SEKUMPULAN individu disyaki gengster dilaporkan membina sebuah ‘balai polis palsu’ dan beroperasi selama lapan bulan untuk melakukan peras ugut dan merasuah penduduk tempatan.

Memetik laporan Berita Harian, enam gengster itu memakai pakaian seragam tiruan di pejabat polis yang beroperasi di luar sebuah hotel di bandar Bika, Bihar terletak di timur laut India, manakala balai polis sebenar hanya terletak 500 meter dari pejabat palsu.

“Penduduk diberitahu boleh membuat laporan kepada ‘anggota polis’ berhubung isu jenayah, permohonan perumahan sosial dan memohon pekerjaan dalam perkhidmatan polis.

“Mereka perlu membayar antara RM5 hingga RM52 bagi setiap permohonan yang dibuat, sedangkan semua kertas kerja yang dihantar penduduk dibuang di pejabat polis palsu itu,” katanya.

Kumpulan gengster itu juga dikatakan akan membayar gaji harian kepada individu dari kawasan luar bandar RM26 untuk berpura-pura menjadi anggota polis lain yang bekerja di balai itu.

Ketua Balai Polis sebenar di Banka, Shambhu Yadav, berkata semua suspek ditahan awal minggu ini selepas anggota polis sebenar melihat seorang daripada mereka membawa jenis pistol yang tidak dipakai oleh pihak berkuasa.

Katanya, pihak berkuasa itu berjaya menghalang Anita Devi Murmu, 25, dan rakannya, Aaakash Kumar Manjhi, 27, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke hotel.

Apabila Yadav menyoal pasangan itu mengenai lokasi bandar yang mereka bertugas, mereka mengelak untuk menjawab sebelum soal siasat.

“Mereka akhirnya mengaku beroperasi di luar ‘stesen’ berhampiran. Polis menyerbu hotel itu dan menahan tiga suspek lain iaitu Ramesh Kumar, Wakil Kumar dan Julie Kumari Manjhi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here