SEORANG peniaga kerugian RM4,000 selepas arkitek yang dibayar untuk membuat pelan pengubahsuaian rumah teresnya di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lmmpur, menghilangkan diri.

Kejadian bermula selepas mangsa, Abdul Razak Peer Muhammad, 50, mendapatkan khidmat dengan arkitek tersebut untuk pelan pengubahsuaian rumahnya termasuk kerja permohonan bagi mendapatkan kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dia melakukan dua transaksi pemindahan wang pada pada 3 November dan 28 Disember tahun lalu sebagai pendahuluan bagi kerja membuat pelan itu.

“Saya memindahkan wang sebanyak dua kali berjumlah RM2,500 dan RM1,500 ke dalam akaun bank arkitek berkenaan. Jumlah keseluruhan bayaran adalah RM5,000.

“Ketika kerja pengubahsuaian rumah sedang dijalankan, saya menerima surat amaran daripada DBKL yang mengarahkan ia dihentikan serta-merta kerana tidak mempunyai kebenaran,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

Razak berkata, tindakan itu agak pelik kerana pelan tersebut sudah diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) berdasarkan cop rasmi DBKL yang tertera di atas pelan itu.

“Saya cuba hubungi semula arkitek berkenaan yang dikenali sebagai Nizam untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu namun gagal,” jelasnya.

Razak berkata, dia terus ke Jabatan Bangunan DBKL dan pegawai bertugas memberitahu cop rasmi yang digunakan adalah palsu.

Berasa dirinya tertipu, mangsa kemudian membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

“Sekarang jiran sebelah rumah pula tidak berpuas hati kerana kerja ubah suai tergendala menjadikan kawasan itu tidak terurus dan boleh jadi tempat pembiakan nyamuk dan binatang berbisa,” ujar Razak.

Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi mengesahkan siasatan kes berkenaan sedang berjalan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here