SERAMAI 28 orang cedera ringan selepas pengguna berebut untuk menaiki eskalator di stesen Skytrain Surasak di daerah Bang Rak, Bangkok.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pengendali skytrain Bangkok Transit System (BTS) berkata kejadian itu berlaku pada 6.38 petang (waktu tempatan), Sabtu dan menafikan laporan berita insiden itu berpunca daripada kerosakan eskalator.

BTS menutup sementara eskalator berkenaan untuk pemeriksaan dan akan memastikan mereka yang cedera diberikan rawatan yang sewajarnya, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Timbalan Inspektor di Balai Polis Yannawa, Leftenan Kolonel Somyot Bunnakaew berkata kejadian berkenaan berlaku apabila sekumpulan pengguna komuter yang baru selesai menghadiri konsert meraikan ulang tahun ke-170 Kolej Kristian Bangkok, berebut menaiki eskalator berikutan hujan lebat.

“Dipercayai seseorang pengguna yang berada di bahagian atas eskalator terjatuh dan mencetuskan kesan “domino” yang menyebabkan pengguna lain turut terjatuh,” katanya.

Sukarelawan penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan mangsa yang cedera – dua lelaki dan 26 wanita dihantar ke hospital berdekatan.- BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here