Category: Pendapat

  • Perbalahan sesama agamawan hanya merugikan ummah

    Perbalahan sesama agamawan hanya merugikan ummah

    Oleh DR MUHAMAD ZUHAILI SAIMAN

    PERTUBUHAN Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM MALAYSIA) menyeru agar semua agamawan untuk mencari titik persamaan dalam sesuatu isu perbahasan agar tidak meleret-leret sehingga  timbulnya polemik yang membawa kepada perbalahan dalam kalangan mereka.

    Ruangan media sosial sepatutnya menjadi platform bagi dimanfaatkan peluang memberikan penerangan secara ilmiah serta bersesuaian dengan tahap pemikiran pembaca secara umum agar apa yang disampaikan difahami dengan jelas dan baik menurut neraca syarak serta bertepatan dengan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    Fahaman ekstrem yang bermudah-mudah menyesatkan apatah lagi mensyirikkan pihak lain dalam perkara khilafiyyah adalah satu fahaman yang perlu dibendung kerana ia akan membawa kepada suasana yang mengeruhkan keadaan. Fahaman ekstrem sebegini jelas tidak berlandaskan manhaj yang sebenar sekalipun jika cuba dinisbahkan dengan imej Salafi.

    ILMAM
    MUHAMAD ZUHAILI SAIMAN

    Dalam isu justifikasi bidaah pula, para agamawan perlu cermat kerana perbahasan hal-hal sedemikian adalah dalam perkara furuk yang tidak boleh dihukumkan sebagai bidaah secara membuta tuli. Perbahasan ilmiah boleh dilaksanakan namun menghukum sesuatu perkara sebagai bidaah dhalalah atas alasan perkara ini tidak dibuat oleh Rasulullah SAW bukanlah pendekatan yang baik kerana isu sebegini ini telah berlarutan sejak dahulu. Apa yang perlu dilakukan oleh agamawan ialah meluruskan kefahaman dengan panduan pengurusan khilaf di samping meraikan uruf tempatan yang tidak bercanggah dengan syariat.

    Reaksi di media sosial yang saling menyerang antara satu sama lain hakikatnya menunjukkan suasana yang tidak elok malah ia merugikan ummah. Masyarakat yang menjadi pengikut para asatizah dalam memberikan sesuatu pandangan yang dibawa akan menjurus kepada pergaduhan dan perpecahan ummah.

    Para agamawan perlu bijak menyesuaikan perbahasan dalam menyampaikan sesuatu topik berdasarkan kategori hadirin yang mendengar. Bukan semua perkara perbahasan yang melibatkan kemahiran asas pendalilan perlu terbuka secara umum. Ia akan mengakibatkan campur tangan pihak yang tidak berautoriti dalam memberikan pandangan tanpa disiplin ilmu yang benar.

    ILMAM Malaysia juga menyeru agar mana-mana aliran dan manhaj yang berbeza namun selagi mana ia berhukum dengan al-Quran dan al-Sunnah agar sentiasa bermuzarakah sesama sendiri dengan pendekatan:

    i. Berusaha memastikan tidak menyanggahi pandangan para ulama muktabar terdahulu.

    ii. Walaupun berbeza ijtihad semasa namun hendaklah mendahulukan adab dan perasaan hormat terhadap ijtihad ulama terdahulu dalam sesuatu isu.

    iii. Memastikan hasil perbahasan adalah membawa kepada maslahah umum dengan memelihara persaudaraan dalam Islam.

    iv. Menjauhi sikap dan fahaman ekstrem seperti bermudah-mudah mengkafirkan dan mensyirikkan serta tidak juga taksub dan melabelkan wahabi kepada pihak yang tidak sependapat dengannya.

    Selain itu, para agamawan diseru untuk memberikan fokus terhadap isu-isu pengislahan masyarakat yang jauh dari kefahaman agama yang jelas. Permasalahan khilafiyyah telah pun diselesaikan oleh para ulama terdahulu. Usah menghabiskan masa yang meleret sedangkan banyak lagi isu ummah bagi pengislahan perlu dilakukan bersama dengan momentum besar-besaran.

    Ini dapat dilihat kepada isu penghinaan Rasulullah SAW, penjelasan mengenai tarian upacara Bon Odori dan isu-isu negara yang berkait ekonomi, pendidikan, jaminan bekalan makanan dan lain-lain lagi. Sewajarnya para agamawan berperanan lebih dengan tampil membincangkan solusi dari perspektif Islam.

    ILMAM Malaysia sekali lagi menyeru agamawan semua untuk kita gembleng kekuatan bersama mendepani isu sesama negara dan ummah dengan membawa penyelesaian Islam. Perkara khilafiyyah uruskan dengan baik dan harmoni, jangan sampai merosakkan hubungan sesama kita.

    Penulis ialah Presiden ILMAM Malaysia. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian WartaRakyat.

  • Tiada salahnya Tengku Zafrul bertanding di Kuala Selangor

    Tiada salahnya Tengku Zafrul bertanding di Kuala Selangor

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    Nampaknya kehadiran Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Kuala Selangor tidak disenangi beberapa pihak.

    Paling awal mengeluarkan kenyataan ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim yang menghalang kepimpinan bahagian berkenaan menyertai sebarang program melibatkan Tengku Zafrul.

    Dakwa Jahaya, beliau tidak mahu jentera parti itu dipergunakan untuk ‘mendukung’ pemimpin dari luar kawasan tersebut.

    Selepas Tengku Zafrul mengumumkan mengenai kelulusan pembinaan stesen jajaran utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam, ada juga yang membantah projek itu walaupun suara bantahan itu tidak mewakili suara penduduk.

    Pengerusi Persatuan Penduduk Elmina Gardens, William Ho misalnya yang kawasan perumahannya tiada kaitan dengan projek itu mempersoalkan kewajaran pembinaan projek itu kerana mendakwa ia tidak berguna kepada penduduk setempat.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula membidas Tengku Zafrul yang menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat dengan mengatakan bahawa tindakan itu tidak kena pada tempatnya.

    Katanya ia adalah dasar sasau dan keliru kerana Perbendaharaan negara tidak perlu menjadikan kawasan mana sekalipun sebagai anak angkat.

    Pada Rabu lalu, apabila ditanya wartawan mengenai khabar angin bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Tengku Zafrul mengatakan bahawa sekarang ini beliau tidak memikirkan isu politik kerana sedang fokus kepada soal pemulihan ekonomi negara.

    Ketika ditanya lebih lanjut oleh wartawan mengenai khabar angin itu, bekas CEO CIMB Group Holdings Bhd itu berkata: “Bukan pada masa ini.”

    Pada pandangan penulis, jawapan Tengku Zafrul itu boleh difahami bahawa pertimbangan untuk bertanding di Kuala Selangor masih ada dan tidak ditolak sepenuhnya.

    Sebelum ini juga, seorang Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan berkata, Tengku Zafrul hampir pasti untuk bertanding di Kuala Selangor kerana telah menjadikan kawasan itu sebagai daerah angkat.

    Penulis ada bertanya kepada pengundi atas pagar di Parlimen Kuala Selangor sama ada mereka setuju sekiranya Tengku Zafrul bertanding di kawasan tersebut. Kebanyakan jawapan yang diterima ialah mereka boleh terima sesiapa sahaja untuk bertanding di kawasan berkenaan tidak kira sama ada pemimpin tempatan atau luar.

    Mereka juga mahu calon yang menang kelak boleh memajukan kawasan Kuala Selangor yang akhirnya dapat memberi manfaat besar kepada penduduk daerah tersebut secara keseluruhannya.

    Kata mereka, sekiranya Tengku Zafrul boleh memberikan suatu perubahan yang besar kepada daerah berkenaan, apa salahnya tokoh kewangan itu bertanding di daerah berkenaan.

    Dengan kepakaran sebagai menteri dan pernah mengemudi bank, tidak mustahil banyak agenda pertumbuhan ekonomi setempat yang dapat dijana di daerah itu sekiranya Tengku Zafrul fokus untuk berbakti di daerah berkenaan.

    Tetapi, yang paling dibimbangi dan tidak mahu berulang lagi pada masa depan, calon-calon yang dipilih dan menang kelak adalah pemimpin yang tidak kompeten untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat yang akhirnya menyebabkan penduduk terlibat teraniaya.

    Apa yang penduduk tidak mahu, menunjukkan kemesraan dan keprihatinan hanya ketika mahu memancing sokongan tetapi apabila sudah mendapat undi, hilang sukar dikesan.

    Kerusi Parlimen Kuala Selangor ketika ini disandang Dr Dzulkefly Ahmad daripada parti Amanah dan sebelum ini beliau telah mengumumkan tidak mahu bertanding pada PRU15 kerana mahu memberikan peluang kepada pemimpin muda daripada parti itu.

    Pada PRU14, Dr Dzulkefly memenangi kerusi tersebut dengan memperolehi 29,842 undi menewaskan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (21,344) dengan undi majoriti sebanyak 8,498. Pas diwakili Mohd Fakaruddin Ismail yang memperolehi 8,535 undi.

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.

  • Jadikan PRU-15 ‘paku terakhir’ tamatkan riwayat politik puak kleptokrat

    Jadikan PRU-15 ‘paku terakhir’ tamatkan riwayat politik puak kleptokrat

    Oleh MUSTOFA HAMIDI

    PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah satu fajar baharu buat Malaysia yang ditakdirkan kecundang di pertengahan jalan.

    Tidak dapat disangkal lagi, ia adalah episod mendukacitakan bagi majoriti rakyat yang telah bersama-sama menumbangkan rejim kleptokrat UMNO-Barisan Nasional (BN).

    Pun begitu, apa yang telah berlaku tidak dapat diundur semula dan tiadalah gunanya episod sedih itu terus diratapi.

    Sebaliknya, ia wajar dijadikan pengajaran berguna khususnya dalam kalangan pimpinan politik pembangkang.

    Adalah tidak adil juga untuk kita menuding jari kepada mana-mana pihak sebagai punca tunggal kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mampu bertahan selama 22 bulan sahaja.

    Ini kerana semua parti yang membentuk kerajaan PH ada salah dan silapnya malah ada kegelojohan dan sikap besar kepalanya. Usahlah dinafikan hakikat itu.

    Walau apapun yang berlaku, saintis politik yang turun ke lapangan mendapati rakyat belum kembali sepenuhnya ke pangkuan UMNO-BN walaupun parti itu mendabik dada kononnya rakyat sudah merindui mereka dan menyesali kesilapan menolak parti itu pada PRU-14.

    Sebahagian besar daripada mereka masih kekal menolak kemungkaran rejim kleptokrat UMNO-BN malah jijik melihat permainan politik kluster mahkamah seperti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang semakin terdesak.

    Benar, UMNO-BN menang bergaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, tetapi ia bukanlah gambaran tepat untuk menyukat tahap sokongan masyarakat kepada mereka kerana peratusan keluar mengundi adalah rendah.

    UMNO-BN bernasib baik apabila meraih kemenangan mudah kerana sejumlah besar pengundi yang menolak parti itu tidak mengambil bahagian dalam dua PRN itu.

    UMNO-BN cekap memanfaatkan peluang itu dengan menggerakkan penyokong mereka melalui kekuatan jentera peringkat cawangan supaya keluar mengundi beramai-ramai.

    Bagi yang tidak mengundi, mereka beranggap ia adalah proses yang sia-sia kerana sudah dapat menjangka keputusan yang bakal berpihak kepada UMNO-BN.

    Keyakinan mereka hilang apabila melihat tiadanya kesepakatan pembangkang yang bergasak sesama sendiri berebut sokongan sehingga undi berpecah-belah.

    PRN Johor menzahirkan kesombongan parti politik, tidak terkecuali parti nyamuk yang bernafsu besar seperti Pejuang yang bertanding di 42 daripada 56 kerusi DUN tetapi mampu mengumpul kira-kira 17,000 undi sahaja.

    Pun begitu, keputusan PRN Johor telah memberikan satu tamparan kesedaran kepada pimpinan politik parti penentang BN supaya menjalinkan kerjasama pada PRU-15 atau terus berdepan kekalahan di tangan UMNO-BN.

    Pimpinan politik pembangkang sudah mula bercakap tentang kerjasama walaupun ada sesetengahnya masih bersalut keegoan.

    Paling terkehadapan menyeru jalinan kerjasama ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bermula April lalu dengan yang terbaharu ialah cadangan supaya persefahaman pilihan raya (electoral pact) diwujudkan.

    Kata Muhyiddin, formula satu lawan satu yang dikemukakan oleh Bersatu adalah bersifat kerjasama atau persefahaman pilihan raya (electoral pact) yang tidak melibatkan pembentukan satu gabungan baharu parti-parti politik.

    Cadangan persefahaman pilihan raya yang diusulkan beliau juga mesti diasaskan kepada satu agenda bersama bagi memastikan negara tidak kembali dikuasai kumpulan kleptokrat yang disifatkan sedang ‘menguasai BN’.

    Berikutan itu, UMNO yang bimbang dengan inisiatif itu memperhebatkan serangan terhadap Muhyiddin dan pada masa sama mula menekan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen dengan seberapa segera.

    Kelompok kluster mahkamah UMNO ini sedar usaha Muhyiddin menyatukan semua parti penentang UMNO-BN adalah satu gerakan yang bahaya kepada mereka.

    Turut tumpang semangkuk menyerang Muhyiddin ialah pemimpin pembangkang yang masih berbekas dengan apa yang didakwa sebagai pengkhianatan bekas Perdana Menteri Ke-8 itu melalui penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Bagaimanapun, pimpinan parti utama pembangkang seperti Anwar Ibrahim dan beberapa tokoh DAP bersikap agak terbuka dan membuat ulasan yang berlapik.

    Jiwa besar mereka amat penting untuk menjayakan persefahaman politik yang menuntut semua pihak mengetepikan kepentingan peribadi demi merawat negara yang semakin tenat.

    Sikap itu adalah petunjuk yang mereka menerima hakikat penyertaan dalam PRU-15 adalah kerja sia-sia jika gagal mewujudkan kerjasama satu lawan satu.

    Cuma, semua parti berdepan masalah untuk membuat penjelasan kepada penyokong fanatik masing-masing.

    Bukan DAP dan PKR sahaja yang bermasalah dalam hal ini. Bersatu dan Pas pun sukar untuk merasionalkan kerjasama dengan PKR dan DAP kepada ahli akar umbi mereka.

    Pun begitu, mereka juga perlu berlaku adil kepada golongan atas pagar yang mengharapkan adanya kerjasama supaya persaingan pada PRU-15 menjadi lebih ‘solid’, bukannya kecundang sebelum masuk gelanggang.

    Bukan sedikit pengundi daripada kelompok ini yang seperti sudah berputus asa dan tidak mahu mengambil tahu lagi tentang politik negara.

    Tetapi jika berjaya diwujudkan kerjasama merentasi parti politik pembangkang, masih ada ruang untuk menarik mereka keluar mengundi sekali gus menjadikan PRU-15 sebagai sebagai paku terakhir keranda politik para kleptokrat UMNO.

    Para keleptokrat inilah yang menjadi hantu raya yang yang mengkucar-kacirkan politik negara sehingga menjadi kurang stabil selepas kekalahan UMNO-BN pada 2018.

    Lantaran itu, PRU-15 perlu dijadikan medan untuk menamatkan tindak tanduk meloyakan hantu-hantu raya ini buat selama-lamanya kerana jika kemenangan berpihak kepada UMNO-BN, watak-watak seperti Najib dan Ahmad Zahid akan kembali ke tampuk kuasa.

    Persoalannya, adakah kita semua sanggup melihat ia berlaku demi mempertahankan sebuah keegoan?

    Tulisan ini pertama kali disiarkan di Malaysianow adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Wart Rakyat.

  • Jika tiada kerjasama antara pembangkang pada PRU-15, kleptokrat kembali ke tampuk kuasa

    Jika tiada kerjasama antara pembangkang pada PRU-15, kleptokrat kembali ke tampuk kuasa

    Oleh KAMARUL KHAIRY

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan parti-parti yang mahu menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) supaya membentuk persefahaman politik bertujuan undi mereka berpecah.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu yang melontarkan cadangan tersebut pada minggu lalu berkata, ini bagi mengelakkan golongan kleptokrat yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, DAtuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali berkuasa.

    Cadangan Muhyiddin itu dipandang sinis oleh sesetengah pihak terutamanya yang menganggap Bersatu sebagai sebuah parti pengkhianat yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mendapat rakyat pada PRU14 tumbang akibat Langkah Sheraton.

    ‘Pengkhianatan’ itu tidak boleh dimaafkan kerana Bersatu mungkin akan melakukannya sekali lagi sekiranya PH mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan mereka.

    Mari kita imbas kembali sepanjang 22 bulan PH berkuasa.

    Tidak dapat dinafikan terdapat banyak perubahan dan reformasi yang dilakukan untuk ‘membaiki’ negara selepas ‘dikerjakan’ oleh Najib ketika zaman pemerintahannya.

    Cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan yang sedikit sebanyak melegakan rakyat. Selain itu kerajaan juga tidak mencampuri urusan kehakiman dan ini dibuktikan apabila bekas Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri diheret ke mahkamah atas jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

    Bagi rakyat biasa, kesan yang dapat dirasakan sehingga ke hari ini minyak RON95 kekal di paras RM2.05.

    Bayangkanlah jika harga RON95 diapungkan, sudah tentu ia akan melebihi RM4.00 seperti mana RON97.

    Akan tetapi, semua kebaikan yang dilakukan ‘terbenam’ akibat satu perkara. Desakan secara konsisten agar Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan kuasa kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Sejak awal lagi kerajaan PH di tampuk kuasa, sudah kedengaran ‘suara-suara sumbang’ daripada PKR dan DAP agar Mahathir meletakkan jawatan.

    Pada ketika itu belum pun beberapa lama BN ditumbangkan dan kerja-kerja untuk membangun semula negara giat dijalankan.

    Suara-suara sumbang dari PKR dan DAP itu bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan orang-orang Melayu yang baru sahaja membiasakan diri hidup dalam negara yang tidak dipimpin UMNO, akan tetapi menyebabkan penjawat awam mula kurang memberikan kerjasama dan mengamalkan sikap ‘tunggu dan lihat’.

    Ini kerana jika benar Dr. Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, penjawat awam merasakan tidak perlu bersungguh-sungguh untuk memberikan kerjasama kepada kerajaan kerana apabila perdana menteri baru mengambil alih, semua keutamaan kerajaan akan berubah.

    Bagi orang-orang Melayu pula, mereka belum bersedia untuk mempunyai seorang Perdana Menteri daripada sebuah parti yang berbilang kaum.

    Maklumlah, mereka hidup begitu lama dalam ‘propaganda’ ketuanan Melayu yang dijaja UMNO sejak 1957 dan sudah tentu sukar untuk menerima keadaan ini.

    Ini adalah antara sebab mengapa terjadinya Langkah Sheraton.

    Dan kalau kita mahu berbahas mengenai perkara ini dengan panjang lebar, tidak kelihatan manfaat yang dapat diberikan kepada negara. Semua pihak akan merasakan merekalah yang benar.

    Semuanya sudah menjadi sejarah.

    Kembali semula ke hari ini. Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sudah membuktikan, pertembungan sesama Perikatan Nasional (PN) dan PH memberikan laba yang besar kepada BN.

    Ini menyebabkan BN menguasai Melaka dan Johor dengan majoriti dua pertiga. Data daripada kedua-dua PRN ini yang dikaji oleh penganalisis-penganalisis politik menunjukkan sekiranya berlakunya kerjasama antara PN dan PH, BN berada dalam bahaya.

    Pilihan di tangan PN dan PH, sama ada mahu membuang ego dan bekerjasama menghalang BN atau mahu melihat golongan kleptokrat kembali berkuasa.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya mampu bertahan sehinggalah Parlimen dibubarkan.

    Sebaik sahaja Parlimen bubar, kuasa berada di tangan Zahid yang merupakan presiden UMNO dan pengerusi BN.

    Sekiranya tiada sebarang bentuk kerjasama dalam kalangan parti-parti pembangkang, rakyat Malaysia sudah boleh bersedia untuk melihat golongan kleptokrat kembali ke tampuk kuasa.

    Kamarul Khairy adalah pembaca Warta Rakyat.

    *Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan Warta Rakyat

  • Pendirian PM berhubung tarikh PRU-15 betul – Hassan Karim

    Pendirian PM berhubung tarikh PRU-15 betul – Hassan Karim

    Oleh HASSAN ABDUL KARIM

    Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah membuat satu kenyataan yang betul apabila beliau menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak boleh mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam soal menentukan tarikh pilihanraya umum ke-15 pada masa sekarang ini, sewaktu tempoh Parlimen Malaysia Ke-14 masih ada masa hampir setahun lagi.

    Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) k] berlangsung pada 9 Mei 2018. Jika dikira tempoh lima tahun untuk mengadakan PRU-15, maka tarikh tamat tempoh ialah pada 8 Mei 2023.

    Tetapi ada tafsiran undang-undang menyatakan tempoh 5 tahun itu bermula apabila ahli-ahli parlimen Penggal Ke-14 mengangkat sumpah iaitu pada 16 Julai 2018.

    Ini bermakna tempoh lima tahun itu berakhir pada 15 Julai 2023. Jika 15 Julai diambil kira, dan katakanlah Parlimen dibubarkan pada tarikh tersebut, maka undang-undang mengadakan peruntukan bahawa PRU-15 hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran parlimen.

    Ini membawa maksud Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) boleh menetapkan tarikh PRU pada atau sebelum 14 September 2023. Jadi ada tempoh lebih kurang setahun lagi mandat yang diberi oleh rakyat kepada Parlimen Malaysia Ke-14.

    Jika pada tahun hadapan iaitu tahun 2023 Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati baginda di bawah Perkara 40(1) supaya membubarkan Parlimen Ke-14 bagi membolehkan PRU-15 diadakan, maka secara konvensyen perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong wajar menerima nasihat Perdana Menteri itu dan memperkenankan permohonan tersebut. Tidak molek dan tidak cantik, malah akan jadi krisis perlembagaan jika Yang di-Pertuan Agong menolak nasihat Perdana Menteri .

    Tetapi sebaliknya, jika esok atau seminggu dua ini atau bulan depan atau bulan-bulan mendatang pada tahun ini, kerana didesak dan ditekan kiri kanan ke atas Perdana Menteri sehingga akhirnya Perdana Menteri menyerah kalah dan terus ke Istana Negara menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihat baginda supaya membubarkan Parlimen Malaysia Ke-14 bagi membolehkan PRU-15 diadakan, maka ada risikonya bahawa permohonan itu boleh ditolak.

    Aiblah bagi seorang Perdana Menteri jika Yang di-Pertuan Agong menolak nasihatnya, seperti hal yang pernah berlaku ke atas Perdana Menteri sebelum ini. Ini rasanya, mungkin, barangkali, sebagai sebab mengapa Ismail Sabri perlu berhati-hati supaya “pisang tidak berbuah dua kali”.

    Negara Malaysia ini bukan negara kuasa rakyat sepenuhnya. Sistem Raja Berperlembagaan masih berfungsi. Yang di-Pertuan Agong boleh menolak nasihat Perdana Menteri di bawah Perkara 40(2)(b) iaitu Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan kuasa budi bicara baginda untuk tidak memberi izin terhadap permohonan pembubaran Parlimen terlalu awal dari tarikh yang wajar dan sepatutnya.

    Jadi kepada anggota Kluster Mahkamah, atau yang bukan Kluster Mahkamah tetapi sudah teruja sangat untuk kembali berada di koridor kuasa dan di puncak takhta supaya bersabar-sabarlah sedikit.

    Selesaikan dulu kes masing-masing di Mahkamah. Adakan dulu pemilihan parti politik masing-masing. Kawal inflasi supaya tidak masuk ke tahap hyper-inflasi sehingga rakyat biasa boleh “mati”. Selepas keadaan sesuai dan selesa, dan penyakit Covid-19 benar-benar tidak lagi menjadi ancaman bahaya terhadap kesihatan awam, maka ketika itu, silalah kita adakan pilihanraya umum ke-15.

    “Tidak lari gunung dikejar,” Raikanlah Festa Demokrasi Rakyat apabila tiba saatnya nanti.

    • Hassan Abdul Karim adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang
  • PKR jangan terlalu yakin dengan kekuatan sendiri

    PKR jangan terlalu yakin dengan kekuatan sendiri

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    BERDASARKAN keputusan tidak rasmi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), ahli parti itu telah menyatakan pilihan mereka apabila memilih bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden parti.

    Rafizi mendapat 68,992 undi meninggalkan pesaingnya, Ahli Parlimen Kulim – Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mendapat undi sebanyak 50, 038.

    Pada pemilihan kali ini juga, tiga daripada empat jawatan Naib Presiden dimenangi orang Rafizi iaitu Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang (41,209 undi); Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad (40,506 undi) dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (38,894 undi).

    Seorang lagi dari Kem Rafizi iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail memenangi jawatan Ketua Wanita PKR dengan majoriti tipis 21,962 undi menewaskan pencabarnya, Fadhlina Sidek (21,502).

    Dengan kemenangan ramai pemimpin daripada Kem Rafizi, Nik Nazmi telah membuat andaian bahawa kemenangan mereka adalah manifestasi ahli PKR menolak pendekatan ‘khemah besar’.

    Katanya, anggota parti telah menghantar isyarat jelas bahawa mereka mengharapkan PKR untuk memperkukuh gabungan Pakatan Harapan (PH) yang sedia ada.

    Namun, adakah Nik Nazmi dan penyokong PKR sedar bahawa adalah sukar untuk PH menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)  jika tiada kerjasama politik dengan parti lain bagi membolehkan strategi satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

    Walaupun ada cakap-cakap mengatakan sentimen di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen adalah berbeza, tapi sebenarnya ia sedikit sebanyak dapat memberi gambaran bahawa jika berlaku pertandingan tiga penjuru, maka BN akan mempunyai kelebihan.

    Ini kerana pengundi yang menolak BN tidak tahu mahu mengundi parti mana menyebabkan undi golongan itu berpecah dan buktinya walaupun BN menang di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, undi popular tidak memihak kepada mereka.

    Pengajaran daripada PRN Melaka dan Johor juga amat besar jika diambil sebagai penanda aras bagaimana PKR tidak memenangi satu kerusi pun di Melaka dan di Johor hanya memenangi satu kerusi.

    Dan jika PKR dengan yakin mengatakan mereka mampu menarik pengundi atas pagar untuk menyokong mereka pada PRU15, ia adalah amat sukar kerana dalam Pemilihan PKR sendiri, hanya 12 peratus daripada 1.1 juta ahlinya keluar mengundi.

    Jadi usaha untuk menarik ahli sendiri untuk mengundi pun gagal, bagaimana mahu menarik orang luar yang tidak mempunyai ‘DNA’ politik untuk menyokong PKR.

    Tambahan pula, sebelum ini pernah didedahkan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sukar mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membolehkannya menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

    Oleh sebab itu, PKR tidak boleh menolak sepenuhnya pendekatan ‘khemah besar’ kerana ia adalah satu-satunya jalan untuk menghalang BN yang didominasi kluster mahkamah untuk kembali berkuasa.

    Matlamat untuk menghalang BN kembali berkuasa adalah lebih besar berbanding ideologi politik masing-masing kerana apabila kluster mahkamah mendapat kuasa, maka adalah mencabar bagi parti pembangkang untuk bangkit semula.

    Maka, dengan sebab itu parti-parti selain BN perlu bergabung, mengetepikan ego dan prinsip tidak bertempat kerana semuanya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dalam menghadapi PRU15.

    Berbincanglah dengan teliti dan bersatu demi rakyat kerana tarikh PRU15 boleh diadakan pada bila-bila masa kerana BN ketika ini dilihat amat agresif mendesak supaya pilihan raya disegerakan kerana mereka tahu pihak lawan masih belum bersatu.

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi

  • Jangan sampai nilai Ringgit merudum baru nak bertindak

    Jangan sampai nilai Ringgit merudum baru nak bertindak

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    Penulis sebenarnya tidak senang duduk apabila melihat kedudukan ringgit yang semakin melemah akhir-akhir ini.

    Tambah membimbangkan apabila Menteri Kewangan tahun 1976-1984, Tengku Razaleigh Hamzah telah menggesa kerajaan supaya bertindak mengatasi krisis ringgit dengan menumpukan pembaikan pasaran tukaran mata wang asing.

    Tengku Razaleigh atau Ku Li yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Bank Dunia dan IMF, Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Islam itu juga berkata, ringgit juga dijangka merosot dalam masa terdekat.

    Katanya, ada ramalan yang mengatakan nilai ringgit boleh merosot sehingga RM5.50 berbanding AS$1.

    Seperti yang semua sedia ketahui, tiga hari lepas ringgit telah merosot kepada RM4.40 kepada AS$1 dan berbanding jiran terdekat kita Singapura, Malaysia telah merekodkan nilai terendah dalam sejarah apabila 1 Dolar Singapura bersamaan RM3.1964.

    Dengan kemerosotan tersebut, banyak impak yang dirasai oleh rakyat Malaysia ketika ini kerana pada tahun 2020 sahaja, Malaysia mengimport makanan bernilai RM55.4 bilion. Sudah pasti, lebih banyak wang perlu dikeluarkan kerajaan apabila nilai ringgit merosot dengan mendadak.

    Contoh mudah yang kita sudah rasa dan akan mulai rasa dalam masa terdekat ialah harga barang di sekeliling kita akan meningkat ketara kerana kebanyakan barang dan produk yang berada di dalam negara diimport dari luar. Daripada alat ganti kenderaan, pakaian, makanan dan apa saja yang diimport sudah mengalami kenaikan dan akan meningkat jika nilai ringgit terus merosot.

    Penulis ada ternampak iklan kedai 2 Ringgit di kawasan kejiranan yang terpaksa menaikkan harga barang dijual kepada RM2.20, kemudian RM2.40 dan baru-baru ini terpaksa menaikkan lagi kepada RM2.60 kerana harga barang yang diimport itu mengalami kenaikan harga.

    Banyak peniaga juga mengeluh kerana tidak mampu mengekalkan harga barangan jualan masing-masing ketika ini dan ada yang telah gulung tikar kerana tidak mampu membuat pusingan modal bagi mengimbangi pelbagai kos yang meningkat mendadak.

    Dalam media sosial pula, banyak keluhan rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat di mana kadar inflasi yang tinggi menjadikan nilai wang yang berada di tangan rakyat menyusut dengan ketara. Ia dapat dirasai apabila nilai RM50 yang dimiliki ketika ini, tidak banyak barang yang mampu dibeli kerana kebanyakan produk yang dijual mengalami peningkatan yang berlipat kali ganda.

    Mereka juga bimbang apabila kerajaan dilihat tidak kompeten untuk menangani isu kejatuhan ringgit.

    Ini kerana sehingga kini belum ada sebarang kenyataan konkrit daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu kejatuhan ringgit sama ada beliau tidak mahu campur ataupun membiarkan isu yang amat penting itu diuruskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Sepatutnya isu besar melibatkan ringgit perlu keprihatinan segera PM berbanding isu-isu sampingan lain yang mungkin boleh diuruskan di ‘level’ menteri sahaja. Penulis percaya PM memahami perkara ini dan pasti akan melakukan sesuatu ‘demi Keluarga Malaysia dikasihi’.

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

  • Persefahaman taktikal PN-PH dalam PRU-15

    Persefahaman taktikal PN-PH dalam PRU-15

    Oleh HASSAN ABDUL KARIM

    POLITIK adalah perang tanpa menumpahkan darah. Manakala perang bersenjata adalah politik berdarah.

    Percaya akan menang perang adalah prasyarat untuk kemenangan dalam perang ataupun dalam pilihanraya umum.

    PH boleh memasang keyakinan menang jika ada persefahaman taktikal dengan parti-parti pembangkang yang lain. Bukan khemah besar; bukan khemah kecil. Bukan kerjasama; bukan muafakat. Tidak perlu manifesto bersama; tidak perlu muafakat apa pun. Yang perlu adalah kesanggupan berbincang dan berunding.

    Ambil senario di Johor sebagai contoh. Mungkin boleh dipakai kemudian di negeri-negeri lain seluruh Malaysia.

    Fasist Jepun tidak dapat dikalahkan jika Parti Kuomintang pimpinan General Chiang Kai Sheik tidak mengadakan front bersatu dengan Parti Komunis China pimpinan Pengerusi Mao Tze Tung. Contoh ini sudah jadi klise kerana sering kali disebut.

    Kita beri contoh lain, contoh tempatan di Tanah Melayu sendiri dalam perjuangan menuntut Kemerdekaan. Kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman yang sanggup berunding dengan Ching Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya telah memberi tekanan kepada kolonial Inggeris untuk segera memberikan Kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu.Itu kesan perundingan Tunku-Ching Peng.

    Analogi ini boleh diguna pakai dalam keadaan sekarang khususnya antara PH dan PN. Bermula dengan Johor.

    Dalam PRU14 tahun 2018, di kawasan Parlimen Johor yang mempunyai 26 kerusi, pembahagian di kalangan PH ketika itu ialah PPBM (Bersatu) 10 kerusi; Keadilan 8 kerusi, DAP 6 kerusi dan Amanah 2 kerusi.

    Keputusan PRU14 di Johor adalah seperti berikut: PPBM menang 5 kalah 5; Keadilan menang 7 kalah 1, DAP menang 5 kalah 1 dan Amanah menang 1 kalah 1.

    PH dan PN di Johor boleh mulakan bincang. Bukan bincang nak buat khemah besar. Tetapi bincang untuk atur kerusi. Bukan muafakat politik dengan konsep abstrak, tetapi mencari jalan pragmatik dan praktikal untuk elakkan bertembung sesama sendiri dalam PRU15 yang kesudahaannya Umno dan BN yang menang. Bukan kerana Umno BN kuat tetapi kerana pembangkang berpecah, berperang sesama sendiri.

    Peraturan mudah boleh digunapakai untuk berunding mengatur kerusi antara PH dan PN. Kawasan yang PPBM (Bersatu) menang dan bertanding dulu, PH hormati. Begitu juga kawasan yang PH menang dan bertanding dulu maka Bersatu (PN) perlu hormati. Mungkin 50% pengagihan kerusi dapat diselesaikan. Kemudian yang bermasalah 50% lagi boleh bincang baik-baik.

    Tidak dinafikan ada masalah-masalah praktikal di beberapa tempat. Misalnya di Muar dulu dimenangi oleh PPBM, tetapi kini ahli parlimen Muar berada dalam Parti Muda. Begitu juga di Seri Gading, dulu dimenangi oleh PPBM tetapi kini ahli parlimennya berada di dalam Parti Pejuang. Hal yang sama berlaku di parlimen Simpang Renggam, dulu dimenangi oleh PPBM tetapi kini ahli parlimennya berada di dalam Parti Keadilan.

    Hal-hal seperti ini bukan tidak boleh diselesaikan. Boleh, syaratnya berlapang dada dan berbincang.

    Begitu juga di Segamat, di Batu Pahat dan di Tebrau, dulu dimenangi oleh Parti Keadilan tetapi kini ketiga-tiga ahli parlimen itu telah melompat keluar meninggalkan Keadilan. Hal-hal semacam ini boleh bincang. Ada jalan penyelesaiannya.

    DAP kita faham sukar untuk berunding dengan Bersatu. Kita hormati pendirian itu. Tetapi hakikat di lapangan, DAP dalam Pilihanraya Negeri Johor Mac lalu masih menang 10 kerusi DUN, hanya kalah 4 kerusi sahaja. Manakala Keadilan masuk bertanding 20 kerusi kalah 19, menang satu sahaja di Bukit Batu, itupun dengan majoriti tak sampai 200 undi.

    Hal yang sama berlaku pada Amanah. Semua calon-calon terbaik Amanah seperti Hj Aminolhuda (Pengerusi Amanah Johor dan Pengerusi PH Johor), Dzulkifli Ahmad, Suhaizan Kayat kalah dalam PRN Johor, kecuali Sallahuddin Ayob seorang sahaja calon Amanah yang menang di Simpang Jeram.

    DAP tidak bertembung dengan Bersatu (PN) dalam PRN Johor yang lalu. Tetapi Keadilan dan Amanah terpakasa menghadapi banyak penjuru terutama BN dan PN yang berkesudahan PH berada di tempat ketiga.

    Jadi kepada pimpinan tertinggi PH, fikir-fikirlah.


    Ahli Parlimen Pasir Gudang
    25 Mei 2022 (Rabu)

  • Sudah 2022, pengangkutan awam masih bermasalah

    Sudah 2022, pengangkutan awam masih bermasalah

    Oleh NURAINA SYAKIRAH MOHAMED NASRUDIN & DHURGA JAGAN

    “BAS tak masuk sini, kena jalan kaki 20 hingga 25 minit nak dapat naik bas, sambil dukung anak OKU (Orang Kurang Upaya).”

    Demikian komen pengguna Facebook Djaz Anggun di laman Facebook rasmi Bernama, apabila ditanya tentang masalah dihadapi dengan pengangkutan awam.

    Beliau bukan tinggal di kawasan pedalaman. Ditanya lanjut, ibu kepada anak dengan masalah cerebral palsy ini berkata beliau tinggal di kawasan PPR Intan Baiduri di Kepong – kawasan yang sebenarnya hanya 15 minit perjalanan dari Lebuhraya Selayang-Kepong.

    Jadi mengapa tiada perkhidmatan bas awam di kawasan yang begitu mudah untuk diakses, berkepadatan penduduk tinggi dengan populasi yang jelas amat memerlukannya?

    Tambahan pula, umum mengetahui ramai penduduk PPR daripada golongan B40 yang sangat bergantung kepada pengangkutan awam untuk ke sesuatu destinasi.

    Sudah 2022, namun isu akses, kesalinghubungan infrastruktur pengangkutan awam dan kekerapan perkhidmatan antara masalah sistem pengangkutan awam di Malaysia yang masih belum diselesaikan.

    AKSES, KESALINGHUBUNGAN MASIH LEMAH

    Walaupun kerajaan tempatan sering menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai penyelesaian kesesakan jalan raya terutama di bandar-bandar utama, nasihat itu sukar dipraktikkan orang ramai.

    “Teringin nak naik kenderaan awam pada waktu kerja, tapi laluannya menyusahkan dan perlu ambil bas perantara daripada rumah ke MRT atau LRT, dan menapak ke pejabat.

    “Keputusan tepat bawa motor sebab parking dan minyak murah, serta lebih cepat walaupun sedar risiko tinggi. Jika bawa kereta kena fikir kos parking, minyak, tol dan jem. Jika guna basikal ke pejabat jaraknya dalam 30km, bermandi peluh di samping bahaya (kerana) di laluan highway.” kata pengguna Facebook Adhary Abd Aziz.

    Rata-rata komen warganet di pautan Bernama itu menyatakan mereka sukar mendapat akses pengangkutan awam di kawasan masing-masing dan perlu mengharungi pelbagai cabaran jika ingin menggunakannya.

    Pengguna Facebook Junny Lai pula berkata bagi yang tinggal di Kuala Lumpur, laluan bas awam tidak melitupi semua kawasan.

    “Kalau pun saya menggunakan pengangkutan awam, saya masih perlu berjalan 15 ke 30 minit untuk ke destinasi atau pun menggunakan perkhidmatan Grab. Elok saya guna kereta sahaja,” komennya.

    Ramai menyuarakan pendapat serupa dalam ruangan komen hantaran Bernama yang mendapat lebih 1,500 likes dan 671 komen.

    Pengguna Facebook Marina Ibrahim mencadangkan penggunaan semula bas mini sebagai bas perantara untuk menyelesaikan masalah ini.

    “Perlu lebih banyak feeder bus (bas perantara), pakai bas mini pun okay. Boleh masuk ke dalam taman-taman perumahan, kampung-kampung,” katanya.

    TIDAK IKUT JADUAL

    Selain isu kesalinghubungan, masalah kekerapan perkhidmatan turut diutarakan ramai pengguna.

    “Perkhidmatan bas perantara ke stesen MRT tidak mengikut jadual, manakala aduan kepada pihak penyedia perkhidmatan tidak dilayan,” komen Raja Mahadi Muhamed Mahmoodiah.

    “Ya. Isu ketibaan bas tidak mengikut jadual. Kalau lewat saya faham. Kerap kali bas tiba awal daripada jadual (khususnya waktu pagi) hal ini menyebabkan pengguna tidak dapat merancang masa untuk ke stesen bas dengan baik,” kata pengguna Facebook Amam Amam.

    Pengguna perkhidmatan KTM Komuter Mukhlis Zulkifli pula berkata sela masa antara ketibaan tren agak lama.

    “Tak boleh ke interval tren dia tak lama sangat? Satu jam untuk bukan waktu puncak tu menyusahkan …kalau time jadual bertukar ataupun tren rosak, comms (pemakluman) kepada penumpang pun tidak konsisten,” komen beliau.

    Pengguna Facebook Faizal My menyuarakan perkara yang sama.

    “Sesekali guna KTM Komuter. Jarak masa antara satu tren dan tren berikutnya agak lama. Memang wajib check jadual betul-betul, sebab kalau terlepas tren tu, memang akan rosak planning satu hari tu sebab tersidai 2-3 jam dekat stesen KTM tu. Satu lagi, projek upgrade landasan rasanya dah bertahun-tahun tak siap-siap sampailah sekarang,” katanya.

    Masalah kekerapan juga mengakibatkan ramai penumpang kerugian masa dan akhirnya memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri.

    “Rumah saya jalan kaki je ke stesen Komuter. Pernah sekali nak cuba naik Komuter ke MidValley Megamall, tengok time ketibaan tren 30 minit, patah balik ambil kereta, 15 minit dah sampai MidValley. Time is gold,” kongsi pengguna Facebook Reedzuan AR.

    APLIKASI PEMANTAUAN TIDAK MEMBANTU

    Beberapa pengguna lain mencadangkan penggunaan sistem pemantauan secara langsung (live monitoring system) bagi kenderaan awam untuk memaklumkan penumpang sekiranya berlaku kelewatan atau masalah teknikal, selain membantu merancang perjalananan.

    “Buat app untuk pengguna tahu di mana kedudukan semasa bas, dan anggaran masa untuk tiba ke arah destinasi dalam masa sebenar (macam live location di Whatsapp) jadi pengguna akan lebih selesa rancang masa untuk naik bas dalam cuaca dan trafik yang tak menentu,” komen Muhd Hasansyukri.

    Pengguna Facebook Diy Faat memberi pendapat sama: “Buat app utk semua bas awam. Jadi kita tahu bila bas akan sampai. Tak perlu menunggu lama. Faedah juga akan dirasa oleh pengusaha bas, sebab akan sentiasa ada penumpang.”

    Namun menurut komen pengguna lain, syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang menyediakan perkhidmatan LRT, KL Monorail, MRT dan Rapid Bus telah pun menyediakan aplikasi sedemikian yang dinamakan PULSE by Prasarana.

    “Boleh tengok app PULSE bawah Prasarana. Boleh tengok lokasi bas dan ETA (anggaran waktu ketibaan),” kata Farid Fatah.

    Bagaimanapun, pengguna Facebook AWei Li WEi berkata aplikasi itu tidak menyampaikan maklumat yang tepat tentang waktu ketibaan bas.

    “Kejap 15 minit, kejap 30 minit, kejap satu jam. Akhirnya tunggu lebih sejam tetapi tak sampai-sampai,” komen beliau.

    Katanya lagi perkhidmatan bas tidak menepati masa terutamanya ketika bulan puasa dan dalam tempoh seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

    “Memang jenuh tunggu bas sampai dua jam. Dalam app tunjuk 15 minit tapi tak ikut pun..banyak kali dah cubaan menaiki pengangkutan awam ke tempat kerja atau pun ke mana-mana. Kalau kesuntukan masa, memang tak boleh percaya, tak konsisten,” katanya.

    Bernama cuba beberapa kali untuk menghubungi Prasarana Malaysia Berhad mengenai permasalahan yang diutarakan pengguna namun belum mendapat sebarang maklumbalas. – BERNAMA

  • Pindaan Perlembagaan UMNO 2022 galakkan kediktatoran dalam UMNO

    Pindaan Perlembagaan UMNO 2022 galakkan kediktatoran dalam UMNO

    Oleh TUN ABDUL HAMID MOHAMAD

    MAKA Persidangan Agung Khas UMNO pada 15 Mei 2022 pun meluluskan pindaan kepada Perlembagaan UMNO. Mari kita lihat pindaan itu dengan lebih dekat. Fasal 10.1.1 setelah dipinda, berbunyi:

    “Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan ATAU tidak lebih daripada enam (6) bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat) yang mana terkemudian.”

    Untuk memudahkan perbincangan ini, saya hanya merujuk kepada jawatan-jawatan yang disebut dam Fasal 9.3 iaitu:

    “Presiden, Timbalan Presiden, tiga orang Naib Presiden dan dua puluh lima orang Ahli Majlis Tertinggi yang dipilih oleh Perhimpunan Agung tiap-tiap 3 tahun sekali.”

    Sebelum dipinda, MKT hanya boleh menangguh pemilihan selama 18 bulan, menjadikan hayat jawatan pemegang-pemegang itu 3 tahun + 18 bulan = 4 tahun 6 bulan. Pemilihan mesti diadakan sebelum tamat tempoh 4 tahun 6 bulan itu.

    Selepas dipinda, MKT ada dua pilihan: tidak lebih daripada 18 bulan ATAU tidak lebih daripada enam (6) bulan selepas diadakan sesuatu PRU.

    Perhatikan perkataan “atau” yang digunakan dalam ayat itu. Ertinya, MKT hanya boleh memilih salah satu daripada dua pilihan yang ada itu.

    Jika pada tarikh tamatnya tempoh tiga tahun itu, tempoh lima tahun hayat Parlimen itu juga akan tamat tidak lama lagi dan MKT mahu tempoh mereka memegang jawatan dilanjutkan seberapa lama yang boleh, lebih baik MKT tidak menggunakan klausa kedua. Ini kerana klausa pertama boleh memberikan mereka 18 bulan tambahan, tidak kira PRU diadakan sebelum tamat tempoh 18 bulan atau tidak.

    Jika dalam keadaan itu mereka menggunakan klausa kedua, pemilihan mesti dibuat dalam tempoh enam bulan selepas PRU diadakan yang, besar kemungkinan, adalah kurang daripada 18 bulan.

    Katakanlah PRU baru sahaja diadakan sebelum tamatnya tempoh tiga tahun itu. Dalam keadaan ini, jika MKT memilih menggunakan klausa pertama, penangguhan hanya selama 18 bulan selepas tarikh tamat tempoh tiga tahun itu.

    Sebaliknya, jika ia memilih klausa kedua, sama ada penangguhan akan lebih atau kurang daripada 18 bulan tertakluk kepada bila PRU berikutnya diadakan. Jika ia diadakan di hujung tempoh lima tahun hayat Parlimen, ia boleh jadi hampir 3 tahun + 5 tahun + 6 bulan = 8 tahun 6 bulan.

     Kita lihat satu senario lagi, iaitu di mana UMNO adalah parti memerintah dan Presiden UMNO adalah Perdana Menteri. Perdana Menteri dan Menteri-Menteri yang kebanyakannya ahli MKT mahu terus memegang jawatan dalam parti seberapa lama yang boleh tanpa pemilihan baru. MKT boleh menggunakan klausa kedua.

    Presiden UMNO boleh mengatur bila tarikh pemilihan diadakan tertakluk kepada apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan UMNO. Sebagai Perdana Menteri beliau boleh pula mengatur tarikh PRU dalam tempoh lima tahun hayat Parlimen itu yang boleh memberi tempoh paling panjang baginya dan penyokong-penyokongnya memegang jawatan parti.

     Ia boleh jadi hampir lapan tahun enam bulan (3 tahun + 5 tahun + 6 bulan = 8 tahun 6 bulan.)

    Ertinya, mereka boleh memegang jawatan hampir tiga kali ganda daripada tempoh tiga tahun asal. Akibatnya, akan berkuranglah amalan demokrasi dalam UMNO dan ia akan menjadikan pemimpin-pemimpin UMNO sebagai diktator.

     Itukah yang dikehendaki olah Presiden, ahli-ahli MKT, penjawat-penjawat UMNO yang menjadi perwakilan dan mengundi meluluskan pindaan itu? Adakah terdapat di antara mereka yang tidak mengetahui akibatnya? Adakah ahli-ahli biasa memahaminya dan mahukan demikian?

    Saya tidak faham apa tujuannya dimasukkan kata-kata “yang mana terkemudian”. Saya tidak nampak bagaimana ia menjadi relevan. MKT hanya boleh memilih satu daripada dua pilihan itu. Jika MKT memilih klausa pertama, pemilihan perlu dibuat sebelum tamat tempoh 18 bulan.

    Tarikh untuk pemilihan berikutnya diketahui pada masa penangguhan dibuat lagi. Jika MKT memilih klausa kedua, pemilihan perlulah dibuat tidak lewat daripada enam bulan selepas PRU diadakan. Bila? Tidak diketahui sebab tarikh PRU berikutnya belum diketahui.

    Biar apa pun, tempoh 18 bulan dan enam bulan selepas PRU berikutnya itu tidak berjalan selari kerana MKT cuma boleh pilih salah satu daripada dua pilihan itu pada sesuatu masa. Dari mana datangnya yang mana terkemudian? Tiga perkataan itu adalah superflous (berlebihan).

    Pendaftar perlu meminta penjelasan daripada UMNO apakah tujuannya memasukkan perkataan-perkataan itu. Jika penjelasan yang memuaskan tidak dapat diberi dan Pendaftar hendak meluluskan juga pindaan itu, perkataan-perkataan itu hendaklah dipotong.

    Kita tahu bahawa pindaan itu tidak akan berkuatkuasa melainkan setelah ia diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. Peruntukan undang-undang mengenainya berbunyi begini:

    “1. Tiadalah sesuatu pertubuhan berdaftar boleh –

    (a) …

    (b) meminda aturan-aturannya,

    dengan tidak terlebih dahulu mendapat kebenaran Pendaftar…”

    Peruntukan ini langsung tidak menyebut apa tujuan mendapat kelulusan itu dan apakah faktor-fakor yang perlu dipertimbangkan sama ada kelulusan hendak diberi atau tidak.

     Mengikut laporan akhbar, ditanya oleh wartawan, Ketua Pengarah (Pendaftar) menjelaskan:

    “Kami perlu meneliti pindaan itu dari segi istilah dan terma-terma dalam perlembagaan parti itu, selain meneliti proses Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) termasuk jumlah kehadiran mesyuarat.

    …ada banyak perkara perlu diteliti, lebih lagi ini membabitkan terma perundangan berkaitan perlembagaan parti…”

    Pejelasan Pendaftar pun hanya sekadar menyebut untuk meneliti terma dan istilah yang digunakan dan prosedur mesyuarat, dalam kata lain, format, bukan isi.

    Biar apa pun kita tunggulah keputusan Pendaftar. Tetapi, jika pindaan itu diluluskan sekalipun, ia tidak boleh digunakan untuk menangguh tarikh pemilihan sekali lagi untuk melanjutkan tempoh jawatan penjawat-penjawat pada masa ini. Berbuat demikian bererti menggunakan kedua-dua pilihan itu, lepas satu, satu. Itu tidak dibenarkan oleh pindaan itu.

    Saya sarankan UMNO kembali ke pangkal jalan. Tiga tahun sekali pemilihan sudah cukup panjang. Dalam keadaan yang sangat terkecuali, penangguhan tidak lebih dari enam bulan adalah patut dan memadai. Lebih dari itu, apatah lagi seperti pindaan baru ini, ia mengurangkan amalan demokrasi dan menggalakkan kediktatoran dalam parti. Sama ada ia digunakan sedemikian atau tidak bukanlah isunya. Isunya mengapa mengesahkan apa yang sepatutnya menjadi penyalahgunaan kuasa?

    • Tun Abdul Hamid Mohamad adalah bekas Ketua Hakim Negara. Artikel ini dipetik daripada blog https://tunabdulhamid.me