Category: Luar Negara

  • Dituduh ‘kaki kikis’, wanita beza usia 42 tahun dengan suami abai kritikan

    Dituduh ‘kaki kikis’, wanita beza usia 42 tahun dengan suami abai kritikan

    DITUDUH mahu membolot harta suaminya. Itu antara tuduhan liar dialami seorang wanita Filipina yang berkahwin dengan suaminya, seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) yang berbeza usia 42 tahun.

    Bagi Jackie, 27, tuduhan seumpama itu adalah lumrah namun pasangan dari dua benua terbabit menganggap usia bukanlah penghalang dan akan mempertahankan hubungan berkenaan.

    Mail Online melaporkan, Jackie berjumpa Dave, 69, menerusi laman web cari pasangan, Cherryblossom pada tahun 2016 semasa suaminya yang menetap di AS berkunjung ke Cebu, Filipina.

    Dave kemudiannya mengatur janji temu pertama dengan isterinya di sebuah kafe dan mereka bertukar nombor telefon.

    “Jackie agak pemalu ketika itu dan dia letih selepas bekerja syif dan pada janji temu pertama itu saya yang paling banyak bercakap.

    “Anda boleh merasakan terdapat ikatan yang kuat dan ingin berjumpa lagi.

    “Jadi Jackie dan saya berjumpa beberapa kali sebelum pulang ke AS. Itulah permulaan hubungan indah yang masih kukuh,” kata Dave.

    Pasangan itu tidak terkecuali dikritik pengikut media sosial mereka terutamanya yang mempersoalkan tentang jurang umur malah ada yang menuduh Jackie sebagai ‘kaki kikis’.

    Namun, di sebalik kritikan ramai, pasangan itu sedang menempuh detik bahagian dan perkahwinan mereka kini sudah masuk tahun ketiga.

    Pasangan itu kerap berkongsi kisah percintaan dan aktiviti harian mereka di TikTok setakat ini mereka mempunyai 32,000 pengikut.

  • Kehabisan minyak, pesawat ringan terhempas di jalan raya sibuk

    Kehabisan minyak, pesawat ringan terhempas di jalan raya sibuk

    SEBUAH pesawat ringan terhempas semasa mendarat di jalan raya Orlando di Florida, Amerika Syarikat yang sibuk setelah kapal terbang itu kehabisan minyak.

    Kejadian petang Jumaat lalu itu membabitkan pesawat Cessna 182 yang dikendalikan Remy Colin, 40, yang tersilap dalam meneka bacaan minyaknya.

    Colin bagaimanapun berjaya keluar dari pesawat setelah hanya cedera ringan.

    Mail Online melaporkan, kejadian berlaku sebelum pukul 4 petang waktu tempatan.

    Peronda lebuh raya Florida merumuskan punca nahas berpandukan video yang diambil orang ramai adalah kerana kegagalan mekanikal.

    Menurut Colin, tumpuannya pada penerbangan terganggu kerana dia perlu membetulkan radio pesawat yang rosak dan pada masa sama kehabisan minyak serta kehilangan kuasa.

    Tidak tahu lokasi yang sesuai untuk mendarat, dia cuba mendaratkan kapal terbang itu di jalan raya tanpa melibatkan mana-mana pengguna.

    Colin yang satu-satunya individu dalam pesawat hanya luka kecil namun terbang tanpa mengisi minyak dengan betul boleh mengakibatkan lesennya digantung.

    Sementara itu, pihak berkuasa penerbangan persekutuan dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan akan menyisat nahas berkenaan.

  • 28 pengguna Skytrain Bangkok cedera terjatuh eskalator

    28 pengguna Skytrain Bangkok cedera terjatuh eskalator

    SERAMAI 28 orang cedera ringan selepas pengguna berebut untuk menaiki eskalator di stesen Skytrain Surasak di daerah Bang Rak, Bangkok.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pengendali skytrain Bangkok Transit System (BTS) berkata kejadian itu berlaku pada 6.38 petang (waktu tempatan), Sabtu dan menafikan laporan berita insiden itu berpunca daripada kerosakan eskalator.

    BTS menutup sementara eskalator berkenaan untuk pemeriksaan dan akan memastikan mereka yang cedera diberikan rawatan yang sewajarnya, menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, Timbalan Inspektor di Balai Polis Yannawa, Leftenan Kolonel Somyot Bunnakaew berkata kejadian berkenaan berlaku apabila sekumpulan pengguna komuter yang baru selesai menghadiri konsert meraikan ulang tahun ke-170 Kolej Kristian Bangkok, berebut menaiki eskalator berikutan hujan lebat.

    “Dipercayai seseorang pengguna yang berada di bahagian atas eskalator terjatuh dan mencetuskan kesan “domino” yang menyebabkan pengguna lain turut terjatuh,” katanya.

    Sukarelawan penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan mangsa yang cedera – dua lelaki dan 26 wanita dihantar ke hospital berdekatan.- BERNAMA 

  • Balai polis palsu 500 meter dari yang asli, beroperasi peras ugut penduduk

    Balai polis palsu 500 meter dari yang asli, beroperasi peras ugut penduduk

    SEKUMPULAN individu disyaki gengster dilaporkan membina sebuah ‘balai polis palsu’ dan beroperasi selama lapan bulan untuk melakukan peras ugut dan merasuah penduduk tempatan.

    Memetik laporan Berita Harian, enam gengster itu memakai pakaian seragam tiruan di pejabat polis yang beroperasi di luar sebuah hotel di bandar Bika, Bihar terletak di timur laut India, manakala balai polis sebenar hanya terletak 500 meter dari pejabat palsu.

    “Penduduk diberitahu boleh membuat laporan kepada ‘anggota polis’ berhubung isu jenayah, permohonan perumahan sosial dan memohon pekerjaan dalam perkhidmatan polis.

    “Mereka perlu membayar antara RM5 hingga RM52 bagi setiap permohonan yang dibuat, sedangkan semua kertas kerja yang dihantar penduduk dibuang di pejabat polis palsu itu,” katanya.

    Kumpulan gengster itu juga dikatakan akan membayar gaji harian kepada individu dari kawasan luar bandar RM26 untuk berpura-pura menjadi anggota polis lain yang bekerja di balai itu.

    Ketua Balai Polis sebenar di Banka, Shambhu Yadav, berkata semua suspek ditahan awal minggu ini selepas anggota polis sebenar melihat seorang daripada mereka membawa jenis pistol yang tidak dipakai oleh pihak berkuasa.

    Katanya, pihak berkuasa itu berjaya menghalang Anita Devi Murmu, 25, dan rakannya, Aaakash Kumar Manjhi, 27, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke hotel.

    Apabila Yadav menyoal pasangan itu mengenai lokasi bandar yang mereka bertugas, mereka mengelak untuk menjawab sebelum soal siasat.

    “Mereka akhirnya mengaku beroperasi di luar ‘stesen’ berhampiran. Polis menyerbu hotel itu dan menahan tiga suspek lain iaitu Ramesh Kumar, Wakil Kumar dan Julie Kumari Manjhi,” katanya.

  • Anggota pasukan kecemasan beri bantuan dirempuh kenderaan lain, 32 orang maut

    Anggota pasukan kecemasan beri bantuan dirempuh kenderaan lain, 32 orang maut

    SEKURANG-kurangnya 32 orang maut di tenggara Turki semalam dalam dua kejadian berasingan apabila pasukan kecemasan yang memberi bantuan kepada mangsa kemalangan di lebuh raya dirempuh kenderaan lain yang tidak dapat mengelak.

    Dalam kejadian pertama di wilayah Gaziantep, tenggara negara itu, 16 orang termasuk petugas kecemasan dan wartawan maut apabila sebuah bas merempuh lokasi kemalangan sebelum itu.

    Gabenor Davut Gul berkata, 20 orang cedera dalam kejadian itu dan diberikan rawatan.

    “Kira-kira pukul 10.45 pagi, sebuah bas terbabit kemalangan di sini,” kata Gul dari lokasi kejadian.

    Ketika anggota bomba, pasukan perubatan dan agensi lain sedang memberi bantuan kepada mangsa, sebuah lagi bas terbabit nahas 200 meter dari belakang.

    Namun bas itu tergelincir ke lokasi pertama kemalangan merempuh anggota kecemasan dan mangsa yang cedera di atas jalan raya.

    Sementara itu, dalam satu lagi kejadian di timur daerah Derik di Mardin, sebuah trak merempuh pasukan kecemasan yang memberi bantuan kepada mangsa kemalangan sebelum itu.

    Akibat kemalangan itu, Menteri Kesihatan Turki, Fahrettin Koca berkata, seramai 16 orang terbunuh manakala 29 lagi cedera dengan lapan daripadanya kritikal.

  • Hotel diserang pengganas, 20 orang maut, 40 lagi cedera

    Hotel diserang pengganas, 20 orang maut, 40 lagi cedera

    SEKURANG-kurangnya 20 orang maut manakala 40 lagi cedera berikutan serangan kumpulan pengganas al-Shabab ke atas sebuah hotel terkenal di ibu negara Somalia, Mogadishu.

    Menurut pihak berkuasa, pengganas menyerbu hotel berkenaan kelmarin dan mencetuskan kejadian berbalas tembak dengan pasukan keselamatan.

    Buat masa ini, kepungan pengganas ke atas Hotel Hayat masih berlangsung.

    Menurut jurucakap polis, dua bom kereta menyasarkan hotel berkenaan dalam kejadian pada Jumaat, insiden yang memerangkap ramai orang awam.

    Abdikadir Abdirahman, pengarah dan pengasas perkhidmatan ambulans Aamin di Mogadishu berkata, mereka sudah menghantar sembilan mangsa cedera dari hotel itu ke hospital.

    “Pasukan keselamatan masih berusaha menumpaskan pengganas yang bersembunyi di bilik hotel. Kebanyakan mangsa berjaya diselamatkan dengan sekurang-kurangnya lapan orang awam maut setakat ini ” katanya.

    Sementara itu, kawasan sekitar hotel empat tingkat itu dipenuhi orang awam yang ingin mengetahui nasib orang kesayangan mereka.

    Al-Shabaab melancarkan serangan untuk menjatuhkan kerajaan Somalia lebih 10 tahun. Ia mahu menubuhkan kerajaan sendiri berdasarkan tafsiran ketat undang-undang Islam.

    Hotel Hayat ialah tempat yang popular dengan penggubal undang-undang dan pegawai kerajaan.

    Ini adalah serangan besar pertama sejak Presiden Hassan Sheikh Mohamud berkuasa pada Mei lalu.

    Al-Shabaab pernah melancarkan serangan seumpama ini. Pada Ogos 2020, kumpulan itu mengaku menyerang sebuah hotel di Mogadishu yang meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa.

  • Penyerang Salman Rushdie mengaku tidak salah atas tuduhan cubaan bunuh, serang

    Penyerang Salman Rushdie mengaku tidak salah atas tuduhan cubaan bunuh, serang

    SUSPEK yang menyerang novelis terkenal Salman Rushdie menggunakan pisau minggu lepas mengaku tidak bersalah dan ditahan tanpa sebarang ikat jamin, lapor Sputnik memetik laporan Buffalo News pada Khamis.

    Suspek, Hadi Matar, 24, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu cubaan membunuh tahap dua dan serangan tahap dua, menurut laporan itu.

    Pada 12 Ogos, Rushdie telah ditikam di bahagian leher dan perut oleh Hadi Matar, 24, ketika hendak menyampaikan syarahan di Institusi Chautauqua di barat New York.

    Rushdie dimasukkan ke hospital dan menggunakan bantuan ventilator.

    Pada Ahad, Rushdie disahkan tidak lagi bergantung kepada bantuan ventilator dan mampu bercakap.

    Rushdie ialah penulis kelahiran India yang terkenal dan memenangi pelbagai hadiah sastera serta pernah mencetuskan kontroversi menerusi buku tulisannya “The Satanic Verses” yang dikatakan menghina Islam. – Bernama

  • Beli beg lelong, jumpa mayat dua kanak-kanak

    Beli beg lelong, jumpa mayat dua kanak-kanak

    SEBUAH keluarga terkejut besar apabila menemukan ayat dua kanak-kanak dalam dua beg yang dibeli dalam satu acara lelongan di New Zealand.

    Polis tempatan, Detektif Inspektor Tofilau Faamanuia Vaaelua berkata, mangsa dipercayai berusia antara lima hingga 10 tahun apabila mereka mati.

    “Mayat mereka disembunyikan di dalam dua beg bagasi bersaiz hampir sama,” kata Vaaelua.

    Polis melancarkan siasatan kes bunuh di Auckland minggu lalu selepas mayat mereka ditemui apabila sebuah keluarga membeli barangan di dalam sebuah treler yang dilelong dari sebuah tempat penyimpanan di Auckland Selatan.

    “Polis mengulangi bahawa keluarga terbabit tiada kaitan dengan pembunuhan kedua-dua kanak-kanak itu tetapi mereka amat terkejut dan tertekan dengan penemuan berkenaan.

    “Mereka meminta supaya jangan diganggu,” menurut Satu Berita yang memetik laporan Agensi, hari ini.

    Polis menggunakan barangan isi rumah dan peribadi yang ditemui bersama dua beg bagasi itu dalam usaha untuk mengenal pasti identiti kedua-dua mangsa pembunuhan berkenaan.

    Menurut Vaaelua, polis New Zealand juga sedang bekerjasama dengan polis antarabangsa Interpol walaupun saudara-mara mangsa dipercayai masih berada di negara itu.

  • Serang rumah bekas isteri dengan ‘molotov cocktail’, pemilik restoran popular Singapura dipenjara

    Serang rumah bekas isteri dengan ‘molotov cocktail’, pemilik restoran popular Singapura dipenjara

    SEORANG lelaki warga Singapura bertindak memandu ke rumah bekas isterinya semasa tempoh pemutus litar (circuit breaker) sebelum melempar bom api menyebabkan kerosakan pada kediaman tersebut.

    Singapura melaksanakan tempoh pemutus litar antara 7 April dan 1 Jun 2020 untuk mengekang penularan COVID-19.

    Lelaki itu, Ismail Didih Ibrahim merupakan seorang pemilik restoran popular Hajah Maimunah di Jalan Pisang, dekat Arab Street dan melakukan perbuatan tersebut kerana tidak berpuas hati.

    Tetapi dokumen mahkamah menyatakan bahawa pada masa kesalahan itu dilakukan, dia merupakan pengurus kedai makan milik ibu bapanya.

    Susulan itu Ismail, 37, pada Khamis dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat untuk menyebabkan kerosakan, serta kesalahan di bawah Akta Covid-19 (Sementara).

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan Agensi, Ismail dan bekas isterinya berkahwin pada 2017 tetapi bercerai dua tahun kemudian.

    Kerana mahu membalas dendam, dia memandu ke rumah wanita itu di Telok Kurau pada 12 Mei 2020, membawa bersama beberapa senjata termasuk sebotol pencair (thinner) dan tin semburan cat hitam.

    Dia juga membawa baju hujan bagi tujuan penyamaran.

    Wanita itu dan ahli keluarganya tidak menyedari kejadian tersebut pada mulanya kerana mereka berada di tingkat atas.

    Seorang jiran mereka, terlihat api dan cuba memadamkannya sendiri sebelum memaklumkan kepada keluarga mangsa.

    Kebakaran itu menyebabkan kerugian kira-kira SG$6,000 (RM19,387).

    Ismail telah membuat pembayaran balik sukarela sebanyak SG$5,000 (RM16,156) kepada bekas isterinya dan menderma SG$3,000 kepada tiga badan amal pilihannya.

    Kejadian itu tidak mengakibatkan kecederaan tetapi bekas isteri Ismail menjadi trauma sehingga terpaksa menghadiri sesi kaunseling.

    Keluarganya juga membelanjakan kira-kira SG$600 (RM1,938) untuk memasang kamera CCTV di sekitar rumah mereka kerana tidak berasa selamat selepas kejadian itu.

    Tiga pakar psikiatri yang merawat Ismail mengesahkan dia mengalami gangguan kemurungan yang teruk.

    “Setelah semakan laporan, didapati idea untuk menyerang rumah mangsa dengan molotov cocktail berkemungkinan bersifat impulsif, namun serangan itu adalah disengajakan dan menunjukkan perancangan teliti, bukan didorong kemurungannya,” kata pendakwa raya.

    Ikat jamin Ismail ditetapkan SG$20,000 (RM64,624) hari ini dan dia diperintahkan menyerah diri pada 14 September untuk mula menjalani hukuman.

  • Bas terbalik, 23 maut 36 cedera

    Bas terbalik, 23 maut 36 cedera

    SEKURANG-kurangnya 23 orang maut, manakala 36 lagi cedera dalam nahas sebuah bas di wilayah tengah Maghribi, semalam.

    Menurut pihak berkuasa kepada AFP, bas itu terbalik semasa melalui selekoh berhampiran bandar Khouribga di tengah Maghribi.

    Bas itu dalam perjalanan dari Casablanca ke wilayah Azilal.

    Laporan awal mengatakan 15 penumpang maut namun Pengarah kesihatan kemudiannya menyemak semula angka kematian kepada 23 orang manakaka 36 lagi cedera.

    Mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital di wilayah Khouribga untuk menerima rawatan.

    Siasatan berhubung punca kejadian sedang dijalankan.

    Ia merupakan nahas bas terburuk di negara itu dalam beberapa tahun.