SEMUA pemimpin dan ahli PAS diminta untuk menerima segala ketetapan yang dibuat parti pada ketika seluruh Jentera Pilihan Raya PAS diarah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata selain itu, sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan dengan kebenaran Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi mengelak timbulnya suasana yang boleh merugikan perancangan dan perjuangan parti khususnya dalam menghadapi PRU15.

“Semua pemimpin dan Ahli PAS dikehendaki menjaga serta mematuhi tanzim dan disiplin parti dengan menerima segala ketetapan dan keputusan yang dibuat terutama oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atas dasar wala’ (kesetiaan) dan taat yang tidak berbelah bahagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Menurut Takiyuddin semua peringkat parti perlu menumpukan usaha memantapkan gerak kerja pilihan raya sebagaimana dirancang untuk dilaksanakan terutama melalui arahan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Beliau berkata PAS akan terus memberikan khidmat bakti kepada negara dan rakyat selepas PRU15 bersama-sama dengan gabungan muafakat politiknya yang mempunyai matlamat yang sama.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here