Category: Luar Negara

  • Suami penggal kepala isteri, sumbat anggota badan dalam guni

    Suami penggal kepala isteri, sumbat anggota badan dalam guni

    SEORANG suami memenggal kepala isterinya dan membawa anggota badan yang disumbat dalam guni dengan meronda-ronda menunggang motosikal di sekitar kampung, di Phnom Penh, Kemboja, Jumaat lalu.

    Phuong Ratha, 27, dipercayai memenggal kepala Ly Srey Nouch, 23, selepas dia mendapati isterinya itu berlaku curang dengan lelaki lain.

    Phuong dikatakan menyerang isterinya di rumah sewa mereka yang turut didiami anak lelakinya berusia setahun, dengan memotong leher menggunakan pisau pemotong daging.

    Lelaki itu kemudian memasukkan kepala Ly Srey dalam guni putih dan membawanya mengelilingi kampung sebelum membuangnya dalam tempat pembuangan sampah berhampiran.

    Selepas kejadian, jiran pasangan itu, Phan Sreyphet, 48, yang memeriksa rumah mereka mendapat badan Ly Srey dipotong beberapa bahagian dan darah berlumuran di atas lantai.

    Tidak beberapa lama kemudian, polis melancarkan operasi memburu suspek dan berjaya menemuinya sehari selepas itu di kampung halamannya di wilayah Takeo yang terletak kira-kira 96 kilometer dari rumah sewa mereka.

    Semasa soal siasat, Phuong memberitahu polis bahawa dia memenggal kepala isterinya kerana cemburu dan bertindak menyembunyikan kepala itu.

    “Saya cemburu kerana isteri saya curang. Saya tidak memukulnya sebelum membunuhnya, tetapi menggunakan pisau besar untuk memenggal lehernya,” katanya menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi.

    Sementara itu, satu kenyataan disiarkan polis daerah Boeung Kak menyatakan mayat mangsa ditemui berlumuran darah oleh jiran mereka sebelum menghubungi polis pada jam 7 malam (waktu tempatan).

  • Tentera rejim Zionis Israel tembak mati wanita Palestin

    Tentera rejim Zionis Israel tembak mati wanita Palestin

    SEORANG wanita Palestin maut ditembak tentera Israel di Tebing Barat pada Rabu, lapor Agensi Anadolu, memetik kenyataan Kementerian Kesihatan.

    Ghufran Harun Warasneh, ditembak di dada berhampiran kem Al-Aroub, utara Hebron.

    Menurut Bulan Sabit Merah Palestin, tentera Israel menghalang pegawai perubatan untuk sampai ke tempat kejadian selama kira-kira 20 minit.

    Wanita Palestin itu dimasukkan ke hospital Al-Ahly dalam “keadaan kritikal” sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

    Tentera Israel bagaimanapun mendakwa wanita itu bersenjatakan pisau dan cuba menyerang seorang anggotanya, menyebabkan tentera bertindak melepaskan tembakan. – BERNAMA

  • Bayi 40 hari ‘mengandung’, janin ditemukan dalam perutnya

    Bayi 40 hari ‘mengandung’, janin ditemukan dalam perutnya

    PUSAT Perubatan Rahmania di Motihari, India, gempar apabila seorang bayi yang hanya berusia 40 hari di India didapati mempunyai janin di dalam perutnya.

    Perkara itu terbongkar apabila bayi dibawa ke pusat berkenaan untuk rawatan sebelum doktor menemui kes perubatan luar biasa itu.

    Menurut Harian Metro yang memetik laporan agensi berita ANI, doktor diberitahu bayi itu mengalami kembung perut hingga tidak dapat membuang air kecil dengan baik, sebelum doktor membuat pemeriksaan lanjut.

    Dr. Tabrez Aziz di pusat perubatan terbabit membuat imbasan Tomografi Berkomputer (CT) sebelum menemui janin yang berkembang di dalam perut bayi itu.

    Menurut Dr. Tabrez, dalam istilah perubatan, kes berkenaan digelar fetus dalam janin atau kehadiran janin di dalam perut bayi.

    Katanya, keadaan luar biasa itu hanya berlaku satu dalam 500,000 pesakit.

    “Satu anomali (perubatan yang jarang berlaku) terbongkar di mana janin dilihat berkembang di dalam perut bayi berusia 40 hari.

    “Ia dipanggil fetus dalam janin. Bayi itu sudah menjalani pembedahan dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

    Beliau berkata, bayi itu kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan membuang janin berkenaan dan dibenarkan keluar dari hospital.

  • Lebih 100 pelombong emas terbunuh dalam keganasan

    Lebih 100 pelombong emas terbunuh dalam keganasan

    LEBIH 100 pelombong emas terbunuh manakala 40 lagi cedera dalam keganasan yang tercetus pada minggu lalu di lombong emas Kouri Bougoudi di utara Chad, kata seorang pegawai pada Isnin.

    Imej tersebar di media sosial memaparkan jasad bergelimpangan atau hangus di lombong emas yang terletak di wilayah Tibesti bersempadan dengan Libya, lapor Xinhua.

    “Insiden tercetus akibat pertengkaran antara dua individu… kemudian ia bertukar menjadi pertempuran yang dahsyat.

    “Anggota tentera telah dikerah ke lokasi berkenaan bagi menyuraikan pertelingkahan itu.

    “Operasi di tapak perlombongan emas telah digantung dan semua warga asing dipindahkan ke Libya, manakala rakyat tempatan ditempatkan di Wour oleh pasukan tentera,” Daoud Yaya Brahim, seorang menteri Majlis Presiden, dipetik sebagai berkata.

    Sejak 2017, lombong emas Tibesti yang terletak di kawasan pergunungan, telah menarik perhatian puluhan ribu rakyat Chad, dan pelombong emas dari Libya, Nigeria serta negara jiran lain. – Bernama

  • Semua mayat mangsa nahas pesawat Nepal sudah ditemui

    Semua mayat mangsa nahas pesawat Nepal sudah ditemui

    JASAD terakhir mangsa tragedi pesawat penumpang Nepal telah ditemui pagi ini, menjadikan kesemua 22 mangsa nahas berjaya ditemui, menurut Tentera Nepal.

    “Jasad terakhir telah ditemui. Sedang menguruskan untuk membawa 12 jasad terakhir dari lokasi nahas ke Kathmandu,” menurut ciapan Brigadier Jeneral Narayan Silwal, jurucakap Tentera Nepal, yang mengetuai usaha mencari dan menyelamat.

    Siasatan awal mendapati keadaan cuaca buruk menyebabkan pesawat Twin Otter itu terhempas di kawasan berbukit di daerah Mustang Nepal, tetapi siasatan penuh tragedi berkenaan akan dilakukan pasukan penyiasat lima anggota, jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal, Deo Chandra Lal Karn memberitahu Xinhua.

    Pesawat Tara Air hilang pada pagi Ahad sejurus berlepas dari bandar Pokhara, Nepal menuju ke Jomsom di daerah Mustang.

    Seramai 19 penumpang, termasuk 13 warga Nepal, empat warga India dan dua warga Jerman berada di dalam penerbangan itu bersama tiga anak kapal.

    Tentera Nepal menemui lokasi nahas termasuk 21 mayat pada pagi Isnin dan 10 jasad telah diterbangkan ke Kathmandu pada hari yang sama. – Bernama

  • Satu bilion pil syabu dirampas

    Satu bilion pil syabu dirampas

    SEBANYAK satu bilion pil methamphetamine atau syabu dirampas di Asia Tenggara dan Asia Timur sepanjang tahun lalu sekali gus menjadikan rekod rampasan terbesar setakat ini.

    Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan perkara itu ketika kumpulan penjenayah mengeksploitasi Covid-19 dan ketidakstabilan di Myanmar yang dilanda rampasan kuasa untuk meningkatkan aktiviti mereka.

    Kawasan Asia Tenggara yang dipanggil Segi Tiga Emas di sempadan Myanmar, Laos dan Thailand, sudah lama menjadi tumpuan untuk pengedaran dadah.

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan Bangkok Post, kawalan polis tempatan yang longgar membenarkan bahan haram itu melintasi sempadan negara.

    Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Jeremy Douglas berkata, penguatkuasaan undang-undang merampas hampir 172 tan methamphetamine.

    “Jumlah itu kira-kira tujuh kali lebih daripada rampasan sedekad lalu.
    Bekalan dadah yang melonjak menyebabkan harga jalanan di Thailand dan Malaysia, jatuh ke paras terendah sepanjang masa.

    “Skala dan jangkauan perdagangan dadah methamphetamine dan dadah sintetik di Asia Timur dan Asia Tenggara adalah mengejutkan.

    “Sindiket jenayah dan kumpulan bersenjata memanfaatkan ketidakstabilan politik di rantau ini dan Covid-19 untuk meraih keuntungan.

    “Jenayah terancang mempunyai semua ‘ramuan’ yang mereka perlukan untuk terus mengembangkan perniagaan apatah lagi mereka mempunyai populasi besar dengan sasaran kuasa perbelanjaan,” katanya.

    Penganalisis Ubat Sintetik Serantau UNODC untuk program SMART global, Kavinvadee Suppapongtevasakul berkata, harga dadah yang menjunam, menjadikannya lebih mudah diakses dan tersedia kepada mereka yang tidak mampu membelinya sebelum ini.

    “Kesan sosial daripada peningkatan penggunaan dadah adalah ketara dan perkhidmatan pengurangan kesihatan dan bahaya kekal terhad di seluruh rantau ini,” katanya.

    Walaupun angka pil methamphetamine meningkat, UNODC juga mencatatkan sedikit penurunan dari segi kristal methamphetamine dengan 79 tan dirampas.

    Ini berbanding 82 tan pada 2020, namun jumlah itu masih meningkat secara mendadak daripada 10 tan yang diambil sedekad lalu.

    Negeri Myanmar utara, Shan, kekal sebagai wilayah sumber utama methamphetamine dengan peningkatan penghantaran dadah masuk melalui Laos, Thailand, sebelum tiba di Malaysia di mana ia diedarkan ke negara di seluruh Asia Pasifik.

  • Virus cacar monyet boleh tular melalui hubungan seks

    Virus cacar monyet boleh tular melalui hubungan seks

    VIRUS cacar monyet dikhuatiri boleh menular melalui hubungan seks, menurut pihak berkuasa kesihatan United Kingdom (UK).

    Sehubungan itu, agensi-agensi kesihatan di negara berkenaan menasihatkan mereka yang dijangkiti virus tersebut agar tidak melakukan hubungan seks.

    Memetik laporan Mirror, nasihat itu terkandung dalam panduan terkini yang disedakan empat agensi kesihatan awam iaitu Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA), Kesihatan Awam Scotland (PHS), Kesihatan Awam Wales (PHW) dan Agensi Kesihatan Awam Ireland Utara (PHA).

    Mereka turut menasihatkan agar pesakit cacar monyet yang telah sembuh mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai kondom ketika melakukan hubungan seks.

    “Pesakit mesti menahan diri daripada melakukan hubungan seks pada peringkat awal simptom dikesan dan mengelakkan sentuhan dengan cacar.

    “Walaupun tiada bukti yang menunjukkan cacar monyet boleh disebarkan melalui sperma, sebagai langkah berjaga-jaga, pesakit dinasihatkan memakai kondom dalam masa lapan minggu selepas dijangkiti,” jelasnya.

    Sebelum ini, mereka menyatakan bahawa cacar monyet disebarkan melalui sentuhan fizikal, khususnya menerusi cacar dan kudis pesakit.

    “Pesakit cacar monyet perlu mengelakkan sentuhan dengan orang lain sehingga cacar mereka sembuh dan kudis menjadi kering.

    “Mereka boleh mengurangkan risiko penularan virus dengan mematuhi kaedah pembersihan dan nyahjangkitan standard serta mencuci pakaian dan alas tilam dengan sabun secara berasingan,” tambahnya.

    Pihak berkuasa kesihatan UK turut menasihatkan pesakit cacar monyet agar mengasingkan diri di rumah sehingga mereka sembuh.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran, jumlah kes cacar monyet di seluruh dunia mungkin lebih tinggi kerana dipercayai banyak kes yang tidak dilaporkan.

  • [VIDEO] Pesawat bawa 22 penumpang terhempas

    [VIDEO] Pesawat bawa 22 penumpang terhempas

    PESAWAT Nepal yang hilang dengan 22 penumpang di dalamnya ditemukan terhempas, lapor Xinhua, memetik Tentera Nepal pada pagi Isnin.

    “Pesawat Tara Air ditemukan terhempas di Sanosware di Bahagian-2 Perbandaran Luar Bandar Thasang di daerah Mustang,” kata jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Narayan Silwal dalam satu kenyataan.

    “Butiran lanjut mengenainya akan menyusul.”

    Pesawat Twin Otter yang membawa 19 penumpang dan tiga anak kapal, termasuk empat warga India dan dua warga Jerman, hilang pada pagi Ahad ketika dalam penerbangan dari bandar Pokhara ke bandar pergunungan Jomsom di daerah Mustang.

    Dalam perkembangan terkini, sebanyak 14 mayat ditemukan di lokasi nahas pesawat penumpang Nepal di kawasan berbukit terpencil di daerah Mustang Nepal, lapor Xinhua, memetik Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal pada Isnin.

    “Empat belas mayat ditemukan di lokasi tetapi identiti mereka masih belum didedahkan,” kata agensi penerbangan itu dalam satu kenyataan.

    Keadaan cuaca buruk menyukarkan operasi mencari dan menyelamat yang diketuai oleh Tentera Nepal.

    Pasukan penyelamat dengan 11 anggota berada di lokasi nahas untuk mencari mayat mangsa, dan disebabkan keadaan cuaca buruk tiada pasukan lain dapat terbang ke lokasi, ketua pegawai daerah Mustang Netra Prasad Sharma memberitahu Xinhua.

    “Kawasan itu mendung sehingga mengganggu jarak penglihatan,” katanya. – BERNAMA

  • PM Sri Lanka jemput penunjuk perasaan sertai kerajaan

    PM Sri Lanka jemput penunjuk perasaan sertai kerajaan

    KERAJAAN Sri Lanka menjemput penunjuk perasaan dalam kalangan belia untuk menjadi sebahagian daripada pemerintah di bawah reformasi politik.

    Perdana Menteri Sri Lanka mencadangkan perkara itu untuk menyelesaikan krisis politik akibat daripada kejatuhan ekonomi.

    Menurut Ranil Wickremesinghe, di bawah cadangan reformasi perlembagaan, kuasa Presiden akan dikurangkan dan kuasa Parlimen diperkukuhkan.

    Jelasnya, tadbir urus akan dilaksanakan secara meluas melalui jawatankuasa Parlimen yang bertanggungjawab bagi subjek yang berbeza.

    “Ini akan membolehkan penggubal undang-undang, belia dan pakar bekerjasama,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Ranil menyeru belia untuk perubahan dalam sistem sedia ada, oleh itu kerajaan mencadangkan untuk melantik empat wakil belia bagi setiap 15 jawatankuasa.

    Penunjuk perasaan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda telah berkhemah di luar pejabat Presiden selama lebih 50 hari.

    Mereka menuntut peletakan jawatan Presiden Gotabaya Rajapaksa selain meminta beliau dan keluarganya bertanggungjawab terhadap krisis ekonomi terburuk negara.

    Mereka juga mahukan rombakan tadbir urus kerana menyatakan pentadbiran sejak merdeka daripada Britain pada 1948 telah membawa kepada krisis ekonomi dan sosial.

    Pelajar telah mengetuai protes hampir setiap hari dan ada yang ganas di ibu negara, Colombo dan tempat lain ketika Sri Lanka berada di ambang muflis.

  • Pesawat persendirian hilang, apa nasib 22 penumpang?

    Pesawat persendirian hilang, apa nasib 22 penumpang?

    SEBUAH pesawat persendirian yang membawa 22 penumpang dilaporkan hilang di Nepal, kata pegawai pada Ahad.

    Pesawat milik Tara Air itu berlepas dari bandar Pokhara.

    Pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Fanindra Mani Pokharel memberitahu Agensi Anadolu operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan.

    “Terdapat 19 penumpang dan tiga anak kapal di dalam pesawat itu,” katanya.

    Pesawat itu terputus hubungan pada pagi Ahad sejurus berlepas dari lapangan terbang.

    Akhbar Kathmandu Post melaporkan beberapa rakyat India turut berada di dalam pesawat itu. – BERNAMA