JENTERA Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengambil mudah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu tidak seharusnya terbawa-bawa sentimen kemenangan di PRN Melaka dan harus menyusun strategi sebaik mungkin.

“Masalah atau isu pembahagian kerusi kita belum lihat dan kita buat setelah adakan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi BN.

“Saya dan rakan-rakan akan berbincang strategi dan taktikal untuk strategi dan seperti saya sebut, PRN Johor ini penting dan tak semudah disangka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina parti MCA, Kuala Lumpur hari ini.

PRN Johor bakal diadakan selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN pada 22 Janyar lalu dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pula dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting untuk PRN.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tidak wujud sebarang keperluan untuk mengadakan PRN di Kedah, ketika ini.

Mengulas khabar angin sebelum ini mendakwa terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN), beliau berkata, pilihan raya bukan sesuatu yang boleh sengaja diadakan, melainkan jika ada keperluan seperti di Melaka dan Johor.

“Saya tidak tahu situasi di Kedah, saya cuma di ibu pejabat. Jika apa-apa berlaku di Kedah, jangan salahkan saya.

“Bagaimanapun, buat masa ini, saya tidak dengar apa-apa cerita dan bagi saya, tidak ada keperluan pun (untuk diadakan PRN).

“Pilihan raya ini, kita tidak boleh main-main. Ini bukan perkara kita boleh saja-saja buat, melainkan jika ada keperluan yang memerlukan diadakan pilihan raya,” katanya.

Sebelum ini, tular satu tangkap layar mendakwa dua ADUN UMNO dan dua ADUN Bebas di Kedah akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang boleh membawa kepada pilihan raya di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan ia khabar angin dan menegaskan situasi di Kedah aman.

ADUN Bandar Baharu daripada UMNO, Datuk Norsabrina Mohd. Noor turut menafikan dakwaan beliau dan seorang lagi ADUN parti itu akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here