Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

DALAM keadaan isu politik yang kurang mendapat tumpuan, dokumen ‘PASleak’ menjadi isu yang diperkatakan pemimpin utama beberapa parti politik dalam negara ketika ini.

Contoh menarik untuk dilihat ialah kenyataan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang tidak menyebelahi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Annuar berkata, dokumen ‘PASLeak’ yang didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata berdasarkan pemahamannya setelah meneliti dokumen itu, ia hanyalah catatan pemimpin PAS dalam mencari fakta mengenai pandangan beberapa pemimpin parti lain.

Annuar berkata sekiranya dokumen itu benar dan kandungannya boleh dianggap sebagai perancangan untuk menjatuhkan UMNO, ia juga bukan perkara yang luar biasa kerana sudah menjadi kelaziman bagi setiap parti yang berlawan dalam pilihan raya ingin menjatuhkan lawan masing-masing.

Kenyataan Annuar itu ternyata tidak disukai Zahid yang mempersoalkan kenyataan itu dan menyatakan bahawa ahli parti setia perlu sentiasa berwaspada setiap kenyataan, setiap langkah, pendirian dan tindak tanduk pemimpin mereka dan pemimpin lawan mereka.

Zahid juga tidak setuju dengan kenyataan Annuar yang disifatkan bercanggah dengan pendirian UMNO Kelantan.

Turut tidak disenangi Zahid ialah dalam dokumen ‘PASleak’ yang menyatakan dia dan Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Datuk Seri Najib Razak perlu dipenjarakan segera walaupun Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia telah menafikan perkara itu.

Seperti yang diketahui umum, Zahid sedang berdepan kes mahkamah dan terkini pada 13 April lalu, dia telah diarahkan untuk membela diri bagi menjawab 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Dalam konteks kes Zahid, kalaupun tanpa pendedahan ‘PASleak’, adalah wajar kes mahkamah yang dihadapinya disegerakan.

Ia supaya kebenaran dapat dibuktikan dan sekiranya tiada sebarang kesalahan, Zahid pada masa sama dapat membersihkan imejnya.

Ia juga dapat menangkis sebarang persepsi dan penghakiman di media sosial berkaitan kes yang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Rakyat juga mahu tahu kesudahan kes berkenaan kerana ia sudah berlanjutan dari tahun 2018 lagi iaitu Zahid mula didakwa pada 19 Oktober 2018.

Pada tarikh tersebut, Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42 juta dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72 juta.

Begitu juga dengan Najib, pelaksanaan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu perlu disegerakan kerana dia sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Kerana kesalahan- kesalahan itu, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Namun disebabkan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman berkenaan, dia tidak perlu ke penjara dan masih bebas.

Begitu juga dengan prosiding mahkamah kes 1MDB yang dihadapi Najib, ia telah bermula pada 4 Julai 2018 dan masih berjalan sehingga kini.

Maka, adalah wajar kes mahkamah kedua-dua pemimpin UMNO itu disegerakan dan sebarang usaha untuk menangguhkan perbicaraan tidak harus dilayan.

Penulis ialah seorang pemerhati politik tempatan. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian WartaRakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here