PENULIS boleh memahami kekecewaan Pas yang dizahirkan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man apabila terpaksa ‘bertembung’ dengan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekaligus mengakhiri segala usaha Pas untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru khususnya melibatkan tiga parti Melayu.

Namun begitu Pas sepatutnya memahami sejak awal lagi UMNO sudah memberi isyarat mereka ingin berjuang sendirian di Melaka kerana yakin boleh mencapai kemenangan.

Isyarat itu sudah dilontarkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dalam beberapa kenyatan termasuk terpancul ayat, adakah lagi Muafakat Nasional (MN)?

Tetapi Pas masih tidak berputus asa dan cuba berunding dengan UMNO walaupun menyedari pemimpin UMNO semakin angkuh kerana begitu percaya akan kembali menawan Melaka.

Justeru awal-awal lagi, UMNO menolak sebarang usaha untuk menjalin kerjasama dengan Bersatu yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bersatu ‘diserang’ habis-habisan oleh segelintir pemimpin UMNO.

‘Dipatuk ular’, ‘lubang biawak’ dan ‘pengkhianat’ antara istilah yang digunakan oleh segelintir pemimpin UMNO bagi menghalang sebarang usaha untuk parti itu berbaik dengan Bersatu. Walaupun di dalam kerajaan pusat, kedua-dua parti sama-sama menguruskan negara dari segi parti lain ceritanya.

Ia kerana di dalam UMNO wujud senario, ‘kau jaga negara, aku jaga parti’, maknanya yang jaga negara tidak boleh mencampuri urusan parti.

Atas sebab itulah apabila timbul usaha perundingan dengan melantik Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai orang tengah bagi mengelakkan pertembungan antara tiga parti Melayu di Melaka, semua orang sudah tahu ia hakikatnya hanyalah ‘sandiwara’ kepemimpinan UMNO.

Tetapi Pas tidak berputus asa, tetap menaruh harapan agar persetujuan dapat dicapai. Justeru walaupun pucuk pimpinan memutuskan bahawa Pas akan menggunakan lambang Perikatan Nasional namun ada pemimpin Pas menegaskan, hubungan dengan UMNO tidak terjejas dan mereka akan menyokong penyandang kerusi jika berlaku tiga penjuru.

Dan mereka gembira bila Majlis Tertinggi UMNO memutuskan meneruskan kerjasama dengan Pas di Melaka tetapi dengan syarat Pas mesti menggunakan lambang sendiri.

Syarat itu sudah jelas menunjukkan UMNO sebenarnya mahu meletakkan Pas dalam kesukaran memandangkan Pas adalah anggota rasmi Perikatan Nasional.

Bagaimanapun rundingan tetap diteruskan dan khabarnya Pas dijanjikan kerusi Durian Tunggal dan Duyong. Tetapi semalam Tuan Ibrahim mendedahkan bagaimana rundingan gagal apabila UMNO berkeras mahu bertanding di semua kerusi.

Penulis tidak terkejut dan tidak mungkin akan terkejut dengan sikap UMNO apatah lagi apabila ada ura-ura UMNO akan beri laluan kepada Pas di kerusi DUN Duyong dan Durian Tunggal.

Walaupun tidak tahu sejauh manakah kebenarannya ‘tawaran’ itu selepas dimaklumkan oleh seorang kawan, penulis memberi pandangan adakah benar UMNO akan berbuat demikian jika berdasarkan kepada keputusan PRU-14?

Di DUN Durian Tunggal, PKR menang dengan majoriti tipis 763 undi. Ketika itu calonnya, mendapat 5,213 undi manakala BN mendapat 4,450 undi dan Pas 1,391 undi. Kalau UMNO dan Pas bergabung mereka boleh mendapatkan 5,841 undi.

Soalnya kalaulah ada peluang untuk menang melalui gabungan itu, adakah UMNO akan menyerahkan kerusi tersebut kepada Pas untuk bertanding? Sekadar bermimpi mungkin boleh.

Begitu juga di Duyong, BN diwakili MCA. Kalau BN benarkan UMNO bertanding di situ, kerusi mana mahu digantikan untuk diserahkan kepada MCA?

Di kerusi tersebut dalam PRU-14, Pakatan Harapan menang dengan majoriti 2,895 undi selepas calonnya, Damian Baba Yeo mendapat 7,642 undi manakala calon BN Lee Kiat Lee mendapat 4,747 undi dan Pas mendapat 2,938 undi.  Kalau digabung undi BN dan Pas mereka boleh mendapat 7,685 undi…biarpun tipis adakah BN akan beri kepada Pas?

Sebab itulah, sejak awal lagi penulis tidak pernah percaya UMNO akan beri kerusi boleh menang kepada Pas di Melaka. Apatah lagi kepemimpinan UMNO sebenarnya amat mengetahui kekuatan Pas di negeri tersebut.

Berikutan itulah mereka memandang Pas ‘sebelah mata’. Benar, Pas tidak ada kekuatan di Melaka seperti mana mereka kuat di Pantai Timur atau utara tetapi Pas tidak seharusnya dilayan seperti ‘melukut di tepi gantang’.

Benar niat Pas murni mahu mengwujudkan perpaduan ummah tetapi memetik kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ‘’ jangan kurung Pas dengan permuafakatan tertutup dalam lingkungan sekadar menjadi penumpang dalam perjalanan politik tanah air.’’

UMNO tidak mungkin akan melayan Pas sedemikian jika Pas mempunyai kekuatan seperti di Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Tetapi UMNO tahu Pas tiada pengaruh besar di Melaka. Dalam PRU-14, Pas kalah di kesemua 24 kerusi mereka tandingi. Hanya tiga DUN sahaja Pas mendapat undi yang dianggap tinggi iaitu di Serkam (3,423 undi), Ayer Molek (3,082 undi) dan Duyong (2,938 undi).

Namun itu begitu bukan bermaksud Pas harus dilayan seolah-olah mereka hanya parti picisan, ‘ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi’, dalam keadaan pertembungan yang dijangka lebih tiga penjuru dalam PRN Melaka – undi Pas boleh menjadi penentu.

Dan Pas beruntung apabila kehadiran mereka sebagai anggota Perikatan Nasional dihormati oleh Bersatu yang memberi peluang kepada Pas untuk bertanding di lapan kerusi iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

Memang menang dalam pilihan raya jadi matlamat tetapi seperti mana kata Tuan Ibrahim, permuafakatan yang dijalin bukan sekadar untuk kerusi pilihan raya tetapi ada agenda lebih besar daripada itu.

Soalnya adakah UMNO memahami keikhlasan Pas untuk menyatukan ummah? Kegagalan Pas mencapai persefahaman dengan UMNO dari segi pembahagian kerusi sudah menjadi bukti.

Oleh itu tidak usahlah Pas terus mengharapkan UMNO akan bersetuju dengan usaha mereka menyatukan ummah kerana selain sudah wujud politik kebencian kepada Bersatu, UMNO juga mungkin begitu teruja dengan jajaran baharu politik? Dengan siapa…kita lihat dulu apa akan berlaku dalam PRN Melaka nanti.

Yang pasti, biarpun kita memahami Pas  ikhlas mahu menyatukan ummah namun janganlah sampai maruah parti diperkotak-katikkan. Tidak mengapa kalah dalam pilihan raya, tidak mengapa kalau tiada kerusi dimenangi, asalkan maruah parti terpelihara.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here