Category: Kolumnis

  • Muzakarah Bersatu-Pas alternatif kesepakatan parti politik Melayu

    Muzakarah Bersatu-Pas alternatif kesepakatan parti politik Melayu

    MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi, dua perkara menjadi tumpuan utama iaitu siapa akan menang dan apakah gabungan atau kerjasama yang akan diwujudkan oleh parti-parti politik bagi mencapai kemenangan.

    Di atas kertas dan berdasarkan pandangan penganalisis-penganalisis politik, mereka meramalkan Barisan Nasional (BN) akan mengulangi kejayaan di PRN Melaka, dalam bahasa mudah kemenangan akan terus memihak kepada parti itu yang dalam PRU-14 hilang kuasa di Melaka, Johor dan pusat.

    Tetapi sekarang, BN dan UMNO menguasai semula Melaka manakala di Johor pemimpinnya menjadi Menteri Besar manakala di pusat menduduki jawatan Perdana Menteri. Di Melaka, BN berkuasa semula melalui PRN manakala di Johor dan Pusat adalah melalui kerjasama dengan parti-parti lain termasuk Bersatu di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Berikutan kemenangan di Melaka maka penganalisis melihat tidak ada gabungan lain yang mampu menandingi atau menghalang kemaraan BN untuk menguasai Johor. Namun begitu apabila Bersatu dan Pas melaksanakan muzakarah pada 28 Januari hingga 29 Januari lalu, ia bukan sahaja menarik perhatian malah memberi isyarat senario PRN Johor akan berbeza dengan PRN Melaka.

    Mana-mana juga pihak khususnya pemimpin-pemimpin UMNO boleh berkata apa sahaja terhadap muzakarah atau resolusi yang dicapai oleh Bersatu dan Pas melalui muzakarah berkenaan tetapi jangan sesekali memandang rendah kesan daripada muzakarah tersebut.

    Salah satu perkara yang menarik perhatian ialah kedua-dua parti mencapai persetujuan dalam perkara disepakati kejujuran, kestabilan dan perpaduan yang inklusif.

    Kejujuran,kestabilan dan perpaduan – inilah yang semakin terhakis dalam politik negara sekarang sehingga menyebabkan tercetusnya pertukaran Perdana Menteri, PRN Melaka dan PRN Johor.

    Keadaan menjadi semakin tidak menentu apabila ada dalam kelompok pemimpin politik yang tidak ikhlas dalam menjalin hubungan biarpun bersama-sama berada dalam Kerajaan. Berada dalam kerajaan namun bertindak bagaikan ‘musuh dalam selimut’, ‘duri dalam daging’ dan ‘gunting dalam lipatan’.

    Menyedari hakikat itulah muzakarah Bersatu-Pas beriltizam “Mencapai visi dan hala tuju bersama ke arah mengukuhkan PN, menolak budaya politik ekstrem dan menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara. Menghalusi strategi dan pendekatan bagi mengukuhkan perpaduan ummah dan nasional.“(Yakni dengan) merentasi platform bukan politik berteraskan nilai kepercayaan bersama dan perkongsian saksama.’’

    Muzakarah tersebut turut menzahirkan rasa  kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan dan menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat.

    Semua orang tahu siapa dalang dan ‘batu api’ sehingga politik negara menjadi tidak stabil, huru hara dan memperlihatkan ‘kerakusan’ mahu melebarkan kuasa ketika rakyat masih berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan ada antara mereka baru sahaja mahu bangkit semula selepas dilanda banjir.

    Inilah yang dirasai oleh rakyat Johor sekarang, apabila kelebihan memerintah dengan satu kerusi dijadikan alasan untuk membubarkan DUN negeri sehingga membuka laluan kepada PRN.

    Pendekatan atau corak politik yang mempertaruhkan nasib rakyat ini harus dihentikan! Muzakarah Bersatu-Pas biarpun tidak begitu ‘digempak gempita’ seperti mana Muafakat Nasional boleh menjadi alternatif kepada rakyat khususnya orang Melayu di Johor untuk memahami bahawa ‘Kejujuran,kestabilan dan perpaduan’ boleh diwujudkan.

    Mereka tidak harus terperdaya dengan propaganda politik yang seolah-olah menggambarkan hanya BN dan UMNO sahaja boleh mewujudkan kestabilan dalam negara ini. Stabil atau tidak, segalanya bergantung kepada kejujuran parti-parti politik mewujudkan kestabilan melalui perpaduan.

    Keghairahan dan teruja BN untuk mengadakan PRN di Johor boleh memakan diri memandangkan PRN itu akan menyaksikan lebih 700,000 pengundi baru termasuk pengundi berusia 18 tahun akan mengundi. Semua orang tahu sejauh mana penerimaan anak-anak muda terhadap UMNO.

    Justeru langkah muzakarah itu yang akan mengambil daya usaha melonjakkan undi penentu dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda melalui penjenamaan dan mesej jelas yang diterima rakyat adalah langkah yang tepat dan strategik.

    Namun begitu apa yang lebih penting ialah bagaimana Bersatu-Pas harus memastikan gabungan PN dapat menarik perhatian anak muda. Mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dengan memerangi rasuah dan salah guna kuasa harus menjadi tumpuan utama selain merangka agenda bagi kesejahteraan rakyat.

    Bagaimanapun sama ada muzakarah ini akan berjaya atau tidak, ia bergantung sepenuhnya kepada komiten dan kerjasama kedua-dua parti khususnya di peringkat akar umbi. Oleh itu resolusi kelima muzakarah iaitu memperkukuhkan jalinan kerjasama Pas-Bersatu sebagai satu pasukan hingga ke peringkat jentera akar umbi amat tetap.

    Kita harus akui, ketika ini gabungan kedua-dua parti itu dilihat ‘tidak mengancam’ bukan kerana Bersatu lemah atau Pas tidak ada kekuatan tetapi disebabkan kerjasama kukuh antara pemimpin di peringkat pusat tidak turun sehingga ke akar umbi.

    Dalam kalangan ahli-ahli Pas mereka masih berbelah bahagi sama ada mahu bersama MN atau PN. Keadaan itu berlaku kerana di peringkat kepemimpinan pun berpecah belah. Keadaan ini harus diperbaiki, ia memandangkan Pas mempunyai kekuatan akar umbi luar biasa disebabkan kesetiaan dan kesungguhan ahli-ahlinya.

    Memang benar, Bersatu ada kelemahan dari segi akar umbi tetapi ia bukannya tidak boleh diperbaiki, apa yang penting ialah komitmen ahli-ahlinya untuk bergabung tenaga dengan akar umbi Pas bagi mewujudkan satu gabungan politik Melayu yang boleh memberi saingan kepada UMNO.

    Seperti mana kata ramai penganalisis UMNO tidak kuat tetapi lawan mereka yang lemah. Ia termasuklah juga PN. Jika kelemahan ini dapat diperbaiki sudah pasti tidak mustahil UMNO yang dlihat terus bergantung kepada pemimpinnya ‘yang bermasalah’ bagi mendapat sokongan dapat dikalahkan. Ia bukan soal mahu mengalahkan parti itu semata-mata tetapi memberi alternatif kepada rakyat khususnya orang Melayu bahawa mereka ada pilihan dalam pilihan raya.

    Kalau itu dilakukan tidak perlulah lagi Bersatu dan Pas mempertegaskan resolusi keenam, iaitu sokongan PAS dan Bersatu kepada Kerajaan Persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan mesti dirundingi di atas nilai integriti, anti rasuah dan berkebajikan.

    Kesimpulannya biarpun ‘tidak segempar’ Muafakat Nasional namun Muzakarah Bersatu-Pas adalah permulaan yang baik kepada arena politik negara khususnya dalam mewujudkan satu kesepakatan parti politik Melayu yang tidak digugat oleh watak-watak ‘mereka yang bermasalah’, ‘batu api’ dan dilumuri dendam kesumat.

  • Kesian dia…Penyu mati siapa peduli?

    Kesian dia…Penyu mati siapa peduli?

    KEJADIAN penyu ditemukan mati terdampar di beberapa lokasi di pantai Terengganu sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.

    Fenomena ini perlu dibendung segera bagi memastikan habitat penyu tidak pupus serta akan dapat terus ditatap oleh generasi akan datang. Justeru, masyarakat seharusnya mengambil peduli tentang perkara ini dengan turut membantu menjaga keselamatan reptilia tersebut daripada sebarang ancaman aktiviti tidak bertangungjawab manusia.

    Ia penting kerana sepanjang bulan ini sahaja sudah terdapat 12 kes kematian membabitkan haiwan marin itu direkodkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

    Kes pertama direkodkàn ialah pada 3 Januari lalu apabila seekor anak penyu agar ditemui mati terdampar di Pantai Penunjuk, Kijal Kemaman. Dalam kejadian terbaru direkodkan ialah pada 25 Januari lalu seekor lagi penyu agar ditemui mati terdampar oleh seorang suri rumah di pantai Sura Hujung, Dungun.

    Beberapa kejadian lain yang dilaporkan sebelum itu adalah melibatkan dua penemuan di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus, Chendering, Paka, serta di Pantai Pulau Kerengga, Pantai Kelulut dan Pulau Kapas di Marang. Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Terengganu juga, sepanjang tahun 2020, terdapat sebanyak 55 kes kematian melibatkan penyu agar ditemukan orang awam di pantai negeri ini. Manakala pada tahun lalu (2021) pula kematian yang direkodkan adalah sebanyak 51 kes.

    Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat dilaporkan berkata, antara punca kejadian kematian penyu adalah disebabkan perbuatan khianat manusia termasuk mereka yang mencuri telur haiwan berkenaan.

    Faktor lain yang turut dikaitkan ialah membabitkan akitiviti penggunaan pukat tunda oleh nelayan dan juga perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang bertindak membuang sampah sarap seperti plastik di kawasan pantai sebelum hanyut ke dalam laut.

    Apa sudah jadi? kenapa perkara ini boleh berlaku? Adakah laut kita sudah tidak lagi selamat untuk semua kehidupan marin?

    Penulis sendiri tidak faham dengan sikap golongan yang gemar membuang sampah sarap di merata tempat sehingga menjejaskan pemandangan dan alam sekitar. Sebagai contoh, kebanyakan lokasi pantai yang penulis kunjungi walaupun terdapat tong sampah disediakan, namun masih ada yang bertindak membuang di merata tempat sehingga ke gigi air laut.

    Malah, dua kes kematian penyu di Pantai Pulau Kerengga dan Pantai Kelulut, Marang sebelum ini dikatakan akibat tertelan plastik dipercayai dibuang oleh pengunjung pantai.

    Perkembangan ini tidak seharusnya berlaku memandangkan penyu bukan setakat simbol atau maskot bagi negeri Terengganu, sebaliknya ia merupakan antara produk pelancongan terawal wujud di negeri ini.

    Sudah sampai masanya kerajaan negeri bersama agensi berkaitan mencari jalan terbaik untuk mengatasi masalah tersebut. Selain melarang penjualan telur penyu, kempen selamatkan haiwan tersebut daripada menjadi ancaman manusia perlu diberikan perhatian serius.

    Peraturan khusus perlu dikuatkuasakan kepada semua pengunjung pantai termasuk peniaga supaya tidak membuang sampah khususnya plastik di lokasi berkenaan dengan sewenangnya. Sikap tidak bertanggungjawab seperti itu perlu dikikis segera bagi memastikan plastik tidak hanyut ke laut sehingga dimakan dan memudaratkan sang penyu.

    Begitu juga dengan aktiviti nelayan bot pukat tunda yang telah banyak kali diperkatakan sejak dahulu lagi kerana ia sentiasa dikaitkan dengan kematian penyu akibat tersangkut dan lemas dalam pukat. Masyarakat perlu memiliki kesedaran tinggi untuk sama-sama mengambil peduli menjaga habitat tersebut supaya ia tidak pupus disamping turut berasa kesian dan simpati terhadap nasib yang menimpa sang penyu.

    Usah lagi dibiarkan penyu terus merajuk dan enggan lagi kembali bertelur di pantai Terengganu termasuk Pantai Rantau Abang yang pernah menjadi lagenda rakyat negeri ini suatu ketika dahulu.

  • UMNO jangan ‘seronok sangat’, Pas usah biar maruah ‘dipijak’…

    UMNO jangan ‘seronok sangat’, Pas usah biar maruah ‘dipijak’…

    • Pemimpin UMNO tak payahlah ‘teruja’

    NAMPAKNYA beberapa pemimpin kanan UMNO termasuklah Presidennya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dilihat ‘agak teruja’ dengan langkah dua ADUN Bersatu meninggalkan parti itu.

    Maka berkatalah Ahmad Zahid ‘’ia kesahihan berhubung perkara itu (ADUN keluar Bersatu) pada akhirnya empunya diri jua ada jawapan. Namun jikalah benar, ia suatu refleksi yang jelas lagi nyata. Parti yang suatu ketika dulu mendabik dada akan menggantikan UMNO sedang menghadapi defisit keyakinan dalam kalangan pemimpin sendiri.’’

    Hebat Ahmad Zahid berhujah! Cuma TT (Tebuan Tanah) nak ingatkan janganlah teruja sangat.

    TT tak nak ulas panjang pasal dua ADUN tu, biarlah tu hak mereka. Biasalah macam juga hubungan lelaki dan perempuan. Masa bercinta semua indah, selepas berkahwin semua ok tetapi bila dah bercerai semua buruk. Begitulah juga dengan alasan dua ADUN itu yang kata mereka hilang keyakinan kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Kelakar pula bila Ahmad Zahid nak buat kesimpulan , ia menunjukkan Bersatu sedang hadapi defisit keyakinan. Ahmad Zahid ‘checkla’ dulu berapa ramai yang ikut mereka, kaji sikit ‘perjalanan’politik dua ADUN itu, adakah tindakan mereka akan untungkan UMNO dalam PRN Johor?

    Lagipun bak kata kawan TT, keluar parti lain masuk UMNO ini bukanlah taktik baru, dah lapok dah. Tambahan pula bila nak ada pilihan raya di Johor. Semua orang tau, tu negeri Muhyiddin, jadi UMNO memang tak sabar-sabar lagi  nak menang untuk  lemah Bersatu dan Muhyiddin.

    Tapi TT nak ingatkan jangan ghairah sangat! Dalam pilihan raya macam-macam boleh berlaku. Semasa TT bertemu beberapa sumber di Johor semalam, macam-macam TT dengar termasuklah di banyak bahagian UMNO dah berlaku perebutan nak jadi calon, maklumlah semua sudah ‘dirasuk’ keyakinan UMNO akan menang besar.

    Jadi daripada Ahmad Zahid dok menyibuk hal Bersatu, lebih baik beliau tumpukan pastikan UMNO benar-benar boleh menang besar di Johor, sebab kalau BN kalah atau menang sekadar ‘cukup makan’ apatah lagi dok harap pengundi luar tak balik dan peratusan keluar mengundi rendah, yang berhadapan krisis keyakinan bukan Bersatu tetapi Ahmad Zahid sebagai Pengerusi BN.

    • Di mana maruah Pas jika….

    DALAM seminggu dua ini ‘seronok sungguh’ pemimpin UMNO khususnya dari Johor ‘belasah’ Pas. Macam-macam mereka kata kat Pas…kadang-kadang TT tengok bahasa yang digunakan dah melampau, macamlah  Pas tak ada maruah, kalaulah TT ni ahli atau penyokong dah pasti TT akan ‘terluka’.

    Tetapi TT tak nak salahkan secara total pemimpin UMNO yang buat macam itu, sebaliknya TT nak minta pemimpin, ahli dan penyokong Pas bermuhasabah… kenapa semua jadi macam ni? Kenapa begitu sekali Pas diperlekehkan dan dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’.

    TT dok dalam kalangan pemimpin Pas berpecah! Ni bukan rahsia lagi..semua orang boleh nampak. Satu puak mahu PN, satu puak lagi mahu MN. Yang nampak sokong PN sebenarnya mahu MN tetapi dok berlapik dengan ayat ‘demi perpaduan ummah’. TT setuju dan sokong 100 peratus usaha menyatukan ummah tetapi TT nak tanya dalam politik ada ke perpaduan ummah?

    Kalau betul-betul nak perpaduan ummah janganlah ada pemimpin Pas bagai ‘nak rak’ pertahan MN tetapi dok beri  bayangan ‘perpaduan ummah’ itu hanya untuk UMNO dan Pas. Jadi lebih baik tak payah bercakap pasal perpaduan ummah. Kalau nak buat juga jangan libat politik. Bila pilihan raya masing-masing bawalah haluan sendiri. Biar rakyat pilih.

    Sekarang Bersatu dan Pas dah sepakat bersama PN dalam PRN Johor, maknanya itulah platform gabungan politik Pas, jangan lagi ada pemimpin Pas dok mencanangkan soal MN. MN bukan gabungan politik! Lagipun UMNO pun sudah cukup yakin untuk bergerak solo terutamanya di negeri Selatan.

    Dalam PN pun, Pas cukup dihormati, apa yang Pas minta itu yang mereka dapat…bukannya diperlekeh ibarat ‘ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi’ macam sesetengah pemimpin UMNO buat kat Pas.

    UMNO tahu Pas tak kuat di negeri-negeri selatan, jadi  mereka tak layan Pas. Paling kesian tengok Pas ini, bila ada pemimpin UMNO cakap ikut sedap mulut aje kat Pas. Jadi kalau ada pemimpin Pas masih lagi nak bersama UMNO dan ada penyokong Pas nak undi calon UMNO dalam mana-mana pilihan raya…memang sah lah, mereka nak biar maruah Pas terus diperkotak-katikkan.

    TT nak nasihatkan kepada segelintir pemimpin Pas yang dok  ‘mengigau’ lagi pasal MN dan harap sangat UMNO-Pas bersama dalam pilihan raya…hentilah ‘khayalan’ tu.TT nak tanya satu sahaja, ketika beberapa pemimpin Pas begitu ghairah pertahan MN sehingga Pas dilihat berpecah belah, ada atau tidak pemimpin UMNO yang sokong mereka? Ada tak pemimpin UMNO kata, kena pertahan MN? Ada tak mereka berhujah seperti mana pemimpin Pas yang sanggup ‘bantai’ pemimpin sendiri demi MN?

    Kalau tidak ada….maka janganlah merendahkan martabat Pas sehingga memberi ruang kepada segelintir pemimpin UMNO ‘bertaraf batu api’ memperlekehkan Pas .

    Daripada dok habiskan masa sampai ‘nak melutut’ kat UMNO, lebih baik  seluruh pemimpin dan penyokong perkukuhkan PN.Pastikan perikatan itu menang dalam mana-mana juga pilihan raya. Jangan bagi satupun undi kepada calon BN, walaupun di kawasan itu Pas tak bertanding. Itu sahaja cara nak bagi ‘signal’ kat  UMNO janganlah angkuh sangat!

    *Tebuan Tanah (TT) adalah penganalisis politik yang mempunyai lebih 30 tahun berpengalaman dalam dunia kewartawanan.

  • Izhar keluar Bersatu:Taktik lapok yang tidak memberi kesan

    Izhar keluar Bersatu:Taktik lapok yang tidak memberi kesan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad mengumumkan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta merta hari ini.

    Pengumuman tersebut dilakukan di Johor Bahru selepas tiga hari ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang mengumumkan langkah yang sama.

    Sebelum ini Izhar merupakan Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor.

    Menurut Izhar, keputusan tersebut diambil dengan berat hati setelah parti hilang hala tuju dan gagal meneruskan perjuangan agenda penubuhan parti tersebut.

    Beliau mendakwa, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sahaja gagal membawa parti ke tahap yang lebih baik bahkan tidak berusaha memulihkannya selepas berpisah dengan kumpulan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    “Sikap ini bukan sahaja merencatkan perkembangan parti malah menjejaskan ideologi perjuangan parti sekali gus memberi kesan kepada rakyat khususnya orang Melayu dan kepentingan Islam,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Johor Bahru, hari ini.

    Angin perubahan berkenaan Mohd. Izhar mahu keluar parti sebelum ini memang sudah mula bertiup tetapi tidak sekencang kabar angin berkenaan Mazlan yang sememangnya sudah dijangkakan.

    Bagaimanapun pengunduran Mohd. Izhar daripada Bersatu Johor dalam keadaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal diadakan tidak lama lagi, tidak memberi kesan malah dilihat sebagai satu taktik lapok setiap kali menjelang pilihan raya.

    Dalam suasan politik terkini, masyarakat sudah tidak lagi memberikan tumpuan walaupun langkah itu berkemungkinan dilakukan untuk menarik perhatian orang ramai. Ini disebabkan rakyat sudah muak dengan langkah tipikal itu yang disifatkan sebagai politik murahan.

    Rakyat melihatnya sebagai ‘skrip lama’ yang sering digunakan dalam kalangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi mendapatkan kembali pengaruh politik apatah lagi menjelang PRN Johor.

    Strategi mengisytiharkan meninggalkan sesebuah parti adalah sinonim dalam mana-mana pilihan raya di negara ini, sama ada pilihan raya kecil (PRK), PRN mahu pun pilihan raya umum (PRU).

    Tidak dinafikan langkah sebegitu adalah perang psikologi yang biasa dilakukan – perang konvesional parti politik menjelang pilihan raya berbanding masa kini menerusi perang maya yang diadudombakan tentera siber upahan.

    Ini juga dilihat sebagai ‘peluru’ untuk melemahkan Bersatu dalam menghadapi PRN Johor sekali gus bertujuan menghakis kepercayaan pengundi selepas Bersatu menang 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-14.

    Keputusan beliau tidak akan menggoyahkan Bersatu Johor yang kini bersiap sedia menggempur medan PRN Johor dengan komponen Perikatan Nasional (PN) dalam menawarkan pemerintahan bebas rasuah, integriti, amanah dan progresif.

    Sepatutnya Mohd. Izhar bersyukur dan berterima kasih apabila dilantik menjadi Exco kerajaan negeri sedangkan ramai lagi yang layak untuk menjawat jawatan tersebut, apatah lagi beliau kurang menyerlah sebelum ini.

    Ketika menjadi ADUN Larkin juga, beliau kurang menghadiri program-program masyarakat. Mohd. Izhar juga merupakan ahli perniagaan yang berjaya sehingga mempunyai stesen minyak, jadi mungkin jawatan wakil rakyat tidak sesuai baginya.

    Menerusi sidang akhbar hari ini, Mohd. Izhar menyeru semua pengundi dan penyokongnya terutama dalam DUN Larkin untuk memberi undi kepada calon BN pada PRN Johor nanti.

    Kenyataan ini agak mengelirukan kerana pada 19 Januari lalu, beliau mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju PRN Johor diadakan yang dilihat sebagai satu pembaziran besar dan amat merugikan serta melibatkan duit rakyat.

    “Konflik dan kerakusan merealisasikan agenda politik parti kini sekali lagi telah mencetuskan kecelaruan serta kekeliruan di Johor.

    “Rakyat di negeri ini kini diselubungi dan dibebani dengan 1,001 persoalan samada akan berlakunya PRN di negeri Johor.

    “Apa yang lebih mengelirukan dan menjadi persoalan utama, apakah motif atau relevannya mengadakan sebuah PRN tatkala rakyat sedang berada dalam situasi tertekan dan bertungkus lumus untuk kembali kepada kehidupan seharian yang normal setelah dilanda serangan Pandemik Covid-19 dan juga bencana banjir,” katanya.

    Dalam kenyataan yang sama beliau turut menyindir mereka yang begitu taksub untuk mengadakan PRN Johor dengan menyatakan pemimpin harus bijak, sensitif dan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan PRN Johor.

    Justeru, pengundi perlu mengambil ‘nasihat’ Mohd. Izhar bahawa PRN ini tidak diperlukan. Mereka perlu menolak pihak yang rakus dan gelojoh mahu mengadakan PRU Johor dalam keadaan tidak sesuai malah menyusahkan rakyat.

    Mereka perlu menterjemahkan ‘nasihat’ itu ke dalam peti undi pada PRN Johor dengan tidak memangkah pihak yang menghalalkan PRN ini dan tidak mengambil kira nyawa rakyat dalam keadaan kes Covid-19 terus meningkat di negeri itu dan kehidupan musnah akibat banjir.

  • Kem Umno Zahid rancang beberapa siri PRN sebelum ’pertembungan akhir’ PRU15?

    Kem Umno Zahid rancang beberapa siri PRN sebelum ’pertembungan akhir’ PRU15?

    KEM Umno yang diketuai presidennya, Ahmad Zahid Hamidi sedang merancang sekurang-kurangnya tiga lagi pilihan raya negeri (PRN) dengan harapan dapat mengembalikan semula pengaruh kuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum menamatkannya dengan ‘pertembungan akhir’ dalam bentuk pilihan raya umum (PRU) pada Julai, MalaysiaNow difahamkan.

    Satu sumber rapat dengan kem Zahid berkata rancangan itu bakal menyaksikan PRN diadakan di Perlis, Kedah dan Perak.

    “Selepas Johor, terdapat usaha gigih untuk mencetuskan PRN di Perak pula,” kata pemimpin Umno itu kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

    Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat kenyataan paling tegas terhadap Umno sejak kedua-dua parti Melayu terbesar itu berdamai pada 2019 dengan termeterainya Muafakat Nasional (MN).

    MN merupakan sebuah piagam kerjasama bersejarah di mana kedua-dua parti itu menamatkan perseteruan politik yang mewarnai politik Melayu sejak beberapa dekad lalu.

    Kenyataan Hadi itu dilihat sebagai isyarat beliau tidak akan tunduk kepada gesaan segelintir pemimpin pro-Umno dalam PAS yang selesa bekerjasama dengan Zahid.

    Presiden parti yang memiliki pengaruh besar terhadap penyokong PAS di seluruh negara itu dilihat menjarakkan partinya dari Umno selepas mereka memilih untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

    Selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020, sokongan PAS diberikan kepada Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri.

    Parti itu juga turut merasmikan kerjasama mereka itu dengan menyertai Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin presiden Bersatu itu, selain turut menolak percubaan sekelompok ahli Parlimen Umno yang bersekutu dengan Zahid dan Najib Razak untuk menumbangkan pentadbiran Muhyiddin.

    Sumber yang bercakap kepada MalaysiaNow mengesahkan dakwaan Hadi semalam bahawa sekumpulan pemimpin Umno dikenali sebagai ‘kluster mahkamah’ menjadi dalang dalam mencetuskan beberapa PRN sebelum ini.

    “Umno sedar PRN yang diadakan ketika orang ramai mempunyai pelbagai perkara untuk difikirkan selepas dua tahun hidup dalam pandemik adalah waktu terbaik untuk mengukuhkan kuasa di peringkat negeri sebelum PRU,” tambah sumber itu.

    Sementara seorang lagi sumber dari kem anti-Zahid dalam Umno bagaimanapun berkata, masa sudah tidak lagi menyebelahi presiden parti itu, yang kini sedang berdepan kemungkinan disabitkan kesalahan rasuah sama seperti bekas bosnya Najib.

    “Masanya adalah sekarang, sebelum mandat lima tahun tamat. Negeri-negeri itu mesti kembali kepada Umno sebelum pertembungan pada peringkat akhir,” kata ahli Parlimen itu.

    Beliau berkata, keadaan yang seakan menyebelahi Umno ketika ini bukan kerana wujudnya peningkatan sokongan terhadap parti itu, sebaliknya ia berpunca daripada sikap kurang minat dalam kalangan pengundi dalam pilihan raya selain PRU.

    “Melaka sudah menunjukkan Umno tidak mendapat undi yang mereka hilang sebelum ini, sebaliknya Melayu yang mengundi PH memindahkan sokongan mereka kepada Bersatu di bawah PN.

    “Inilah masa di mana deposit tetap undi Umno akan keluar mengundi dan pada masa yang sama ramai yang lain tidak akan keluar mengundi seperti apa yang berlaku pada PRN Melaka. Tiada masa lain yang sesuai untuk rampas kuasa selain sekarang,” katanya.

    “PRU akan jadi pertembungan peringkat akhir, selepas Umno menyelesaikan usaha mereka untuk kembali berkuasa di semua negeri yang sama ada mereka kalah atau terpaksa berkongsi kuasa,” kata sumber itu lagi.

    Semalam, Hadi turut mengatakan beliau mengetahui mengapa sekumpulan pemimpin Umno mahu mencetuskan PRN, bahkan beliau turut memberi amaran kekuatan akar umbi PAS bersedia untuk melawan ‘strategi’ sedemikian.

    “Kita tahu strategi di Melaka, akan dibuat sama juga di Johor. Strategi tak lebih daripada menggunakan undi-undi teras Umno.

    “Peratus keluar undi (di Melaka) adalah 60%. Undi atas pagar tak keluar habis, undi muda tak keluar habis,” kata Hadi.

    Ini merupakan pertama kali dalam sejarah terlalu banyak PRN dilaksanakan di luar PRU.

    Sejak 2020, tiga negeri – Sabah, Melaka dan Sarawak – melaksanakan PRN, sementara tarikh PRN Johor dijangka akan diumumkan tidak lama lagi susulan pembubaran DUN pada 22 Januari lalu.

    Sumber juga berkata tujuan utama rancangan itu dijalankan bukan sahaja bertujuan untuk menunjukkan ‘Umno sudah kembali’, bahkan untuk menetapkan momentum bagi mendapatkan kuasa ‘sepenuhnya’ di peringkat persekutuan.

    “Selepas banyak negeri dikuasai, barulah mudah bagi Umno untuk kembali menguasai Putrajaya tanpa perlu berkongsi kuasa dengan orang-orang yang menyebabkan kami tersungkur,” kata sumber dalaman Umno Pahang itu merujuk kepada peranan Bersatu dalam menumbangkan kerajaan diketuai Umno pada 2018.

    Dalam PRU tersebut, pemimpin Umno yang menentang perdana menteri pada ketika itu Najib Razak ekoran penglibatannya dalam skandal 1MDB menubuhkan Bersatu.

    Bersatu menyebabkan sebahagian deposit undi tetap Umno beralih kepadanya sekali gus menumbangkan kerajaan enam dekad Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno.

    Bagaimanapun, difahamkan walaupun Umno sudah mengerakkan usaha bagi membubarkan DUN Perak dan Perlis, namun tindakan sedemikian di Kedah akan menentukan hala tuju jalinan hubungan antara PAS dengan parti Melayu itu.

    Di Kedah, PAS memimpin negeri dengan sokongan Umno dan Bersatu.

    “Sebarang langkah untuk mengganggu kestabilan kerajaan Kedah akan berdepan kecaman besar daripada penyokong PAS, ia juga akan menjadi kubur kepada Muafakat,” kata sumber dari Umno Pahang itu lagi.

  • Kerjasama Pas-UMNO temui jalan mati, ‘gelap mata’ dengan ghanimah

    Kerjasama Pas-UMNO temui jalan mati, ‘gelap mata’ dengan ghanimah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    “Masih ada masa untuk Pas dan UMNO mengadakan rundingan bagi bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.”

    “Soal mengenai kerjasama parti itu kita sedang dalam rundingan. Masih ada masa lagi sebab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun akan bermesyuarat pada 9 Februari.”

    Itu maklum balas Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dalam Dialog Tiga Penjuru bertajuk ‘PRN Johor: Dulu, Kini dan Apa Pula Selepas Ini?’ terbitan Astro Awani, malam tadi.

    Pas Johor dilihat masih lagi menaruh harapan untuk bersama-sama UMNO dalam PRN itu, sedangkan UMNO merancang untuk menolak mereka.

    Ini jelas boleh dinilai apabila sehingga kini persefakatan kedua-dua parti itu untuk membentuk kerjasama masih belum dimenterai.

    Malah semasa kunjungan Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Johor Bahru, Selasa lalu, turut tidak dapat meleraikan kekusutan.

    Perbincangan bersama-sama Biro Politik Badan Perhubungan UMNO Johor itu membincangkan perkara berkaitan PRN dan isu kerjasama dengan Pas turut dibangkitkan namun menemukan ‘jalan mati’.

    Ahmad Zahid dan Mohamad dikatakan bertegang urat kerana masing-masing mempunyai pendapat tentang kerjasama antara dua parti tersebut.

    Presiden UMNO itu difahamkan mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo manakala Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat mahu UMNO dan BN bekerjasama dengan Pas dalam PRN itu.

    Keputusan kerjasama itu tergantung dan apabila sidang akhbar di Johor Bahru keesokannya, Tok Mat berkata, UMNO dan BN masih belum menetapkan sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan Pas atau bergerak solo pada PRN Johor.

    Pemimpin tertinggi akan meneliti sebaiknya setiap perkara berkaitan kerjasama dengan Pas sebelum sebarang keputusan dibuat, katanya.

    “Majoriti kepimpinan di peringkat bahagian dan akar umbi mahu BN bergerak solo pada PRN kali ini tetapi pucuk pimpinan akan teliti sebaiknya sebelum apa juga keputusan akan dibuat,” ujarnya.

    Cadangan untuk bergerak secara solo adalah daripada Pengerusi BN, Datuk Ir. Hasni Mohammad tetapi semua keputusan tersebut terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.

    Perkembangan itu menyaksikan hubungan antara kedua-dua parti itu agak tegang dan masing-masing berbalas kenyataan tapi dalam keadaan masih terkawal namun sebenarnya boleh disifatkan sebagai retak menanti belah.

    Keadaan diburukkan lagi dengan video Hasni yang tular mempersoalkan kejujuran Pas dalam Muafakat Nasional (MN) apabila menolak tawaran empat kerusi daripada UMNO dan lebih tertarik kepada tawaran 15 kerusi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    ‘Serangan’ UMNO terhadap Pas bertambah buruk dengan kenyataan terutama menerusi Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

    Nur Jazlan hari ini meminta Pas berhenti memalukan diri sendiri dengan terus menagih simpati dan seperti ‘gila talak’ untuk bekerjasama dengan UMNO, bagi menghadapi PRN Johor.

    Kata beliau, perkara itu hanya menunjukkan Pas terhegeh-hegeh selain menyifatkan parti tersebut sudah hilang arah selepas mempunyai dua ‘suami’ dalam perkahwinan berbeza.

    Kenyataan yang begitu angkuh ini satu tamparan hebat buat Pas. Kenyataan dua orang kuat UMNO Johor, Hasni dan Nur Jazlan ini jelas menunjukkan tidak ada ruang untuk bekerjasama.

    Pas dalam hal ini perlu membuat keputusan tegas dan tepat. Sekiranya sudah menemukan jalan buntu, tidak salah untuk Pas melakukan pusingan U dengan kembali bekerjasama dengan Perikatan Nasional(PN) sepertimana dalam PRN Melaka.

    Pas perlu bijak dan mempunyai pendirian yang jelas dalam menentukan hala tuju mereka terutama dalam keadaan kritikal untuk menentukan survival politik parti itu. Mereka perlu sedar Pas tidak kuat di Johor.

    Semasa Pilihan Raya Umum Ke-14, Pas hanya menang satu kerusi di Bukit Pasir daripada 40 kerusi DUN yang ditandingi. Itupun menang disebabkan masalah teknikal calon UMNO dan bukan kerana kemenangan bertanding dalam PRU-14.

    Pas wajar menghitung realiti politik mereka. Jika Pas tidak bersama-sama BN atau PN, ke mana haluan mereka? Adakah mahu bertanding secara solo juga dalam PRN Johor yang sudah tentu menyaksikan kekalahan lebih teruk.

    Abdullah hadir pada mesyuarat PN Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, Muar semalam termasuk untuk membincangkan soal pembahagian kerusi dalam PN manakala pada sebelah malam beliau hadir semasa Dialog Tiga Penjuru, dan menyatakan masih menunggu kerjasama dengan UMNO.

    Tindakan Pas ini amat mengelirukan malah menimbulkan tanda tanya bukan sahaja pemimpin mereka malah ahli di peringkat akar umbi.

    Sepatutnya Pas Johor dengan restu Pas Pusat bergabung sahaja dengan PN. Sebagai sebuah parti berteraskan Islam sewajarnya menjadi contoh kerana merupakan komponen PN selain menunjukkan teladan yang baik – susah senang tetap bersama-sama rakan.

    Mereka tidak sepatutnya menjadi ‘gelap mata’ apabila terbayangkan ‘harta rampasan perang atau ghanimah’ iaitu keuntungan dunia menerusi kedudukan dan jawatan yang bakal diperoleh dalam PRN Johor.

    Pas Johor menyatakan percaturan politik semasa mereka sentiasa mengutamakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

    Namun apa yang diperlihatkan Pas sehingga kini adalah politik yang tidak matang dan tidak boleh dijadikan contoh sama sekali.

    Perundingan dan musyawarah sememangnya adalah satu keutamaan kerana selari dengan kehendak Allah SWT demi melihat perpaduan dalam kalangan umat Islam akan terus diperkukuhkan.

    Bagaimanapun dalam hal ini, Pas dilihat mengutamakan kepentingan politik melebihi segala-galanya.

  • Bukan salah logo, PH di bawah Anwar memang lemah

    Bukan salah logo, PH di bawah Anwar memang lemah

    KEANGKUHAN PKR enggan menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyerlahkan sikap besar kepala parti tersebut yang seolah-olah tidak menghormati dua sekutunya, DAP dan PAN.

    Kekalahan memalukan PH khususnya PKR yang gagal meraih sebarang kerusi pada PRN Melaka dijadikan alasan yang dangkal bagi mewajarkan keputusan menggunakan logo sendiri.

    Malah, PKR mendakwa logo PH dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran rejim PH di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang hanya sempat berkuasa selama 22 bulan dahulu.

    Walaupun dikecam oleh pemimpin-pemimpin lain dalam PH termasuk Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Naib Ketua Pejuang Muda, Nik Fathurahman Nik Rasli, PKR tetap berkeras mempertahankan keputusannya.

    Pemimpin DAP, Dr P Ramasamy pula menegaskan, tiada masalah dengan logo PH. Sebaliknya, isu yang perlu ditangani adalah kewibawaan pemimpin dan sokongan rakyat.

    Mungkin PKR terlupa bahawa Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dengan menggunakan logo PH.

    Mereka juga mungkin terlupa bahawa kesilapan percaturan Anwar termasuk membenarkan Datuk Seri Idris Haron bertanding di kerusi yang diperuntukkan kepada PKR menjadi salah satu punca PH kehilangan banyak kerusi pada PRN Melaka.

    Malangnya, hakikat itu tidak diambil kira oleh pemimpin-pemimpin PKR yang terlalu taksub dengan Anwar sehingga menyebabkan mereka sukar menerima hakikat bahawa Presiden mereka juga hanya manusia biasa yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan.

    Seperti yang dikatakan oleh Khairuddin, PH sebenarnya terpaksa menanggung ‘biawak hidup’ bernama Anwar Ibrahim. Suami bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu yang pada satu ketika dahulu didewa-dewakan sebagai aset berharga pakatan pembangkang kini dianggap sebagai beban.

    Rakyat juga sudah bosan dengan gelagat Anwar yang terlalu kemaruk hendak jadi Perdana Menteri sejak 24 tahun lalu. Macamlah jawatan nombor satu pentadbiran negara itu menjadi hak mutlaknya.

    PKR sepatutnya ingat bahawa PH menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan disebabkan logo PKR yang digunakan oleh calon-calonnya yang bertanding di Semenanjung.

    Sebaliknya, majoriti pengundi ketika itu mahu memberi mesej kepada Barisan Nasional (BN) agar jangan meremehkan kebijaksanaan rakyat dalam isu melibatkan integriti pemimpin tertinggi kerajaan khususnya skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Orang PKR khususnya juak-juak Anwar juga terpaksa menelan hakikat yang amat pahit: PH berjaya menumbangkan BN di bawah kepimpinan Dr Mahathir, dan bukannya Anwar yang semasa PRU-14 masih meringkuk di dalam penjara.

    Lebih pahit lagi, rejim PH tumbang gara-gara Anwar yang tidak sabar menunggu jawatan Perdana Menteri diserahkan kepadanya secepat mungkin sehingga menyebabkan Dr Mahathir membuat keputusan drastik meletak jawatan ekoran tekanan hebat yang dihadapinya daripada juak-juak Anwar.

    Sekiranya PH mengulangi prestasi buruk pada PRN Johor, amat wajar bagi sekutu-sekutunya iaitu DAP dan PAN mendesak agar Anwar ditendang daripada kedudukan sebagai pemimpin tertinggi PH.

    Pada masa yang sama, PKR juga wajar menaikkan muka baharu untuk menggantikan Anwar yang gaya kepimpinan dan strategi politiknya dilihat semakin tidak relevan dengan situasi semasa di negara ini.

  • Mazlan keluar Bersatu ibarat mencabut duri dalam daging

    Mazlan keluar Bersatu ibarat mencabut duri dalam daging

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang hari ini mengumumkan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan meletak jawatan sebagai Ketua Bersatu Tebrau berkuat kuasa serta merta.

    Beliau turut mengisytiharkan 23 orang terdiri daripada ketua cawangan dan ahli jawatankuasa bahagian itu turut sama mengikut jejaknya.

    “Saya juga mengisytiharkan bahawa saya kini tidak menjadi ahli mana-mana parti tetapi menyokong Barisan Nasional (BN),” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Yayasan Warisan, Johor Bahru, hari ini.

    Tindakan ini sudah dijangkakan dan ramai yang tidak hairan apabila beliau mengumumkan keluar parti kerana sebelum ini pun beliau disebut-sebut bakal mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menjadi wakil rakyat Bebas.

    Apa yang dilakukan seperti habis madu sepah dibuang selepas diberikan peluang mendapat jawatan Exco kerajaan negeri atas kuota Bersatu.

    Mazlan menjadi Exco kerajaan negeri sebanyak dua kali iaitu semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah dan sekali lagi dalam kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) dan BN di Johor.

    Sudah tentu pengumuman Mazlan itu melegakan Bersatu Johor – ibarat duri dalam daging yang sudah dicabut. Umum dalam Bersatu Johor tahu, Mazlan mempunyai masalah dalaman dengan parti tersebut.

    Jadi keputusan beliau keluar parti akan disambut Bersatu Johor dengan lapang dada. Hubungan Mazlan dilihat semakin tidak sehaluan dan berantakan dengan Bersatu negeri sejak tidak lagi menjadi Pengerusi Bersatu Johor.

    Selepas keluar Bersatu, Mazlan mengambil pendirian menyokong BN iaitu lawan politik beliau yang suatu masa dahulu menjadi modal cercaan semasa memberikan ucapan malah kerap menyalahkan UMNO dan BN semasa mula menjadi Exco.

    Antara kanyataan paling klasik yang penulis masih ingat, adalah dalam satu program Bersatu di Bricks Cafe Kampung Maju Jaya, Skudai, pada 27 Oktober 2018, beliau mahukan ahli Bersatu ditambah tetapi kemasukannya perlu melalui tapisan ketat.

    Kata beliau, saringan perlu dilakukan kerana tidak mahu ahli atau pemimpin UMNO yang bermasalah membawa budaya dan amalan politik kotor parti tersebut ke dalam Bersatu.

    “Kita tidak mahu mereka yang mahu masuk Bersatu kerana mahu peluang perniagaan semata-mata atau projek. Kita juga tidak mahu golongan penyamun, ini kategori yang kita elak,” ujar Mazlan.

    Beliau mendakwa kini menyokong BN dan UMNO iaitu pihak yang dikutuknya sebelum ini dan tindakannya hari ini seakan meludah ke langit.

    Dikatakan Mazlan tidak akan menyertai UMNO pada ketika ini dalam keadaan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan tidak lama lagi, walaupun abang beliau, Datuk Maulizan Bujang merupakan ketua bahagian tersebut.

    UMNO Bahagian Tebrau dikatakan sudah mempunyai empat calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dan juga DUN Puteri Wangsa.

    Tidak mustahil beliau akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerana semasa dalam Bersatu dahulu, Mazlan dikenali daripada ‘kem Tun Dr. Mahathir Mohamad’.

    Keputusan Mazlan itu sudah pasti juga melegakan Bersatu Bahagian Tebrau. Ini kerana pemilihan beliau sebagai Ketua Bahagian Bersatu Tebrau sebelum ini didakwa sebagai tidak sah kerana semasa pemilihan berlaku salah laku dan terdapat unsur-unsur penipuan.

    Bekas Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Saifulanuar Yahya dalam sidang akhbar mendakwa, bukan sahaja status Mazlan tetapi juga mereka yang menang dalam pemilihan pemimpin lain peringkat bahagian itu termasuk sayap parti meragukan.

    Semasa pemilihan bahagian Tebrau ada 15 Februari 2020 dikatakan berlaku salah laku kerana ada pihak mengatur keputusan pemilihan parti untuk kemenangan mereka yang disifatkan sebagai tidak sah.

    Berikutan itu beberapa pihak dalam bahagian tersebut membuat bantahan tiga kali kepada Lembaga Disiplin dan Jawatankuasa Pemilihan Parti Bersatu pada 17, 19 dan Februari 2020.

    Semua bukti termasuk gambar dan salinan video sudah dihantar kepada Bersatu peringkat Pusat tetapi sehingga kini tiada tindakan apa-apa.

    Mazlan yang ketika itu Pengerusi Bersatu Johor menggantikan bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian mengalami krisis kepimpinan dalam parti selepas bahagiannya sendiri mempersoalkan kelayakan beliau.

    Menurut seorang Exco Bersatu, Mazlan dikenali dalam kalangan Exco kerajaan negeri sebagai pemimpin yang ‘serba tahu’ dan ‘Exco Diraja’.

    Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan Pengerusi Bersatu Johor daripadanya pada 7 September 2020, Mazlan tidak pernah hadir dalam mesyuarat Bersatu peringkat negeri selaku Ketua Bersatu Bahagian Tebrau.

    Justeru keputusan Mazlan mengundurkan diri adalah tepat sekali dan merupakan satu langkah yang sepatutnya diambil dahulu lagi.

  • Aduhai Warisan! Dikejar tak dapat, dikendong berciciran…

    Aduhai Warisan! Dikejar tak dapat, dikendong berciciran…

    PARTI Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kelihatan semakin galak melebarkan sayapnya ke Semenanjung dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai salah sebuah negeri satelitnya.

    Beberapa bekas pemimpin DAP di Pulau Pinang seperti Jeff Ooi, Datuk Danny Law Heng Kiang dan Martin Lim manakala ramai lagi yang dikatakan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Dinasti Lim akan menyusul.

    Tidak pasti pula sama ada nama Parti Warisan Sabah akan ditukar bagi mengendurkan sentimen memperjuangkan kepentingan Negeri di Bawah Bayu itu agar lebih menarik perhatian penyokong di Semenanjung.

    Sekali pandang, memang nampak seperti Warisan memulakan aksinya dengan garang sehingga tergamak mengutip bekas-bekas pemimpin sekutunya sendiri dalam Pakatan Harapan (PH).

    Jika dicongak, perkembangan terkini melibatkan Warisan itu tidak memberi sebarang nilai tambah kepada PH. Keluar dari DAP, masuk dalam Warisan. Kedua-dua parti dalam kem yang sama.

    Analoginya, isteri yang setia di rumah diabaikan semata-mata untuk mengejar janda di seberang laut yang belum tentu jatuh ke riba.

    Pada masa yang sama, Warisan kehilangan ramai pemimpin kanannya yang membuat keputusan meninggalkan parti ekoran tidak berpuas hati dengan hala tuju yang ditetapkan oleh Mohd Shafie.

    Antaranya, bekas Naib Presiden Warisan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony; ADUN Limbahau, Juil Nuatim; ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusuf Yacob dan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi.

    Malah, Peter yang sedang berdepan tuduhan rasuah di mahkamah secara terang-terangan menyatakan bahawa Warisan sudah tersasar jauh daripada perjuangan sebenar penubuhannya.

    Beliau turut mendakwa Mohd Shafie tersasar dengan perjuangan apabila melebarkan sayap partinya ke Semenanjung.

    Sememangnya parti itu dalam keadaan kucar-kacir selepas gagal mempertahankan kuasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

    Sejak kekalahan yang memalukan, parti yang tebal dengan sentimen kesabahan itu seolah-olah hilang arah dan dilihat semakin terdesak untuk meneruskan kelangsungan politiknya yang tinggal nyawa-nyawa ikan.

    Keadaan diburukkan lagi dengan sikap Mohd Shafie yang lebih cenderung menyokong Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang lazimnya tidak sependapat dengan ketua-ketua parti yang lain dalam PH.

    Memang sukar difahami motif sebenar Warisan melebarkan sayap di Semenanjung dalam keadaan kubunya di Sabah bocor dan sempang-perenang.

    Tidak mustahil lebih ramai lagi pemimpin dan ahli Warisan bakal keluar parti jika Mohd Shafie gagal mengemudi bahtera parti yang hampir karam dengan baik, sekali gus menjadikan usaha mengembangkan pengaruh di Semenanjung satu perbuatan yang sia-sia.

  • Pas usahlah berdolak-dalik, berterus teranglah…MN atau PN!

    Pas usahlah berdolak-dalik, berterus teranglah…MN atau PN!

     

    FAKTANYA Pas adalah anggota rasmi Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu dan Gerakan. Tetapi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, nada Pas nampak lebih cenderung untuk memburu kemenangan atau mahu bersama dengan parti boleh menang berbanding mempertahankan keanggotaan dalam perikatan itu.

    Kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Sabtu lalu di Kota Bharu yang menegaskan, Pas akan berunding serta berbincang dengan UMNO, Bersatu dan rakan lain berhubung penyertaan parti itu dalam PRN tersebut agak aneh.

    Kata beliau, perbincangan itu akan menentukan sama ada Pas menyertai PRN Johor secara kerjasama dengan rakan lain atau sebaliknya. Beberapa kenyataan pemimpin Pas juga menampakkan dalam parti itu ada dua kelompok – satu menyokong PN dan satu lagi mahu bersama Muafakat Nasional.

    Sepatutnya apabila sudah menjadi anggota rasmi sebuah gabungan maka dengan gabungan itulah Pas akan bersama tetapi kenyataan pemimpin Pas menampakkan seolah-olah itu mungkin tidak berlaku. Sebaliknya Pas dilihat mahu bermain politik dengan meletakkan kemenangan mengatasi kepentingan kerjasama dalam sebuah gabungan mereka sertai.

    Penulis faham, dalam Pas kini sudah terpecah, hanya segelintir sahaja pemimpin yang mahu bersama dengan PN manakala sebahagian besar lagi lebih cenderung kepada (Muafakat Nasional MN). Tetapi Pas tidak mahu berterus terang kerana pemimpin-pemimpinnya berbalah sesama sendiri. Dok bercakap soal perpaduan ummah, dalam parti sendiripun kelam kabut, kata orang.

    Pas patut berterus terang bukannya berteka teki, logik apanya menjadi anggota rasmi PN tetapi mahu berunding dengan UMNO bagi menghadapi PRN Johor, sedangkan mereka tahu bagaimana hubungan politik antara UMNO dan Bersatu.

    Namun seperti juga di Melaka, Pas bagaikan dipandang sebelah mata oleh UMNO apabila Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyatakan, BN akan bertanding solo dalam PRN Johor, ketika pemimpin Pas beria-ia mahu berunding dengan UMNO.

    Sememangnya UMNO tidak memerlukan Pas sama ada di Melaka, Johor atau Negeri Sembilan, UMNO tahu setakat mana kekuatan Pas di Johor tetapi UMNO memerlukan Pas di Selangor jika mereka mahu merampas negeri tersebut daripada Pakatan Harapan.

    Di Kelantan dan Terengganu sudah jelas, UMNO dan Pas tidak akan bekerjasama manakala di Pahang, hubungan UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional masih erat cumanya kita tidak pasti apa akan berlaku dalam PRU-15 nanti.

    Di Johor, Pas patut faham, kalau berdasarkan PRU-PRU lalu, kekuatan mereka tidaklah sehebat mana sehingga memaksa UMNO merayu kepada bekerjasama dengan mereka. Pas hanya ada satu sahaja kerusi DUN iaitu di Bukit Pasir dalam Parlimen Pagoh. Untuk rekod Ahli Parlimen Pagoh adalah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Dalam PRU-14, Pas gagal mempertahankan empat kerusi DUN yang dimenanginya dalam PRU-13. Kerusi-kerusi itu ialah Simpang Jeram, Maharani, Parit Yaani dan Puteri Wangsa. Tiga kerusi dimenangi oleh Amanah manakala kerusi Puteri Wangsa dimenangi Bersatu.

    Dan kalau Pas mahu berunding dengan UMNO adakah UMNO akan beri laluan untuk Pas bertanding di kerusi-kerusi tersebut?

    Di Puteri Wangsa, Bersatu mungkin akan mempertimbangkan kerusi  kepada Pas tetapi  kalau UMNO belum tentu. Walaupun UMNO dan Pas kalah di keempat-empat kerusi tersebut tetapi jumlah undi UMNO jauh lebih tinggi berbanding Pas – jadi tak kanlah UMNO nak beri kerusi yang mereka boleh menang.

    Di Simpang Jeram – UMNO mendapat 6,953 undi manakala Pas 2,136 undi, di Maharani UMNO peroleh 6,791 undi manakala Pas 3,869 undi, di Parit Yaani UMNO -74,75 undi manakala Pas 2,943 dan Puteri Wang UMNO mendapat 12,586 undi manakala Pas hanya 2,654 undi.

    Berdasarkan angka-angka ‘anda fikir UMNO ada masa….’’nak bagi kepada Pas bertanding? Lagipun itu antara 22 kawasan sasaran UMNO untuk dirampas atau diambil semula!

    Sebenarnya tidak ada masalah sama ada Pas mahu bersama PN atau Muafakat Nasional tetapi buatlah ketetapan secara rasmi supaya pengundi dan penyokong Pas tidak pening dan lebih penting daripada itu Pas tidak dianggap sebenarnya mahu berkawan dengan siapa yang boleh membawa keuntungan politik kepada parti itu sahaja.

    Janganlah seorang pemimpin bercakap lain, seorang lagi bercakap lain. Semua itu menunjukkan Pas tidak ada pendirian dan berkeceramuk serta teraba-raba mencari haluan politik demi meraih kuasa.

    Malah penulis yakin Bersatu pun memahami apa yang sedang berlaku dalam Pas, tetapi Bersatu berpegang kepada perjanjian dan setiakawan. Bersatu cuba melayan Pas dengan sebaik-baiknya sehinggakan sanggup memberikan kerusi yang diinginkan oleh Pas dalam PRN Melaka baru-baru ini.

    Selain itu dalam keadaan apa-apa pun sejak bekerjasama dengan Pas , pemimpin-pemimpin Bersatu tidak pernah membuat kenyataan yang menunjukkan mereka mahu mencari sekutu baru tetapi segelintir pemimpin Pas bagaikan tidak tahu menjaga hati pemimpin Bersatu.

    Maka atas alasan perpaduan ummah, ada antara mereka bercakap soal kerjasama dengan UMNO  tetapi hakikatnya orang mentafsirkan Pas sebenarnya mahu mencari keuntungan politik.  Lagipun apa gunanya bercakap soal perpaduan ummah, kalau dalam Pas sendiripun perpaduannya berantakan?

    Justeru Pas harus menghentikan sikap berdolak dalik dalam percaturan politiknya. Jika benar tidak mahu lagi dengan PN, cakap sahaja secara terus terang, tidak payah terus bersilat lidah atau menghamburkan madah berhelah! Sebenarnya penulis melihat sikap Pas itu tidak akan menguntungkan parti itu.

    Sebaliknya rakyat khususnya orang Melayu melihat Pas bermain politik. Kalau sikap ini berterusan tidak mustahil, Pas bertanding di manapun , parti itu akan ditolak dan jangan terkejut akibat sikap tidak konsisten dan bercelaru pemimpin Pas dalam soal hubungan dengan PN dan MN, penyokong mereka sendiri akan menolak parti tersebut.

    Ini bukan zaman 90an, yang penyokong Pas akan patuh sahaja apa kata pemimpin mereka, sekarang era tahun 2000 yang mereka boleh menilai dan menganalisis setiap gerakan politik oleh pemimpin parti itu dan apa yang berlaku dalam parti…jadi cukup-cukuplah berdolak dalik, berterus terang sajalah…