PENGUNJUNG Melaka River Cruise (MRC) berpeluang makan durian selepas menaiki bot menelusuri Sungai Melaka dengan membeli pakej ‘Cruise dan Makan Durian’ yang ditawarkan selama dua bulan sempena musim raja buah itu bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata, menerusi pakej itu, pengunjung berpeluang makan durian sampai puas dengan hanya membayar RM50 untuk tiket dewasa dan kanak-kanak (RM30).

Beliau berkata, pakej berkenaan menawarkan durian kampung yang berkualiti tinggi selain turut menawarkan durian tembaga serta musang king, dengan bekalan diperoleh dari Jementah dan Segamat di Johor selain Melaka sendiri.

“Pakej ‘Cruise dan Makan Durian’ adalah produk baharu MRC khususnya bagi musim durian yang baru menjelang tiba ini dan pakej ini amat murah dan berbaloi terutama untuk penggemar durian.

“Sebagai contoh, untuk harga pakej dewasa, harga tiket menaiki bot adalah RM25 manakala harga makan durian sampai puas adalah RM25 dan ia adalah sangat murah lebih-lebih lagi harga durian ketika ini masih mahal,” katanya pada sidang akhbar di Melaka, hari ini.

Beliau berkata, pengunjung MRC boleh menikmati raja buah itu di bawah khemah yang disediakan di jeti mereka menaiki bot iaitu sama ada di Jeti Taman Rempah di Pengkalan Rama atau di Jeti Samudera di Bandar Hilir.

Katanya, pengunjung akan diberi masa kira-kira 40 minit untuk makan durian sambil bersantai di tepi Sungai Melaka selepas menaiki MRC dan pakej itu ditawarkan setiap hari bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Murad berkata pakej berkenaan tertakluk kepada bekalan durian yang diperoleh daripada pembekal yang dilantik iaitu Pokok Besar Gulai Kawah Enterprise, bagaimanapun pihaknya komited memastikan bekalan tidak terjejas dalam tempoh dua bulan itu.

Beliau berkata orang ramai yang ingin makan durian tanpa menaiki bot MRC juga dialu-alukan dengan membayar harga RM35 (dewasa) dan RM25 (kanak-kanak) dan mereka boleh membeli durian tersebut untuk dibawa pulang pada harga yang ditetapkan pembekal.

Katanya, kira-kira lima peratus daripada 115,000 pengunjung MRC yang disasarkan dalam tempoh Jun dan Julai ini membeli pakej ‘Cruise dan Makan Durian’ dan setakat ini, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak berkaitan pakej berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 253,892 pelancong telah menaiki MRC dan jumlah berkenaan dijangka terus meningkat menerusi pelbagai produk baharu lain yang ditawarkan seperti pakej makan di atas Kapal Mendam Berahi, bot loncat-loncat dan bot ‘everlasting love’. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here