PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sarawak yang berlangsung pada 18 Disember ini bakal menjadi medan ujian yang getir bagi parti-parti di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mempertahankan penguasaan mereka di negeri itu.
Berbeza dengan PRN sebelum ini, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan bertarung melawan pembangkang yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) tanpa dibayangi kerjasama politik dengan gabungan parti pemerintah dari Semenanjung.
Kali ini, GPS yang diketuai Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan berjuang dengan menggunakan kekuatan sendiri bagi mendapatkan semula mandat untuk mentadbir Sarawak.
Dari satu sudut, ia memberi kelebihan kepada GPS memandangkan sentimen ‘anti-parti politik Semenanjung’ agak tebal dalam kalangan rakyat Sarawak khususnya generasi muda.
Lebih-lebih lagi, ramai yang melihat banyak isu-isu berkaitan Sarawak seperti royalti minyak dan Perjanjian Malaysia 1963 tidak ditangani dengan berkesan semasa era pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Parti-parti pemerintah tempatan di Sarawak juga telah mengambil keputusan untuk keluar dari BN setelah ia kalah pada PRU-14 dan seterusnya membentuk GPS.
Pada masa yang sama, kerajaan negeri Sarawak di bawah GPS mengambil sikap menyokong kerajaan Persekutuan yang dahulunya di bawah PH, Perikatan Nasional (PN) dan kini, campuran BN dan PN.
PH pula masih belum diterima sepenuhnya di Sarawak kecuali di kawasan-kawasan bandar memandangkan parti-parti utama yang membentuknya iaitu DAP, PKR dan PAN mempunyai ‘bau-bau Semenanjung’.
Walaupun PH mengetengahkan calon-calon anak tempatan, strategi itu tidak mengubah hakikat bahawa mereka terpaksa akur dan tunduk kepada keputusan yang dibuat kepimpinan parti yang berpangkalan di Semenanjung.
Namun, GPS tidak boleh memandang ringan terhadap kemampuan PH untuk mencabar mereka dalam PRN kali ini kerana pakatan pembangkang itu mempunyai pengaruh tersendiri terhadap pengundi di kawasan bandar dan golongan muda.
Pemimpin-pemimpin parti pemerintah di Sarawak juga tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada taktik menyalahkan parti politik Semenanjung atau kerajaan Persekutuan apabila ada janji mereka kepada rakyat yang belum ditunaikan.
Mereka kini berdepan dengan generasi pengundi yang lebih bijak menilai sesuatu isu bagi dijadikan asas untuk menentukan parti politik yang ingin disokong pada pilihan raya.
Dalam hal ini, GPS seharusnya bersikap jujur dan bermuhasabah diri bagi menambah baik segala kelemahan sejak mentadbir Sarawak tanpa campur tangan parti politik Semenanjung sejak PRU-14.
Elakkan daripada terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang begitu galak mengapi-apikan sentimen anti-Semenanjung kerana sikap negatif itu tidak memberi sebarang manfaat kepada Sarawak dan Malaysia.
Buktikan kepada pengundi tentang keupayaan GPS mentadbir Sarawak dan bukannya menuding jari menyalahkan pihak lain atas kelemahan sendiri.
SEMANGAT ahli-ahli UMNO berada pada tahap yang tinggi selepas Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu.
Mereka kini merasakan cukup bersedia untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka boleh berlaku bila-bila masa sahaja.
Malah, ahli-ahli UMNO terlalu yakin bahawa BN mampu menang dengan meraih sekurang-kurangnya majoriti mudah pada PRU-15 bagi membolehkan mereka kembali membentuk kerajaan tanpa perlu mengharapkan sokongan Perikatan Nasional (PN).
Namun, mereka mungkin terlupa satu perkara: BN dan UMNO akan bertempur dalam PRU-15 dengan diketuai oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Memang sudah menjadi amalan lazim bahawa Pengerusi BN dan Presiden UMNO akan memimpin parti dalam mana-mana pilihan raya umum.
Memandangkan UMNO telah menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan mulai 30 Jun lalu, nampak gayanya Ahmad Zahid yang masih dibelenggu kes mahkamah akan menjadi panglima tertinggi mereka.
Sebenarnya, ramai pemimpin dan ahli UMNO berharap agar Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan yang lebih mesra dengan gelaran Tok Mat menggalas tanggungjawab yang besar itu.
Lebih-lebih lagi setelah Tok Mat berjaya mengepalai BN sehingga beroleh majoriti lebih dua pertiga pada PRN Melaka.
Cuma mereka tidak berani menyatakan secara terbuka kerana bimbang dikenakan tindakan oleh parti, lebih-lebih lagi mereka yang bergelar YB.
Melihat kepada rekod prestasi yang sangat memberangsangkan itu, Tok Mat dipercayai mampu mengulangi kejayaan serupa pada PRU-15.
Satu-satunya cara bagi membolehkan UMNO menukar panglima tertingginya adalah dengan mengadakan pemilihan parti secepat mungkin selepas Perhimpunan Agung UMNO 2021 selesai.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seharusnya lebih memahami kegusaran akar umbi tentang kemungkinan peristiwa pahit pada PRU-14 bakal berulang kembali.
UMNO dan BN tumbang kerana rakyat menolak kepimpinan Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dihurungi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tidak mustahil babak yang memalukan dalam sejarah UMNO dan BN itu akan berlaku lagi jika Ahmad Zahid yang masih berdepan puluhan pertuduhan rasuah di mahkamah masih menjadi Presiden UMNO yang seterusnya mungkin dijadikan taruhan sebagai calon Perdana Menteri.
Justeru, MKT UMNO seharusnya akur dengan kehendak akar umbi dan menarik balik keputusan menangguhkan pemilihan parti agar barisan kepimpinan yang lebih besih dan berintegriti dapat dibentuk bagi mendepani PRU-15.
PEMIMPIN-PEMIMPIN UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang teruja dengan kemenangan bergaya parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu menyifatkan ia membuktikan rakyat sudah kembali menyokong mereka.
Ada juga pemimpin UMNO yang ‘menyindir’ Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermiayati Samsudin yang tewas di DUN Tanjong Bidara.
Walaupun hampir kesemua penganalisis politik menyatakan kemenangan BN di Melaka itu disebabkan peratusan keluar mengundi rendah dan pengundi luar tidak pulang, namun pemimpin BN terus bergembira dan ‘ada yang mendabik dada’.
Memang benar tidak kiralah macam manapun kemenangan itu dicapai, menang tetap menang, bak kata seorang kawan, Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali sudah pun mengangkat sumpah pada pukul 1 pagi 21 November lalu, selepas ‘ada sedikit adegan’– apa adegan itu sudah tidak penting’.
Apa yang menarik diperkatakan ialah kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada AstroAwani yang menjelaskan kemenangan besar BN di Melaka adalah kejayaan gabungan itu mengambil peluang daripada situasi buruk yang melanda politik negara, khususnya di negeri Hang Tuah tersebut.
Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, beliau dan jenteranya berjaya mengolah keadaan yang disifatkan sebagai perfect storm menjadi kelebihan buat mereka.
‘’Salah satunya, memang dalam war room yang saya ketuai, saya kata, treshold jumlah keluar mengundi mesti tidak lebih daripada 65 peratus. Kalau lebih daripada itu, UMNO tak mungkin dapat menang kerusi yang banyak. Kalau 70 peratus (keluar mengundi),kurang kemenangan kita. Kalau 75 peratus, kita dalam masalah.’’
Apa yang ‘didedahkan’ oleh Mohamad bukanlah satu rahsia. Penulis percaya kesemua pemimpin UMNO, BN memahami dan mengakui fakta itu.
Kalau sesiapa yang mengkaji keputusan PRN Melaka, BN menang tipis di 11 DUN dan 3 DUN dimenangi dengan undi di bawah 1,500 undi dan hanya 7 DUN dianggap BN menang selesa…mereka akan faham apa maksud Mohamad.
11 DUN tersebut mencatatkan jumlah keluar mengundi antara 62 peratus hingga 74.2 peratus.
Tetapi adakah ‘perfect storm’ ini akan berulang lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)? Bagaimana dengan prestasi Perikatan Nasional (PN) yang dianggap oleh penganalisis politik meraih undi agak signifikan walaupun hanya mengekalkan kemenangan dua kerusi?
Walaupun hanya dua kerusi tetapi ia kerusi milik BN di Sungai Udang dan DAP di Bemban? Adakah BN merasakan PN tidak akan melakukan apa-apa bagi menghadapi PRU-15?
Ketika mengulas prestasi PN, Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM),Prof.Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata, gabungan itu memperlihatkan pencapaian positif meskipun tewas kerana memperoleh kerusi di DUN Sungai Udang dan Bemban. Mereka juga hampir berjaya di Tanjung Bidara dan Serkam.
‘’PN sebenarnya mampu memberikan saingan politik kepada BN dan PH, cuma PN baru ditubuhkan dan masa tidak mengizinkan mereka. Mereka harus bergerak pantas dan menawarkan perkara dasar serta perjuangan berbeza, lantas menarik minat rakyat memilih dalam pilihan raya,’’ katanya dalam artikel di Berita Harian.
Seperkara lagi, kalau UMNO dan BN merasakan rakyat sudah kembali menyokong parti itu maka mereka tidak perlu ‘tergopoh-gapah’ mahu mengadakan PRU-15 lebih awal.
Serah sahaja kepada kebijaksanaan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan bilakah Parlimen patut dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU.
Tambahan pula rakyat baru sahaja mahu ‘bernafas’ selepas ancaman pandemik Covid-19, tak kanlah BN nak guna strategi perfect storm atau berharap apa berlaku di Melaka berulang dalam PRU?
Dengan kemenangan di Melaka, rasanya ia sudah membolehkan pemilihan UMNO diadakan kerana parti itu memerlukan barisan kepemimpinan benar-benar mantap bagi menghadapi PRU-15.
Seperti mana mereka bersedia menyerahkan kepada rakyat menentukan pendirian dalam PRN Melaka dan mahukan PRU-15, maka apa salahnya kalau kepemimpinan UMNO menyerahkan kepada ahli akar umbi memilih pemimpin yang mereka inginkan menerajui parti tersebut?
Dengan Ismail Sabri kini menjadi Perdana Menteri dan Mohamad Hasan pula sudah membuktikan ‘bisanya’ sebagai Pengarah Pilihan Raya ditambah pula dengan kewibawaan seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mahadzir Khalid, prestasi cemerlang Khairy Jamaluddin di Kementerian Kesihatan serta Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Kementerian Pertahanan, sebelum itu di Kementerian Luar sudah pasti ahli UMNO tahu siapa barisan pemimpin barisan hadapan mereka.
Begitu juga di peringkat Pemuda, ramai yang mula bercakap soal perlunya perubahan kepemimpinan kerana dalam kalangan pengundi muda, pergerakan itu dilihat masih belum dapat menambat hati mereka.
Penulis percaya ada kalangan pemimpin dan ahli UMNO di peringkat akar umbi mahukan perubahan kepemimpinan tetapi mereka tidak bersuara, yang mahu atau bercita-cita menjadi calon lagi lah…takut-takut nama tercicir.
Apapun kalaulah pemimpin UMNO menganggap bahawa PRU-15 perlu diadakan lebih awal bagi menyelesaikan secara tuntas dan muktamad krisis pentadbiran yang melanda, maka tidak salah buatlah pemilihan parti dulu.
Ia bagi membolehkan UMNO menepis segala persepsi berhubung kepemimpinan parti itu bagi menghadapi PRU-15.
Jika dalam konteks mahu PRU-15 adalah bagi menyakinkan pengamal demokrasi dunia juga pelabur, maka pemilihan UMNO juga perlu diadakan bagi menyakinkan rakyat bahawa parti itu memiliki barisan kepemimpinan yang ‘tidak ada apa-apa parut’ dan bukannya dok mengharap ‘perfect storm’ sahaja…yang belum tentu wujud dalam PRU-15.
TAHNIAH kepada Barisan Nasional (BN) yang bukan sahaja kembali berkuasa di Melaka tetapi juga mencapai kejayaan cukup memberangsangkan apabila menang di 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan.
Bagaimanapun, berdasarkan penelitian terhadap perolehan undi BN dan reaksi, boleh dikatakan BN boleh bergembira dengan kemenangan dicapai tetapi tidak boleh terlalu bangga apatah lagi mahu menjadi angkuh dengan kejayaan di bumi Hang Tuah itu.
Mereka juga tidak boleh terlalu gelojoh mahu Pilihan Raya Umum (PRU-15) diadakan secepat mungkin sebab ada sosak sosek mengatakan seorang pemimpin kanan BN minta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen bulan depan. Biasalah orang kalau keterujaan dan gembira sangat kadangkala terlupa untuk meneliti fakta.
UMNO atau BN tidak boleh menganggap apatah lagi mendabik dada mengatakan rakyat sudah kembali menyokong BN hanya disebabkan menang 21 kerusi di Melaka.
Semua orang tahu faktor utama kemenangan BN di negeri itu disebabkan jumlah keluar mengundi rendah iaitu bawah 70 peratus. Pada masa sama BN bernasib baik apabila gelombang pengundi luar pulang mengundi tidak berlaku.
Faktor lain yang turut menyebelahi BN, apabila terdapat protes dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan berikutan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil dua bekas ADUN yang menarik sokongan kepada Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali sebagai Ketua Menteri sehingga tumbang kerajaan Melaka sebagai calon.
Penulis faham keterujaan hasil kemenangan itu sehingga sudah ada pemimpin UMNO yang minta Pas yang menjadi anggota rasmi Perikatan Nasional ‘kembali ke pangkal jalan’, entah jalan mana yang dimaksudkan oleh pemimpin tersebut tetapi yang pasti kemenangan di Melaka bukan bermakna BN dan UMNO berada di jalan mudah untuk mencapai kejayaan dalam PRU-15.
Ia kerana seperti mana kata seorang pemimpin UMNO kepada penulis, ‘’kemenangan BN itu atas sentimen parti bukan sentimen rakyat.’’
Secara terperincinya daripada 21 DUN yang dimenangi oleh BN, 11 daripadanya menang dengan majoriti tipis di bawah 1,000 undi. DUN tersebut ialah Tanjong Bidara (364 undi), Rembia (860 undi), Gadek (559 undi), Machap Jaya (938 undi), Durian Tunggal (559 undi), Pantai Kundor (829 undi), Paya Rumput (629 undi), Klebang (876 undi), Pengkalan Batu (131 undi), Serkam (79 undi) dan Duyong (200 undi).
Tiga DUN, BN menang dengan majoriti di bawah 1,400 undi iaitu Ayer Limau (1,085 undi), Rim (1,327 undi) dan Sungai Rambai (1,137 undi) manakala Tujuh DUN menang dengan majoriti antara 1,500 hingga 3,200 undi iaitu Kuala Linggi (1,8836 undi), Lendu (3,108 undi, Taboh Naning (1,825 undi), Asahan (2,993 undi), Ayer Molek (2,802 undi), Merlimau (3248 undi) dan Telok Mas (2,076 undi).
Keputusan mungkin berbeza jika jumlah keluar mengundi melibatkan pengundi dalam negeri dan pengundi luar. Tetapi keadaan itu tidak berlaku kerana kebimbangan jangkitan Covid-19, perasaan muak dengan politiking dan protes terhadap calon.
Sebagai contoh, di Tanjong Bidara, jumlah keluar mengundi adalah 72.5 peratus, BN menang dengan majoriti 364 undi sahaja, begitu juga di Serkam yang mencatatkan jumlah keluar mengundi 74.2 peratus, BN menang dengan majoriti cukup tipis iaitu 79 undi, di Duyong BN menang dengan majoriti 200 undi apabila jumlah keluar mengundi mencecah 68.2 peratus.
Oleh itu kalaulah pemimpin-pemimpin BN berasa kemenangan di Melaka adalah isyarat rakyat sudah kembali menyokong parti itu, ia harus difikirkan semula. Ia memandangkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, senario adalah berbeza, gelanggang permainan berlainan dan pengundi yang pelbagai.
Lagipun kalau ikut sesetengah penganalisis politik, undi popular BN dalam PRN Melaka hanya bertambah 0.55 peratus sahaja.
*Jangan pandang mudah pencapaian Perikatan Nasional
Apa yang menarik untuk dikaji ialah pencapaian Perikatan Nasional dalam PRN Melaka. Walaupun gagal mempertahankan kerusi DUN Telok Mas dan Paya Rumput yang dimenangi dalam PRU-14, namun gabungan itu ‘berjaya menggantikannya’ dengan kejayaan bergaya di dua DUN lain apabila merampas kerusi Bemban daripada DAP dan Sungai Udang daripada Barisan Nasional.
Dua calon muka baharu Perikatan Nasional yang merupakan pegawai perubatan iaitu Dr.Yadzil Yaakub dan Dr. Mohd Aleef Yusof masing-masing ‘menumbangkan’ calon cukup hebat.
Dr.Yadzil berjaya menewaskan Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew di Bemban dan Dr Mohd Aleef mengalahkan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad di Sungai Udang.
Walaupun Dr.Yadzil dan Dr Mohd Aleef menang dengan majoriti tipis tetapi ia kejayaan besar buat mereka dan Perikatan Nasional.
Perikatan Nasional boleh dianggap mencatatkan perolehan undi yang membanggakan apabila hanya seorang calon memperolehi di bawah 1,000 undi manakala calon-calon lain di atas 1,000 undi dengan jumlah undi tertinggi ialah di DUN Serkam.
Walaupun tewas di Serkam tetapi calon Perikatan Nasional, Ahmad Hilal Rahudin memberi saingan cukup sengit apabila tewas hanya 79 undi majoriti kepada calon Barisan Nasional, Zaidi Attan.
Dari segi perolehan undi juga selain Bemban dan Sungai Udang, terdapat 10 DUN yang menyaksikan Perikatan Nasional kalah tetapi memperolehi undi mengatasi calon Pakatan Harapan.
DUN tersebut ialah Lendu, Taboh Naning, Tanjong Bidara, Ayer Limau, Pantai Kundor, Ayer Molek, Telok Mas, Rim, Serkam dan Sungai Rambai. Perikatan Nasional juga mencatatkan penambahan undi di semua kerusi .
Ketika ditanya mengenai keputusan DUN Sungai Udang yang menyaksikan pengundi awal tidak menyebelahi BN, satu sumber berkata,
’’Mereka adalah penjawat awam yang memahami apa berlaku di peringkat nasional mereka mahu pemimpin bersih dan sumbangan besar Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri yang menguruskan negara ketika pandemik Covid-19.’’
Oleh itu BN dan UMNO, janganlah memandang mudah kehadiran Perikatan Nasional dalam gelanggang pilihan raya. Tidak payahlah menjadikan PRN Melaka sebagai modal untuk menunjukkan kononnya Perikatan Nasional tidak ada sokongan kerana perolehan undi membuktikan sebaliknya.
SEGALANYA bermula 3 Oktober lalu, apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membuat keputusan menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Mohd.Ali.
Lanjutan itu Sulaiman mengutuskan surat kepada Yang Dipertuan Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam minta perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dan pada 5 Oktober, Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab.Rauf Yusoh menyerahkan dokumen proklamasi pembubaran DUN kepada Pengerusi SPR Melaka, Rudy Rohan Johar sekaligus bermakna Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Rakyat Melaka yang baru sahaja mahu bernafas selepas ‘dibadai’ wabak Covid-19 ‘diseret’ untuk terlibat dalam krisis politik yang tercetus akibat pertelingkahan dalaman UMNO.
Istilah ‘seolah-olah dua ekor singa di atas satu gunung’ dan pelbagai dakwaan lain sehingga memaksa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan memberi isyarat kepada rakyat Melaka bahawa mereka harus menghentikan adegan politik yang memualkan itu.
Pilihan Raya Negeri Melaka esok bukan sebuah pilihan raya biasa. Majoriti rakyat yang sudah muak dengan perangai orang politik dalam parti-parti tertentu mahu melihat rakyat Melaka menggunakan kuasa mengundi mereka untuk melakukan perubahan dan melakar sejarah politik negara.
Rakyat Melaka pasti berasa perit apabila terjerumus dalam pergolakan politik yang setakat ini sudah menyaksikan dua kerajaan memerintah negeri itu.
Justeru adakah mereka akan membiarkan keadaan itu berulang? Adakah mereka akan terus menyaksikan tarik menarik sokongan berlaku sehingga mereka juga terseret sama? Adakah mereka tidak muak mendengar soal ‘singa di atas gunung’ atau dakwaan pemimpin itu atau pemimpin ini hanya sekadar boneka?
Politik Melaka memerlukan perubahan secara total. Pentadbiran Kerajaan Melaka memerlukan nafas baharu dan kepemimpinan negeri perlu diterajui wajah baharu dan lebih penting berintegriti, bebas daripada persepsi rasuah atau salah guna kuasa. Cukuplah dengan adegan politik yang kita saksikan sebelum ini. Mereka yang terlibat tidak harus diberi peluang lagi.
Jika rakyat Melaka mahu mengajar sang politikus seumpama itu, inilah masanya. Kalau rakyat Melaka mahu mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan negeri yang stabil, prihatin dan bebas rasuah dan salah guna kuasa…inilah masanya.
Kalau ada ahli-ahli parti politik tertentu mahu menjadikan Melaka sebagai gelombang bagi mengubah kepemimpinan di peringkat pusat…inilah masanya.
Pilihan Raya Negeri Melaka bukan soal untuk mengembalikan kuasa atau mengekalkan kuasa kepada mana-mana pihak tetapi ia adalah peluang terbaik kepada rakyat negeri itu memberi isyarat kepada sang politikus bahawa kuasa sebenar di tangan rakyat.
Rakyat Melaka mempunyai pilihan sama ada mahu menyokong pakatan yang pemimpin mereka sendiri kecewa kerana seolah-olah berlaku politik ‘matlamat menghalalkan cara’ bagi mencapai kemenangan atau memilih gabungan yang terpalit dengan ‘kisah dua singa atas sebuah gunung’ atau menyerahkan kuasa kepada satu perikatan yang secara telus telah berikrar melaksanakan pentadbiran prihatin rakyat dan berintegriti?
Kalaulah selama ini mereka mengeluh sikap ahli politik parti tertentu yang tidak berubah dan kalaulah selama ini mereka bosan dengan ‘kisah boneka’ atau tidak mahu mengulangi ‘derita 22 bulan’, maka inilah masanya perubahan dilakukan.
Kehadiran Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya tidak disia-siakan oleh rakyat Melaka. Apatah lagi bukan sahaja perikatan itu menjadi satu-satunya parti yang membuat akujanji antirasuah dalam Pilihan Raya Negeri Melaka malah lebih menarik mencalonkan seorang wanita sebagai Ketua Menteri jika mereka menang dalam pilihan raya berkenaan.
Tindakan memilih Perikatan Nasional bukan sahaja boleh membuktikan rakyat Melaka berani melakukan perubahan tetapi jauh daripada itu memberi pengajaran kepada ahli-ahli politik jangan menyeret rakyat dalam pertelingkahan politik mereka.
Jika rakyat Melaka berani melakukan perubahan tersebut sudah pasti ia akan menyedarkan ahli-ahli politik supaya jangan sewenang-wenangnya mahu meminta DUN dibubarkan tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat.
Penulis percaya rakyat Melaka mampu melakukan kejutan, memberi pengajaran dan mencetuskan gelombang yang boleh merobah senario politik tanah air secara keseluruhannya .
Langkah itu perlu dilakukan jika mereka tidak mahu melihat adegan yang menghuru-harakan politik Melaka berulang sehingga menyusahkan rakyat.
Selain perubahan politik, rakyat Melaka yang keluar mengundi tersebut akan tercatat dalam sejarah memungkinkan seorang wanita menjadi Ketua Menteri apabila Perikatan Nasional menamakan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin menduduki jawatan itu jika mereka mendapat mandat menubuhkan Kerajaan Negeri.
Apa yang ditawarkan oleh Perikatan Nasional melalui Ikrar Untuk Melaka bukanlah janji kosong dan apa yang dilafazkan melalui akujanji antirasuah bukanlah omong kosong.
Ketika menjadi Kerajaan Pusat selama 18 bulan sebelum ditumbangkan oleh segelintir ahli Parlimen UMNO sudah menjadi bukti Perikatan Nasional mampu menerajui Melaka Bangkit Cemerlang dengan penuh integriti.
Usah terperdaya dengan dakyah dan jangan terpengaruh dengan hasutan yang cuba memburuk-burukan Perikatan Nasional dengan fitnah ‘Kerajaan Gagal’. Apa yang dinikmati oleh rakyat sekarang adalah hasil perancangan Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri.
Justeru rakyat Melaka tidak harus melepaskan peluang untuk melakukan perubahan politik dan melakar sejarah dalam Pilihan Raya Negeri esok. Jika itu dapat dilakukan, percayalah negeri-negeri lain juga akan merasai tempias gelombang dari bumi Melaka ini. Biarlah di Melaka segala-galanya bermula!
SEJAK dulu lagi, satu perkara yang menarik perhatian penulis terhadap Pas ialah waala’ dan taat ahli-ahlinya kepada pemimpin mereka.
Biar sehebat manapun perasaan tidak puashati mereka terhadap pendirian parti tetapi apabila kepemimpinan sudah membuat keputusan, maka mereka akan akur. Tidak ada sabotaj dan tidak ada yang mahu memaki hamun pemimpin sendiri.
Waala’ dan patuh inilah yang meletakkan Pas pada kedudukan sekarang. Parti itu kini berada bersama dalam Kerajaan Pusat dan memerintah di tiga buah negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Ketaatan dan kepatuhan ahli-ahli Pas kepada kepemimpinan parti inilah tidak ada kepada parti-parti lain. Justeru penulis tidak hairan apabila ada pemimpin yang sudah tidak ada kaitan sama sekali dengan Pas tiba-tiba melompat apabila melihat keputusan ahli-ahli Pas dalam pemilihan parti pada Sabtu lalu.
Penulis faham, ramai musuh Pas mengharapkan isu kerjasama dengan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional akan memecah belahkan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
Mereka tahu dalam Pas terbahagi kepada dua kelompok iaitu satu kelompok ingin bersama Perikatan Nasional dan satu kelompok mahu Muafakat Nasional. Ia bukanlah rahsia lagi, siapa pemimpin terlibat dalam percaturan itupun ramai tahu.
Ia boleh dipastikan melalui kenyataan-kenyataan mereka.
Bagaimanapun apabila kepemimpinan Pas pusat memutuskan untuk menggunakan simbol Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kesemua pemimpin dan ahli parti itu patuh.
Arus penolakan yang pada awalnya dilihat menghala kepada kelompok pro Perikatan Nasional berubah saat-saat akhir sehingga menjadi ‘bencana politik’ kepada kelompok ‘mesra Muafakat Nasional’.
Sebab itulah, ada pemimpin di luar Pas tidak puas hati. Mereka berharap yang akan ditolak ialah kumpulan pro Perikatan Nasional bagi membolehkan mereka memperlekehkan kepemimpinan Abdu Hadi habis-habisan. Pemimpin dan ahli Pas tidak sebodoh itu. Mereka telah ditarbiah sejak awal lagi supaya taat dan patuh kepada keputusan parti. Mereka boleh memberi pandangan, mereka boleh melontar kritikan tetapi apabila parti sudah membuat keputusan maka semua harus menghormatinya.
Dan inilah yang berlaku apabila kepemimpinan membuat keputusan menggunakan simbol Perikatan Nasional. Pendirian yang diumumkan oleh Abdul Hadi itu dilihat sebagai isyarat untuk menolak Muafakat Nasional.
Adakah keputusan kepemimpinan Pas itu salah? Sudah tentu tidak kerana pertamanya, Pas bukan sahaja anggota rasmi Perikatan Nasional tetapi hakikatnya mereka jauh dihormati dalam kerjasama dengan gabungan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
Bekas Perdana Menteri itu cukup menghormati Pas atas sebab itulah segala perundingan tidak mencetuskan apa masalah. Kalaupun ada masalah, tidak ada mana-mana pemimpin parti Bersatu mahupun Perikatan Nasional membuat kenyataan yang boleh menggores perasaan pemimpin dan ahli Pas.
Ini berbeza dalam kerjasama dengan Muafakat Nasional. Segelintir pemimpin UMNO tidak pandai menjaga hati Pas. Merek membuat kenyataan sesuka hati. Pas dilayang bagaikan ‘melukut di tepi gantang’.
Apa sahaja rundingan, mereka sahaja mahu menang atau mahu lebih, Pas dipaksa untuk akur dengan sebarang keputusan. Itu belum lagi mengambil kira sindiran yang dibuat oleh pemimpin UMNO bertaraf ‘ batu api’.
Keadaan inilah yang menyebabkan Pas kecewa. Itulah yang berlaku dalam rundingan pembahagian kerusi bagi PRN Melaka. Pas hanya diberikan tiga kerusi oleh UMNO berbanding lapan kerusi yang diberikan oleh Perikatan Nasional.
Penulis difahamkan, Pas ditawarkan lebih daripada jumlah itu tetapi Pas menolak kerana memahami kemampuannya di Melaka.
Tetapi dalam rundingan dengan UMNO, Pas tidak dilayan sedemikian, seperti biasa UMNO mengekalkan perangai lamanya tetap mahu menjadi dominan atau ‘abang besar’.
Kepemimpinan Pas membuat keputusan bersama Perikatan Nasional dalam PRN Melaka kerana tidak mahu maruah parti itu diperkotak-katikkan. Kalau Pas tunduk dengan apa sahaja kehendak UMNO sudah pasti selepas ini perkara yang sama akan berulang apabila berhadapan PRU-15.
Kepemimpinan Pas mahu memberi isyarat kepada UMNO, Pas bukanlah parti picisan. Memang benar Pas tidak mempunyai pengaruh besar di Melaka tetapi Pas boleh menjadi faktor penentu kemenangan kepada kawasan yang menyaksikan pertarungan tiga penjuru.
Pemimpin UMNO sedar keadaan ini tetapi ‘keangkuhan’ menyebabkan mereka sengaja melupakan fakta berkenaan. Dan yang peliknya apabila Pas sudah membuat keputusan ada pula pemimpin UMNO yang kecewa sehingga membuat kenyataan ‘’laungan mereka (Pas) mahu menyatukan ummah hanya sekadar ‘halwa telinga’.
Betulkah begitu? Kenapa pemimpin tersebut tidak mempersoalkan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang awal-awal lagi bertanya ‘’adakah lagi Muafakat Nasional ini’’. Kenapakah pemimpin itu tidak mempersoalkan sikap segelintir pemimpin UMNO yang menolak sebarang usaha menyatukan ummah apabila melibatkan parti Bersatu?
Kenapakah pemimpin itu tidak bertanya kepada Ahmad Zahid, jika dengan DAP boleh berunding pada saat-saat akhir bagi menyelamatkan Kerajaan Negeri Melaka, kenapa susah sangat UMNO mahu berbaik-baik dengan Bersatu demi perpaduan ummah yang diusahakan oleh Pas?
Sebenarnya, segelintir pemimpin UMNO amat memahami kesannya apabila Pas membuat keputusan bersama Perikatan Nasional di Melaka. Ia kerana pendirian itu sebagai isyarat kepada pengundi Pas dan penyokong parti itu untuk menyokong calon-calon Perikatan Nasional dalam pilihan raya berkenaan dan sekaligus akan memungkinkan UMNO kehilangan undi.
Seperti mana seorang pemerhati politik kepada penulis, ‘’Inilah keunikan dan keistimewaan Pas, ahli-ahlinya taat dan patuh kepada keputusan pimpinan.
Kalau nak beri sokongan, mereka akan beri ‘seketul’ bukan ‘terpecah-pecah’. Sikap ini tidak ada dalam parti lain terutamanya UMNO yang cukup popular dengan politik ‘cah keting’.’’
Kesimpulannya, usahlah mempersoalkan apatah lagi memperlekehkan sikap taat dan patuh ahli-ahli Pas terhadap kepemimpinan mereka sebaliknya contohilah sikap tersebut.
Percayalah, ahli-ahli Pas tidak akan tergugat dengan kritikan dan kecaman berikutan apa yang berlaku dalam pemilihan parti itu mahupun pendirian bersama Perikatan Nasional kerana mereka ditarbiah untuk menghormati kepemimpinan parti. Bukannya seperti ‘satu parti Melayu’ itu, mendabik dada mempunyai ahli berjuta tetapi bila pilihan raya hilang kuasa jugak!
PENULIS boleh memahami kekecewaan Pas yang dizahirkan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man apabila terpaksa ‘bertembung’ dengan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekaligus mengakhiri segala usaha Pas untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru khususnya melibatkan tiga parti Melayu.
Namun begitu Pas sepatutnya memahami sejak awal lagi UMNO sudah memberi isyarat mereka ingin berjuang sendirian di Melaka kerana yakin boleh mencapai kemenangan.
Isyarat itu sudah dilontarkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dalam beberapa kenyatan termasuk terpancul ayat, adakah lagi Muafakat Nasional (MN)?
Tetapi Pas masih tidak berputus asa dan cuba berunding dengan UMNO walaupun menyedari pemimpin UMNO semakin angkuh kerana begitu percaya akan kembali menawan Melaka.
Justeru awal-awal lagi, UMNO menolak sebarang usaha untuk menjalin kerjasama dengan Bersatu yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bersatu ‘diserang’ habis-habisan oleh segelintir pemimpin UMNO.
‘Dipatuk ular’, ‘lubang biawak’ dan ‘pengkhianat’ antara istilah yang digunakan oleh segelintir pemimpin UMNO bagi menghalang sebarang usaha untuk parti itu berbaik dengan Bersatu. Walaupun di dalam kerajaan pusat, kedua-dua parti sama-sama menguruskan negara dari segi parti lain ceritanya.
Ia kerana di dalam UMNO wujud senario, ‘kau jaga negara, aku jaga parti’, maknanya yang jaga negara tidak boleh mencampuri urusan parti.
Atas sebab itulah apabila timbul usaha perundingan dengan melantik Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai orang tengah bagi mengelakkan pertembungan antara tiga parti Melayu di Melaka, semua orang sudah tahu ia hakikatnya hanyalah ‘sandiwara’ kepemimpinan UMNO.
Tetapi Pas tidak berputus asa, tetap menaruh harapan agar persetujuan dapat dicapai. Justeru walaupun pucuk pimpinan memutuskan bahawa Pas akan menggunakan lambang Perikatan Nasional namun ada pemimpin Pas menegaskan, hubungan dengan UMNO tidak terjejas dan mereka akan menyokong penyandang kerusi jika berlaku tiga penjuru.
Dan mereka gembira bila Majlis Tertinggi UMNO memutuskan meneruskan kerjasama dengan Pas di Melaka tetapi dengan syarat Pas mesti menggunakan lambang sendiri.
Syarat itu sudah jelas menunjukkan UMNO sebenarnya mahu meletakkan Pas dalam kesukaran memandangkan Pas adalah anggota rasmi Perikatan Nasional.
Bagaimanapun rundingan tetap diteruskan dan khabarnya Pas dijanjikan kerusi Durian Tunggal dan Duyong. Tetapi semalam Tuan Ibrahim mendedahkan bagaimana rundingan gagal apabila UMNO berkeras mahu bertanding di semua kerusi.
Penulis tidak terkejut dan tidak mungkin akan terkejut dengan sikap UMNO apatah lagi apabila ada ura-ura UMNO akan beri laluan kepada Pas di kerusi DUN Duyong dan Durian Tunggal.
Walaupun tidak tahu sejauh manakah kebenarannya ‘tawaran’ itu selepas dimaklumkan oleh seorang kawan, penulis memberi pandangan adakah benar UMNO akan berbuat demikian jika berdasarkan kepada keputusan PRU-14?
Di DUN Durian Tunggal, PKR menang dengan majoriti tipis 763 undi. Ketika itu calonnya, mendapat 5,213 undi manakala BN mendapat 4,450 undi dan Pas 1,391 undi. Kalau UMNO dan Pas bergabung mereka boleh mendapatkan 5,841 undi.
Soalnya kalaulah ada peluang untuk menang melalui gabungan itu, adakah UMNO akan menyerahkan kerusi tersebut kepada Pas untuk bertanding? Sekadar bermimpi mungkin boleh.
Begitu juga di Duyong, BN diwakili MCA. Kalau BN benarkan UMNO bertanding di situ, kerusi mana mahu digantikan untuk diserahkan kepada MCA?
Di kerusi tersebut dalam PRU-14, Pakatan Harapan menang dengan majoriti 2,895 undi selepas calonnya, Damian Baba Yeo mendapat 7,642 undi manakala calon BN Lee Kiat Lee mendapat 4,747 undi dan Pas mendapat 2,938 undi. Kalau digabung undi BN dan Pas mereka boleh mendapat 7,685 undi…biarpun tipis adakah BN akan beri kepada Pas?
Sebab itulah, sejak awal lagi penulis tidak pernah percaya UMNO akan beri kerusi boleh menang kepada Pas di Melaka. Apatah lagi kepemimpinan UMNO sebenarnya amat mengetahui kekuatan Pas di negeri tersebut.
Berikutan itulah mereka memandang Pas ‘sebelah mata’. Benar, Pas tidak ada kekuatan di Melaka seperti mana mereka kuat di Pantai Timur atau utara tetapi Pas tidak seharusnya dilayan seperti ‘melukut di tepi gantang’.
Benar niat Pas murni mahu mengwujudkan perpaduan ummah tetapi memetik kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ‘’ jangan kurung Pas dengan permuafakatan tertutup dalam lingkungan sekadar menjadi penumpang dalam perjalanan politik tanah air.’’
UMNO tidak mungkin akan melayan Pas sedemikian jika Pas mempunyai kekuatan seperti di Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Tetapi UMNO tahu Pas tiada pengaruh besar di Melaka. Dalam PRU-14, Pas kalah di kesemua 24 kerusi mereka tandingi. Hanya tiga DUN sahaja Pas mendapat undi yang dianggap tinggi iaitu di Serkam (3,423 undi), Ayer Molek (3,082 undi) dan Duyong (2,938 undi).
Namun itu begitu bukan bermaksud Pas harus dilayan seolah-olah mereka hanya parti picisan, ‘ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi’, dalam keadaan pertembungan yang dijangka lebih tiga penjuru dalam PRN Melaka – undi Pas boleh menjadi penentu.
Dan Pas beruntung apabila kehadiran mereka sebagai anggota Perikatan Nasional dihormati oleh Bersatu yang memberi peluang kepada Pas untuk bertanding di lapan kerusi iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.
Memang menang dalam pilihan raya jadi matlamat tetapi seperti mana kata Tuan Ibrahim, permuafakatan yang dijalin bukan sekadar untuk kerusi pilihan raya tetapi ada agenda lebih besar daripada itu.
Soalnya adakah UMNO memahami keikhlasan Pas untuk menyatukan ummah? Kegagalan Pas mencapai persefahaman dengan UMNO dari segi pembahagian kerusi sudah menjadi bukti.
Oleh itu tidak usahlah Pas terus mengharapkan UMNO akan bersetuju dengan usaha mereka menyatukan ummah kerana selain sudah wujud politik kebencian kepada Bersatu, UMNO juga mungkin begitu teruja dengan jajaran baharu politik? Dengan siapa…kita lihat dulu apa akan berlaku dalam PRN Melaka nanti.
Yang pasti, biarpun kita memahami Pas ikhlas mahu menyatukan ummah namun janganlah sampai maruah parti diperkotak-katikkan. Tidak mengapa kalah dalam pilihan raya, tidak mengapa kalau tiada kerusi dimenangi, asalkan maruah parti terpelihara.
PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan kemungkinan beliau akan bertanding lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu menyatakan demikian dalam wawancara yang disiarkan oleh VICE News melalui YouTube baru-baru ini.
Ahli Parlimen Langkawi itu memberi alasan, ramai penyokong dan pengikutnya mahu beliau bertanding.
Sememangnya, Dr Mahathir sudah terlalu lama bergelumang dalam kancah politik tanah air dan menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun di bawah Barisan Nasional (BN) serta 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH).
Setelah rejim PH tumbang, banyak pihak menjangka beliau akan berundur dari arena politik pada PRU-15 dan memanfaatkan usia yang berbaki dengan memperbanyakkan amal ibadah.
Namun, jangkaan itu nampaknya meleset kerana Dr Mahathir masih ada hati untuk bergiat aktif dalam politik pilihan raya walaupun umurnya kini sudah mencecah 96 tahun.
Tidak dinafikan pada usia yang semakin menghampiri 100 tahun, beliau masih mempunyai daya pemikiran yang tajam.
Cuma, pendekatan yang digunakannya dalam berpolitik sudah tidak sesuai lagi dengan situasi semasa yang lebih dinamik dan terbuka berbanding ketika zaman beliau menjadi Perdana Menteri keempat dahulu.
Jelas terbukti Dr Mahathir gagal mengawal DAP yang lagaknya seperti beraja di mata, bersultan di hati semasa beliau menjadi Pengerusi PH dahulu.
Bukan lagi rahsia bahawa sekumpulan pemimpin PH bersikap biadab mendesak Dr Mahathir meletak jawatan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menjadi Perdana Menteri.
Ekoran tekanan yang sangat hebat daripada kem pro-Anwar dalam PH, Dr Mahathir membuat keputusan mengejut dengan meletak jawatan sehingga menyebabkan negara dalam keadaan tidak menentu ketika dilanda krisis COVID-19.
Entah apa yang difikirkan oleh Dr Mahathir ketika itu sehingga nasib rakyat yang terjejas akibat krisis COVID-19 seolah-olah tidak diberi keutamaan yang sewajarnya.
Kita juga masih ingat lagi apa reaksi beliau ketika ditanya berhubung kemasukan pelancong dari China yang dikhuatiri boleh menyebabkan penularan pandemik COVID-19 di negara ini.
“Kadang-kadang kita menerima dua juta pelancong China, bagaimana hendak kuarantin semua? Hendak letak di mana? Takkan nak buh (letak) kat kandang lembu?” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette pada 26 Januari 2020.
Kita pun tidak tahu apa lagi yang Dr Mahathir mahu apabila berhasrat untuk terus aktif berpolitik walaupun beliau sepatutnya sudah bersara.
Anaknya yang juga Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz juga sepatutnya sudah mampu bergerak sendiri menentukan hala tuju politiknya.
Lagipun, selagi Dr Mahathir tidak bersara, Mukhriz terpaksa menerima hakikat bahawa kerjaya politiknya dibayangi oleh pengaruh bapanya.
Demi kelangsungan politik Mukhriz, lebih baik Dr Mahathir melupakan hasrat untuk bertanding lagi dalam PRU-15 walaupun didesak berbuat demikian oleh konco-konconya.
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka boleh dianggap unik apabila parti-parti yang bergabung dalam kerajaan di peringkat pusat akan bertarung sesama sendiri jika kata sepakat gagal dicapai khususnya melibatkan Bersatu dan UMNO.
Lebih unik lagi mengenai kedudukan Pas kerana mereka menjalinkan hubungan politik dengan kedua-dua parti tersebut. Bersama Bersatu sebagai anggota rasmi Perikatan Nasional (PN) dan menandatangani piagam dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).
Apabila tercetus PRN Melaka akibat pergolakan dalaman UMNO, Pas berada dalam kedudukan ‘diluah mati emak, ditelan mati bapa’. Dan keadaan menjadi lebih rumit apabila buat pertamanya dalam sejarah, Pas bersetuju tidak menggunakan lambang parti itu sebaliknya menggunakan lambang Perikatan Nasional.
Ada yang mentafsirkan bahawa itu membuktikan komitmen Pas untuk bersama Perikatan Nasional dan menghormati persefahaman yang dicapai dalam perikatan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tetapi persoalan mula timbul apabila pada masa sama pemimpin Pas menegaskan, penggunaan logo itu bukan menafikan kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional. ‘Lebih pening’ lagi Pas masih kekal dengan pendirian iaitu menyokong penyandang kerusi.
Contohnya di PRN Melaka, jika kerusi dimenangi oleh UMNO maka Pas akan beri sokongan kepada calon UMNO begitu juga jika kerusi itu dimenangi oleh Bersatu. Dan perkara ini ditegaskan oleh Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamarudin Sidek.
“Makna kalau kata ada pihak PN, contoh Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) masuk lawan juga di kawasan kerusi yang UMNO menang, Pas tidak teragak-agak untuk menyokong UMNO dalam kerusi tersebut, begitu juga sebaliknya.
“Kerusi yang telah dimenangi oleh Bersatu, UMNO tak boleh masuk… kalau dia (UMNO) masuk kita (Pas) akan menyokong Bersatu… bermakna kita menghormati, jadi tak ada isu saya rasa… matlamat (tetap) satu lawan satu (dengan PH),’’ kata beliau seperti dilapor Bernama.
Niat Pas amat murni iaitu mengelakkan pertembungan satu lawan satu dan atas matlamat itu juga Pas memutuskan akan bertanding di kerusi dimenangi Pakatan Harapan.
Maknanya dalam PRN Melaka, Pas mahu menjadi ibarat lilin membakar diri tetapi pada masa sama ramai yang senyum sinis bila Pas tidak akan menyokong sekutunya, Bersatu jika berlaku pertembungan tiga penjuru di kerusi dimenangi UMNO.
Sesetengah penganalisis mendakwa Pas cuba bermain di dua kolam walaupun akan menggunakan lambang Perikatan Nasional.
Penulis tidak menganggap apa yang dikatakan oleh Kamarudin itu salah kerana itulah keputusan kepemimpinan Pa sebelum ini.
Justeru menjadi tanggungjawab kepada kepemimpinan Pas untuk memberi pencerahan dan membuat ketetapan apakah dasar menyokong penyandang masih terpakai atau tidak?
Ia kerana pendirian itu mengelirukan dan dilihat bercelaru biarpun Pas dianggap melakukan pengorbanan besar untuk bertanding di kerusi-kerusi dimenangi PH.
Kepemimpinan Pas tidak boleh memikirkan ketaatan ahli-ahlinya sahaja yang pasti akan patuh terhadap apa juga arahan mereka, tetapi Pas juga kena fikirkan pengundi non partisan atau atas pagar.
Kelompok ini sudah tentu memuji pengorbanan Pas tetapi mereka juga tertanya-tanya siapa sebenarnya Pas mahu sokong PN atau MN?
Begitu juga soal bertanding di kerusi dimenangi PH, Pas perlu tentukan juga kerusi mana. Tak kan mahu membuat perhitungan seperti PRU-14 bertanding 24 kerusi semua kalah?
Ketika membuat congak-congak kawasan-kawasan yang boleh ditandingi oleh Pas berdasarkan kepada keputusan PRU-14, antara DUN yang penulis fikir Pas boleh meletakkan calon ialah Gadek (DAP majoriti 307 undi), Durian Tunggal (Amanah majoriti 763 undi), Kelebang (PKR majoriti 789 undi), Bemban (DAP majoriti 1,345 undi), Machap Jaya (PKR majoriti 1,336 undi) dan Duyong (DAP 2,895 majoriti).
Cabaran Pas untuk mencapai impian bertanding kawasan dimenangi oleh Pakatan Harapan bukan Bersatu memandangkan Perikatan Nasional pasti ada kesepakatan, tetapi bagaimana dengan UMNO?
Adakah UMNO atau Barisan Nasional bersedia memberi laluan kepada Pas di kawasan-kawasan tersebut jika tahu mereka berpeluang mencapai kemenangan?
Tambahan pula berbanding perolehan undi pada PRU-14, Barisan Nasional dan UMNO mencatatkan jumlah undi mengatasi Pas di kesemua kawasan tersebut. Agak-agak bersediakah UMNO beri laluan kepada Pas untuk elak tiga penjuru?
Kalau benar-benar Pas mahu menyatukan ummah atau mahu menjadi ‘lilin’, apa kata Pas biarkan sahaja UMNO dan Bersatu bertanding di PRN Melaka. Pas hanya menjadi penyokong dan tukang kempen sahaja, soal pembahagian kerusi serah kepada UMNO dan Bersatu berunding. Apabila menang, Pas boleh menjadi ADUN dilantik.
Lagipun sudah terbukti Pas tidak mempunyai kekuatan untuk menandingi parti-parti lain untuk meraih sokongan tetapi berupaya membantu memberi kemenangan. Tetapi sudah pasti Pas tidak mahu berbuat demikian.
Justeru untuk mengatasi kekusutan ini, Pas perlu membuat ketetapan adakah sokongan kepada Perikatan Nasional secara keseluruhan atau menyokong mengikut keputusan PRU-14.
Pas tidak boleh berada dalam ketidaktentuan kerana akan dituduh mahu ‘berlindung’ di sebalik penyatuan ummah. Ini bukan tahun 1990, di mana Pas yang berada dalam blok pembangkang bekerjasama dengan Semangat 46 tetapi tidak bekerjasama dengan sekutu Semangat 46 iaitu DAP.
Pas kena ada pendirian. Semua orang Melayu mahukan penyatuan ummah dan tiada siapa mempertikaikan hasrat Pas mahu menyatukan parti-parti Melayu demi menghalang Pakatan Harapan menang PRN Melaka, tetapi cara atau pelaksanaan kena jelas bukannya menimbulkan persoalan dan kekeliruan.
Penulis bukanlah mahu memperkecilkan Pas tetapi berasa kecewa sebagai sebuah parti besar yang sejarah perjuangannya cukup hebat sehingga kini mampu menguasai tiga negeri, Pas tidak boleh ‘memberi muka’ kepada kelompok yang seolah-olahnya tidak menghormati Pas kerana tahu parti itu tidak ada kekuatan di Melaka.
Sebab itu ada pemimpin parti tersebut bertanya, ‘’adakah lagi Muafakat Nasional’’ dan begitu yakin kalau bertanding solo mereka boleh menang di Melaka.
Kalau Pas sudah membuat keputusan menjadi anggota rasmi Perikatan Nasional maka pastikan kemenangan perikatan itu secara total sama ada di kawasan yang sandang atau tidak. Pas tidak boleh ibarat pakai baju dua lapis, di luar Perikatan Nasional, di dalam Muafakat Nasional.
‘’SAYA nak tanya balik, adakah Muafakat Nasional ini lagi? ‘’ Kalau kita…apa yang dipanggil netizen bahawa UMNO ini dikhianati…saya fikir elok kalau UMNO terus bertanding cara solo dengan menggunakan panji-panji Barisan Nasional.’’ (29 September 2021)
‘’Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaiman PRK-PRK yang pernah diadakan. Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan insha-Allah rakyat memilih parti yang terbaik.
‘’Saya tidak pernah kecewa sebagai seorang orang ahli politik tetapi kita harus tahu bahwa bila kita berkongsi, terutamanya berkongsi hidup, kita harus saling percaya mempercayai dan kita jangan khianat mengkhianati. “Cukuplah kalau pengkhianatan itu dilakukan sekali. Tetapi kalau telah berulang kali, bukan kepada UMNO tetapi kepada pelbagai pihak, saya fikir itu harus dinilai semula.’’ (12 Oktober 2021)
Itulah antara dua petikan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dalam dua wawancara ketika ditanya mengenai hubungan parti itu dengan Pas dalam Muafakat Nasional termasuk bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Kenyataan itu dikatakan menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan pemimpin UMNO kerana mereka menganggap Ahmad Zahid gopoh tanpa mengkaji dahulu situasi di Melaka.
Kenyataan Ahmad Zahid itu juga dikatakan bertentangan dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang ‘tengah pekena teh tarik’ dengan pemimpin kanan Pas bagi menjaga hubungan.
Berikutan itu pada 19 Oktober, nada Ahmad Zahid berubah apabila berkata, ‘’Saya ingin menyatakan bahawa keputusan muktamad untuk UMNO dan BN bekerjasama dengan mana-mana pihak belum diputuskan secara rasmi. Keputusan muktamad akan kita umumkan apabila (selepas) mesyuarat Biro Politik UMNO dan juga MT UMNO akan diikuti Dewan Tertinggi BN yang akan kita adakan minggu depan atau tarikh-tarikh sebelum hari penamaan calon.’’
Dan malam tadi, Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Pas bagi menghadapi PRN Melaka.
Menurut kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Ahmad Maslan;
….(ia) selaras ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020, iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional dalam menghadapi PRN Melaka. ‘’Asas persefahaman dengan Pas berpandukan prinsip Pas menggunkan lambang partinya sendiri, selaras semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk MN dalam mesyuarat 19 Oktober 2020 dan 18 November 2020.
‘’Ini untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya.’’
Kenapa MT UMNO terpaksa membuat keputusan itu, biarpun Ahmad Zahid sebelum ini tidak pernah pula menyebut soal ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 berkaitan Muafakat Nasional berbanding beliau berulang kali bercakap soal ketetapan Perhimpunan Agung UMNO mengenai hubungan dengan Bersatu?
Jawapannya mudah…UMNO menyedari parti itu untuk memerlukan sokongan ahli-ahli Pas bagi mencapai kemenangan di Melaka. Kenapa?
Pertama, daripada 13 kerusi yang dikuasai oleh UMNO, enam berada dalam ‘tidak selamat’, jika mereka menolak Pas, UMNO mungkin akan kalah di situ kerana pertembungan lebih daripada tiga penjuru sudah tidak dapat dielakkan lagi apabila UMNO menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu.
Maknanya, kalaupun tidak bertembung dengan Pas, mereka pasti akan bertembung dengan Bersatu dan dengan dasar Pas akan menyokong penyandang, maka UMNO mahu memanipulasi keadaan itu.
Kedua, UMNO mahu memastikan undi penyokong Pas dapat menampung undi UMNO yang mungkin hilang jika berlaku protes atau sabotaj dalam kalangan ahli atau penyokong parti itu apabila UMNO mengumumkan senarai calon-calonnya.
Khabarnya, ramai pemimpin lama UMNO dan penyokong mula gelisah apabila Ahmad Zahid membayangkan akan meletakkan muka baharu sebagai calon mewakili parti itu. Itu belum lagi mengambil kira pertembungan antara ‘singa-singa UMNO’ di Melaka atau ‘ada singa-singa’ itu yang terpaksa digugurkan.
Ketiga, UMNO tidak yakin komponen BN seperti MCA dan MIC akan mampu memberi sumbangan kerusi dalam PRN itu memandangkan populariti kedua-dua parti itu tidak mungkin mampu menandingi parti Pakatan Harapan terutamanya DAP.
DAP dikatakan mempunyai lima kawasan yang cukup selamat iaitu Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir. Tiga lagi kawasan iaitu Duyong, Bemban dan Gadek biarpun dikuasai oleh DAP.
Oleh itu walaupun menyedari Pas tidaklah mempunyai pengaruh yang kuat di Melaka namun dengan gabungan undi penyokong UMNO dan Pas, UMNO berharap Pas akan dapat mencuri dua tiga kerusi.
Soalnya adakah langkah itu akan membuka jalan bagi membolehkan UMNO kembali berkuasa? Jawapannya…usah terlalu bermimpi! Ia memandangkan dengan tindakan UMNO yang angkuh menolak kerjasama Bersatu, undi orang Melayu akan berpecah.
Bagi Pas pula, parti itu sudah tentulah tidak keberatan untuk menerima kerjasama dengan UMNO kerana selama ini itulah yang mereka harapkan. Walaupun Pas mencanangkan soal politik perpaduan ummah namun di Melaka, Pas amat mengharapkan UMNO tidak meminggirkan mereka.
Ia kerana mereka percaya melalui kerjasama dengan UMNO, impian untuk menang kerusi di DUN Melaka lebih cerah berbanding berpakat dengan Bersatu.
Tetapi paling seronok untuk dilihat, adakah atas nama kerjasama dan kesepakatan UMNO bersedia memberikan kerusi boleh menang kepada Pas? Khabarnya Pas dijanjikan kerusi Durian Tunggal dan Duyong.
Cuba bertanya secara jujur bolehkah menang? Di DUN Duyong yang dimenangi oleh DAP dengan majoriti 2,938 undi selepas calonnya Damian Baba Yeo mendapat 7,642 undi, adakah penyokong UMNO akan setuju diserahkan kepada Pas, kalau mereka tahu jika berlaku gabungan undi UMNO-Pas boleh menang?
Jangan lupa, Perikatan Nasional juga pasti akan meletakkan calon di DUN tersebut maknanya akan berlaku tiga penjuru maka undi akan terpecah lagi.
Di DUN Durian Tunggal, persoalan sama juga timbul. Dalam PRU-14 DUN itu dimenangi oleh Amanah dengan majoriti tipis 763 undi. Calon Amanah Sofi Wahab mendapat 5,213 undi, BN (4,450 undi) dan Pas (1,391 undi).
Kalau digabung undi UMNO dan Pas boleh mendapat 5,841 undi…adakah penyokong UMNO akan relakan kerusi boleh menang itu diserah kepada Pas?
‘Paling trajis’ apa yang akan Pas lakukan apabila Bersatu bertembung dengan UMNO. Kalau dasar menyokong penyandang dikekalkan oleh Pas maknanya UMNO akan jauh lebih beruntung daripada Bersatu.
UMNO mempunyai 13 kerusi manakala Bersatu hanya dua kerusi. Adilkah Pas ‘melayani’ Bersatu dengan dasar seumpama itu sedangkan Pas adalah anggota rasmi Perikatan Nasional?
Banyak lagi ‘kekeliruan’ atau ‘konflik’ yang dijangka berlaku berikutan keputusan UMNO untuk bekerjasama dengan Pas tapi meminggirkan Bersatu.
Apapun hakikatnya tidak kiralah berapa penjurupun pertandingan namun jika tiga parti Melayu iaitu UMNO, Pas dan Bersatu bersama pasti kemenangan boleh dicapai.
Tetapi UMNO sudah ‘berpatah arang berkerat rotan’ dengan Bersatu maka terpaksalah mereka bertarung sesama sendiri yang akhir mungkin menyebabkan antan sama antan berlaga, ayam di tepi lesung yang kenyang dan paling malang – antan patah lesung hilang? Apa maksudnya, Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengarah Piihan Raya Barisan Nasional di PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan pasti tahu…