PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah memberi sebarang kata dua kepada Pas sama ada perlu memilih Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, sebaliknya apa dimaksudkan Muhyiddin ketika mengulas hasil pertemuan dengan pemimpin Pas termasuk Tan Sri Abdul Hadi Awang Isnin lalu itu, bahawa parti itu perlu membuat membuat pendirian lebih jelas soal kerjasama dalam pilihan raya.
Muhyiddin kata hasil perbincangan dengan presiden Pas beliau mendapat bayangan Pas akan membuat keputusan sama ada bersama UMNO atau bersama PN. Itu sahaja, tak nampak beliau desak atau tekan Pas, saya tak nampak, tiada istilah kata dua.
“Muhyiddin masih lagi meraikan kehendak Pas menjayakan penyatuan ummah. Kita Bersatu tak marah Pas umpa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa Muhyiddin tidak seharusnya menetapkan Pas perlu memilih PN atau BN bagi menghadapi PRU-15.
Kata Tuan Ibrahim, parti itu mahu bekerjasama dengan Bersatu dan UMNO demi “perpaduan ummah”.
Mengulas lanjut, berdasarkan kenyataan penuh Tuan Ibrahim, Razali berkata, dia tidak menganggap ia ditujukan kepada Muhyiddin sebaliknya bersifat umum susulan timbul desakan supaya Pas memilih antara UMNO dan Bersatu.
“Kenyataan Tuan Ibrahim itu saya rasa beliau tak tuju kepada Muhyiddin, dia mungkin menjawab secara umum isu yang berlegar termasuk segelintir pemimpin UMNO yang memberi kata dua sama ada nak dengan Bersatu atau macam mana.
“Umno pernah menuduh PAS main dua kolam, tiga kolam tetapi Bersatu tak pernah keluar keluarkan kenyataan kata PAS main dua kolam, tiga kolam,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin mendakwa beliau diberi bayangan bahawa Pas akan buat keputusan muktamad, untuk memutuskan hubungan dengan Umno dalam tempoh terdekat.
Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengumumkan BN sebagai musuh utama PN pada PRU15, dengan parti komponennya perlu bergerak sebagai sebuah pasukan dan memiliki hala tuju sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.
TINDAKAN UMNO yang mahu pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera dan tergesa-gesa semasa rakyat dilanda musibah banjir dikecam Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin sebagai angkuh sehingga mengabaikan kepentingan rakyat.
Lapor portal Agenda Daily, Radzi berkata, keputusan UMNO yang meminta Perdana Menteri supaya mengadap Yang di-Pertuan Agong segera bagi mengadakan PRU-15 tahun ini juga menunjukkan parti itu terlalu merasakan mereka lebih besar dalam membuat keputusan secara membabi-buta sehingga tidak memikirkan nasib rakyat dilanda kesusahan.
“Inilah UMNO, dia rasa dia besar sangat. Dia tak tahu yang rakyat Malaysia ini lagi besar.
“Tapi dalam apa juga keadaan ada pihak yang meletakkan kepentingan politik melebihi segalanya dan ini menyukarkan rakyat. Tapi rakyat tahu apa pilihan terbaik apabila sampai PRU-15 nanti,” katanya.
Beliau mengulas keputusan UMNO semalam yang menegaskan PRU-15 akan tetap diadakan pada masa terdekat tahun ini juga walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan banjir besar bakal melanda negara sepanjang sekitar November-Disember tahun ini.
Radzi yang juga Menteri Pendidikan berkata langkah mengadakan PRU-15 pada hujung tahun bukan sahaja membebankan rakyat bahkan menyulitkan pihak pengurusan sekolah yang mungkin memerlukan kemudahan itu untuk tujuan pemindahan mangsa-mangsa banjir.
“Kalau hari-hari bangun pagi bercakap pasal pilihanraya kita tak ke mana kerana ini (PRU) akan menimbulkan kesulitan sebab sekolah diperlukan untuk kegunaan pemindahan semasa banjir.
“Mengambil kira kesusahan rakyat sejak dua tahun lalu, kita ada rasa simpati dan rasa belas kasihan kepada rakyat,” katanya.
Jelasnya, pilihan raya bukan keutamaan ketika ini kerana kepentingan rakyat yang terbeban sepatutnya perlu didahulukan, malah tidak lama lagi negara perlu melakukan persediaan untuk menghadapi musibah banjir yang diketahui umum berlaku pada hujung tahun.
“Dalam hidup ini bukan semuanya pasal pilihan raya, ada banyak perkara yang perlu diberikan keutamaan.
“Jadi tumpuan kita (Bersatu) adalah perkara-perkara yang berkait dengan kebajikan rakyat dan kita tahu bahawa rakyat tak nak PRU diadakan pada waktu banjir,” katanya lagi.
Namun, sekiranya PRU-15 terpaksa juga diadakan susulan desakan UMNO sehingga Perdana Menteri tunduk, Radzi berkata tiada pilihan lain dan persediaan perlu diambil bagi memastikan perjalanan proses pilihan raya berjalan lancar dengan keselamatan rakyat terjamin.
Bagaimanapun kata beliau, sebagai Menteri Kanan Pendidikan, pihaknya sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama sekiranya keputusan mengadakan PRU-15 diteruskan tahun ini.
“Dalam konteks keperluan menggunakan sekolah, kementerian sentiasa memberi kerjasama dan sokongan sama ada untuk menggunakan sekolah sebagai pusat pemindahan banjir ataupun sebagai pusat pengundian
“Ini sebahagian daripada tindakan kita sejak sekian lama. Dalam apa juga keadaan, kalau perlukan untuk banjir (sekolah) maka kami bersedia,” katanya.
Mengulas mengenai desas-desus beliau akan bertanding di Kerusi Parlimen Putrajaya pada PRU-15 ini, beliau menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan parti.
“Soalan itu sudah ditanya banyak kali, apa sahaja keputusan parti nak suruh saya bertanding kat mana atau tak payah bertanding, saya akan akur,” katanya.
CALON Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau 2019, Dr S.Streram yang mengumumkan keluar PKR pada 8 Sept lepas, mendakwa beliau berbuat demikian kerana dipinggirkan parti itu.
Bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Rantau itu juga berkata beliau kini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pimpinan Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga bekas Naib Presiden PKR, bagi meneruskan khidmat kepada rakyat, sejak bulan lepas.
“Saya sudah 14 tahun dengan PKR dan sudah lama berkhidmat untuk rakyat tetapi selepas PRK Rantau, saya dan ramai lagi rakan saya dipinggirkan di Negeri Sembilan.
“Saya membuat keputusan menyertai PBM untuk berkhidmat kepada rakyat, itu adalah matlamat penting saya ketika ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pakar bius itu berkata beberapa rakan lain dalam PKR juga mendakwa mereka tidak bersefahaman dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun selain tidak bersetuju dengan pemilihan Aminuddin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).
Sementara itu Setiausaha PKR Negeri Sembilan Aliudin Mohamed berkata setakat ini beliau belum menerima sebarang pemakluman dari PKR pusat mengenai surat keluar parti daripada Dr Streram.
“Saya belum menerima apa-apa surat daripada beliau, mungkin juga dia (Streram) boleh ajukan surat berkenaan kepada PKR pusat, namun setakat ini tiada pemakluman daripada mana-mana pihak,” katanya.
Beliau juga memaklumkan sebelum ini Streram tidak mempunyai sebarang isu bersama PKR negeri, namun parti berkenaan tetap menghormati keputusannya.- BERNAMA
CADANGAN UMNO untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diputuskan secara bersama di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada tarikh tertentu telah ditetapkan dan tidak menolak kemungkinan PRU15 akan diadakan pada tahun ini seperti dinyatakan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan semalam.
“Tunggu dulu (tarikh bubar). Semalam Datuk Seri Ahmad Maslan dah buat kenyataan, jadi kita pakai kenyataan dia sebagai Setiausaha Agung, sebab kita dah putuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam, jurucakap dia seorang sahaja,” kata Perdana Menteri kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini, hari ini.
Semalam, Ahmad Maslan dalam sidang media selepas mesyuarat MT UMNO berkata MT UMNO mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.
Ismail Sabri berkata isu mempercepatkan PRU15 bukan perkara baharu.
“Kita nak kembalikan kepada rakyat untuk buat penentuan, beri mandat semula kepada rakyat (untuk memilih kerajaan),” katanya.
Ditanya sama ada beliau ada meletakkan sebarang syarat sebelum bersetuju untuk PRU15 dipercepatkan, beliau berkata: “Kita dari segi UMNO, ada Top 5, ada Biro Politik, tak ada siapa yang beri sebarang syarat…kalau kita nak buat pilihan raya dan kita ada asas yang kuat untuk kita percepatkan dan setuju secara bersama, kita buatlah. Cuma tarikh tu tunggulah pengumuman,” katanya. – BERNAMA
KETUA UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail menganggap penggantungannya dari UMNO bersama Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam sebagai satu isyarat Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menurutnya, Ahmad Zahid seboleh-bolehnya mahu supaya Parlimen dibubarkan segera agar PRU-15 dapat dilaksanakan pada bulan ini juga.
“Saya fikir tindakan ini adalah mesej yang nak disampaikan kepada Perdana Menteri sebab kedua-dua kami merupakan penyokong kuat Perdana Menteri, terutamanya dalam kumpulan Ketua Bahagian.
“Apa pun, saya tetap UMNO dan darah masih ‘biru’ (Barisan Nasional). Kita tunggu sajalah enam tahun, tak lama pun… Cuma enam kali raya saja,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, setakat ini beliau masih belum menerima sebarang surat rasmi dari UMNO berhubung tindakan dikenakan terhadapnya dan hanya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh rakan-rakan Majlis Tertinggi yang hadir dalam mesyuarat, malam tadi.
“Keputusan ini memang mengejutkan sebab saya tak tahu masalah apa yang saya timbulkan. Kalau saya buat salah, tak ada pula Lembaga Disiplin parti panggil.
“Saya difahamkan selepas mengumumkan tindakan terhadap kami semalam, Presiden terus keluar dari bilik mesyuarat tanpa ada perbincangan. Maknanya bukan Majlis Tertinggi yang buat keputusan sebaliknya Zahid yang buat dan klausa mana digunakan, saya pun tak tahu,” katanya.
Mohd. Yusof dalam pada itu memaklumkan, beliau sejak dari awal lagi sudah menyatakan kepada Presiden yang dirinya tidak berniat untuk bertanding dalam PRU-15 walaupun namanya disebut-sebut sebagai antara individu yang akan diangkat sebagai calon sekirangnya UMNO diberi ruang bertanding di Parlimen Alor Setar bagi menggantikan MCA.
“Saya awal-awal dah beritahu yang tak minat bertanding. Cumanya kita mahukan kerusi Parlimen Alor Setar itu diberikan kepada UMNO berbanding MCA, BN mampu merampas kerusi di situ. Itu saja,” katanya.
SEMUA pemimpin dan ahli PAS diminta untuk menerima segala ketetapan yang dibuat parti pada ketika seluruh Jentera Pilihan Raya PAS diarah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata selain itu, sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan dengan kebenaran Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi mengelak timbulnya suasana yang boleh merugikan perancangan dan perjuangan parti khususnya dalam menghadapi PRU15.
“Semua pemimpin dan Ahli PAS dikehendaki menjaga serta mematuhi tanzim dan disiplin parti dengan menerima segala ketetapan dan keputusan yang dibuat terutama oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atas dasar wala’ (kesetiaan) dan taat yang tidak berbelah bahagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Takiyuddin semua peringkat parti perlu menumpukan usaha memantapkan gerak kerja pilihan raya sebagaimana dirancang untuk dilaksanakan terutama melalui arahan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.
Beliau berkata PAS akan terus memberikan khidmat bakti kepada negara dan rakyat selepas PRU15 bersama-sama dengan gabungan muafakat politiknya yang mempunyai matlamat yang sama.- BERNAMA
KETUA Cawangan UMNO Projek Perumahan Awam (PPA) Sri Labuan, Zaharin Mohd Yasin yang dipecat sebagai ahli parti malam tadi berkata, beliau telah “bebas” untuk berjuang menumbang bekas pemimpinnya yang rasuah.
Zaharin dipecat parti semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kerana didakwa lantang menentang pemimpin partinya sendiri.
MKT UMNO juga menggantung Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua UMNO Alor Setar Mohd Yusof Ismail selama dua penggal (enam tahun).
“Saya tak sedih pun bila kena pecat, saya sudah berjuang. Buat sementara waktu, saya tak menyertai mana-mana parti.
“Saya terima pemecatan ini dengan hati terbuka. Pemecatan ini sebenarnya umpama pucuk dicita ulam mendatang,” katanya sebagaimana lapor Free Malaysia Today.
Zaharin turut menjelaskan, beberapa pemimpin dan rakan dalam PKR memaklumkan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencadangkan namanya bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak.
“Jika Anwar tidak bertanding, mereka memberitahu orang yang boleh menggantikannya di Bandar Tun Razak ialah saya.
“Saya tidak berminat tetapi jika ada desakan daripada pimpinan pembangkang, saya cuba pertimbangkan.
“Jika saya bertanding atas tiket PH (Pakatan Harapan), melalui PKR, saya boleh menang kerana saya mempunyai ramai pengikut di Bandar Tun Razak,” katanya.
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini juga.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Kuala Lumpur malam ini.
Berikut kenyataan penuh beliau;
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang berlangsung pada malam ini, 30 September 2022 bersamaan 4 Rabiul Awal 1444 Hijrah dan dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO telah mencapai beberapa ketetapan berikut:
1. Pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada tahun ini juga. Berdasarkan keputusan ini, YAB Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.
2. Keputusan Mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat Pandemik Covid-19 setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan kerana persengketan dalaman politik sesama mereka.
3. Sehubungan itu, semua jentera parti di setiap peringkat adalah diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh Pilihan Raya Umum ke-15.
4. UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperolehi, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, disamping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara.
5. Mesyuarat juga menyambut baik keputusan Kabinet yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera dilaksanakan oleh agensi-agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat salah laku bekas Peguam Negara Tommy Thomas. Mesyuarat juga menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness” untuk segera didedahkan kepada umum.
Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka surat 342 buku tersebut yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
6. UMNO juga menjunjung titah KDYMM Sultan Johor pada 15 Mei 2022 lalu, yang mahukan laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih untuk segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah dan kedaulatan negara.
7. Mesyuarat MKT menerima perletakan jawatan Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan merakamkan ucapan terima kasih atas khidmat yang telah beliau berikan. Sebagai penggantinya, mesyuarat bersetuju untuk melantik Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO yang baru.
8. Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat MKT memecat Datuk Zaharin Mohd Yasin daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta merta mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.
9. Mesyuarat MKT juga mengambil maklum berkenaan kunjungan Tuan Guru Tan Sri H Abdul Hadi bin Awang, Presiden Pas bertemu dengan Presiden UMNO baru-baru ini.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini menghadiri mesyuarat membabitkan lima pemimpin tertinggi UMNO atau dikenali ‘Top 5’.
Perkembangan itu dikongsikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi akaun Facebook miliknya.
Selain itu, bekas Menteri Besar Johor itu turut memuat naik gambar kelima-lima mereka sedang bermesyuarat.
Menurut laporan Berita Harian, mesyuarat itu difahamkan berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur.
Top 5 merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Mohamed Khaled serta Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Sebelum ini, UMNO memaklumkan perkara berkaitan tarikh pilihan raya umum akan dibincangkan dalam kalangan Top 5 parti itu.
Malam ini, MKT UMNO akan bermesyuarat, antaranya bagi membincangkan isu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bulan lalu, Ismail Sabri memberi bayangan beliau akan berjumpa ‘top five’ UMNO untuk membincangkan tarikh PRU15 sebelum pembentangan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.
“Macam saya beritahu sebelum ini apa sahaja keputusan yang dibuat kita tunggu ‘top five’ UMNO bermesyuarat,” katanya.
Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata semua ahli MKT boleh membangkitkan sebarang isu untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Khas MKT.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas apabila ditanya sama ada PRU15 turut dimasukkan sebagai satu daripada agenda utama yang akan dibincangkan nanti.
“Mesyuarat (Khas MKT UMNO) pada 30 September ini adalah mesyuarat bulanan parti. Biasanya, ia akan membincangkan isu-isu semasa. Mesyuarat ini adalah rutin parti setiap bulan. Begitulah juga pada mesyuarat bulan-bulan sebelum ini, isu semasa juga dibincangkan.
“Bagaimanapun semua Ahli MKT boleh bercakap apa juga tajuk yang sesuai,” katanya.
KALAU mengikut Mursyidul Am Pas , Hashim Jasin, minggu depan, parti itu akan memuktamadkan siapakah yang akan menjadi pilihan Pas untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Pada masa sama, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, Pas tidak harus diberikan pilihan sama ada mahu UMNO atau PN.
Sememangnya agak menarik untuk mengetahui apa pilihan Pas yang begitu hebat menguar-uarkan soal perpaduan ummah dan tidak senang dengan kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa ‘BN musuh utama’.
Kata pemimpin Pas, misi utama parti itu ialah bekerjasama dengan parti Melayu bagi menghalang Pakatan Harapan (PH) kembali memerintah. Penulis bersetuju dengan misi tersebut.
Namun pada masa sama penulis tidak begitu yakin usaha untuk menyatukan parti Melayu khususnya melibatkan UMNO dan Bersatu akan menjadi kenyataan. Perlu diingat, kalau Pas tidak mahu mana-mana pihak menekan mereka untuk memilih dengan siapa mahu bekerjasama, maka mereka juga harus ikhlas menghormati pendirian Bersatu untuk tidak bekerjasama dengan UMNO.
Lagi pula UMNO pun lebih awal sudah memutuskan dalam Perhimpunan Agung parti itu bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan Bersatu. Jadi kalaulah Bersatu tidak mahu bekerjasama maka ia bukanlah sesuatu yang aneh.
Dan kenapa sebelum ini, tidak ada penekanan atau penegasan daripada pemimpin Pas apabila UMNO memutuskan tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15. Kenapa tidak ada pemimpin Pas menegaskan kepada UMNO, ‘’janganlah kasar sangat’’.
Pas perlu faham, ahli-ahli Bersatu perlu sentiasa berpegang kepada matlamat perjuangan Bersatu yang termaktub di dalam Perlembagaan parti.
Antaranya ialah memerangi rasuah dan mewujudkan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti serta membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.
Oleh itu jika Bersatu mahu bekerjasama dengan UMNO yang segelintir pemimpinnya ada masalah integriti, sudah pasti ia melanggar Perlembagaan parti tersebut. Justeru Pas tidak boleh memaksa Bersatu mengikut kehendak ‘penyatuan ummah’ mereka.
Hakikatnya, tidak ada orang Melayu yang tidak mahu melihat parti-parti Melayu bergabung atau bersatu dalam satu pasukan bagi menentang PH dalam PRU-15, tetapi usaha murni itu terjejas kerana dalam Pas sendiri ada segelintir pemimpin lebih cenderung mahu bekerjasama dengan UMNO dan memandang Bersatu ‘sebelah mata’.
Jadi kalaulah ada mana-mana pemimpin Pas mahu melihat penyatuan ummah maka haruslah ada keikhlasan dalam perjuangan itu. Janganlah asyik membuat kenyataan yang dilihat lebih cenderung kepada UMNO.
Tidak kisah kalau mahu bersikap demikian tetapi berilah kata putus! Tidak payah berdolak dalih dengan menggunakan hujah, keikhlasan berpolitik. Kalau itu hujahnya cuba bertanya secara ikhlas kepada diri sendiri, benarkah Pas mahu terus bekerjasama dengan Bersatu?
Penulis melontarkan pandangan ini kerana berdasarkan kenyataan beberapa pemimpin yang boleh dianggap ‘berpengaruh’ dalam Pas , mereka seolah-olah beranggapan bahawa bekerjasama dengan UMNO dalam PRU-15 lebih menguntungkan.
Dulu mereka bekerjasama dengan Bersatu kerana Bersatu dilihat kuat dan sekarang apabila Bersatu dilihat agak lemah, Pas mencari pula kawan baru atas nama perpaduan ummah.
Mungkin kenyataan ini tidak menyenangkan tetapi inilah tafsiran atau persepsi yang wujud dalam kalangan banyak pihak. Oleh itu, Pas harus memperbetulkan persepsi ini. Ia tidak boleh dibiarkan berlegar-legar dalam fikiran orang Melayu kerana kesudahannya boleh mendatangkan kesan buruk kepada Pas.
Penulis akui Pas bukanlah calang-calang parti dan peluang Pas untuk menang lebih banyak kerusi dalam PRU-15 terbuka luas jika mereka bekerjasama dengan UMNO, tetapi itu tafsiran atas kertas, realiti di lapangan apabila pilihan raya berlangsung belum tentu lagi.
Begitu juga dengan keghairahan sesetengah pemimpin UMNO mahu bekerjasama dengan Pas, UMNO pun mahu menumpang kekuatan Pas di sesetengah negeri seperti Selangor khususnya.
Dan adakah Pas yakin melalui kerjasama dengan UMNO, mereka akan mampu bertanding di kerusi-kerusi yang mereka inginkan? Mana mungkin ‘dua ekor singa’ berada di atas bukit yang sama. Sudah pasti masing-masing akan berlumba untuk mendapat lebih kuasa. Begitu juga dalam konteks pilihan raya, adakah UMNO akan ‘senang-senang’ beri laluan kepada Pas di kerusi yang UMNO yakin boleh menang?
Seperkara lagi, Pas perlu memahami PN dan Bersatu sudah bersedia jika Pas memilih bekerjasama dengan UMNO kerana Bersatu tidak mahu dilihat ‘melukut di tepi gantang’ seperti mana nsib Pas sebelum ini, bila Pas cuba ‘bergesel-gesel badan’ dengan UMNO.
Apapun sama-samalah kita tunggu keputusan muktamad Pas dalam soal kerjasama dengan UMNO dan PN. Yang pastinya Pas perlu berhati-hati, jangan sampai akhirnya orang menganggap penyatuan ummah yang begitu hebat digembar-gemburkan oleh Pas hanya sekadar retorik untuk terus mendapat kuasa.