KETUA Cawangan UMNO Projek Perumahan Awam (PPA) Sri Labuan, Zaharin Mohd Yasin yang dipecat sebagai ahli parti malam tadi berkata, beliau telah “bebas” untuk berjuang menumbang bekas pemimpinnya yang rasuah.

Zaharin dipecat parti semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kerana didakwa lantang menentang pemimpin partinya sendiri.

MKT UMNO juga menggantung Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua UMNO Alor Setar Mohd Yusof Ismail selama dua penggal (enam tahun).

“Saya tak sedih pun bila kena pecat, saya sudah berjuang. Buat sementara waktu, saya tak menyertai mana-mana parti.

“Saya terima pemecatan ini dengan hati terbuka. Pemecatan ini sebenarnya umpama pucuk dicita ulam mendatang,” katanya sebagaimana lapor Free Malaysia Today.

Zaharin turut menjelaskan, beberapa pemimpin dan rakan dalam PKR memaklumkan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencadangkan namanya bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak.

“Jika Anwar tidak bertanding, mereka memberitahu orang yang boleh menggantikannya di Bandar Tun Razak ialah saya.

“Saya tidak berminat tetapi jika ada desakan daripada pimpinan pembangkang, saya cuba pertimbangkan.

“Jika saya bertanding atas tiket PH (Pakatan Harapan), melalui PKR, saya boleh menang kerana saya mempunyai ramai pengikut di Bandar Tun Razak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here