Category: Pendapat

  • Hentikan budaya tokenisme, perkukuh perkongsian belia-dewasa

    Hentikan budaya tokenisme, perkukuh perkongsian belia-dewasa

    Oleh MOHAMMAD RIZAN HASSAN

    TARIKH 15 Mei setiap tahun telah dilihat sebagai hari penting kepada negara dalam konteks mengiktiraf bakat dan potensi belia.

    Bahkan, sejak akhir-akhir ini lanskap politik negara juga semakin memberi pengiktirafan kepada golongan belia, namun hakikatnya masih banyak sektor pembangunan di negara ini masih belum mesra kepada penglibatan belia khususnya dalam sektor pekerjaan.

    Ramai orang dewasa atau yang mempunyai banyak pengalaman masih memegang stereotaip negatif tentang persepsi dan keupayaan belia.

    Penonjolan bakat dan potensi golongan belia mempunyai keupayaan yang besar dan mampu menguntungkan banyak pihak.

    tokenisme Hari Belia Negara
    MOHAMMAD RIZAN HASSAN

    Jadi, bagaimanakah orang dewasa boleh memanfaatkan tenaga, semangat dan komitmen belia? Bagaimanakah belia terlibat dalam isu dan tindakan apabila mereka di perlukan?

    Kuncinya ialah Youth-Adult Partnership (YA-P) atau Perkongsian Belia-Dewasa, yang mana kunci ini tidak digunakan sebaiknya dalam menyantuni golongan belia kita dalam segenap aspek.

    Perkongsian sejati wujud apabila setiap orang mempunyai peluang untuk membuat cadangan dan keputusan, dan apabila sumbangan semua orang diiktiraf dan dihargai.

    Perkongsian belia-dewasa apabila orang dewasa melihat golongan muda sebagai rakan kongsi penuh dalam isu yang dihadapi oleh belia dan program serta dasar yang mempengaruhi belia.

    Berkongsi dengan belia kuasa untuk membuat keputusan bermakna orang dewasa menghormati dan mempunyai keyakinan terhadap pertimbangan orang muda.

    Ini bermakna orang dewasa yang mengiktiraf aset belia, memahami perkara yang akan dibawa oleh belia kepada perkongsian, dan bersedia untuk memberikan latihan dan sokongan tambahan apabila belia memerlukannya (sama seperti ketika menyertakan orang dewasa lain dalam membuat keputusan).

    Kedua-dua belia dan dewasa mungkin perlu menerima perubahan agar perkongsian itu berfungsi.

    Sebagai contoh, orang dewasa mungkin perlu mengubah suai idea mereka tentang perkara yang akan dan tidak akan berfungsi dan tentang masa dan keadaan di mana kerja diteruskan.

    Begitu juga, belia mungkin perlu memahami batasan dan realiti yang mempengaruhi pembangunan, operasi dan penilaian program.

    Mungkin akan ada persoalan mengapa Perkongsian Belia-Dewasa ini menjadi suatu hal amat penting dan mendesak.

    Perkongsian belia-dewasa timbul dari keyakinan bahawa golongan muda mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam membangunkan program atau organisasi yang akan memberi manfaat kepada mereka dan hak untuk bersuara dalam membentuk dasar yang akan memberi kesan kepada mereka.

    Selain itu, kumpulan aktivis pembangunan belia yang menggerakkan perkongsian belia-dewasa berpendapat bahawa program lebih mampan dan berkesan apabila belia menjadi rakan kongsi dalam reka bentuk, pembangunan dan pelaksanaannya.

    Kumpulan aktivis ini juga menegaskan bahawa keputusan penilaian adalah lebih jujur dan realistik apabila belia membantu dalam mengumpul dan menyediakan data yang berdasarkan penilaian.

    Teknologi telah mengubah cara befikir, cara kehidupan dan cara bekerja generasi muda kita. Mereka tidak lagi bercakap soal taraf hidup sebaliknya menekankan kepentingan kualiti kehidupan.

    Hakikat yang berlaku, golongan belia tidak mempunyai masalah besar berurusan dengan orang dewasa dalam semua situasi.

    Malangnya, golongan dewasa masih tidak berubah dan kekal mendakwa diri mempunyai pengalaman yang jauh lebih hebat sehingga memandang rendah kepada golongan belia.

    Maka, perkongsian belia-dewasa semakin besar jurangnya dalam banyak objektif sukar dicapai dalam komuniti, tempat kerja dan arena politik.

    Namun, jangan terkeliru atau terpedaya dengan kenyataan bahawa banyak peluang telah diberikan kepada golongan belia.

    Perkongsian belia-dewasa bukanlah cara untuk menyembunyikan atau mengaburkan fakta bahawa sesuatu program direka, dilaksanakan dan dijalankan hanya oleh orang dewasa.

    Ini dinamakan Tokenisme, yang mana ia bukan perkongsian. Tokenisme boleh muncul dalam pelbagai bentuk.

    Tokenisme boleh merangkumi tindakan seperti mempunyai orang muda di sekeliling tanpa peranan yang jelas untuk dimainkan seperti menugaskan belia hanya tugas-tugas yang tidak mahu dilaksanakan oleh orang dewasa.

    Tokenisme juga boleh berlaku dengan cara melantik seorang belia dalam lembaga pengarah atau majlis untuk dirujuk sebagai “penglibatan belia” dan memberi peluang kepada belia membuat penampilan media tanpa sebarang suara dalam membangunkan mesej, program atau dasar yang dijangka dibincangkan oleh mereka.

    Budaya buruk tokenisme ini amat menebal dan telah membuatkan golongan belia berasa digunakan dan bukannya diberi kuasa. Kunci untuk mengelakkan tokenisme adalah untuk berkongsi dengan belia kuasa untuk membuat keputusan sebenar.

    Perkongsian belia-dewasa menawarkan banyak perkara kepada belia, dewasa dan organisasi yang mengambil bahagian di dalamnya. Perkongsian yang berkesan mungkin sukar dicapai.

    Walau bagaimanapun, faedah yang mereka tawarkan adalah luas dan ketara. Langkah pertama adalah untuk mengakui bahawa belia mempunyai nilai dan bahawa sumbangan mereka mempunyai nilai.

    Komitmen terhadap hak belia dan keazaman untuk mengiktiraf hak mereka dan mendengar suara mereka adalah permulaan untuk membina perkongsian belia-dewasa yang berkesan.

    Selamat Hari Belia 2022.

    Penulis ialah Tokoh Belia Negara 2011 dan Tokoh Belia ASEAN 2011.

  • Selesaikan isu rakyat lebih utama daripada PRU-15

    Selesaikan isu rakyat lebih utama daripada PRU-15

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    TARIKH 9 Mei 2018 tercatat dalam sejarah negara sebagai hari hitam buat UMNO apabila parti yang telah mendominasi politik sejak sekian lama boleh tersungkur dan pentadbiran kerajaan pusat bertukar tangan kepada pembangkang.

    Penolakan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada masa itu antaranya disebabkan skandal terbesar 1MDB yang mana kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak dilihat sebagai watak utama dalam skandal melibatkan wang berbilion ringgit itu.

    Persepsi terhadap isu integriti melibatkan pemimpin utama UMNO akan lekat dalam pemikiran rakyat sampai bila-bila dan tidak akan mudah untuk dilupakan walau dengan apa cara sekalipun.

    Bahkan satu dunia mengetahui kes rasuah membabitkan Najib yang sudah disabitkan bersalah dalam kes SRC International; kes 1MDB Najib yang sedang dalam perbicaraan dan perbicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Skandal-skandal tersebut (kecuali kes SRC International) walaupun belum dibuktikan bersalah, ia sudah cukup menunjukkan bahawa pemimpin yang terpalit dengan kes mahkamah perlu berundur dan memberikan peluang kepada pemimpin lain untuk memimpin UMNO.

    Pengundi atas pagar melihat bahawa banyak lagi pemimpin UMNO yang bersih, mempunyai karisma dan terbukti boleh menjalankan tugas dalam Kabinet disekat peluang mereka dalam kepimpinan tertinggi UMNO.

    Buktinya, Pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan ditangguhkan sedangkan ia amat wajar diadakan dengan segera bagi membolehkan ahli UMNO menyatakan pandangan mereka terhadap kepimpinan UMNO ketika ini.

    Rakyat juga melihat dalam kepimpinan UMNO, terdapat satu kumpulan yang jujur dan mempunyai prinsip menentang salah laku tetapi mereka tidak dibenarkan bersuara melalui Pemilihan UMNO sedangkan ia adalah platform terbaik untuk menentukan hala tuju parti.

    Dan baru-baru ini, apabila UMNO menang dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor serta Najib berasakan dirinya kembali diterima rakyat, UMNO nampak begitu yakin yang mereka boleh kembali menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Sedangkan rakyat terutamanya pengundi atas pagar senada dengan suara kepimpinan PAS yang mahukan supaya pentadbiran negara diteruskan sehingga habis penggal dan tidak perlu diadakan dalam masa terdekat kerana banyak lagi isu penting yang perlu diselesaikan ketika ini.

    Dalam isu ekonomi misalnya, nilai ringgit yang makin merudum sehingga RM4.35 berbanding 1 Dolar Amerika amat menggusarkan kerana Malaysia amat bergantung kepada import banyak barang keperluan.

    Kadar inflasi yang makin meningkat, di mana nilai duit yang dimiliki rakyat makin mengecil secara automatik akan menyebabkan kos sara hidup rakyat makin meningkat.

    Ditambah dengan soal pendapatan dan gaji rakyat yang masih berada pada takut lama menyebabkan ada dalam kalangan pekerja B40 dan M40 masih ‘struggle’ untuk meneruskan kehidupan di bandar-bandar besar.

    Jika disenaraikan satu persatu, banyak lagi isu rakyat yang perlu diberi perhatian berbanding keutamaan untuk mengadakan pilihan raya walaupun terdapat desakan yang kuat daripada segelintir pimpinan UMNO.

    Dari kaca mata pengundi atas pagar banyak lagi isu membabitkan kepentingan umum yang perlu diberi perhatian berbanding fokus kepada isu untuk membolot kuasa yang secara zahirnya sudah dimiliki UMNO ketika ini.

    Rakyat amat yakin, permasalahan yang dihadapi rakyat akan dapat ditangani dengan lebih berkesan apabila pimpinan dalam kerajaan tidak dialihkan fokus mereka dengan isu-isu politik yang secara jelas menyebabkan urusan negara menjadi terganggu.

    Oleh itu, sebagai pemimpin yang berkuasa dalam kerajaan dengarkanlah pandangan ramai yang mahukan isu rakyat diberi keutamaan dalam saat negara berhadapan dengan krisis sedia ada serta krisis luar jangka yang mungkin lebih parah daripada keadaan sekarang.

    • Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
  • Duit raya anak milik siapa?

    Duit raya anak milik siapa?

    Oleh : MAULANA AHMAD LUTFI MUHARAM

    DUIT raya diberikan kepada anak kita, sama ada secara terus kepada mereka (anak) atau melalui perantaraan ibu bapanya, adalah menjadi milik anak.

    Sahnya pemilikan (kepada anak) jika pemberian melalui perantaraan ibu bapa, tidak ada kemusykilan dalam fiqh Shafii.

    Adapun jika diberi terus kepada mereka (anak), maka ia termasuk dalam bab hibah (hadiah) kepada budak belum baligh. Berdasarkan kaedah mazhab Shafii, hukum hibah seperti itu adalah tidak sah (kerana si penerima budak yang belum baligh). Apabila tidak sah hibah, maka tidak sah permilikan.

    Namun berdasarkan ‘ikhtiyar’ (pendapat pilihan) sebahagian ulama Shafii dan nilai pemberian yang ‘tafih’ (kecil), serta dibantu dengan ‘uruf said’ (uruf tempatan), maka kita hukumkan hibah itu sah, dan apabila hibah itu sah maka sabit (sah juga) pemilikan anak terhadap duit tersebut.

    Kaedah syarak menyebut bahawa semua harta anak adalah dibawah wilayah penjagaan ayah sebagai AMANAH. Ayah hendaklah menggendalikan harta tersebut berdasarkan maslahat harta itu dan maslahat anak.

    Ayah hanya boleh menggunakan harta anak untuk kegunaan peribadi apabila ada darurat mendesak dan ia PERLU dibayar (diganti) semula. Harta anak boleh digunakan (oleh ayah) untuk saraan pengajian dan persekolahan anak, dan ia TIDAK PERLU dibayar (diganti) semula.

    Catatan: Adapun nafkah yg wajib ayah sediakan seperti pampers dan susu tak boleh diambil dari duit raya anak melainkan keadaan terdesak dan ia perlu diganti semula (lihat no.6). Wallahua’lam.

    *Penulis adalah Guru Fiqh dan Usul Fiqh di Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling

  • Benarkan pelarian Rohingya bekerja di Malaysia

    Benarkan pelarian Rohingya bekerja di Malaysia

    Oleh NINA MUSLIM

    SUARA menggesa agar rangka kerja perundangan dan dasar berkaitan pelarian, khususnya Rohingya, digubal dan dilaksanakan, kembali bergema susulan insiden tahanan melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang, minggu lepas.

    Enam etnik Rohingya yang mencari suaka termasuk dua kanak-kanak, maut semasa cuba melintas lebuh raya selepas melarikan diri dari depot itu pada 20 April lalu. Polis berkata mereka antara 528 tahanan yang meloloskan diri selepas “satu rusuhan”. Setakat semalam, 61 tahanan lolos masih bebas, sementara yang lain dapat ditahan semula.

    Aktivis menggesa agar siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, mendakwa ada laporan tentang keadaan hidup yang tidak selesa, diburukkan lagi oleh kesesakan akibat terlalu ramai tahanan.

    Kerajaan berusaha menangani masalah kesesakan dengan mengubah fungsi bekas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menjadi pusat tahanan imigresen, namun Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melaporkan mereka melihat terlalu ramai tahanan ditempatkan di dalam satu-satu ruang.

    Setakat 2020, kerajaan melaporkan terdapat 15,626 tahanan di depot imigresen yang sepatutnya memuatkan 12,530 orang. Selain itu, sebanyak 208 kematian dilaporkan di depot antara 2018 hingga 15 Feb 2022. Kebanyakan kematian adalah disebabkan penyakit termasuk batuk kering, radang paru-paru, denggi, diabetes dan COVID-19. Antara bahaya akibat kesesakan di pusat tahanan ialah penularan penyakit.

    Pengerusi Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar memberitahu Bernama, insiden Sungai Bakap itu mengetengahkan keperluan terhadap rangka kerja perundangan yang komprehensif bagi menangani isu pelarian yang sudah berlarutan sejak berdekad lamanya.

    “Malaysia mempunyai ramai pelarian dari pelbagai negara, namun tidak ada dasar tentang pelarian. Isu ini bukan semudah sekadar mengisytiharkan yang kita tidak mengiktiraf mana-mana individu tanpa dokumen, (maka) mereka semua adalah pendatang haram,” katanya.

    Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR), terdapat kira-kira 181,000 pelarian dan pencari suaka di Malaysia, kebanyakannya adalah etnik Rohingya dari Myanmar.

    Secara rasmi, Malaysia tidak mengiktiraf pelarian kerana negara ini bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951. Oleh itu, layanan lazim terhadap pencari suaka ialah dengan menahan mereka sebagai pendatang tanpa izin, dan ramai yang ditangkap serta ditahan selama bertahun-tahun. Mereka yang telah menerima kad UNHCR biasanya tidak diganggu dan dibiarkan sehingga mereka dapat ditempatkan semula di negara ketiga.

    Bekas Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph memberitahu Bernama, beliau telah menemui sebahagian daripada tahanan Sungai Bakap itu semasa mereka ditahan di depot imigresen di Langkawi.

    “Mereka berharap dapat dibebaskan, namun selepas lebih dua tahun mereka masih ditahan tanpa ada sebarang dasar jelas mengenai nasib mereka,” katanya.

    Tindakan penahanan secara berpanjangan itu dilihat sebagai langkah yang dirancang, sepertimana kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin baru-baru ini bahawa kerajaan berbuat demikian sebagai amaran kepada pendatang yang cuba memasuki negara ini secara haram.

    Selepas dikritik keras oleh organisasi hak asasi manusia di dalam dan luar negara berhubung insiden lolos dan juga layanan terhadap tahanan Rohingya itu, Hamzah membidas dengan meminta etnik Rohingya kembali ke Myanmar jika tidak berpuas hati dengan layanan terhadap mereka di Malaysia.

    Sesetengah rakyat Malaysia bersetuju dengan kenyataan Hamzah, menyatakan mereka yang mengkritik Malaysia berhubung insiden lolos itu wajar mengambil kira kesediaan negara ini menyediakan makanan dan perlindungan kepada pelarian. Ada juga yang bertanya mengapa pelarian terbabit, khususnya Rohingya, tidak boleh dihantar balik ke negara asal.

    TIADA JALAN PULANG

    Jawapan kepada soalan itu agak rumit. Pelarian merupakan mereka yang melarikan diri daripada penindasan, keganasan, seksaan dan kematian di negara asal mereka.

    Umumnya, sesebuah negara tidak boleh sewenang-wenangnya menghantar pulang pelarian atau pencari suaka tanpa melanggar undang-undang antarabangsa. Menurut undang-undang antarabangsa, apabila mereka berjaya memasuki sesebuah negara, pelarian tidak boleh dihantar pulang ke negara asal di mana mereka akan berdepan bahaya termasuk hilang kebebasan malah nyawa.

    Dikenali sebagai prinsip non-refoulement (tiada penghantaran pulang paksa), UNHCR memberitahu Bernama menerusi e-mel bahawa “prinsip itu diiktiraf sebagai undang-undang antarabangsa adat yang terpakai ke atas semua negara, tidak kira sama ada ia menandatangani Konvensyen berkenaan Status Pelarian 1951 ataupun tidak.”

    Lebih-lebih lagi pelarian Rohingya yang berbeza dengan pelarian lain.

    2 lagi tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap berjaya ditahan sepasukan anggota polis D7 di Sungai Rambai, Relau, Bandar Baharu, Kedah kira-kira 9.58 malam tadi. (Gambar: Noraizura Ahmad/BERNAMA)

    Sejak sekian lama Malaysia menjadi tuan rumah kepada pelarian, dan pada masa lalu negara ini amat mengalu-alukan kedatangan pelarian, antaranya pelarian Perang Vietnam dan Perang Bosnia. Bagaimanapun pelarian Rohingya merupakan warga tidak bernegara, melainkan komuniti antarabangsa dapat meyakinkan Myanmar yang merujuk Rohingya sebagai pendatang haram walaupun leluhur mereka telah tinggal di negara itu selama beratus tahun, mengiktiraf dan menerima etnik tersebut sebagai rakyatnya.

    “(Rohingya) tidak boleh dihantar pulang ke Myanmar kerana Myanmar tidak mengiktiraf mereka. Mereka juga tidak boleh dihantar ke (kem pelarian) Cox’s Bazaar kerana mereka bukan warga Bangladesh. Tidak wujud konsep ‘hantar balik’ seseorang ke kem pelarian,” kata Joseph.

    Ini bermakna Rohingya, tidak seperti warga Vietnam, Bosnia dan lain-lain yang balik ke negara asal mereka apabila keadaan kembali aman, berkemungkinan besar tinggal di Malaysia untuk jangka masa yang lama. Berdasarkan hantaran media sosial dan retorik sesetengah pegawai pihak berkuasa, rasa benci kebanyakan rakyat Malaysia terhadap etnik Rohingya di sini dikatakan berpunca daripada angkanya yang semakin bertambah memandangkan negara mereka terus berkonflik.

    Malaysia berusaha mengetengahkan krisis pelarian Rohingya ini di peringkat rantau dan antarabangsa.

    “Paling ideal ialah mengadakan perjanjian dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara tentang negara mana yang akan ambil siapa, (dan) bagaimana untuk melakukan pengesahan dengan UNHCR. Semua ini harus dibuat secara rasmi,” kata Edmund Bon, bekas perwakilan Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN tentang Hak Asasi Manusia (AICHR).

    Tambah beliau, usaha untuk mencari penyelesaian dalam kalangan negara ASEAN berhubung krisis pelarian itu gagal mencapai matlamatnya.

    Oleh itu, pakar berkata, cara terbaik untuk menyelesaikan isu Rohingya di Malaysia ialah mencari negara ketiga untuk mereka. Namun tidak banyak kekosongan yang ada sedangkan permintaan adalah tinggi.

    Pilihan lain yang lebih praktikal tapi berkemungkinan besar kurang popular ialah integrasi.

    INTEGRASI

    Kerajaan dilaporkan berkata kos yang besar diperlukan untuk menyediakan makanan dan perlindungan bagi pelarian dan pencari suaka. Ramai rakyat negara ini tidak berpuas hati dengan jumlah dana yang disalurkan bagi penempatan dan penyediaan makanan untuk pelarian terbabit, kerana berasakan lebih baik wang itu diguna untuk membantu rakyat sendiri pulih daripada masalah ekonomi akibat pandemik.

    Pada masa sama, pelarian dan pencari suaka tidak mahu terus berada dalam tahanan, sebaliknya mereka mahu keluar dan bekerja.

    Justeru, mengapa tidak digubal dasar yang mengiktiraf kehadiran pelarian di negara ini, integrasikan mereka ke dalam masyarakat setempat serta benarkan mereka bekerja secara rasmi dengan mengisi peluang pekerjaan yang tidak ingin dilakukan oleh rakyat tempatan, saran aktivis dan ahli politik.

    Menurut mereka, daripada mengambil pekerja asing melakukan kerja-kerja tanpa kemahiran seperti membersih longkang dan menjadi buruh pasar basah, adalah lebih baik pekerjaan terbabit diberikan kepada pelarian.

    “Malaysia sangat memerlukan pekerja. Kita sudah ada tenaga kerja berpotensi di sini, kita kenal mereka, kerajaan kenal (pemegang) kad UNHCR. Lebih baik kita manfaatkan kehadiran mereka sebagai penyumbang kepada ekonomi sambil mereka menunggu keadaan di negara mereka bertambah baik,” kata Joseph.

    Selama bertahun-tahun kerajaan menimbang untuk membenarkan mereka bekerja, bermula dengan projek rintis yang mengupah pelarian dalam sektor pembuatan dan pertanian pada 2016. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan baru-baru ini berkata, mereka sedang melakukan kajian mendalam tentang hal itu bagi mengelakkan berlaku limpahan pelarian yang datang mencari kerja di Malaysia.

    Sebahagian rakyat Malaysia bimbang pelaksanaan langkah itu bermakna pelarian akan merampas peluang pekerjaan daripada rakyat tempatan atau menikmati semua faedah tapi tidak membayar cukai. Aktivis melihat kebimbangan itu sebagai tidak berasas.

    Ini kerana kata mereka, kerja yang akan dilakukan oleh pelarian adalah kerja bergaji rendah yang tidak diingini oleh rakyat tempatan. Selain itu, pekerja yang bergaji rendah dan tidak perlu membayar cukai, masih menyumbang kepada ekonomi.

    “Hakikat bahawa anda bekerja walaupun anda tidak membayar cukai, tetap bermakna anda menyumbang kepada penjanaan aktiviti ekonomi,” kata Syed Hamid.

    Diterjemah dan disunting oleh Noor Hayati Muda – BERNAMA

  • Kes Zahid dan Najib memang wajar disegerakan

    Kes Zahid dan Najib memang wajar disegerakan

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    DALAM keadaan isu politik yang kurang mendapat tumpuan, dokumen ‘PASleak’ menjadi isu yang diperkatakan pemimpin utama beberapa parti politik dalam negara ketika ini.

    Contoh menarik untuk dilihat ialah kenyataan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang tidak menyebelahi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Annuar berkata, dokumen ‘PASLeak’ yang didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

    Ahli Parlimen Ketereh itu berkata berdasarkan pemahamannya setelah meneliti dokumen itu, ia hanyalah catatan pemimpin PAS dalam mencari fakta mengenai pandangan beberapa pemimpin parti lain.

    Annuar berkata sekiranya dokumen itu benar dan kandungannya boleh dianggap sebagai perancangan untuk menjatuhkan UMNO, ia juga bukan perkara yang luar biasa kerana sudah menjadi kelaziman bagi setiap parti yang berlawan dalam pilihan raya ingin menjatuhkan lawan masing-masing.

    Kenyataan Annuar itu ternyata tidak disukai Zahid yang mempersoalkan kenyataan itu dan menyatakan bahawa ahli parti setia perlu sentiasa berwaspada setiap kenyataan, setiap langkah, pendirian dan tindak tanduk pemimpin mereka dan pemimpin lawan mereka.

    Zahid juga tidak setuju dengan kenyataan Annuar yang disifatkan bercanggah dengan pendirian UMNO Kelantan.

    Turut tidak disenangi Zahid ialah dalam dokumen ‘PASleak’ yang menyatakan dia dan Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Datuk Seri Najib Razak perlu dipenjarakan segera walaupun Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia telah menafikan perkara itu.

    Seperti yang diketahui umum, Zahid sedang berdepan kes mahkamah dan terkini pada 13 April lalu, dia telah diarahkan untuk membela diri bagi menjawab 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

    Dalam konteks kes Zahid, kalaupun tanpa pendedahan ‘PASleak’, adalah wajar kes mahkamah yang dihadapinya disegerakan.

    Ia supaya kebenaran dapat dibuktikan dan sekiranya tiada sebarang kesalahan, Zahid pada masa sama dapat membersihkan imejnya.

    Ia juga dapat menangkis sebarang persepsi dan penghakiman di media sosial berkaitan kes yang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

    Rakyat juga mahu tahu kesudahan kes berkenaan kerana ia sudah berlanjutan dari tahun 2018 lagi iaitu Zahid mula didakwa pada 19 Oktober 2018.

    Pada tarikh tersebut, Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42 juta dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72 juta.

    Begitu juga dengan Najib, pelaksanaan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu perlu disegerakan kerana dia sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Kerana kesalahan- kesalahan itu, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Namun disebabkan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman berkenaan, dia tidak perlu ke penjara dan masih bebas.

    Begitu juga dengan prosiding mahkamah kes 1MDB yang dihadapi Najib, ia telah bermula pada 4 Julai 2018 dan masih berjalan sehingga kini.

    Maka, adalah wajar kes mahkamah kedua-dua pemimpin UMNO itu disegerakan dan sebarang usaha untuk menangguhkan perbicaraan tidak harus dilayan.

    Penulis ialah seorang pemerhati politik tempatan. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian WartaRakyat.

  • Siapa kata UMNO kembali jadi kerajaan selepas PRU-15?

    Siapa kata UMNO kembali jadi kerajaan selepas PRU-15?

    Oleh LIEW CHIN TONG

    ADA semacam rasa kecewa dan putus harapan dalam kalangan sesetengah pemimpin serta penyokong pembangkang, dan juga rakyat Malaysia.

    Ia seolah-olah menanti takdir, yakni UMNO yang masih tidak berubah dan tidak pernah bermuhasabah dikatakan akan menang besar dalam pilihan raya umum akan datang.

    UMNO yang diterajui Kluster Mahkamah pimpinan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi gigih menyusun langkah mengikut agendanya yang tersendiri.

    Kluster Mahkamah ini telah berjaya menetapkan langkah dan agenda mereka sebaik sahaja UMNO-Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Ia sepatutnya sedar diri dan cuba berubah menjadi lebih baik, namun dalam pemilihan parti UMNO pada Jun 2018, ia dengan bangganya mengekalkan Zahid sebagai presiden walaupun menghadapi pelbagai tuduhan korupsi di mahkamah.

    Keghairahan kluster ini semakin menjadi-jadi apabila mereka berjaya memaksa pilihan raya negeri yang mengejut diadakan di Melaka dan Johor, yang membolehkan BN menang besar kerana peratus keluar mengundi rendah, ketidakpedulian pengundi dan kekecewaan dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan sendiri.

    Tipu muslihat Kluster Mahkamah memang berkesan. Seperti yang dapat dilihat dalam usaha mereka menjatuhkan Muhyiddin, kekuatan Kluster Mahkamah hanyalah 15 Ahli Parlimen sahaja.

    Ismail Sabri UMNO PRU-15
    Pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO bergambar beramai-ramai di Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

    Tetapi dengan hanya 7 peratus daripada 222 Ahli Parlimen itu, mereka berjaya melakukan konspirasi politik melalui manipulasi sentimen dan kelemahan-kelemahan saingan mereka, sama ada daripada Pakatan Harapan (PH) atau parti-parti bukan-BN.

    Kini, peluang Kluster Mahkamah untuk mengelakkan daripada dipenjarakan atas pelbagai tuduhan korupsi semakin cerah. Mereka terus menekan dan memaksa pucuk pimpinan kerajaan untuk mengadakan PRU dalam masa beberapa bulan ini.

    Cakap-cakap yang sering didengar ialah PRU mungkin diadakan selepas berakhirnya tempoh memorandum persefahaman (MoU) di antara Ismail Sabri dan PH, iaitu pada 31 Julai tahun ini. Tempoh rasmi untuk pembubaran Parlimen secara automatik ialah pada 16 Julai 2023.

    Yang paling beruntung jika PRU diadakan pada Ogos atau September tahun ini ialah Zahid dan Najib. Zahid sebagai Presiden UMNO berhak menentukan calon-calon UMNO, tiada siapa berani menentang keputusannya.

    Skrip politik mereka jelas dibaca. Namun, masih ramai antara kita yang menari mengikut rentak gendang mereka – kita masih rasa kecewa, kekosongan dan putus harapan.

    Masih ramai yang menyangka tiada siapa mampu menyekat PRU mengejut yang sedang direncanakan oleh Kluster Mahkamah UMNO ini.

    Ramai juga yang menjangka UMNO akan menang selesa dalam PRU akan datang. Malah ada juga kalangan PH yang seperti sudah mengaku kalah apabila yakin bahawa UMNO-BN bukan sahaja akan menang PRU-15 tetapi juga PRU-16.

    Kepada rakyat Malaysia yang tidak mahu melihat Kluster Mahkamah kembali berkuasa untuk merudumkan negara, ini ada beberapa perkara untuk kita fikirkan bersama.

    Pertama, kita tidak perlu tunduk kepada tekanan Kluster Mahkamah untuk mengadakan PRU yang awal semata-mata bagi membolehkan mereka bebas daripada hukuman jenayah. Semua watak-watak utama politik dan pengundi perlu mencari jalan untuk menggagalkan konspirasi Kluster Mahkamah ini.

    Kedua, semua watak utama politik perlu mencapai kata sepakat untuk memastikan apa yang dimaksudkan dengan amalan adil dari segi perundangan dan pentadbiran.

    Ini bermakna kita perlu menerima hakikat bahawa buat masa ini tiada siapa mempunyai kuasa besar untuk mendominasi yang lain.

    Sebagai contoh, saingan utama UMNO dalam kerajaan, iaitu Bersatu, kini memegang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

    Maksudnya, walaupun Kluster Mahkamah berangan-angan untuk kembali berkuasa seperti pada era pra-2008, UMNO sudah tidak lagi menguasai mekanisme dan jentera kerajaan seperti dahulu.

    Jadi, pilihan raya yang adil dan bersih kini bukan lagi impian untuk pembangkang sahaja tetapi ia sudah menjadi agenda untuk semua parti termasuk Bersatu, PAS, GPS, GRS dan lain-lain.

    Maksudnya di sini, politik adalah sesuatu yang sentiasa berubah-ubah. Sama ada kita suka atau tidak, itulah hakikatnya.

    Menyedari masalah yang berlaku sebelum ini, kita tidak akan ke mana jika terlalu ghairah menumpukan masa dan tenaga untuk berdebat sama ada PH perlu bekerjasama dengan Perikatan Nasional bila mana PRU boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

    Apa yang lebih penting sekarang ialah semua wadah politik yang menentang Kluster Mahkamah, termasuk pemimpin-pemimpin UMNO sendiri yang tidak mahu Najib dan Zahid kembali berkuasa, perlu mencari jalan untuk mewujudkan satu peraturan demokratik yang dapat diterima bersama.

    Ini bermaksud tatacara demokratik ini akan dipegang dengan penuh kejujuran oleh semua pihak, tanpa mengira apa-apa perubahan politik, bagi memastikan pilihan raya yang bersih dan adil, serta satu proses yang adil dalam menubuhkan kerajaan pada malam keputusan PRU jika tiada parti memiliki majoriti mutlak.

    Salah satu caranya ialah menggubal Akta Anti Lompat Parti tetapi ia boleh tidak terhenti setakat itu sahaja. Ia mesti dipertahankan dengan sistem yang lebih kukuh bagi memastikan demokrasi tidak diketepikan dalam proses pilihan raya dan penubuhan kerajaan.

    Semua peraturan ini akan memberi faedah kepada semua termasuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sudah menjadi ‘poster boy’ UMNO walaupun tiada jaminan beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

    Semua parti yang menentang Kluster Mahkamah patut berbincang tentang bagaimana mengguna pakai masa yang ada sekarang untuk menetapkan peraturan-peraturan bagi membolehkan pilihan raya bersih dan adil diadakan serta pelantikan kerajaan yang sah. Usaha ini jauh lebih baik daripada berebut kerusi untuk ditandingi dalam PRU-15.

    Malah, bukan sahaja parti yang perlu membincangkan hal ini. Setiap warga Malaysia yang menolak Kluster Mahkamah perlu bercakap tentang perkara ini bagi memastikan satu agenda bersama untuk mengukuhkan demokrasi Malaysia boleh diwujudkan.

    Ketiga, siapa kata UMNO akan kembali menerajui kerajaan selepas PRU15?

    PRN Melaka dan Johor hanya mengesahkan apa yang kita semua sudah tahu. UMNO-BN mempunyai sokongan tetap sekitar 40 peratus dalam kalangan pengundi.

    Ia sama dengan sokongan yang mereka perolehi pada PRU 2018 tetapi sudah tiada lagi sambutan hebat yang mereka terima pada dekad-dekad sebelum ini.

    UMNO PRU-15
    Bendera parti politik yang berkibar pada PRN Johor. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pada PRU-14, UMNO hanya menang 47 kerusi Parlimen di Semenanjung dan tujuh di Sabah, iaitu 54 kerusi kesemuanya di seluruh negara. MCA pula hanya menang satu kerusi dan MIC dua.

    Jika kita tumpukan kepada 165 kerusi di Semenanjung sahaja, UMNO-BN hanya mendapat sokongan selesa di sekitar 70 kerusi sahaja.

    Pakatan Harapan menang 55 kerusi Parlimen di Semenanjung tiga penggal berturut-turut dari 2008, 2013 hingga 2018, dan bertambah 10 kerusi lagi pada 2013 dan 2018. Kesemua 65 kerusi ini dijangka kekal di tangan pembangkang.

    Jika UMNO-BN disekat pada tahap 70 kerusi sahaja di Semenanjung, tentulah ia tidak mampu untuk kembali menjadi abang besar kepada semua parti lain, walaupun ia mungkin merupakan gabungan yang menduduki tempat teratas.

    Malah, jika UMNO-BN menang 85 kerusi sekalipin, tiada jaminan parti-parti yang menang di Sabah dan Sarawak mahu bekerjasama dengannya jika menyedari gabungan UMNO-BN terlalu rapuh untuk kekal sebagai kerajaan.

    Untuk rekod, BN yang menang 85 kerusi Semenanjung pada PRU 2008 dan 2013 telah berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan dengan sokongan kerusi-kerusi di Sabah dan Sarawak.

    PH pula yang menang 80 kerusi Semenanjung pada 2018 dan 2013 telah meningkatkan kejayaannya dengan memenangi 98 kerusi Semenanjung pada 2018, dan berjaya membentuk kerajaan persekutuan.

    Parti-parti yang menang di Sabah dan Sarawak tidak akan membabi-buta menyokong Kluster Mahkamah jika tuntutan mereka untuk lebih kuasa autonomi wilayah tidak dipedulikan. BN pula tidak serius dalam soal autonomi tersebut kecuali dalam hal-hal simbolik sahaja.

    Kita tidak perlu putus harapan. Selagi semua watak utama politik Malaysia sedar bahawa negara akan terus merudum jika Kluster Mahkamah kembali berkuasa, kita masih ada harapan untuk mewujudkan peraturan demokratik yang lebih adil untuk semua.

    Dengan kewujudan mekanisme ini, UMNO di bawah pimpinan Kluster Mahkamah yang masih degil, angkuh dan enggan berubah tidak akan dibenarkan untuk menentukan masa hadapan rakyat dan negara.

    Penulis ialah Timbalan Setiausaha Agung DAP. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian WartaRakyat.

  • Zionis semakin ganas cemar Ramadan, Al-Aqsa

    Zionis semakin ganas cemar Ramadan, Al-Aqsa

    Oleh NASRUDIN HASSAN

    UMAT Islam di Palestin terus menyaksikan keganasan Zionis di bumi mereka apabila serangan terbaharu bukan sahaja mencemari bulan Ramadan al-Mubarak, tetapi juga Masjidil Aqsa tempat suci umat Islam.

    Jumaat baru-baru ini merekodkan kebiadaban dan kekejaman Zionis yang memulakan serangan ke atas umat Islam di dalam Masjidil Aqsa.

    Mereka turut merosakkan Musolla Al Qibli yang berada di kawasan Masjidil Aqsa tersebut.

    Umat Islam di seluruh dunia diseru memanjatkan doa kepada Allah SWT pada larut malam, sebagai senjata jarak jauh untuk membantu umat Islam Palestin bagi menumpaskan Zionis dan menyelamatkan Al-Aqsa.

    rundingan nasrudin hassan
    NASRUDIN HASSAN (Gambar: Facebook)

    Kesempatan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini, jangan ada dalam kalangan kita umat Islam terlepas masa untuk menitipkan doa buat saudara seakidah kita di bumi muqaddasah.

    Mudah-mudahan mereka tabah dan dipelihara oleh Allah dari keganasan Zionis yang tidak kunjung selesai.

    Semoga Allah SWTmembuka pintu hati pemimpin-pemimpin umat Islam sehingga menemukan cara dan tindakan terbaik untuk menangani penindasan yang sering terjadi ke atas umat Islam Palestin.

    Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

  • UMNO perlu buktikan Ismail Sabri calon tunggal PM

    UMNO perlu buktikan Ismail Sabri calon tunggal PM

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    Apabila bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyatakan dari lubuk hatinya bahawa pembangkang memerlukan dua lagi pusingan Pilihan Raya Umum (PRU) untuk kembali menguasai kerajaan, maka ia secara automatik memberi kelebihan kepada UMNO.

    Satu lagi mata kelebihan kepada parti Melayu itu ialah apabila anak kepada Presiden PKR tersebut tanpa berselindung menerima hakikat bahawa rakyat serik dengan 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) membuatkan gabungan parti itu perlukan masa untuk kembali mendapat kepercayaan pengundi.

    Ditambah pula dengan kenyataan Nurul Izzah yang mengatakan PH tidak akan menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan hilang banyak kerusi, keyakinan kepada UMNO untuk menang PRU15 makin berganda-ganda.

    Rentetan daripada beberapa siri kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini, ditambah dengan kenyataan Nurul Izzah itu, jelaslah desakan supaya PRU15 diadakan secepat mungkin menjadi makin ketara.

    Oleh itu, tidak hairanlah apabila Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam kenyataan terkini membuat keputusan tidak memperbaharui MoU persefahaman yang ditandatangani bersama PH.

    UMNO juga menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU15 kerana ia adalah strategi terbaik untuk meneruskan ‘good factor’ terhadap UMNO dan BN.

    Tetapi ketika mana UMNO ghairah mahu meraih sokongan, tindakan mencalonkan Ismail Sabri masih menimbulkan rasa sangsi di kalangan rakyat.

    Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, calon bermaksud orang yang akan, atau dicadangkan untuk, menjadi, bakal pemegang sesuatu jawatan.

    Jadi dapatlah difahami bahawa walaupun seseorang itu telah dipilih sebagai calon sesuatu jawatan, ia bukan satu keputusan yang muktamad bahawa seseorang itu akan memegang jawatan berkenaan.

    Oleh itu, apabila MKT UMNO membuat keputusan untuk mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri bagi menghadapi PRU15, ia bukanlah keputusan mutlak Naib Presiden UMNO itu akan dapat menjadi PM sekali lagi.

    Penyokong kem Ismail Sabri ataupun pengundi yang senang dengan kepimpinan PM kesembilan itu tidak boleh terlalu bersorak riang dengan keputusan MKT itu kerana segalanya boleh berubah jika BN menang pada PRU15.

    Sejarah pasti boleh berulang sepertimana yang menjadi bahan troll PRN Johor, ‘order barang lain, barang lain sampai’ yang merujuk kepada tindakan Barisan Nasional (BN) menamakan Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai calon Menteri Besar Johor, tetapi yang menjadi MB ialah Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Sebenarnya, ada dua tindakan yang boleh dilakukan untuk membuktikan bahawa UMNO sememangnya benar-benar mahu melantik Ismail Sabri sebagai PM sekali lagi.

    Pertamanya perlu ada surat akuan bersumpah (SD) melibatkan ahli MKT yang menyokong Ismail Sabri dilantik menjadi PM apabila BN menang PRU15.

    Dengan adanya SD tersebut, maka kukuhlah bahawa ia adalah suara majoriti UMNO memilih PM dan tidak lagi berlaku janji nama A dapat jawatan, bila dah menang pilihan raya nama B pula yang mendapat jawatan tersebut.

    Keduanya dan yang paling dipersetujui ramai pihak ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan menyerahkan gerak kerja bagi menghadapi PRU15 kepada Ismail Sabri terutamanya dari segi pemilihan calon boleh menang.

    Hanya dengan cara itu, UMNO akan dilihat lebih mantap untuk menghadapi PRU15 kerana tidak dibayangi oleh pemimpin yang sedang berhadapan dengan kes mahkamah.

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Warta Rakyat.

  • Bersatu dan PKR perlu bentuk ‘orde baru’ politik Malaysia

    Bersatu dan PKR perlu bentuk ‘orde baru’ politik Malaysia

    Oleh Mikail Firdaus

    APABILA Nurul Izzah Anwar mengakui bahawa PH memerlukan dua PRU lagi untuk menawan Putrajaya – itulah kenyataan dan hakikat sebenar realiti politik hari ini. BN memiliki banyak kelebihan untuk memenangi PRU-15 kerana gagalnya pembangkang bekerjasama untuk memastikan formula satu lawan satu tercapai.

    Menariknya, kenyataan Nurul Izzah itu dibuat hampir serentak dengan kemenangan tanpa bertanding bapanya, Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR. Pastinya, selain mahu menyedarkan pembangkang, tersembunyi maksud tersirat di sebalik kenyataan Nurul Izzah itu khususnya mengenai masa depan cita-cita politik Anwar sendiri.

    Hakikat pahit ini bukannya pemimpin pembangkang lain tidak sedar – ia sudah terbukti di PRN Melaka dan Johor yang menyaksikan pembangkang kalah teruk – cuma hanya Nurul Izzah yang berani bercakap benar dan tidak hanyut dalam halusinasi utopia politik yang tidak bertunjangkan perkiraan realistik semasa politik negara.

    Realitinya, jika pembangkang mahu melihat BN tumbang dalam PRU-15 tiada formula lain kecuali kerjasama. Hal ini sudah disebut banyak pihak dengan terbaru saranan penyatuan itu dibuat James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania yang mahu Bersatu dan PKR bergandingan.

    Lebih-lebih lagi masa sudah tidak banyak untuk parti-parti ini bertelagah dengan mengambil kira perkembangan terbaharu keputusan Majlis Tertinggi UMNO – yang terselit perangkap di sebalik muslihat apabila menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri untuk PRU-15.  

    Sebenarnya, andai Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) dapat bergandingan dengan PKR ia bakal membentuk orde baru politik negara yang lebih segar – yang berupaya menyuntik rasa ghairah pengundi kerana ia merupakan gandingan di antara parti berteraskan bumiputera dengan sebuah parti multirasial.

    Kedua-dua parti ini mempunyai kekuatan tersendiri dengan Bersatu dan PN yang muncul sebagai parti kedua meraih undi popular tertinggi dalam PRN Johor pastinya mampu menarik sokongan daripada pengundi Melayu luar bandar, manakala PKR pula ada tarikannya ke atas pengundi bandar khususnya di kerusi-kerusi marginal.

    Kini, bola ada pada kaki PKR kerana pendirian Bersatu dan PN adalah jelas – iaitu perlunya kerjasama politik sesama parti pembangkang. Malah, usaha tersebut sudah pun digerakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk mengadakan pertemuan dengan Anwar. 

    Dalam hal ini, Bersatu, PN dan PKR harus menampilkan kebijaksanaan serta kematangan dalam membuat keputusan strategik dan bukannya terperangkap dalam sentimen kejatuhan kerajaan PH dahulu kerana dalam politik, tiada yang mustahil dan tiada musuh yang kekal.

    Nada positif calon Timbalan Presiden PKR, Saifuddin Nasution Ismail bahawa PKR terbuka untuk bekerjasama dengan parti yang bukan daripada komponen Pakatan Harapan (PH), walaupun tidak merujuk secara khusus kepada Bersatu, perlu segala disambut agar kemudiannya dapat dijadikan jambatan yang menghubungkan kedua-dua pihak.

    Mengenali Saifuddin pula, jarang dia mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan Anwar.  Selalunya, apa yang diluahkan itu adalah cernaaan kepada pemikiran, idealogi serta gerak-kerja yang direstui Anwar.

    Kepada kedua-dua parti, carilah titik persamaan ke arah penyatuan dan kerjasama politik yang progresif kerana sebagai sebuah parti yang dinamik, baik BERSATU, PN mahupun PKR – kesemua pemimpin serta ahli parti perlu melihat ke hadapan dan bukannya digari nostalgia kekecewaan.

    • Penulis adalah penganalisis politik. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Warta Rakyat.
  • Syed Saddiq… undang-undang Malaysia tak halang ganja untuk perubatan pun

    Syed Saddiq… undang-undang Malaysia tak halang ganja untuk perubatan pun

    Oleh PROF MADYA DR MUZAFFAR SYAH MALLOW

    RAMAI yang kini sibuk mengatakan mengenai isu ganja untuk proses perubatan, namun isunya sekarang bukanlah mengenai penggunaan ganja untuk perubatan kerana ia bukanlah satu bentuk halangan untuk menggunakan ganja bagi proses perubatan dalam negara kita.

    Seperti yang telah dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada bulan November tahun 2021 yang lalu di Dewan Rakyat, akta sedia ada dalam negara kita tidak menghalang penggunaan ganja atau kanabis ini bagi tujuan perubatan, jika mematuhi beberapa peraturan yang telah ditetapkan.

    Khairy berkata demikian dalam jawatan bertulis di Parlimen pada ketika itu bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai isu yang dibangkitkan oleh beliau sendiri berkaitan dengan penggunaan ganja atau kanabis untuk tujuan perubatan.

    Menurut Khairy lagi, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 sedia ada dalam negara kita tidak melarang penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

    MUZAFFAR SHAH MALLOW ganja perubatan
    MUZAFFAR SHAH MALLOW

    Walau bagaimanapun, menurut beliau produk yang mengandungi ganja perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) seperti yang ditetapkan oleh Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 bawah Akta Jualan Dadah.

    Pengimport juga perlu mempunyai lesen dan permit import bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik, Akta Racun serta Akta Dadah Berbahaya.

    Penjualan atau pembekalan runcit untuk rawatan perubatan bagi pesakit terpilih hendaklah dijalankan oleh pengamal perubatan yang berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 atau ahli farmasi berdaftar dengan lesen Jenis A kepada individu tertentu berdasarkan preskripsi yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar.

    Jika terdapat pihak yang mempunyai bukti saintifik mencukupi untuk menggunakan ganja untuk tujuan perubatan, mengambil kira kualiti, keselamatan dan keberkesanan, proses permohonan mendaftar produk boleh dikemukakan kepada DCA.

    Produk itu akan dinilai dan didaftarkan bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 untuk dipasarkan di Malaysia.

    Segala kesimpulannya, tiada isu untuk menggunakan ganja sebagai bahan perubatan dalam negara kita sekiranya kita mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh peruntukan undang – undang dalam negara kita.

    Merujuk kepada definisi “Kanabis” atau “Ganja” seperti yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952, Kanabis atau ganja bermaksud “Mana – mana bahagian tumbuhan genus kanabis (Ganja) yang didapati mengandungi resin tanpa mengira kuantitinya atau apa – apa nama yang diberikan terhadap tumbuhan berkenaan”.

    Nama jalanan kanabis dalam kalangan penagih dadah adalah ganja, grass, sayur, tarek daun, indian hemp, barang weed, joints, sticks, hashish, dope, pot dan weed.

    Tumbuhan kanabis atau ganja ini mengandungi lebih daripada 460 jenis bahan kimia yang dinamakan cannabinoid. Di Malaysia, kanabis, kanabis resin, kanabis ekstrak dan kanabis tincture merupakan dadah berbahaya yang tertakluk kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga racun yang tertakluk kepada Akta Racun 1952.

    Sekiranya melibatkan produk berasaskan kanabis untuk kegunaan rawatan perubatan manusia, ia juga merupakan dadah dan produk yang tertakluk kepada Akta Jualan Dadah 1952.

    Akta-akta ini dan peraturan-peraturannya memperuntukkan kawalan ke atas pengendalian kanabis atau ganja ini, antaranya pengimportan, pengeksportan, penjualan, pembekalan, pengilangan, penanaman, pemilikan dan penggunaan.

    Namun perlu diketahui, di Malaysia, penanaman kanabis atau ganja ini adalah dilarang sama sekali. Larangan ini diperuntukkan di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952. Secara ringkasnya, seksyen 6B (1), Akta Dadah Berbahaya 1952 menyatakan kanabis atau ganja ini tidak boleh ditanam di Malaysia.

    Adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang yang menanam atau membenarkan penanaman kanabis atau ganja ini.

    Walau bagaimanapun, seksyen 6B (2) Akta yang sama memperuntukkan Menteri Kesihatan boleh memberikan kebenaran kepada mana – mana pegawai awam untuk menanam kanabis atau ganja ini bagi tujuan sama ada penyelidikan, pembelajaran, eksperimen atau perubatan dengan tertakluk kepada terma dan syarat yang boleh ditetapkan dalam kebenaran tersebut.

    Sehubungan itu, permohonan daripada orang awam dan mana-mana syarikat swasta atau syarikat persendirian untuk menanam kanabis atau ganja ini tidak akan dipertimbangkan.

    Bagi kesalahan berkaitan penanaman kanabis atau ganja ini, hukuman yang diperuntukkan di bawah seksyen 6B (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang daripada enam kali sebatan.

    Persoalannya yang harus dilontarkan juga, adakah kita ingin membenarkan kanabis atau ganja ini ditanam atau diusaha sebagai satu bentuk industri bagi menjana pendapatan untuk rakyat kita dan kepada negara kita sendiri?

    Kita harus meneliti kesan daripada langkah yang ingin diambil terhadap perkara ini dengan teliti sebelum sebarang kata putus diambil terhadapnya. Kita perlu memandang serius terhadap kesan pengunaan kanabis atau ganja ini pada diri individu terutamanya jika disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungajwab.

    Adalah dibimbangi, penyalahgunaan terhadap kanabis atau ganja ini berlaku dikalangan masyarakat dalam negara kita sekiranya kita membenarkan ia diusahakan dan ditanam dalam negara kita secara berleluasa kelak.

    Persoalan juga harus ditanya, adakah kita memiliki proses pemantauan dan penguatkuasaan yang benar-benar kuat bagi membendung sebarang jenis penyalahgunaan yang berlaku kelak terhadap perusahaan kanabis atau ganja ini?

    Sekiranya tidak, adalah baik kita kekalkan status quo ataupun keadaan seperti sekarang ini. Peruntukan undang-undang sedia ada dalam negara kita juga adalah mencukupi bagi mengawal selia penggunaan kanabis atau ganja.

    Kita tidak boleh membandingkan negara kita dengan negara lain yang telah mengambil langkah berlainan dengan negara kita terhadap isu ini kerana faktor-faktor yang ada dalam negara mereka dan keadaan masyarakat mereka yang amat berlainan dengan negara dan masyarakat kita.

    Sekiranya kita masih ingin mengubah kedudukan sedia ada dalam negara kita mengenai isu ini, keutamaan harus lah diberikan kepada aspek pemantauan, penguatkuasaan yang benar-benar berkesan serta perlindungan kepada orang ramai daripada risiko penyalahgunaan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata terhadap pengunaan kanabis atau ganja ini ataupun sebarang jenis dadah.

    Penulis ialah pensyarah di Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya menggambarkan pendirian WartaRakyat.