hadi baru-baru ini bahawa PAS sedang mempertimbangkan untuk menggunakan logo baharu dalam PRU-15 bagi menggantikan lambang PN.

    Bekas Perdana Menteri itu menambah, PN perlu meminda perlembagaannya terlebih dahulu dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya PIlihan Raya (SPR) tentang logo baharu tersebut.

    “Yang ada ni memang dah baik tapi nak ditambah baik lagi mungkin sesetengah parti ada simbol-simbol yang digunakan.

    “Kita kena tengoklah sama ada warna ni terus dikekalkan atau logo yang sesuai akan diperkenalkan,” jelasnya.

    Berhubung perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin berkata, semua kepimpinan tertinggi PN tahu mengenai perjanjian yang drafnya disediakan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    “Tok Guru (Abdul Hadi) boleh check semula dengan Datuk Taki yang draf surat itu,” jelasnya.

    Menurut beliau, perjanjian tersebut turut merangkumi kuota setiap parti dalam lantikan Kabinet.