SEORANG juruterbang maut selepas pesawat dipandunya terhempas ketika menyertai misi memadamkan kebakaran di perbandaran Vila Nova de Foz Coa di Portugal, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa tempatan.
Pejabat Penyiasatan dan Pencegahan Kemalangan Pesawat dan Kereta Api telah melancarkan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar nahas itu.
Presiden Marcelo Rebelo de Sousa turut melahirkan rasa sedih dengan insiden itu.
https://youtu.be/hKGxaFXJWYw
Portugal diancam kebakaran berikutan suhu panas mencecah lebih 45 darjah Celsius melanda beberapa bahagian di negara ini. – BERNAMA
IVANA Trump, bekas isteri Donald Trump, meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian perut, kata ketua forensik bandar raya New York dan memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat kemalangan.
Paramedik Manhattan menemui wanita berusia 73 tahun itu di pangsapuri Upper East Side selepas menerima panggilan kecemasan akibat serangan jantung pada Khamis. Ivana Trump diisytihar meninggal dunia pada tengah hari berkenaan.
Pejabat forensik tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara yang menyebabkan kecederaan sehingga membawa maut itu, lapor United Press International (UPI) yang dipetik CBS News.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Bandar Raya New York memberitahu NBC News, kematiannya disyaki akibat terjatuh tangga di pangsapurinya.
Sumber berkata kematiannya tidak dikategorikan sebagai mencurigakan.
Ivana Trump adalah isteri pertama kepada bekas presiden Donald Trump dan pasangan itu dikurniakan tiga anak, Donald Trump Jr., Eric Trump dan Ivanka Trump.
PIHAK berkuasa Mexico pada Jumaat memaklumkan Rafael Caro Quintero, anggota pengasas sebuah daripada kartel dadah terbesar Mexico, ditahan tentera laut.
Caro Quintero, bersama rakan kongsi, Miguel Angel Felix Gallardo, menjadi pengasas bersama Kartel Guadalajara, sebuah daripada tiga kartel dadah terbesar Mexico.
Kartel Guadalajara didakwa menerajui penyeludupan ganja, kokain dan heroin ke Amerika Syarikat (AS), menjadikannya sebagai sasaran utama pihak berkuasa AS, lapor Agensi Anadolu.
Pernah ditahan pada 1985 atas pelbagai tuduhan termasuk menculik, mendera dan membunuh ejen Agensi Penguatkuasaan Dadah AS (DEA), Enrique “Kiki” Camarena, Caro Quintero dibebaskan pada 2013 selepas merengkuk selama 28 tahun di penjara.
Camarena berjaya menyusup ke dalam Kartel Guadalajara dan menjadi tamparan hebat terhadap kartel berkenaan.
Menerusi satu operasi bersama dengan DEA pada 1984, pihak berkuasa Mexico merampas 4,000 tan marijuana di sebuah ladang milik Caro Quintero dan dianggap rampasan dadah terbesar dalam sejarah negara berkenaan.
Caro Quintero menyalahkan Camarena yang mengakibatkannya kerugian berpuluh juta dolar dan mengarahkan supaya ejen DEA itu diculik dan dibunuh.
Selepas hakim persekutuan membenarkan dia dibebaskan pada 2013, Pejabat Peguam Negara Mexico mengeluarkan satu lagi waran tangkap terhadap Caro Quintero, kali ini untuk diekstradisi ke AS.
Sejak itu, Caro Quintero sentiasa menjadi buruan. Dia menjadi pelarian paling dikehendaki DEA dan agensi berkenaan menawarkan ganjaran sehingga AS$20 juta untuk mendapatkan maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah itu.
Dia berulang kali menafikan terbabit dalam pengedaran dadah. – BERNAMA
ANAK lelaki bekas Presiden Honduras, Porfirio Lobo Sosa, bersama tiga lagi lelaki maut ditembak di Tegucigalpa awal Khamis, menurut polis Honduras.
Rakaman video yang dikeluarkan pihak media memaparkan lelaki bersenjata yang lengkap berpakaian seperti anggota polis telah menarik keempat-empat mangsa keluar dari sebuah kereta dan memaksa mereka berbaris menghadap dinding sebelum menembak kepala mereka.
Kejadian berlaku pada 2 pagi waktu tempatan (0800 GMT) di tempat letak kereta bangunan Torre Morazan, lapor media tempatan.
Mereka yang terbunuh ialah Said Omar Lobo Bonilla, anak lelaki Lobo Sosa, Luis Zelaya, anak saudara Jeneral Romeo Vasquez yang telah bersara.
Bekas Presiden Honduras, yang memegang jawatan dari 2010 hingga 2014 menggelar penyerang sebagai “pembunuh terlatih.”
Seorang lagi anak lelakinya yang berada dalam kenderaan lain tidak diapa-apakan. – BERNAMA
SEORANG ibu muda di Brazil meninggal dunia selepas tindik di bibirnya terkena jangkitan.
Andressa Souza, 20, ibu kepada seorang anak lelaki berusia 3 tahun, dimasukkan ke unit rawatan rapi selama 24 hari selepas mendapat jangkitan dari tindikan bibirnya yang dilakukan dua bulan lalu.
Ibunya, Maria Aparecida da Silva Oliveira, 47 memberitahu media tempatan, jangkitan tersebut merebak ke saluran darah dan mencecah otak anaknya.
“Kami nampak bibirnya bengkak dan tidak boleh bergerak. Ia bengkak dan kami tidak boleh mengeluarkan tindik itu. Jangkitan kuman tersebut masuk ke saluran darahnya dan merebak ke otak,” kata Maria.
Maria berkata, anaknya membayar 57.54 Real (RM47.46) untuk membuat tindik itu namun dia tidak tahu sama ada orang yang melakukan hiasan tersebut mempunyai lesen atau tidak.
Andressa meninggal dunia di unit rawatan rapi Hospital da Vida di Dourados, Brazil pada 9 Julai lalu.
Doktor memberitahu Maria jangkitan kuman merebak sebanyak 37% ke dalam otak anaknya dan jika pulih sekalipun, Andressa akan berada dalam keadaan mati otak buat selama-lamanya.
KETUA Jabatan Polis Jepun, Itaru Nakamura, pada Rabu mengakui kegagalan pihaknya dalam menjalankan tugas melindungi bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, lapor Sputnik.
“Kami kesal bahawa bekas Perdana Menteri telah ditembak mati. Anggota polis gagal melaksanakan tugas mereka untuk menjamin keselamatan. Sebagai seorang anggota polis, saya kesal.
“Puncanya bukan sahaja membabitkan kegagalan pihak polis bertindak secara spontan sewaktu kejadian; tetapi tanggungjawab besar saya sebagai ketua jabatan, yang sepatutnya menguruskan tugasan semua anggota polis di wilayah itu,” kata Nakamura.
Pada masa yang sama, Nakamura menyatakan hasratnya untuk terus memegang jawatan itu, untuk memastikan perkara sama “tidak berulang lagi.”
Abe maut akibat ditembak pada pagi Jumaat di bandar Nara, Jepun ketika sedang berkempen untuk pilihan raya.
Suspek, Tetsuya Yamagami, 41, menghampiri ahli politik itu dari belakang dan melepaskan dua das tembakan dari jarak kira-kira 10 meter (33 kaki).
Polis memaklumkan ketika kejadian, Abe masih sedarkan diri, tetapi keadaannya menjadi semakin kritikal ketika dalam perjalanan ke hospital.
Hospital Universiti Perubatan Nara kemudiannya mengesahkan Abe meninggal dunia. – BERNAMA
KERAJAAN Sri Lanka mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan perintah berkurung telah dikenakan di Wilayah Barat negara tersebut.
Pada masa sama, polis telah menggunakan gas pemedih mata ke atas orang ramai yang melakukan tunjuk perasaan antikerajaan.
Astro Awani melaporkan, sebelum ini, Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa melarikan diri ke Maldives pada awal Rabu.
Tindakan itu dilakukan selepas dilaporkan ‘terperangkap’ di lapangan terbang akibat dihalang pegawai imigresen daripada menaiki pesawat.
Rajapaksa dan isteri meninggalkan kediaman rasminya yang dibanjiri puluhan ribu rakyat terdiri daripada penunjuk perasaan antikerajaan.
Beliau kemudiannya terpaksa bermalam di pangkalan tentera yang terletak bersebelahan lapangan terbang antarabangsa di Colombo.
Rajapaksa, 75 tahun, dipercayai mahu melarikan diri ke luar negara bagi mengelak daripada diberkas sebelum meletakkan jawatan.
Sementara itu, pembangkang utama Sri Lanka akan mencalonkan ketuanya, Sajith Premadasa, sebagai presiden negara itu apabila pilihan raya diadakan di Parlimen pada 20 Julai.
Perkara itu dimaklumkan seorang pegawai Parti Samagi Jana Balawegaya itu kepada agensi berita Reuters pada Selasa.
Pencalonan Premadasa disokong barisan kepimpinan dan akar umbi parti itu.
RAKYAT Malaysia yang tinggal di Sri Lanka dinasihatkan kekal berada di rumah selepas kerajaan mengenakan perintah berkurung.
“Sila patuhi perintah berkurung yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan berikutan bantahan besar-besaran di Colombo pada masa ini,” ciap Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka di Twitter.
Misi diplomatik meminta mereka untuk berada di rumah selepas media tempatan melaporkan penunjuk perasaan sedang berarak menuju ke pejabat perdana menteri meskipun perintah berkurung dilaksanakan.
Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe mengenakan perintah berkurung di Wilayah Barat dan darurat di negara itu, lapor Daily Mirror di laman sesawangnya.
Ia susulan Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa dilaporkan meninggalkan negara itu dengan menaiki pesawat tentera pada Rabu.
Menurut media Sri Lanka, beliau melarikan diri ke Maldives sebelum meneruskan perjalanannya ke negara lain.
Rakyat Sri Lanka semakin kecewa dengan kemelut kewangan yang dihadapi ketika negara itu bergelut untuk mengatasi krisis ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. – Bernama
KENAIKAN harga makanan telah memburukkan lagi krisis makanan global, lapor Xinhua, memetik agensi bantuan bukan kerajaan Jerman, Welthungerhilfe pada Selasa.
“Berjuta-juta orang berdepan kebuluran, kerana keluarga tidak lagi mempunyai apa-apa sumber.
“Kenaikan harga menjadikan keadaan semakin sukar buat golongan termiskin,” kata setiausaha agung Welthungerhilfe, Mathias Mogge.
Harga makanan meningkat sebanyak 28 peratus pada 2021 di seluruh dunia, dan keadaan diburukkan lagi dengan konflik Rusia-Ukraine, menurut laporan tahunan Welthungerhilfe 2021.
Jumlah penduduk dunia yang kelaparan meningkat kepada 811 juta setakat ini dan keadaan semakin meruncing di Yaman, Afghanistan dan Selatan Sudan.
“Selain itu, Madagascar dan negara-negara Afrika Timur turut terjejas teruk. Di negara-negara ini, kemarau yang melanda mempengaruhi “iklim persekitaran,” menurut laporan itu.
Welthungerhilfe memaklumkan, konflik bersenjata sejak beberapa tahun kebelakangan turut menyumbang kepada punca masalah kelaparan selain faktor perubahan iklim.
“Peperangan mempunyai kesan besar terhadap sistem makanan sebagai contoh, ladang dibakar, stok makanan dirompak atau penjualan tanaman dihadkan,” menurut laporan itu. – BERNAMA
ARAB Saudi mengumumkan kejayaan penganjuran musim haji 1443 Hijrah tanpa merekodkan sebarang insiden atau penularan COVID-19 dalam kalangan jemaah haji.
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pada Isnin melaporkan Gabenor Mekah Putera Khalid Al-Faisal berkata kejayaan ini hasil kerjasama erat antara pasukan keselamatan, kesihatan dan lain-lain sepanjang musim haji kali ini.
“Dengan izin Allah, hasil perancangan yang teliti dan kerjasama semua pihak yang terlibat saya dengan ini mengumumkan kejayaan penganjuran musim haji 1443 Hijrah,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdul Aziz dan Putera Mahkota Arab Saudi Putera Muhammad bin Salman yang telah menyediakan kemudahan infrastruktur serta petugas haji, keselamatan dan kesihatan demi keselesaan jemaah.
Arab Saudi menyediakan 279, 628 kakitangan terdiri petugas haji, anggota keselamatan dan kesihatan untuk berkhidmat kepada hampir satu juta jemaah haji tahun ini.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Arab Saudi Fahad Al-Jalajel dalam ucapannya yang disiarkan di Twitter rasmi kementerian itu berkata lebih 520,000 kakitangan perubatan ditugaskan di 230 pusat kesihatan bagi menjamin kesihatan jemaah dari dalam dan luar Arab Saudi.
“Walaupun kita masih lagi menghadapi ancaman COVID-19 dan bilangan jemaah haji dinaikkan kepada satu juta orang, hanya 38 kes terpencil jangkitan COVID-19 sahaja dilaporkan, tanpa jangkitan sekunder sepanjang musim haji 1443 Hijrah,” katanya.