KALAU mengikut Mursyidul Am Pas , Hashim Jasin, minggu depan, parti itu akan memuktamadkan siapakah yang akan menjadi pilihan Pas untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Pada masa sama, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, Pas tidak harus diberikan pilihan sama ada mahu UMNO atau PN.

Sememangnya agak menarik untuk mengetahui apa pilihan Pas yang begitu hebat menguar-uarkan soal perpaduan ummah dan tidak senang dengan kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa ‘BN musuh utama’.

Kata pemimpin Pas, misi utama parti itu ialah bekerjasama dengan parti Melayu bagi menghalang Pakatan Harapan (PH) kembali memerintah. Penulis bersetuju dengan misi tersebut.

Namun pada masa sama penulis tidak begitu yakin usaha untuk menyatukan parti Melayu khususnya melibatkan UMNO dan Bersatu akan menjadi kenyataan. Perlu diingat, kalau Pas tidak mahu mana-mana pihak menekan mereka untuk memilih dengan siapa mahu bekerjasama, maka mereka juga harus ikhlas menghormati pendirian Bersatu untuk tidak bekerjasama dengan UMNO.

Lagi pula UMNO pun lebih awal sudah memutuskan dalam Perhimpunan Agung parti itu bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan Bersatu. Jadi kalaulah Bersatu tidak mahu bekerjasama maka ia bukanlah sesuatu yang aneh.

Dan kenapa sebelum ini, tidak ada penekanan atau penegasan daripada pemimpin Pas apabila UMNO memutuskan tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15. Kenapa tidak ada pemimpin Pas menegaskan kepada UMNO, ‘’janganlah kasar sangat’’.

Pas perlu faham, ahli-ahli Bersatu perlu  sentiasa berpegang kepada matlamat perjuangan Bersatu yang termaktub di dalam Perlembagaan parti.

Antaranya  ialah memerangi rasuah dan mewujudkan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti serta membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.

Oleh itu jika Bersatu mahu bekerjasama dengan UMNO yang segelintir pemimpinnya ada masalah integriti, sudah pasti ia melanggar Perlembagaan parti tersebut. Justeru Pas tidak boleh memaksa Bersatu mengikut kehendak ‘penyatuan ummah’ mereka.

Hakikatnya, tidak ada orang Melayu yang tidak mahu melihat parti-parti Melayu bergabung atau bersatu dalam satu pasukan bagi menentang PH dalam PRU-15, tetapi usaha murni itu terjejas kerana dalam Pas sendiri ada segelintir pemimpin lebih cenderung mahu bekerjasama dengan UMNO dan memandang Bersatu ‘sebelah mata’.

Jadi kalaulah ada mana-mana pemimpin Pas mahu melihat penyatuan ummah maka haruslah ada keikhlasan dalam perjuangan itu. Janganlah asyik membuat kenyataan yang dilihat lebih cenderung kepada UMNO.

Tidak kisah kalau mahu bersikap demikian tetapi berilah kata putus! Tidak payah berdolak dalih dengan menggunakan hujah, keikhlasan berpolitik. Kalau itu hujahnya cuba bertanya secara ikhlas kepada diri sendiri, benarkah Pas mahu terus bekerjasama dengan Bersatu?

Penulis melontarkan pandangan ini kerana berdasarkan kenyataan beberapa pemimpin yang boleh dianggap ‘berpengaruh’ dalam Pas , mereka seolah-olah beranggapan bahawa bekerjasama dengan UMNO dalam PRU-15 lebih menguntungkan.

Dulu mereka bekerjasama dengan Bersatu kerana Bersatu dilihat kuat dan sekarang apabila Bersatu dilihat agak lemah, Pas mencari pula kawan baru atas nama perpaduan ummah.

Mungkin kenyataan ini tidak menyenangkan tetapi inilah tafsiran atau persepsi yang wujud dalam kalangan banyak pihak. Oleh itu, Pas harus memperbetulkan persepsi ini. Ia tidak boleh dibiarkan berlegar-legar dalam fikiran orang Melayu kerana kesudahannya boleh mendatangkan kesan buruk kepada Pas.

Penulis akui Pas bukanlah calang-calang parti dan peluang Pas untuk menang lebih banyak kerusi dalam PRU-15 terbuka luas jika mereka bekerjasama dengan UMNO, tetapi itu tafsiran atas kertas, realiti di lapangan apabila pilihan raya berlangsung belum tentu lagi.

Begitu juga dengan keghairahan sesetengah pemimpin UMNO mahu bekerjasama dengan Pas, UMNO pun mahu menumpang kekuatan Pas di sesetengah negeri seperti Selangor khususnya.

Dan adakah Pas yakin melalui kerjasama dengan UMNO, mereka akan mampu bertanding di kerusi-kerusi yang mereka inginkan? Mana mungkin ‘dua ekor singa’ berada di atas bukit yang sama. Sudah pasti masing-masing akan berlumba untuk mendapat lebih kuasa. Begitu juga dalam konteks pilihan raya, adakah UMNO akan ‘senang-senang’ beri laluan kepada Pas di kerusi yang UMNO yakin boleh menang?

Seperkara lagi, Pas perlu memahami PN dan Bersatu sudah bersedia jika Pas memilih bekerjasama dengan UMNO kerana Bersatu tidak mahu dilihat ‘melukut di tepi gantang’ seperti mana nsib Pas sebelum ini, bila Pas cuba ‘bergesel-gesel badan’ dengan UMNO.

Apapun sama-samalah kita tunggu keputusan muktamad Pas dalam soal  kerjasama dengan UMNO dan PN. Yang pastinya Pas perlu berhati-hati, jangan sampai akhirnya orang menganggap penyatuan ummah yang begitu hebat digembar-gemburkan oleh Pas hanya sekadar retorik untuk terus mendapat kuasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here