VIRUS cacar monyet dikhuatiri boleh menular melalui hubungan seks, menurut pihak berkuasa kesihatan United Kingdom (UK).

Sehubungan itu, agensi-agensi kesihatan di negara berkenaan menasihatkan mereka yang dijangkiti virus tersebut agar tidak melakukan hubungan seks.

Memetik laporan Mirror, nasihat itu terkandung dalam panduan terkini yang disedakan empat agensi kesihatan awam iaitu Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA), Kesihatan Awam Scotland (PHS), Kesihatan Awam Wales (PHW) dan Agensi Kesihatan Awam Ireland Utara (PHA).

Mereka turut menasihatkan agar pesakit cacar monyet yang telah sembuh mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai kondom ketika melakukan hubungan seks.

“Pesakit mesti menahan diri daripada melakukan hubungan seks pada peringkat awal simptom dikesan dan mengelakkan sentuhan dengan cacar.

“Walaupun tiada bukti yang menunjukkan cacar monyet boleh disebarkan melalui sperma, sebagai langkah berjaga-jaga, pesakit dinasihatkan memakai kondom dalam masa lapan minggu selepas dijangkiti,” jelasnya.

Sebelum ini, mereka menyatakan bahawa cacar monyet disebarkan melalui sentuhan fizikal, khususnya menerusi cacar dan kudis pesakit.

“Pesakit cacar monyet perlu mengelakkan sentuhan dengan orang lain sehingga cacar mereka sembuh dan kudis menjadi kering.

“Mereka boleh mengurangkan risiko penularan virus dengan mematuhi kaedah pembersihan dan nyahjangkitan standard serta mencuci pakaian dan alas tilam dengan sabun secara berasingan,” tambahnya.

Pihak berkuasa kesihatan UK turut menasihatkan pesakit cacar monyet agar mengasingkan diri di rumah sehingga mereka sembuh.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran, jumlah kes cacar monyet di seluruh dunia mungkin lebih tinggi kerana dipercayai banyak kes yang tidak dilaporkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here