Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

Penulis sebenarnya tidak senang duduk apabila melihat kedudukan ringgit yang semakin melemah akhir-akhir ini.

Tambah membimbangkan apabila Menteri Kewangan tahun 1976-1984, Tengku Razaleigh Hamzah telah menggesa kerajaan supaya bertindak mengatasi krisis ringgit dengan menumpukan pembaikan pasaran tukaran mata wang asing.

Tengku Razaleigh atau Ku Li yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Bank Dunia dan IMF, Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Islam itu juga berkata, ringgit juga dijangka merosot dalam masa terdekat.

Katanya, ada ramalan yang mengatakan nilai ringgit boleh merosot sehingga RM5.50 berbanding AS$1.

Seperti yang semua sedia ketahui, tiga hari lepas ringgit telah merosot kepada RM4.40 kepada AS$1 dan berbanding jiran terdekat kita Singapura, Malaysia telah merekodkan nilai terendah dalam sejarah apabila 1 Dolar Singapura bersamaan RM3.1964.

Dengan kemerosotan tersebut, banyak impak yang dirasai oleh rakyat Malaysia ketika ini kerana pada tahun 2020 sahaja, Malaysia mengimport makanan bernilai RM55.4 bilion. Sudah pasti, lebih banyak wang perlu dikeluarkan kerajaan apabila nilai ringgit merosot dengan mendadak.

Contoh mudah yang kita sudah rasa dan akan mulai rasa dalam masa terdekat ialah harga barang di sekeliling kita akan meningkat ketara kerana kebanyakan barang dan produk yang berada di dalam negara diimport dari luar. Daripada alat ganti kenderaan, pakaian, makanan dan apa saja yang diimport sudah mengalami kenaikan dan akan meningkat jika nilai ringgit terus merosot.

Penulis ada ternampak iklan kedai 2 Ringgit di kawasan kejiranan yang terpaksa menaikkan harga barang dijual kepada RM2.20, kemudian RM2.40 dan baru-baru ini terpaksa menaikkan lagi kepada RM2.60 kerana harga barang yang diimport itu mengalami kenaikan harga.

Banyak peniaga juga mengeluh kerana tidak mampu mengekalkan harga barangan jualan masing-masing ketika ini dan ada yang telah gulung tikar kerana tidak mampu membuat pusingan modal bagi mengimbangi pelbagai kos yang meningkat mendadak.

Dalam media sosial pula, banyak keluhan rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat di mana kadar inflasi yang tinggi menjadikan nilai wang yang berada di tangan rakyat menyusut dengan ketara. Ia dapat dirasai apabila nilai RM50 yang dimiliki ketika ini, tidak banyak barang yang mampu dibeli kerana kebanyakan produk yang dijual mengalami peningkatan yang berlipat kali ganda.

Mereka juga bimbang apabila kerajaan dilihat tidak kompeten untuk menangani isu kejatuhan ringgit.

Ini kerana sehingga kini belum ada sebarang kenyataan konkrit daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu kejatuhan ringgit sama ada beliau tidak mahu campur ataupun membiarkan isu yang amat penting itu diuruskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sepatutnya isu besar melibatkan ringgit perlu keprihatinan segera PM berbanding isu-isu sampingan lain yang mungkin boleh diuruskan di ‘level’ menteri sahaja. Penulis percaya PM memahami perkara ini dan pasti akan melakukan sesuatu ‘demi Keluarga Malaysia dikasihi’.

*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here