SEPASANG kekasih yang dipercayai terlibat dalam pelbagai kes jenayah termasuk pembunuhan seorang lelaki di Flat Sungai Pinang, Pulau Pinang dua tahun lalu ditahan polis pada 3 November lalu.
Suspek pertama iaitu lelaki berusia 35 tahun ditahan di tepi jalan di Jelutong pukul 10.30 pagi yang mana polis turut menemukam sepucuk pistol jenis Beretta Brigadier bersama kelopak dan 11 butir peluru bersaiz 9 milimeter (mm).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, susulan penahanan itu membawa kepada tangkapan seorang wanita berusia 30 tahun yang merupakan teman wanita kepada suspek pertama di sebuah kondominium di Jalan Fettes.
Menurut beliau, semakan rekod jenayah terhadap individu pertama dapati mempunyai 14 rekod lampau di bawah kesalahan Kanun Keseksaan dan tiga rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Semakan rekod jenayah terhadap suspek wanita pula didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurut Rahimi, kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa permit yang sah
Selain itu tambahnya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru hidup tanpa permit yang sah.
POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kumpulan samun bersenjata yang melarikan kereta mewah di negeri itu selepas menahan empat suspek dalam beberapa siri serbuan bermula 21 Oktober hingga 11 November lalu di Kedah dan Perak.
Kempat-empat suspek berusia 22 hingga 26 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Kulim dan Sungai Petani, Kedah serta di Teluk Intan, Perak hasil hasil risikan polis dan maklumat awam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, kesemua suspek disyaki terlibat melarikan dua buah kereta Mercedes Benz di pusat servis kereta di Jalan Pengkalan Bukit Tengah, Seberang Perai pada 21 Oktober lalu dengan bersenjatakan parang.
Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais
Tamabahnya, kenderaan yang dilarikan suspek itu turut berjaya dijumpai semula di Serdang, Kuala Lumpur dan di Teluk Intan.
“Hasil ujian air kencing ke atas empat suspek mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan rekod jenayah mendapati kesemua mereka mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Menurut Rahimi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan (kesalahan melakukan samun) dan Seksyen 379a Kanun Keseksaan (kesalahan mencuri kenderaan).
Ujarnya, polis Perak turut membuka siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cubaan membunuh kerana salah seorang suspek melanggar kereta dipandu polis ketika cuba melarikan diri dalam operasi di Teluk Intan.
FOKUS utama kerajaan untuk membendung penularan pandemik COVID-19 mula membuahkan hasil berkat kerjasama semua pihak dan pelaksanaan strategi yang berkesan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sehingga kini berjaya memberi vaksin kepada lebih 95 peratus populasi dewasa dan lebih 66 peratus populasi remaja setakat 2 Nov, merupakan game changer (pencetus perubahan) yang menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan ekonomi dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial termasuk pergerakan merentas negeri.
Selain itu, beliau berkata bilangan kes jangkitan harian COVID-19 juga berjaya diturunkan dan memberi kelegaan kepada rakyat serta petugas barisan hadapan.
“Secara umumnya dari segi psikologi, rakyat kini berasa lebih positif kerana telah dapat memulakan semula kehidupan seharian.
“Walau bagaimanapun kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa pandemik dan bersiap sedia memperkenalkan langkah-langkah tertentu demi memelihara nyawa rakyat dan ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail Sabri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pengorbanan petugas barisan hadapan serta sokongan dan dukungan semua lapisan masyarakat dalam membantu kerajaan memerangi pandemik COVID-19.
“Kerajaan juga amat bersimpati dan merakamkan ucapan takziah kepada mereka yang telah kehilangan ahli keluarga akibat pandemik ini. Sesungguhnya kehilangan ini amat menyedihkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama dan untuk tujuan itu, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk konsep Keluarga Malaysia.
Beliau berkata konsep Keluarga Malaysia sebagai pendekatan pentadbiran negara bersifat inklusif merentasi kepelbagaian dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mengajak seluruh rakyat bersama-sama menggembleng tenaga bagi membawa negara keluar daripada pandemik COVID-19 khususnya memulihkan ekonomi.
Menurutnya, konsep itu telah mendapat maklum balas serta penerimaan positif dalam kalangan rakyat dan ia akan dijadikan falsafah baharu dalam pentadbiran negara.
SEMPENA sambutan Hari Diabetes Sedunia yang akan disambut esok, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa berkaitan mengambil langkah segera untuk mengawal bilangan kanak-kanak obes di negara ini.
Pengerusi CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kanak-kanak di Malaysia dilabelkan sebagai yang paling gemuk di rantau ini, tetapi berat mereka membawa beban yang lebih besar berbanding hanya saiz mereka.
Katanya, perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini memburukkan lagi situasi memandangkan kebanyakan kanak-kanak tidak dapat melibatkan diri dalam aktiviti fizikal manakala ibu bapa mengadu anak-anak mereka mengambil lebih banyak makanan daripada biasa.
Jelas beliau, kanak-kanak obes dan berat berlebihan cenderung menjadi orang dewasa yang obes dan obesiti dalam kalangan orang dewasa lebih teruk daripada segi kesannya.
“Kanak-kanak obes atau berat berlebihan berhadapan dengan peningkatan risiko mengalami keadaan kesihatan yang serius seperti diabetes jenis dua, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi yang mana semuanya dianggap penyakit orang dewasa di masa lalu.
“Kanak-kanak dengan berat berlebihan juga mungkin mengalami masalah psikologi seperti kurang keyakinan diri yang berpunca daripada diusik atau dibuli oleh rakan sebaya.
“Mereka juga boleh terdedah kepada tabiat diet yang tidak sihat dan gangguan makan seperti anorexia nervosa dan bulimia selain terdedah kepada kemurungan atau berisiko bagi penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu tambah Mohideen, CAP menggesa kerajaan mengambil langkah segera dalam mengatasi masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak termasuk mendidik rakyat khususnya ibu bapa dan kanak-kanak mengenai bahaya obesiti serta diabetes.
Selain itu katanya, kerajaan juga perlu mengharamkan mesin layan diri di sekolah, hospital dan tempat awam lain dan menyediakan kemudahan rekreasi yang mencukupi di semua kawasan perumahan.
“Makanan tidak sihat yang tinggi lemak, gula, garam dan bahan penambah seharusnya tidak digalakkan dengan memperkenalkan cukai ke atas makanan itu.
“Kerajaan juga perlu mewajibkan pengeluar makanan untuk melabelkan jumlah natrium pada label dan mewajibkan pelabelan yang jelas bagi kandungan lemak dalam semua makanan, termasuk makanan segera,” katanya.
BEKAS Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum dan bekas Pengerusi Kumpulan Felda Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021.
Dua tokoh itu dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’.
Gelaran itu dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyaksikan 44 penerima menerima anugerah berkenaan hari ini.
Seramai 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan untuk 2021 manakala beberapa individu merupakan penerima bagi 2020.
Richard adalah penerima SSM bagi 2020 manakala Raja Muhammad Alias merupakan penerima darjah kebesaran itu tahun ini.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.
Seramai 19 individu menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran ‘Tan Sri’ iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Dr Mohd Daud Bakar.
Turut dianugerahi PSM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Ismail Ibrahim; bekas Pengerusi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; pakar astronomi dan profesional astrofizik Datuk Prof Emeritus Dr Mazlan Othman; Pengarah Eksekutif Leong Hup International Berhad Datuk Lau Eng Guang; Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad Datuk Mohammed Azlan Hashim dan Pengerusi Eksekutif The Edge Media Datuk Tong Kooi Ong.
Penerima PSM lain ialah Pengerusi Ikhlas Capital Datuk Seri Mohamed Nazir Tun Razak; Pengerusi Eksekutif LB Aluminium Berhad Datuk Leow Chong Howa; Pengarah Eksekutif Perfect Group Holdings Limited Datuk Tan Jyh Yaong; bekas Pengerusi Tetap Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Seri Mohd Shariff Omar; bekas Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Seramai 18 individu menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) dan dua penerima Darjah Panglima Setia Diraja (PSD), masing-masing membawa gelaran Datuk.
Antara penerima PJN ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk E.S.M Nantha Balan; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia Nor Azimah Abdul Aziz; Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Prof Dr Jayum Anak Jawan; bekas pemain badminton kebangsaan Datuk Misbun Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Mohamad Idham Nawawi.
Penerima PSD pula antaranya ialah Setiausaha Bahagian, Bahagian Sumber Manusia Jabatan Perdana Menteri Shahrul Kamal Osman dan bekas Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Angkatan Tentera Malaysia Lt Jen (B) Datuk Azlan Abdul Rahman.
Dalam pada itu, 33 individu dikurniakan Johan Mangku Negara (JMN) antaranya Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian; Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ketua Pemuda PAS Pusat Senator Khairil Nizam Khirudin.
Seramai 61 individu dikurniakan Johan Setia Mahkota (JSM); tiga penerima Johan Setia Diraja (JSD); 205 penerima Kesatria Mangku Negara (KMN); tujuh penerima Kesatria Setia Diraja (KSD); 303 penerima Ahli Mangku Negara (AMN); 514 penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN); 38 penerima Bentara Setia Diraja (BSD) dan dua penerima Pingat Gagah Berani (PGB).
Antara penerima JSM ialah Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM Mohammad Soib Abdullah; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Zainab Ahmad dan bekas pemain tenpin boling kebangsaan Shalin Zulkifli.
Penerima JSD masing-masing Dang Perwara Bahagian Pengurusan serta Penolong Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara iaitu Datuk Hamimah A. Karim dan Sophian Ab Rahman selain bekas Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar.
Antara penerima KMN ialah Ketua Perancangan Strategik Bahagian Perancangan Strategik Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali; Ketua Polis Daerah Sentul ACP C. S. Shanmugamoorthy dan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan T. R. Thinalan.
Dua anggota Senoi Praaq Polis Diraja Malaysia yang terlibat dalam kejadian tembakan di sempadan Malaysia-Thailand pada November tahun lepas iaitu mendiang Sjn Baharuddin Ramli dan Sjn Norihan a/l Tari dianugerahi Panglima Gagah Berani (PGB).- Bernama
POLIS akan melakukan siasatan terperinci dakwaan anggota polis menaiki kereta peronda polis telah melakukan gangguan seksual terhadap seorang individu semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut yang menjadi tular dalam media sosial.
“Kami meminta individu tersebut tampil membuat laporan polis dan keterangannya akan dirakam serta tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya wujud salah laku seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dalam apa jua isu berhubung kait dengan pelanggaran undang-undang melibatkan warga Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
“Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk tampil membuat aduan di balai polis berhampiran sekiranya berlaku salah laku dan perlanggaran undang-undang yang melibatkan anggota polis,” katanya.
Semalam, tular dalam Twitter mengenai seorang individu yang mendakwa seorang anggota polis menaiki kereta peronda telah melakukan gangguan seksual terhadap dirinya.
IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menahan sebuah kereta di Kampung Kedondong, Pasir Mas, semalam, dan berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 700 kilogram (kg) beras siam ke negara ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pemeriksaan lanjut, pihaknya turut menemukan 100kg beras pulut dalam kereta Proton Iswara tersebut.
Menurutnya, kejayaan rampasan beras siam dan pulut seludup itu hasil maklumat diterima oleh polis berkait dengan aktiviti penyeludupan.
Katanya, pada pukul 10.30 pagi, polis telah menerima maklumat berkait dengan aktiviti itu dan anggota unit kereta peronda polis terus bertindak menghala ke lokasi di jalan Kampung Apa-Apa.
Mohd. Nasaruddin berkata, sejurus tiba di lokasi, pihaknya telah terserempak dengan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Gelang Mas menghala ke simpang tiga Kampung Kedondong.
“Anggota bertugas telah mengarahkan pemandu kereta itu untuk berhenti, namun pemandunya telah bertindak memecut laju masuk ke Kampung Kedondong.
“Secara tiba-tiba selepas itu, pemandu kereta tersebut bertindak menghentikan kereta yang dipandu dan kemudian terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan ke atas kereta itu menemui muatan beras yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
Beliau memberitahu, nilai keseluruhan rampasan beras siam dan pulut itu termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM5,500.
Kesemua beras yang dirampas itu akan diserahkan kepada Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras untuk tindakan lanjut, katanya.
Katanya lagi, kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.
PROSEDUR operasi standard (SOP) yang ketat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberikan pelbagai pengalaman menarik, kepada calon-calon yang bertanding.
Beberapa calon menceritakan yang mereka terpaksa minum pagi sehingga empat kali, dek kerana mahu patuh kepada SOP kempen yang digariskan.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Perikatan Nasional (PN) Tanjung Bidara Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata bersarapan bersama pengundi merupakan salah satu cara beliau menyantuni penduduk, kerana kempen melibatkan orang ramai tidak dibenarkan.
Pengalaman itu turut dilalui calon Pakatan Harapan (PH) DUN Pantai Kundor Nor Azman Hasan, yang menggunakan cara yang sama untuk bertemu rakyat di kawasannya.
“Suasana kali ini memang lain dari yang lain, seperti sedia maklum SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menggariskan SOP ketat, dan kita wajib patuhi untuk kepentingan rakyat.
“Untuk mendekati masalah rakyat, kita kena minum pagi sampai empat kali, selain itu saya pergi kenduri, ke masjid dan majlis kematian untuk mendekati pengundi kita,” katanya yang ditemu bual melalui aplikasi Zoom dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.
Turut serta calon Bebas DUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Mas Ermieyati berkata SOP yang ketat ini juga, menjadikan dirinya kreatif dengan menggunakan semua platform untuk mendekati seramai mungkin pengundi, termasuk melalui media sosial serta melambai ke arah pengundi ketika membonceng motosikal.
“Selain minum pagi sampai empat kali, pagi tadi saya cuba kaedah baharu, saya bonceng motor dan di depan saya lori pikap Perikatan Nasional, saya dapat sambutan yang hangat dari pengundi,” katanya.
Bagi Norhizam pula, PRN Melaka disifatkan pilihan raya yang agak pelik, kerana calon tidak boleh turun padang dan berkempen seperti sebelum ini.
“Tetapi saya tidak menghadapi masalah, kerana saya telah tiga tahun menabur bakti di kawasan saya dan rata-rata pengundi mengenali saya,” katanya.
Terdahulu, SPR menetapkan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN Melaka, bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
Pada PRN yang dijadual 20 Nov ini, Mas Ermieyati akan menentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan calon Pakatan Harapan Zainal Hassan.
Nor Azman pula akan menentang Mohamad Ridzwan Mustafa (PN) dan Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN), manakala Norhizam berdepan cabaran lima penjuru menentang Muhamad Danish Zainudin (PH), Mohd Azrudin Md Idris (PN), Dr Mohd Aluwi Sari (Putra) dan Datuk Kalsom Nordin (BN).
SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. – Bernama
SEORANG datuk maut manakala cucunya parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 58, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Kuala Rhu Kubur, Marang hari ini.
Mangsa, Azman Awang, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sementara cucu lelakinya dikenali sebagai Aisy Mateen Mohd. Amin berusia setahun lapan bulan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Deris berkata, kejadian itu berlaku pukul 12 tengah hari semasa kereta Mazda CX5 dipandu mangsa dalam perjalanan menghala ke Kampung Jambu Bongkok untuk pulang ke rumahnya di Kampung Rantau Abang, Dungun.
“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mangsa dan cucunya itu dipercayai secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang datang dari laluan bertentangan, lalu terbabas ke kanan jalan.
“Mangsa yang tersepit di tempat duduk bahagian pemandu dibawa keluar oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang selepas 15 minit operasi menyelamat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd. Zain berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
PERMASALAHAN infrastruktur yang membabitkan kepentingan nelayan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Emas amat kritikal untuk diberikan penyelesaian segera.
Menurut calon Perikatan Nasional (PN) N23 DUN Telok Mas, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, beliau memberikan fokus terhadap penyelesaian itu kerana isu itu menjadi penentu kepada kelancaran pencarian rezeki bagi golongan nelayan di kawasan itu.
Beliau berkata, perkara itu memerlukan penyelesaian yang tuntas kerana sejumlah besar masyarakat di Telok Mas adalah golongan nelayan dan sekali gus memberi sokongan untuk mereka mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan.
“Antara masalah infrastruktur di sini ialah jeti, tempat basuh bot dan kelengkapan-kelengkapan lain berkaitan untuk mereka teruskan kerja harian mereka.
“Sebagai pemimpin, inilah perkara yang akan saya berikan tumpuan tak kira menang atau kalah dalam pengundian yang akan berlangsung pada 20 November ini,” katanya kepada ketika ditemubual Agenda Awani Melaka Memilih pada Khamis.
Tambah beliau, fokusnya di Telok Mas juga adalah untuk menambah baik infrastruktur di kawasan berkenaan seperti mana yang beliau telah lakukan di N13 Paya Rumput sebelum ini.
Selain itu, beliau juga akan berusaha membuka peluang ekonomi di Telok Mas bagi membantu memperbaiki ekonomi penduduk setempat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Antara lain Mohd. Rafiq melihat potensi industri pelancongan untuk dibangunkan di kawasan Telok Mas sebagai satu tawaran ekonomi baharu di kawasan itu.
“PN telah mengenalpasti sumber-sumber ekonomi yang terjejas di DUN Telok Mas dan telah membuat perancangan untuk menjayakan usaha ini termasuk daripada sudut pembiayaan modal.
“Langkah ini bakal dapat memperkasakan lagi sektor pelancongan di DUN Telok Emas dan membantu ekonomi masyarakat setempat,” jelas beliau.
Tambah beliau apa yang dirancangkan itu selari dengan fokus PN untuk memperkasakan industri pelancongan serta memperkenalkan produk pelancongan baharu yang boleh menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kawasan perindustrian di negeri Melaka ini sudah semakin padat, berkurangan, sesak, jumlahnya sudah tidak mampu menampung, menarik peminat pelabur-pelabur baharu.
“Antara tumpuan kerajaan PN nanti, adalah untuk mewujudkan satu pusat perindustrian yang baharu yang canggih, berpagar dan dikawal keselamatannya, yang lebih teratur sistem pengurusannya,” katanya.
Mohd Rafiq bakal berdepan dengan calon daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat daripada Pakatan Harapan (PH), dan calon Bebas iaitu Muhammad Ariff Adly Mohammad, di N23 DUN Telok Mas, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November.