Author: Admin

  • PRN Johor tak semudah yang disangka-Mohamad Hasan

    PRN Johor tak semudah yang disangka-Mohamad Hasan

    JENTERA Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengambil mudah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

    Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu tidak seharusnya terbawa-bawa sentimen kemenangan di PRN Melaka dan harus menyusun strategi sebaik mungkin.

    “Masalah atau isu pembahagian kerusi kita belum lihat dan kita buat setelah adakan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi BN.

    “Saya dan rakan-rakan akan berbincang strategi dan taktikal untuk strategi dan seperti saya sebut, PRN Johor ini penting dan tak semudah disangka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina parti MCA, Kuala Lumpur hari ini.

    PRN Johor bakal diadakan selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN pada 22 Janyar lalu dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pula dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting untuk PRN.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tidak wujud sebarang keperluan untuk mengadakan PRN di Kedah, ketika ini.

    Mengulas khabar angin sebelum ini mendakwa terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN), beliau berkata, pilihan raya bukan sesuatu yang boleh sengaja diadakan, melainkan jika ada keperluan seperti di Melaka dan Johor.

    “Saya tidak tahu situasi di Kedah, saya cuma di ibu pejabat. Jika apa-apa berlaku di Kedah, jangan salahkan saya.

    “Bagaimanapun, buat masa ini, saya tidak dengar apa-apa cerita dan bagi saya, tidak ada keperluan pun (untuk diadakan PRN).

    “Pilihan raya ini, kita tidak boleh main-main. Ini bukan perkara kita boleh saja-saja buat, melainkan jika ada keperluan yang memerlukan diadakan pilihan raya,” katanya.

    Sebelum ini, tular satu tangkap layar mendakwa dua ADUN UMNO dan dua ADUN Bebas di Kedah akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang boleh membawa kepada pilihan raya di negeri itu.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan ia khabar angin dan menegaskan situasi di Kedah aman.

    ADUN Bandar Baharu daripada UMNO, Datuk Norsabrina Mohd. Noor turut menafikan dakwaan beliau dan seorang lagi ADUN parti itu akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri.

  • PRN Johor:Pengundi baharu ibarat ‘game changers’

    PRN Johor:Pengundi baharu ibarat ‘game changers’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGUNDI baharu khususnya pengundi muda 18 tahun ke atas ibarat ‘game changers’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sukar untuk meramalkan pihak mana yang akan menang dalam PRN Johor kerana situasinya tidak sama dengan mana-mana pilihan raya sebelum ini.

    “Bagi PRN Johor tidak ada siapa yang boleh jadi ‘Nujum Pak Belalang’ meramal mana parti politik boleh menang mudah dengan memperoleh sekian-sekian banyak kerusi. Kehadiran lebih 2.57 juta pengundi khususnya pengundi muda 18 tahun ke atas ibarat ‘game changers’.

    “Segala ‘score-sheets’ Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, PRU-13 dan PRU-14 sudah tidak relevan lagi.

    “Jadi panduan umum bolehlah tetapi tidak lagi terpakai apabila beribu-ribu pengundi muda dan pengundi daftar automatik membanjiri setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    PRN Johor bakal diadakan selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN pada 22 Janyar lalu dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pula dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting untuk PRN.

    Selain itu, beliau berkata, penyertaan banyak parti politik dalam PRN itu menunjukkan tidak wujud kebimbangan atau risiko penularan Covid-19 sekali gus menunjukkan pertandingan dua pihak iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah tidak wujud lagi.

    Menurutnya, PRN Johor berkenaan merupakan pilihan raya pelbagai parti yang akan mewujudkan resepi ‘rojak’ bagi politik Malaysia dan sama ada baik atau buruk akan disaksikan nanti.

    “Benarlah anggapan saya bahawa PRN Johor ini semacam ‘raptai’ kepada parti-parti politik bagi menghadapi PRU-15 sama ada pada tahun ini atau selewat-lewatnya Mei 2023 tahun hadapan,” katanya.

  • Peniaga ditipu arkitek, guna cop palsu PBT

    Peniaga ditipu arkitek, guna cop palsu PBT

    SEORANG peniaga kerugian RM4,000 selepas arkitek yang dibayar untuk membuat pelan pengubahsuaian rumah teresnya di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lmmpur, menghilangkan diri.

    Kejadian bermula selepas mangsa, Abdul Razak Peer Muhammad, 50, mendapatkan khidmat dengan arkitek tersebut untuk pelan pengubahsuaian rumahnya termasuk kerja permohonan bagi mendapatkan kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Dia melakukan dua transaksi pemindahan wang pada pada 3 November dan 28 Disember tahun lalu sebagai pendahuluan bagi kerja membuat pelan itu.

    “Saya memindahkan wang sebanyak dua kali berjumlah RM2,500 dan RM1,500 ke dalam akaun bank arkitek berkenaan. Jumlah keseluruhan bayaran adalah RM5,000.

    “Ketika kerja pengubahsuaian rumah sedang dijalankan, saya menerima surat amaran daripada DBKL yang mengarahkan ia dihentikan serta-merta kerana tidak mempunyai kebenaran,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Razak berkata, tindakan itu agak pelik kerana pelan tersebut sudah diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) berdasarkan cop rasmi DBKL yang tertera di atas pelan itu.

    “Saya cuba hubungi semula arkitek berkenaan yang dikenali sebagai Nizam untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu namun gagal,” jelasnya.

    Razak berkata, dia terus ke Jabatan Bangunan DBKL dan pegawai bertugas memberitahu cop rasmi yang digunakan adalah palsu.

    Berasa dirinya tertipu, mangsa kemudian membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

    “Sekarang jiran sebelah rumah pula tidak berpuas hati kerana kerja ubah suai tergendala menjadikan kawasan itu tidak terurus dan boleh jadi tempat pembiakan nyamuk dan binatang berbisa,” ujar Razak.

    Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi mengesahkan siasatan kes berkenaan sedang berjalan.

  • Perlu ada garis masa jelas buka sempadan negara – Muhyiddin

    Perlu ada garis masa jelas buka sempadan negara – Muhyiddin

    KERAJAAN disaran menetapkan garis masa yang jelas untuk pembukaan semula sempadan negara bagi memulihkan pelbagai kegiatan ekonomi termasuk perdagangan, perindustrian, pelaburan dan pelancongan. 

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah mengusulkan kepada kepada kerajaan agar sempadan negara dibuka secara berperingkat bermula bulan lepas. 

    “MPN telah usulkan supaya sempadan negara dibuka secara berperingkat secepat mungkin, kita cadang Januari, tapi belum buka juga. Kerajaan kena ada garis masa tepat – sebulan ke, dua bulan ke.. (buka sempadan). 

    “Kita tutup sepanjang masa tak boleh, proses pemulihan ekonomi takkan berlaku, sekarang memang ada (proses pemulihan ekonomi) tapi terbatas dan kita takkan berjaya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Resepsi Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan di Kuala Lumpur pada Selasa. 

    MPN sebelum ini mencadangkan sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari tahun ini. 

    Menurut Muhyiddin, pembukaan sempadan boleh dibuat secara berperingkat dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) tertentu termasuk kuarantin dan ujian saringan COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan varian Omicron. – Bernama

  • Bot karam, tekong dikhuatiri lemas

    Bot karam, tekong dikhuatiri lemas

    SEORANG tekong warga Indonesia dikhuatiri lemas di laut selepas bot lantingan dinaikinya karam di perairan Sibogo, Pulau Banggi, Kudat, semalam.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kemudian mengaktifkan Operasi Carilamat selepas menerima aduan tekong bot lantingan yang gagal dihubungi sejak 5 pagi semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, mangsa, Rijal Idris, 47, dilaporkan berada di lokasi terakhir sekitar Utara Pulau Malawali.

    “Operasi Carilamat kemudian diaktifkan 1.45 tengah hari semalam dan mangsa Rijal Idris, 47, dilaporkan berada di lokasi terakhir sekitar Utara Pulau Malawali.

    “Aset maritim, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Boon Chin berkata, bot nelayan di kawasan berkenaan turut membantu dalam operasi.

    “Kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor dengan keluasan 61 batu nautika persegi.

    “Turut membantu dalam usaha pencarian iaitu sebuah aset daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

    Sementara itu, pihaknya memohon masyarakat untuk melaporkan sekirannya terdapat maklumat atau menemui sebarang petunjuk kepada Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 dan MERS 999.

  • 16 PATI Myanmar di berkas dalam lori

    16 PATI Myanmar di berkas dalam lori

    SERAMAI 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang bersembunyi dalam lori bersama-sama dua tekong darat warga tempatan diberkas di Kampung Batu Karang, Pasir Mas, Ahad lalu.

    Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) menahan mereka pada pukul 6 petang selepas lori berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan.

    Pegawai Pemerintah PGA8 Superitendan Mat Shukor Yusof berkata, PATI berkenaan terdiri daripada dua wanita dan 14 lelaki berusia antara 20 hingga 30-an.

    “Kes mula dikesan selepas sepasukan anggota PGA8 melakukan pemerhatian ke atas sebuah lori yang mencurigakan di Kampung Batu Karang di sini yang dipandu seorang lelaki tempatan bersama kelindannya.

    “Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori bertutup itu mendapati ada 16 pendatang warga Myanmar terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mat Shukor berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan dipercayai bertindak sebagai tekong darat dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan haram dan disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

    Katanya, kedua-dua suspek dipercayai menerima upah dengan bayaran tertentu dan bertindak sebagai ‘penghantar’ dengan menggunakan lori bertutup bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Kumpulan warga asing ini kemungkinan memasuki negara ini melalui pangkalan haram dan bersembunyi di mana-mana kawasan terlebih dahulu sebelum dibawa menaiki lori tersebut.

    “Kesemua yang ditahan termasuk sebuah lori diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah Polis Pasir Mas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

  • Usah diganggu ‘keakraban’  politik Kedah

    Usah diganggu ‘keakraban’ politik Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ANALISIS

    BARU-baru ini timbul desas-desus kononnya Kedah bakal menjadi negeri ketiga yang disasarkan pihak tertentu bagi diadakan pilihan raya negeri (PRN) lebih awal, selepas Melaka dan Johor.

    Jika benarlah wujud gerakan tersebut, maka hentikan sajalah perancangan tidak cerdik itu kerana dibimbangi kelak memakan diri.

    Bayangkanlah, bagaimana agaknya rakyat Kedah akan marah terhadap golongan tersebut memandangkan kedudukan politik di negeri itu kini sudah dianggap stabil.

    Ketika ini kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, memperolehi sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO berbanding cuma 13 kerusi dimiliki pembangkang.

    Keadaan itu jauh berbeza berbanding ketika era pemerintahan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebelum ini apabila Pakatan Harapan (PH) cuma memiliki 19 kerusi, iaitu cuma lebih dua kerusi berbanding Pas (15) dan UMNO (2) di pihak pembangkang, hingga menimbulkan ketidakstabilan politik sekali gus mengundang kebimbangan banyak pihak termasuk pelabur.

    Maka apabila Pas, Bersatu dan UMNO mengambil alih pemerintahan negeri pada Mei 2020, kesannya boleh dilihat dengan agak serta-merta. Kalangan rakyat serta pelabur tidak lagi galau dalam memikirkan tindakan mahu pun keputusan yang mungkin tidak tetap, semata-mata demi menjaga kepentingan atau kuasa politik di negeri.

    Lalu dengan segala keyakinan dan keberanian yang ada, segala keputusan dapat ditentukan tanpa gangguan. Satu demi satu kejayaan diraih Kedah apabila mula mencatat rekod tertinggi nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM43 bilion bagi suku pertama 2021.

    Dan jumlah itu terus meningkat apabila Lembaga Pembangunan Pelaburan (MIDA) membuat pengumuman seterusnya bahawa Kedah merupakan negeri yang menerima pelaburan tertinggi di Malaysia antara Januari hingga September 2021 dengan nilai keseluruhan RM57.1 bilion.

    Seperkara lagi yang perlu diambil kira oleh golongan yang mungkin teringin benar melihat Kedah mengadakan PRN adalah keakraban ditunjukkan ADUN UMNO di Kedah terutamanya ADUN Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd. Noor dengan Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.

    Apabila timbul desas-desus mengenai gerakan tersebut kelmarin, Nor Sabrina memuat naik gambarnya bersama Muhammad Sanusi di Pejabat Menteri Besar dengan kedua-duanya jelas tersenyum.

    Kemudiannya apabila dikerumuni wartawan hanya beberapa jam selepas memuat naik gambar itu, Nor Sabrina menegaskan agar semua pihak untuk meningkatkan prestasi dan tidak mencari kontroversi.

    “Buat kerja macam biasa, hubungan (dengan Menteri Besar) macam biasa… Kalau tidak kami tak ‘mai’ mesyuarat sekali hari ini.

    “Fikir fasal kerajaan Kedah, apa yang hendak dimajukan Kedah, itu saja,” katanya.

    Justeru agak aneh dan janggal sekiranya Nor Sabrina hendak dipaksa untuk ‘meninggalkan’ keakraban itu, bagi menarik sokongan kepada Muhammad Sanusi dalam masa terdekat. Semua itu sudah tentulah mendatangkan rasa pelik terhadap rakyat sekali gus mengundang rasa tidak percaya mereka apabila tiba waktu untuk memangkah undi nanti.

  • PN muktamad senarai calon PRN Johor minggu depan: Muhyiddin

    PN muktamad senarai calon PRN Johor minggu depan: Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan memutuskan senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor minggu depan, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Muhyiddin berkata, perbincangan mengenai perkara itu telah diadakan bersama Pas dan Gerakan.

    “Senarai calon dah ada, tapi kita belum putuskan siapa yang nak dipilih. Dalam masa seminggu kita akan putuskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Resepsi tahun Baharu Cina anjuran Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.

    Turut hadir Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Mohd Faizal Azumu; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Muhyiddin sebelum ini berkata, PN akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor.

    Ketika ditanya siapakah calon yang akan mengambil alih tempatnya di DUN Gambir selepas beliau tidak berhasrat mempertahankan kerusi itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu berkata: “Tunggu sahaja, Johor ramai calon yang berkelayakan kadang-kadang susah nak pilih sebab ramai yang layak.”

    Sementara itu Dominic berkata, Gerakan menyerahkan kepada pucuk pimpinan PN mengenai kerusi yang akan diagihkan kepada parti itu pada PRN Johor.

    Beliau mengakui parti itu memang berminat untuk bertanding di beberapa kawasan DUN dan telah menyerahkan senarai calon-calonnya kepada pucuk pimpinan PN, namun beliau enggan mendedahkan lebih lanjut mengenainya.

    PRN Johor bakal diadakan selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN pada 22 Jan lepas, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini bagi menentukan tarikh PRN. – Bernama

  • Ramasamy akui kekuatan PH kian pudar

    Ramasamy akui kekuatan PH kian pudar

    PAKATAN Harapan (PH) kini berada dalam keadaan lemah dan bergelut untuk mendapatkan semula rentak dan momentum politiknya yang kian hilang dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

    Mengakui hakikat ini, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy berpendapat, PH termasuk partinya sendiri DAP, sedang berjuang untuk mendapatkan semula kedudukan dan momentum lamanya.

    “Kekuatannya sedikit sebanyak berkurangan dalam PRN Melaka dan Sarawak. Dalam kedua-dua pilihan raya itu, kerusi DAP dikurangkan kepada kira-kira separuh manakala PKR kalah semuanya, manakala Amanah berjaya memenangi hanya satu kerusi di Melaka.

    “Ia akan menjadi satu perjuangan yang sukar bagi PH untuk kembali kepada kekuatan dan daya tahan yang dimiliki sebelum pilihan raya umum 2018,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Ramasamy juga merasakan memorandum persefahaman (MoU) antara PH dan kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah isu yang lebih berpengaruh berbanding logo yang digunakan oleh parti PH.

    “Adalah dipersetujui dalam PH bahawa PKR akan menggunakan logo partinya sendiri manakala DAP dan Amanah akan menggunakan logo gabungan.

    “PKR memandangkan prestasi buruknya pada PRN Melaka dan Sarawak berpendapat, perubahan logo itu mungkin disenangi pengundi Melayu atas alasan logo PH dibayangi era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 22 bulan,” katanya.

    Ramasamy dalam masa menyatakan kepercayaan kemenangan besar dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor akan memberikan UMNO keyakinan untuk mendesak pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat.

    Ramasamy berkata, keputusan PRN Melaka baru-baru ini dan pilihan raya kecil terdahulu memberi keyakinan kepada UMNO bahawa parti itu boleh bertanding sendirian dengan parti komponen BN yang lain, dan tidak memerlukan Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “PRN Johor akan datang akan mendapat perhatian ramai dan keputusannya mungkin meramalkan apa yang boleh berlaku dalam PRU akan datang. Saya berpendapat gesaan untuk PRN Johor adalah didalangi UMNO.

    “Malah, parti itu mahu menguji popularitinya di Johor sebelum mendesak kerajaan Pusat supaya mengadakan PRU. Jika UMNO/BN memenangi PRN, momentum untuk menggesa PRU awal akan dipertingkatkan,” jelas Ramasamy.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu juga menolak penafian pemimpin UMNO bahawa desakan untuk pilihan raya awal tiada kaitan dengan pertuduhan mahkamah terhadap pemimpin kanan parti seperti Datuk Seri Najib Razak dan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    “Populariti adalah satu perkara, tetapi UMNO mahu memastikan pilihan raya dapat diadakan cukup awal sebelum mahkamah membuat keputusan terhadap mereka yang didakwa atau disabitkan kesalahan rasuah,” tambah Ramasamy

  • Kapal tangki dari Panama ditahan bersauh secara haram

    Kapal tangki dari Panama ditahan bersauh secara haram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    WALAUPUN setiap minggu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor melakukan tangkapan terhadap kapal dagang asing yang mencoroboh perairan Johor timur di sini, tindakan itu seakan tidak memberi kesan.

    Terbaharu Maritim Johor menahan sebuah kapal tangki dari Panama yang disyaki bersauh secara haram pada kedudukan 11.6 batu nautika timur Tanjung Balau, Kota Tinggi, semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki sepanjang 243 meter itu telah ditahan pada pukul 1 petang bersama-sama kru warga asing.

    “Kapal tangki itu dikendalikan 24 kru termasuk nakhoda, terdiri dari warga Ukraine, India dan Rusia berumur di antara 21 tahun hingga 49 tahun, serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    Anggota maritim melakukan pemerisaan ke atas kapal tangki sepanjang 243 meter itu yang ditahan pada pukul 1 petang bersama-sama kru warga asing

    “Nakhoda didapati telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan turut memberikan alasan menunggu arahan perlayaran seterusnya dari pihak syarikat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran.

    Beliau menasihatkan syarikat perkapalan agar mengambil serius mengenai prosedur dan peraturan sebelum memasuki dan bersauh di mana-mana perairan di Malaysia.