PROSEDUR operasi standard (SOP) yang ketat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberikan pelbagai pengalaman menarik, kepada calon-calon yang bertanding.

Beberapa calon menceritakan yang mereka terpaksa minum pagi sehingga empat kali, dek kerana mahu patuh kepada SOP kempen yang digariskan.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Perikatan Nasional (PN) Tanjung Bidara Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata bersarapan bersama pengundi merupakan salah satu cara beliau menyantuni penduduk, kerana kempen melibatkan orang ramai tidak dibenarkan.

Pengalaman itu turut dilalui calon Pakatan Harapan (PH) DUN Pantai Kundor Nor Azman Hasan, yang menggunakan cara yang sama untuk bertemu rakyat di kawasannya.

“Suasana kali ini memang lain dari yang lain, seperti sedia maklum SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menggariskan SOP ketat, dan kita wajib patuhi untuk kepentingan rakyat.

“Untuk mendekati masalah rakyat, kita kena minum pagi sampai empat kali, selain itu saya pergi kenduri, ke masjid dan majlis kematian untuk mendekati pengundi kita,” katanya yang ditemu bual melalui aplikasi Zoom dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Turut serta calon Bebas DUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Mas Ermieyati berkata SOP yang ketat ini juga, menjadikan dirinya kreatif dengan menggunakan semua platform untuk mendekati seramai mungkin pengundi, termasuk melalui media sosial serta melambai ke arah pengundi ketika membonceng motosikal.

“Selain minum pagi sampai empat kali, pagi tadi saya cuba kaedah baharu, saya bonceng motor dan di depan saya lori pikap Perikatan Nasional, saya dapat sambutan yang hangat dari pengundi,” katanya.

Bagi Norhizam pula, PRN Melaka disifatkan pilihan raya yang agak pelik, kerana calon tidak boleh turun padang dan berkempen seperti sebelum ini.

“Tetapi saya tidak menghadapi masalah, kerana saya telah tiga tahun menabur bakti di kawasan saya dan rata-rata pengundi mengenali saya,” katanya.

Terdahulu, SPR menetapkan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN Melaka, bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Pada PRN yang dijadual 20 Nov ini, Mas Ermieyati akan menentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan calon Pakatan Harapan Zainal Hassan.

Nor Azman pula akan menentang Mohamad Ridzwan Mustafa (PN) dan Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN), manakala Norhizam berdepan cabaran lima penjuru menentang Muhamad Danish Zainudin (PH), Mohd Azrudin Md Idris (PN), Dr Mohd Aluwi Sari (Putra) dan Datuk Kalsom Nordin (BN).

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here