PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini menghadiri mesyuarat membabitkan lima pemimpin tertinggi UMNO atau dikenali ‘Top 5’.

Perkembangan itu dikongsikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi akaun Facebook miliknya.

Selain itu, bekas Menteri Besar Johor itu turut memuat naik gambar kelima-lima mereka sedang bermesyuarat.

Menurut laporan Berita Harian, mesyuarat itu difahamkan berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur.

Top 5 merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Mohamed Khaled serta Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sebelum ini, UMNO memaklumkan perkara berkaitan tarikh pilihan raya umum akan dibincangkan dalam kalangan Top 5 parti itu.

Malam ini, MKT UMNO akan bermesyuarat, antaranya bagi membincangkan isu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bulan lalu, Ismail Sabri memberi bayangan beliau akan berjumpa ‘top five’ UMNO untuk membincangkan tarikh PRU15 sebelum pembentangan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.

“Macam saya beritahu sebelum ini apa sahaja keputusan yang dibuat kita tunggu ‘top five’ UMNO bermesyuarat,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata semua ahli MKT boleh membangkitkan sebarang isu untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Khas MKT.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas apabila ditanya sama ada PRU15 turut dimasukkan sebagai satu daripada agenda utama yang akan dibincangkan nanti.

“Mesyuarat (Khas MKT UMNO) pada 30 September ini adalah mesyuarat bulanan parti. Biasanya, ia akan membincangkan isu-isu semasa. Mesyuarat ini adalah rutin parti setiap bulan. Begitulah juga pada mesyuarat bulan-bulan sebelum ini, isu semasa juga dibincangkan.

“Bagaimanapun semua Ahli MKT boleh bercakap apa juga tajuk yang sesuai,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here