Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

“Masih ada masa untuk Pas dan UMNO mengadakan rundingan bagi bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.”

“Soal mengenai kerjasama parti itu kita sedang dalam rundingan. Masih ada masa lagi sebab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun akan bermesyuarat pada 9 Februari.”

Itu maklum balas Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dalam Dialog Tiga Penjuru bertajuk ‘PRN Johor: Dulu, Kini dan Apa Pula Selepas Ini?’ terbitan Astro Awani, malam tadi.

Pas Johor dilihat masih lagi menaruh harapan untuk bersama-sama UMNO dalam PRN itu, sedangkan UMNO merancang untuk menolak mereka.

Ini jelas boleh dinilai apabila sehingga kini persefakatan kedua-dua parti itu untuk membentuk kerjasama masih belum dimenterai.

Malah semasa kunjungan Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Johor Bahru, Selasa lalu, turut tidak dapat meleraikan kekusutan.

Perbincangan bersama-sama Biro Politik Badan Perhubungan UMNO Johor itu membincangkan perkara berkaitan PRN dan isu kerjasama dengan Pas turut dibangkitkan namun menemukan ‘jalan mati’.

Ahmad Zahid dan Mohamad dikatakan bertegang urat kerana masing-masing mempunyai pendapat tentang kerjasama antara dua parti tersebut.

Presiden UMNO itu difahamkan mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo manakala Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat mahu UMNO dan BN bekerjasama dengan Pas dalam PRN itu.

Keputusan kerjasama itu tergantung dan apabila sidang akhbar di Johor Bahru keesokannya, Tok Mat berkata, UMNO dan BN masih belum menetapkan sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan Pas atau bergerak solo pada PRN Johor.

Pemimpin tertinggi akan meneliti sebaiknya setiap perkara berkaitan kerjasama dengan Pas sebelum sebarang keputusan dibuat, katanya.

“Majoriti kepimpinan di peringkat bahagian dan akar umbi mahu BN bergerak solo pada PRN kali ini tetapi pucuk pimpinan akan teliti sebaiknya sebelum apa juga keputusan akan dibuat,” ujarnya.

Cadangan untuk bergerak secara solo adalah daripada Pengerusi BN, Datuk Ir. Hasni Mohammad tetapi semua keputusan tersebut terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.

Perkembangan itu menyaksikan hubungan antara kedua-dua parti itu agak tegang dan masing-masing berbalas kenyataan tapi dalam keadaan masih terkawal namun sebenarnya boleh disifatkan sebagai retak menanti belah.

Keadaan diburukkan lagi dengan video Hasni yang tular mempersoalkan kejujuran Pas dalam Muafakat Nasional (MN) apabila menolak tawaran empat kerusi daripada UMNO dan lebih tertarik kepada tawaran 15 kerusi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

‘Serangan’ UMNO terhadap Pas bertambah buruk dengan kenyataan terutama menerusi Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Nur Jazlan hari ini meminta Pas berhenti memalukan diri sendiri dengan terus menagih simpati dan seperti ‘gila talak’ untuk bekerjasama dengan UMNO, bagi menghadapi PRN Johor.

Kata beliau, perkara itu hanya menunjukkan Pas terhegeh-hegeh selain menyifatkan parti tersebut sudah hilang arah selepas mempunyai dua ‘suami’ dalam perkahwinan berbeza.

Kenyataan yang begitu angkuh ini satu tamparan hebat buat Pas. Kenyataan dua orang kuat UMNO Johor, Hasni dan Nur Jazlan ini jelas menunjukkan tidak ada ruang untuk bekerjasama.

Pas dalam hal ini perlu membuat keputusan tegas dan tepat. Sekiranya sudah menemukan jalan buntu, tidak salah untuk Pas melakukan pusingan U dengan kembali bekerjasama dengan Perikatan Nasional(PN) sepertimana dalam PRN Melaka.

Pas perlu bijak dan mempunyai pendirian yang jelas dalam menentukan hala tuju mereka terutama dalam keadaan kritikal untuk menentukan survival politik parti itu. Mereka perlu sedar Pas tidak kuat di Johor.

Semasa Pilihan Raya Umum Ke-14, Pas hanya menang satu kerusi di Bukit Pasir daripada 40 kerusi DUN yang ditandingi. Itupun menang disebabkan masalah teknikal calon UMNO dan bukan kerana kemenangan bertanding dalam PRU-14.

Pas wajar menghitung realiti politik mereka. Jika Pas tidak bersama-sama BN atau PN, ke mana haluan mereka? Adakah mahu bertanding secara solo juga dalam PRN Johor yang sudah tentu menyaksikan kekalahan lebih teruk.

Abdullah hadir pada mesyuarat PN Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, Muar semalam termasuk untuk membincangkan soal pembahagian kerusi dalam PN manakala pada sebelah malam beliau hadir semasa Dialog Tiga Penjuru, dan menyatakan masih menunggu kerjasama dengan UMNO.

Tindakan Pas ini amat mengelirukan malah menimbulkan tanda tanya bukan sahaja pemimpin mereka malah ahli di peringkat akar umbi.

Sepatutnya Pas Johor dengan restu Pas Pusat bergabung sahaja dengan PN. Sebagai sebuah parti berteraskan Islam sewajarnya menjadi contoh kerana merupakan komponen PN selain menunjukkan teladan yang baik – susah senang tetap bersama-sama rakan.

Mereka tidak sepatutnya menjadi ‘gelap mata’ apabila terbayangkan ‘harta rampasan perang atau ghanimah’ iaitu keuntungan dunia menerusi kedudukan dan jawatan yang bakal diperoleh dalam PRN Johor.

Pas Johor menyatakan percaturan politik semasa mereka sentiasa mengutamakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Namun apa yang diperlihatkan Pas sehingga kini adalah politik yang tidak matang dan tidak boleh dijadikan contoh sama sekali.

Perundingan dan musyawarah sememangnya adalah satu keutamaan kerana selari dengan kehendak Allah SWT demi melihat perpaduan dalam kalangan umat Islam akan terus diperkukuhkan.

Bagaimanapun dalam hal ini, Pas dilihat mengutamakan kepentingan politik melebihi segala-galanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here