Author: Admin

  • Warga kerja komited sandaran FELCRA jayakan Pelan Transformasi 2.0

    Warga kerja komited sandaran FELCRA jayakan Pelan Transformasi 2.0

    LANGKAH kerajaan membenarkan FELCRA Berhad membawa masuk kira-kira 5,000 pekerja asing bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja di ladang sawit dan getah miliknya adalah tindakan yang tepat.

    Ia memandangkan ketika agensi itu kini dalam menjayakan Pelan Transformasi FELCRA Berhad 2.0 mereka tidak boleh berhadapan sebarang halangan yang boleh membantutkan usaha itu.

    Menurut Ahli Lembaga Pengarah FELCRA Berhad Datuk Seri Ghazali Ibrahim berkata kemasukan pekerja itu dijangka akan memulihkan semula hasil pengeluaran FELCRA yang sebelum ini terjejas ekoran kekurangan tenaga kerja ketika pandemik COVID-19.

    “FELCRA tidak rugi malah catat keuntungan yang banyak tetapi ketika pandemik COVID-19 lalu, ramai pekerja asing pulang ke negara asal mereka dan bila hendak masuk bekerja semula di Malaysia, prosedur kemasukan sedikit sukar.

    “Bila tiada pekerja untuk bekerja di ladang-ladang FELCRA, hasil akan berkurangan. Sebab itu, kami minta kerajaan untuk bekalkan pekerja dan telah mendapat kebenaran untuk membawa masuk kira-kira 5,000 pekerja asing tetapi proses kemasukan itu agak lambat,” katanya.

    Kini masalah tersebut boleh dianggap selesai sekaligus akan memberi peluang kepada FELCRA untuk terus mencatatkan untungan dan memulihkan memastikan apa yang disasarkan dalam pelan transformasi tersebut mencapai kejayaan.

    Pada 1 September lalu, FELCRA Berhad genap 25 tahun dalam persada korporat serta terkenal sebagai salah satu pemain dalam industri bidang perladangan. Pada usia tersebut agensi itu kini sedang melakukan pelbagai usaha bagi memastikan Pelan Transformasi 2.0 berjaya.

    Seperti mana dijelaskan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 12 September lalu, objektif Pelan Transformasi 2.0 FELCRA lebih memfokuskan kepada aktiviti peningkatan produktiviti ladang, pelaksanaan aspirasi dasar sekuriti makanan negara, diversifikasi pendapatan syarikat yang akan digerakkan oleh pasukan kerja dalaman FELCRA dan memperkasakan aktiviti bisnes utama syarikat melalui:

    a) Mekanisasi dan IR 4.0 iaitu program-program digitalisasi dan mekanisasi dengan adaptasi teknologi bagi menjalankan operasi ladang serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga manusia;

    b) Peningkatan luas ladang dengan mensasarkan penambahan 30,000 hektar ladang komersial dalam tempoh masa 5 tahun;

    c) Sumber perolehan lain dengan mempelbagaikan aktiviti menjana pendapatan seperti perlombongan dan pembangunan aset-aset strategik; dan

    d) Pembangunan industri hiliran pelan jangka panjang yang dirancang termasuk pelaburan dalam industri hiliran seperti kilang penapisan dan pembuatan produk oleochemical.

    Justeru itulah beliau berharap semua warga FELCRA akan terus bekerja kuat untuk menjayakan Pelan Transformasi 2.0 tersebut supaya FELCRA akan menjadi sebuah syarikat kerajaan yang berjaya.

    Apa yang membanggakan ketika heboh diperkatakan mengenai aspirasi Dasar Sekuriti Makanan Negara, FELCRA mengorak langkah dengan menceburi bidang penternakan ayam pedaging secara sistem tertutup bagi memenuhi permintaan domestik, membangunkan tanaman alternatif dan produk hiliran.

    Mahdzir Khalid mendengar penerangan daripada Pengersu FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan mengenai projek ternakan ayam pedaging di Rompin.

    Bagi tujuan tersebut, kata Mahdzir, FELCRA Berhad telah diluluskan geran berjumlah RM59.64 juta bagi skop Program Ternakan Ayam Pedaging daripada Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM), di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) dan Keduabelas (RMKe-12).

     ‘’Projek ini merupakan salah satu usaha negara dalam memastikan kelangsungan makanan negara terutama ketika berhadapan krisis sepertimana yang digariskan pada Pelan Tindakan Dasar Keselamatan Makanan Nasional (DSMN) 2021-2025 yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet pada 8 Jun 2021.

     ‘’Pengurusan FELCRA Berhad juga turut mengiktiraf Projek Ternakan Ayam ini sebagai projek alternatif berimpak tinggi di bawah Pelan Transformasi 2.0 FELCRA Berhad, bagi membantu pihak syarikat terutama ketika berhadapan dengan harga pasaran tanaman komoditi yang tidak menentu,’’ kata Mahdzir.

    Projek tersebut bukan sekadar diuar-uarkan sebaliknya ia sudah dilaksanakan apabila  FELCRA Berhad dengan peruntukan yang telah diluluskan, membangunkan dua ladang ternakan ayam pedaging (sistem tertutup).

    Ladang pertama terletak di Tanjung Seratus, Rompin yang mana dijangka mampu mengeluarkan hasil sebanyak 600,000 ekor ayam sepusingan bersamaan 3.6 juta ekor ayam setahun. Manakala projek kedua bakal dilaksanakan di Kubang Palas, Kuala Nerang yang dijangka mampu mengeluarkan 250,000 ekor ayam sepusingan atau 1.5 juta ekor setahun.

    Seperti mana kata Mahdzir, projek atau inisiatif itu bukan sahaja akan memberi impak kepada peserta FELCRA tetapi juga kepada rakyat setempat melalui pemberian dividen, penawaran harga jualan ayam segar di bawah harga pasaran, mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan sosio-ekonomi penduduk setempat, penambahbaikan dan pembangunan kawasan sekitar serta lain-lain lagi.

    Apa yang diperkatakan, hanyalah secebis daripada pelbagai usaha dilakukan oleh Mahdzir, KPLB dan pengurusan FELCRA bagi memperkasakan dan memperkukuhkan syarikat korporat itu untuk menjadi sebuah syarikat kerajaan yang berjaya.

    Sesungguhnya benarlah kata Mahdzir, kejayaan FELCRA Berhad hari ini adalah disokong oleh hampir 3,000 stafnya di seluruh dunia yang memberikan kerjasama dan berfikir secara strategik untuk memastikan kelangsungan dan kejayaan berterusan.

    ‘’Semoga dengan komitmen dan kesungguhan semua, FELCRA akan dapat terus maju jaya dan dapat melaksanakan pelan transformasinya dengan jaya,’’ kata Mahdzir.

    Penulis yakin dengan apa yang dicapai setakat ini dan dengan tenaga kerja FELCRA yang komited bukan sahaja harapan Mahdzir, malah Pelan Transformasi 2.0 pasti menjadi berjaya.

  • Kesabaran Pas ‘layan’ Zahid mengagumkan!

    Kesabaran Pas ‘layan’ Zahid mengagumkan!

    KELMARIN selepas sebelah siangnya di Melaka beliau memberi kata dua kepada Pas jika UMNO mahu bekerjasama dengan parti itu, pada sebelah malam, Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan satu lagi kenyataan.

    Kenyataan pertama di Melaka mengandungi tiga syarat yang diberikan oleh Presiden UMNO tersebut kepada Pas iaitu Pas perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan.

    Walaupun kenyataan Ahmad Zahid itu ibarat ‘menampar ke wajah’ Pas, namun hanya Tuan Ibrahim Tuan Man dan Idris Ahmad sahaja berani ‘menegur’.

    Pemimpin-pemimpin Pas lain yang sebelum ini ‘terlompat’ bagaikan ‘terduduk atas duri’ apabila mendengar kenyataan Muhyiddin Yassin yang menganggap BN musuh utama, hanya terdiam bak kata seorang kawan bagaikan ‘berak kapur’.

    Mungkin mereka yang dianggap begitu ‘pro-MN’ berasa lega apabila Ahmad Zahid seperti mahu ‘menenangkan’ keadaan apabila sebelah malamnya menegaskan UMNO tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah, termasuk dalam kerjasama politik parti itu dengan Pas – yang dianggap beliau menjadi asas kestabilan politik tanah air.

    Pada sama beliau juga menegaskan, UMNO sentiasa menekan soal keikhlasan dan kejujuran dalam apa jua bentuk permuafakatan dan kerana itu tidak sesekali dapat menerima pihak yang berterusan melakukan pengkhianatan dan mengambil sikap menjadikan BN sebagai musuh utama.

    Pengerusi Barisan Nasioanl, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi GAMBAR: Warta Rakyat

    Hebat sekali Zahid bercakap soal keikhlasan, kejujuran dan pengkhianatan. Tetapi soalnya, adakah Zahid dan UMNO sendiri mengamalkan sikap itu ketika bersetuju menyertai kerajaan yang diterajui Muhyiddin pada awal tahun 2020 lalu?

    Adakah ketika itu Zahid dan UMNO ikhlas, jujur dan tidak berniat melakukan pengkhianatan ketika berada dalam kerajaan? Kalau soal ikhlas dan jujur mahu diperkatakan, adakah Zahid jujur dan ikhlas ketika menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri? Istilah apa pula mahu digunakan apabila Zahid bersama beberapa ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyidin sebagai Perdana Menteri sehingga memaksa beliau meletakkan jawatan?

    Kalaulah Zahid bercakap soal kejujuran dan keikhlasan. Adakah sikap itu benar-benar tersemai apabila beliau bercakap soal penyatuan ummah? Adakah kejujuran dan keikhlasan itu hanya berkisar soal penyatuan kerjasama UMNO dan Pas sahaja?

    Kenapa pula mahu memaksa Pas mufaraqah dengan Perikatan Nasional (PN) khususnya Bersatu? Bukankah Bersatu itu parti Melayu? Bukankah Bersatu dianggotai 100 peratus orang Islam? Bukankah dengan memberi syarat berkenaan ia samalah seperti memberi kata dua kepada Pas? Tetapi yang aneh segelintir pemimpin Pas masih lagi menerima kenyataan keras Ahmad Zahid itu.

    Mereka sudah lupa itu bukan kali pertama Ahmad Zahid membuat kenyataan yang boleh dianggap ‘menyinggung perasaan’ Pas, tetapi nampaknya setakat ini pemimpin Pas masih bersedia ‘terus membuka dada untuk ditikam berkali-kali’ oleh Ahmad Zahid yang sebelum itu pada 2 Ogos lalu berkata;

    “Kalau nak jalin sebarang bentuk kerjasama, jalin selepas keputusan PRU15…sekarang ini kita turun ke gelanggang dan adu kekuatan…kekuatan dari segi pengaruh pengundi-pengundi. Walaupun mahukan persefahaman dan sebagainya itu hanyalah harapan, tetapi realitinya rakyat tahu parti mana boleh membela nasib mereka,” kata Zahid pada awal Ogos lalu.

    Tetapi tidak mengapa, Pas tetap mahukan penyatuan ummah, walaupun kita tahu ada kalangan mereka separuh hati atau mungkin tidak ada hati sama sekali untuk merangkul bersama Bersatu dalam misi tersebut.

    Ramai ‘yang kagum’ dengan tahap kesabaran Pas dalam melayan karenah Ahmad Zahid dan segelintir pemimpin UMNO yang ada antara mereka tak habis-habis memperlekeh Pas.

    Namun apa nak buat, Pas tahu keuntungan politik yang boleh mereka perolehi jika bersama UMNO khususnya dalam berhadapan PRU-15 nanti. Disebabkan itulah ramai yang keliru dengan berita-berita berhubung manuver politik yang ditunjukkan oleh Pas.

    Dari satu segi, mereka adalah anggota rasmi PN. Mereka berunding berbahagi-bahagi kerusi untuk bertanding dalam PRU-15 tetapi dari segi lain pula berlaku rundingan untuk bekerjasama dengan UMNO.

    Lebih mengelirukan, soal penyatuan ummah ini tidak begitu diuar-uarkan atau mungkin tidak kedengaran langsung di sesetengah negeri yang dikuasai secara berasingan dan dominan sama ada oleh UMNO dan Pas. Penulis tidak perlu menyebut negeri-negeri tersebut. Sebab itulah gerakan yang berlaku melibatkan UMNO dan Pas itu lebih dilihat bermotif politik manakala penyatuan ummah sekadar untuk sekadar halwa telinga sahaja.

    Pemimpin-pemimpin Bersatu pula hanya membiarkan sahaja ‘lelucon’ (jenaka) politik yang sedang ditunjukkan oleh kedua-dua parti berkenaan. Ia memandangkan rentetan politik yang berlaku sejak awal 2020, membuktikan mereka (Bersatu) lebih ikhlas dan jujur dalam bersahabat dengan Pas dan sama sekali tidak akan mengkhianati rakan satu gabungan.  Itu adalah fakta.

    Ketika bersama UMNO menganggotai kerajaan, Bersatu kehilangan jawatan Perdana Menteri tetapi mereka tidak mengkhianati pemimpin UMNO yang menjadi Perdana Menteri, Bersatu kehilangan jawatan Menteri Besar Perak tetapi mereka tidak mengkhianati pemimpin UMNO yang  menduduki jawatan itu.

    Soal adakah Pas sudah menyaksikan sikap  yang sama daripada UMNO? Sama-sama kita lihat nanti.Lagipun Pas masih berteka-teki ke mana hala tuju politik mereka dalam menghadapi PRU-15.

  • PRU-15 : UMNO ghairah, rakyat marah!

    PRU-15 : UMNO ghairah, rakyat marah!

    MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh  Ahmad Zahid  Hamidi malam tadi memutuskan;

    ‘’Pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada tahun ini juga.

    ‘’Berdasarkan keputusan ini, YAB Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.’’

    Keputusan itu yang diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan itu sama sekali tidak mengejutkan sebaliknya sudah dijangka tetapi apa yang menarik perhatian ialah kenyataan Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin kepada wartawan selepas mesyuarat berkenaan.

    Beliau yang kalah dalam PRU-14 lalu berkata;

    ‘’ Memang kita berbincang mengenai pilihan raya secara mendalam, kesediaan dan kekuatan parti sedang diukur.  Kita akui ia (tarikh PRU) budi bicara Perdana Menteri, UMNO(dan kita) menghormati perkara itu.’’

    Sudah pastilah mereka yang tidak menghadiri mesyuarat itu tidak tahu bilakah tarikh yang akan dipilih oleh Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi apa yang pasti apabila UMNO menegaskan, ‘’pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini juga’’ – ia bermakna Perdana Menteri perlu memilih tarikh sekitar 7 Oktober hingga 31 Disember 2022.

    Ismail Sabri tidak ada banyak  pilihan walaupun beliau adalah Perdana Menteri kerana UMNO adalah parti kesayangannya dan sebagai seorang yang setia kepada parti, Ismail Sabri  akan akur dengan kehendak parti. Pilihan raya tahun ini hanya  dapat dielakkan jika ia tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

    Seri Paduka yang dianggap Raja berjiwa rakyat dan sentiasa mengutamakan rakyat dalam segala perkara sudah pasti memiliki kebijaksanaan untuk mempertimbangkan wajar atau tidak, perlu atau tidak PRU-15 ‘diadakan pada tahun ini juga’ seperti mana kehendak UMNO. Ia memandangkan negara berhadapan dengan ancaman banjir berikutan fasa peralihan monsun bermula esok hingga November ini.

    Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, semasa Fasa Peralihan Monsun itu, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.

     “Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak,” katanya pada 29 September lalu.

    Muhammad Helmi berkata keadaan cuaca itu berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh. Inilah kebimbangan rakyat yang sama sekali tidak peduli kenyataan UMNO bahawa PRU itu mahu ‘’memulangkan mandat rakyat  yang tertangguh akibat Pandemik Covid-19’’.

    Ancaman banjir itu bukannya satu dongeng atau kebimbangan tidak bertempat sehingga ada pemimpin UMNO menyindir soal ‘ada ilmu kasyaf ke’, tetapi ia adalah fenomena yang berlaku saban tahun terutama di negeri-negeri pantai timur.

    Dan paling membimbangkan, banjir kini bukan lagi popular di pantai timur tetapi juga ‘sudah merebak’ negeri-negeri lain.

    METMalaysia juga menjangkakan jika banjir berlaku 10 juta rakyat akan terlibat. Negeri terlibat Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak. Selain itu Selangor, Kuala Lumpur dan utara Kedah juga dijangka dilanda banjir akibat perubahan cuaca.

    Tahun lalu, 8 negeri terjejas akibat banjir, 70,000 hilang tempat tinggal dan lebih RM6.1 bilion kerugian dilaporkan.

    Semua ini adalah fakta yang sepatutnya menjadi pertimbangan UMNO. Bukannya mahu mengadakan pilihan raya semata-mata kerana merasakan ini waktu terbaik memandangkan parti-parti lawan tengah lemah atau berkeceramuk.

    Atas sebab itulah berdasarkan reaksi dan komen dalam media sosial selepas kenyataan media oleh Ahmad Maslan, majoriti rakyat menolak keghairahan UMNO mahu mengadakan pilihan raya.

    Tengok sahaja reaksi rakyat ketika ‘live’ sidang media Ahmad Maslan, di situ sahaja kita dapat menilai apa sentimen rakyat. Di Twitter pula sudah ‘trending’ #UndiBanjir – sebagai protes menolak keghairahan UMNO mahukan PRU ketika musim banjir.

    Sebab itulah mereka berharap Yang di-Pertuan Agong akan mempertimbangkan untuk menolak pembubaran Parlimen pada tahun ini.  Bagaimanapun rakyat yakin kebijaksanaan Seri Paduka dalam menangani isu penting seumpama ini seperti mana ketika pandemik Covid-19 dahulu.

    Mereka tidak faham kenapa UMNO beria-ia benar mahukan pilihan raya walaupun ancaman banjir menanti. Lagipun tarikh tamat tempoh mengadakan pilihan raya masih lambat lagi iaitu sehingga Julai tahun depan. Jadi kenapa UMNO kelam kabut sangat! Lagipun Ismail Sabri pernah meminta wartawan bertanya kepada rakyat, marah atau tidak, jika PRU semasa banjir. Kini beliau sudah pasti tahu reaksi rakyat!

    Agak melucukan apabila Ahmad Maslan berkata, keputusan UMNO mahu mengadakan PRU tahun ini juga adalah ‘’ berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat Pandemik Covid-19  setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan kerana persengketan dalaman politik sesama mereka.’’

    Kalau betullah UMNO begitu kukuh mahu memulangkan mandat rakyat atau sentiasa percaya kepada mandat rakyat, kenapa baru sekarang bercakap soal itu? Kenapa selepas UMNO yang kalah dalam PRU-14 bersedia berada dalam ‘dua kerajaan’ dengan dua Perdana Menteri berbeza?

    Dulu bersama Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin daripada Bersatu dan sekarang Ismail Sabri daripada UMNO, tetapi gabungan pembentukan kerajaan daripada ‘ramuan yang sama’. Kalau UMNO berpegang kepada MANDAT RAKYAT, tidak payahlah sertai kedua-dua kerajaan itu walaupun jawatan Perdana Menteri akan diberikan kepada mereka sekalipun. Bukankah MANDAT SEBENAR RAKYAT pada PRU-14  ‘MENOLAK UMNO/BN’’ tetapi parti itu akhirnya jadi kerajaan dan kuasai jawatan Perdana Menteri? Macam mana pula sekarang UMNO bercakap pasal MANDAT RAKYAT?

    Kalau betul pegang MANDAT RAKYAT, sehebat manapun ajakan untuk tubuh kerajaan selepas kerajaan PH jatuh, UMNO  wajib menolaknya dan bersedia kekal di blok pembangkang hingga penggal berakhir.

    Kesimpulannya MANDAT RAKYAT hanyalah alasan UMNO yang tidak sabar-sabar lagi mahu kembali berkuasa. Itu sahaja. Tidak payahlah bermain dengan sentimen bahawa pilihan raya bertujuan mahu membentuk kerajaan yang stabil bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup rakyat.

    Kalau kerajaan sekarang tidak stabil macam mana boleh rakyat sentiasa dibentangkan dengan angka-angka pertumbuhan ekonomi ‘yang memberangsangkan’? Kalau tak stabil mesti pertumbuhan ekonomi pun tak berlaku? Kalau tak stabil, macam mana pula Ismail Sabri pernah berkata ‘’kerajaan stabil, tidak ada pertembungan besar antara parti dalam kerajaan’?

    Dan kalau pilihan raya perlu untuk pulih ekonomi ekonomi, kenapa pemimpin UMNO ‘mengamuk’ bila Muhyiddin kata, Perdana Menteri gagal urus ekonomi? Oleh itu hentikanlah hujah-hujah dangkal tersebut bagi ‘menghalalkan’ hasrat UMNO mengadakan PRU tahun ini juga.

  • Tumpu konsolidasi fiscal dan perkukuh PMKS dalam Bajet 2023

    Tumpu konsolidasi fiscal dan perkukuh PMKS dalam Bajet 2023

    Oleh AZRIL MOHD AMIN

    INSTITUSI Masa Depan Malaysia (MASA) mengesyorkan agar kerajaan meneliti dua bidang fokus khusus dalam Bajet 2023 iaitu konsolidasi fiskal dan memperkukuh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

    Sehingga Jun 2022, hutang negara dilaporkan mencecah RM1.045 trilion, manakala pembayaran perkhidmatan hutang Kerajaan Persekutuan pula mencecah RM43.1 bilion, atau bersamaan 18.4% daripada hasil pendapatan negara.

    Dalam pada itu, sebanyak RM19.8 bilion telah dibelanjakan untuk pembayaran semula kadar faedah hutang sedia ada menjelang akhir Jun 2022. Malaysia memerlukan kedudukan fiskal yang lebih kukuh dengan mengambil kira ketidaktentuan pasaran ekonomi global. Perbelanjaan operasi Malaysia terdiri daripada emolumen merangkumi hampir 37% manakala caj persaraan sebanyak 12% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

    Azril Mohd Amin

    Dalam hal ini, langkah utama yang wajar dipertimbangkan adalah mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Sehubungan itu, kerajaan perlu meneliti pendekatan alternatif bagi menguruskan aliran tunai secara sistematik serta mengurangkan bebanan perbelanjaan lebihan terhadap projek yang kurang memanfaatkan rakyat sebaliknya meletakkan fokus utama kepada taraf kehidupan dan kesejahteraan masyarakat, berbanding pembinaan jalan raya atau pencakar langit.

    Kerajaan juga perlu merangka strategi penjanaan pendapatan yang baharu dengan menumpukan kepada peningkatan produktiviti nasional.

    Mengambil kira nilai percukaian meliputi hampir 73.2% daripada jumlah hasil pendapatan, sumber pendapatan baharu harus diteroka termasuk memanfaatkan potensi bidang ekonomi digital dan automasi dalam meningkatkan daya saing dan produktiviti negara.

    Sebagai pendekatan jangka pendek, sebuah mekanisme percukaian iaitu melebarkan jurang cukai bagi T5 dan T10 dalam kalangan syarikat atau individu berpendapatan tinggi harus dilaksanakan. Kerajaan wajar memanfaatkan peluang ini untuk menjana semula cukai yang hilang akibat pendapatan yang tidak dilaporkan.

    Bagi penyelesaian tempoh jangka panjang, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dari segi reformasi  penjanaan pendapatan serta mengharmonikan dasar fiskal demi memastikan konsolidasi kewangan secara lebih teratur.

    Selain itu, sektor PMKS juga perlu diberi keutamaan yang bukan sahaja meliputi 97.4% daripada jumlah pertubuhan di Malaysia pada 2021, tetapi juga menyumbang 37.4% daripada KDNK. Sektor ini telah menjadi tunjang ekonomi negara termasuk memberi sumbangan sebanyak 11.7% kepada eksport dan 47.8% dalam sektor pekerjaan.

    Tidak dinafikan, PMKS merupakan antara segmen yang paling terkesan akibat COVID-19. Banyak perniagaan kecil dan sederhana masih berdepan situasimencabar dalam fasa pemulihan pasca pandemik di sebalik tekanan ekonomi global seperti peningkatan inflasi, kenaikan kadar faedah, penyusutan nilai ringgit dan kekurangan pekerja asing.

    Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali turut menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara. Justeru, isu yang dihadapi oleh sektor PMKS perlu ditangani segera dan secara tuntas dalam Bajet 2023, melalui penyelesaian jangka pendek serta panjang yang berimpak tinggi demi menjamin kelangsungan PMKS.

    Institusi perbankan harus membenarkan kelonggaran dari segi pembayaran balik serta penstrukturan semula pinjaman. Dengan mengambil kira syor yang dikemukakan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN), moratorium yang spesifik perlu disediakan kepada para peniaga yang terkesan pasca COVID-19.

    Pada masa sama, proses pengambilan pekerja asing juga harus dipercepatkan melalui penggunaan teknologi dengan memperkukuh aspek digitalisasi. Koordinasi serta pemantauan antara agensi dan kementerian berkaitan adalah penting dalam menghadapi sebarang situasi permintaan pasaran tenaga buruh asing supaya proses pengambilan tenaga buruh asing adalah lebih cekap dan telus.

    Bajet 2023 juga memberi penekanan terhadap pemberian insentif transformasi digital kepada PMKS. Pendekatan yang diambil oleh negara Jepun, Korea Selatan dan Thailand boleh dijadikan sebagai penanda aras ke arah mencapai negara yang berpendapatan tinggi menjelang 2030.

    Bagi membina PMKS yang berdaya saing dan kalis cabaran, penstrukturan semula perniagaan dan transformasi digital adalah penting. Ini termasuk pembangunan aplikasi teknologi digital seperti pembayaran maya, e-dagang, aplikasi berasaskan awan dalam kalangan PMKS yang perlu diteroka secara menyeluruh oleh agensi dan kementerian berkaitan.

    *Azril Mohd Amin adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

  • Tak laksana perakuan MPN kerana Muhyiddin bukan PM alasan tak munasabah

    Tak laksana perakuan MPN kerana Muhyiddin bukan PM alasan tak munasabah

    Oleh: DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD

    PRESIDEN UMNO kata banyak perakuan MPN tidak dilaksanakan oleh kerajaan kerana Tan Sri Muhyiddin bukan Perdana Menteri.

    Ini suatu alasan yang amat tidak munasabah. Mari saya jelaskan mengapa.

    Semua keputusan MPN dibawa ke kabinet menerusi Memorandum Jemaah Menteri (MJM) untuk diluluskan oleh kabinet. Sebagai bekas Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Presiden UMNO tentulah arif apa maksud MJM.

    Daripada 95 keputusan MPN, 86 telah diluluskan oleh kabinet. 9 lagi sedang menunggu kelulusan.

    Jadi, tidak kiralah Tan Sri Muhyiddin Perdana Menteri atau tidak, apabila telah menjadi keputusan kabinet, maka keputusan MPN mesti dilaksanakan oleh kerajaan.

    Tetapi tidak mengapalah. Katakanlah kita bersetuju dengan pandangan Presiden UMNO itu. Oleh kerana Tan Sri Muhyiddin bukan Perdana Menteri, mungkin tidak ramai yang ambil peduli akan keputusan-keputusan MPN walaupun ia telah menjadi keputusan kabinet.

    Selain MPN, ada satu lagi mekanisme pengurusan ekonomi negara yang penting iaitu Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri. Majlis ini dianggotai oleh Menteri-Menteri berkaitan ekonomi dan pakar-pakar ekonomi.

    Di sinilah keputusan-keputusan penting mengenai ekonomi negara dibuat. Keputusan-keputusan ini kemudiannya dibawa ke kabinet untuk pengesahan.

    Semasa Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, Majlis Tindakan Ekonomi bersidang setiap minggu pada hari Isnin. Keputusannya dibawa ke Kabinet pada hari Rabu. Jadi Menteri-Menteri boleh ambil tindakan susulan yang segera di kementerian masing-masing selepas ia menjadi keputusan kabinet.

    Dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan masalah ekonomi yang kian meruncing, Majlis Tindakan Ekonomi sepatutnya bersidang dengan lebih kerap untuk membuat keputusan-keputusan segera mengenai ekonomi. Tetapi saya dengar Majlis Tindakan Ekonomi telah agak lama tidak bersidang.

    Sepatutnya, Presiden UMNO gesa Perdana Menteri supaya segera adakan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, bukan gesa segera diadakan pilihanraya.

    Kadar inflasi pada bulan Ogos 2022 telah meningkat ke 4.7% dan inflasi makanan 7.2% berbanding 4.4% dan 6.9% masing-masing pada bulan Julai. Harga barang naik dan naik lagi. Kadar OPR juga dijangka akan dinaikkan lagi.

    Jadi apa Majis Tindakan Ekonomi buat untuk atasi masalah ini?

    Selain Majlis Tindakan Ekonomi, ada juga Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diketuai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia? Apa sudah jadi dengan pasukan ini? Lama sudah tidak dengar khabar berita.

    Sabar ajer lah..

    *Datuk Dr.Marzuki Mohamad adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8.

  • Pemimpin UMNO patut nasihat PM bukan ‘serang’ Muhyiddin

    Pemimpin UMNO patut nasihat PM bukan ‘serang’ Muhyiddin

    PENULIS sudah agak apabila Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bentangkan fakta kegagalan kerajaan melaksanakan beberapa cadangan penting majlis itu dalam usaha memulihkan negara bekas Perdana Menteri (PM) itu pasti ‘akan diserang’ pemimpin UMNO.

    Bagaimanapun dalam keghairahan ‘menyerang’ Muhyiddin ada antara hujah mereka menampakkan keangkuhan dan bagaikan ‘meludah ke langit’.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebahagian besar masalah yang dihadapi kerajaan pada masa kini adalah diwarisi daripada kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).


    Penulis tidak faham apa masalah yang dimaksudkan Khaled? Kalau soal ekonomi, memanglah  sebab ia impak pandemik Covid-19 tetapi perlu diingat keadaan sebelum ini stabil tetapi semakin buruk ketika ini. Tidak perlu dibentangkan fakta itu, sebagai golongan cerdik pandai Khaled pasti boleh mengkajinya sendiri.

    Bagaimanapun tidak mengapa jika Khaled tetap mahu menyalahkan Kerajaan PN tetapi beliau juga berkata;

    ’’ Muhyiddin harus ingat bahawa dirinya juga sebahagian daripada kerajaan dan perlu bertindak dalam semangat yang kolektif. Sikap menuding jari ini jelas menunjukkan beliau hanya mampu menyalahkan orang lain atas kelemahan cadangan dan hasil kerjanya.’’

    Kata Khaled lagi, ‘’ “Jadi, janganlah bersikap baling batu sembunyi tangan. Saya percaya PM dan anggota kerajaan serta kakitangan awam sedang mencuba memberikan yang terbaik bagi berhadapan dengan segala masalah negara.’’

    Kalau begitu ketika Muhyiddin menjadi PM dan sedang berperang dengan Covid-19, kenapa ayat ‘bertindak dalam semangat yang kolektif’ itu tidak wujud apabila ‘kerajaan gagal’ begitu riuh digembar gemburkan? Kenapa ketika itu ‘serangan’ hanya disasarkan kepada Muhyiddin? Kenapa Muhyiddin sahaja yang dianggap gagal?  Kenapa pemimpin UMNO khususnya ahli Parlimen yang menarik sokongan kepada Muhyiddin tidak ‘bertindak dalam semangat yang kolektif’?

    Kenapa ‘semangat’ itu tidak diperkatakan apabila pada awal pagi 8 Julai 2021, Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi nenyenaraikan tujuh kegagalan kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin yang dijadikan alasan untuk UMNO menarik diri?

    Masihkah kita ingat antara kegagalan yang didakwa oleh UMNO ialah menangani pandemik Covid-19, mempertahankan sistem demokrasi berparlimen, menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan.

    Bukankah ketika itu kerajaan juga dianggotai oleh UMNO? Bukankah ketika itu menteri-menteri UMNO memainkan peranan cukup penting dalam menangani pandemik Covid-19? Kalau gagal maknanya keseluruhan Kabinet lah gagal bukan Muhyiddin seorang sahaja?

    Kenapa ketika itu tidak beri peluang ruang kepada Muhyiddin memulihkan negara? Ia memandangkan Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) sedang berjalan dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga sudah dirangka, hanya menanti untuk dilaksanakan.

    Tidak dengar pula pemimpin UMNO menyebut ayat, “Jadi, janganlah bersikap baling batu sembunyi tangan. Saya percaya Perdana Menteri dan anggota kerajaan serta kakitangan awam sedang mencuba memberikan yang terbaik bagi berhadapan dengan segala masalah negara.” Kenapa baru hari ini kita mendengar (daripada kenyataan KhaleD) ayat itu? Adakah kerana hari ini Perdana Menteri daripada UMNO?

    Seorang lagi pemimpin UMNO yang ghairah  membidas Muhyiddin ialah Presiden UMNO yang menegaskan, MPN tidak mempunyai fungsi jelas dan bertindih dengan agensi kerajaan lain dan hanya digunakan Muhyiddin sebagai platform propaganda politiknya.

    “Seperti saya katakan sebelum ini, MPN perlu dibubar kerana fungsinya tidak jelas, tidak perlu, malah bertindih dengan fungsi badan pemikir dan agensi Kerajaan lain yang bertindak sebagai penasihat serta pelaksana.

    “Selain itu, pengerusi MPN yang bukan Perdana Menteri dilihat melemahkan majlis itu sendiri. Meskipun MPN dianggotai pakar… namun keberadaan pengerusi MPN yang bukan ketua eksekutif menjadi sebab pelaksanaan cadangan majlis itu kurang tekad politik dan mungkin juga dilihat tidak perlu.

    “Pengerusi MPN pula menggunakan majlis itu sebagai platform untuk mengabsahkan propaganda politiknya. Sering sahaja di kempen politik PRN Melaka dan PRN Johor, dia menggunakan cadangan MPN sebagai peluru politik dalam kempennya dengan menggambarkan seakan kerajaan akan gagal jika cadangannya tidak dilaksanakan,” kata Zahid yang turut menegaskan, MPN akan dibubarkan jika Barisan Nasional (BN) PRU-15.

    Tak apalah, kalau belum menangpun dah beri amaran, nak bubar itu nak bubar ini tetapi adakah Zahid bercakap berdasarkan fakta atau ‘mengabsahkan propaganda politiknya’ bagi memburukkan Muhyiddin?

     Sekali lagi penulis bertanya memandangkan  Zahid berkata, Pengerusi PN ‘’menggunakan majlis itu sebagai platform untuk mengabsahkan propaganda politiknya.’’ Malah Zahid juga berkata, Muhyiddin tidak sepatutnya merungut jika ada cadangan MPN yang ditolak.

    “Adat memberi cadangan, jika diterima kita bersyukur dan jika tidak, mungkin ada cadangan yang lebih baik…Dengan kerajaan yang melaksanakan 16 daripada 69 cadangan MPN, menunjukkan kerajaan masih mengambil serius pandangannya meskipun kewujudannya tidak jelas, tidak perlu dan bertindih,” katanya.

    Kalau begitu hujah Zahid, kenapa semasa Kerajaan PN dulu, UMNO tidak menunjukkan sikap yang sama iaitu ‘bersyukur’ dan tidak merungut apatah lagi menarik sokongan? Ia memandangkan ketika itu kerajaan Muhyiddin dengan dibantu oleh menteri kanan daripada UMNO termasuk Ismail Sabri Yaakob sebagai Menteri Kanan Pertahanan sedang menguruskan pandemik Covid dan memulihkan kehidupan rakyat serta ekonomi negara.

    Kenapa ‘tidak bersyukur’ apabila Muhyiddin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan untuk rakyat termasuk kepada syarikat-syarikat dan majikan-majikan? Bersyukurlah pada masa itu dan terimalah hakikat kerajaan PN pada itu mempunyai cadangan dan pendekatan lebih baik…tetapi kenapa ia tidak berlaku?

    Dalam soal propaganda politik pula, Zahid tidak wajar membuat tuduhan melulu. MPN bukan dikuasai Muhyiddin seorang, MPN bukan dianggotai oleh ahli Parlimen Bersatu atau Ahli Majlis Tertinggi Bersatu , sebaliknya seperti mana ditegaskan oleh Muhyiddin kelmarin,;

    ‘’Majlis itu dianggotai oleh Menteri Kewangan sebagai Menteri Penyelaras, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Kanan Pertahanan, Menteri Kanan Kerjaraya, Menteri Kanan Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara dan pakar-pakar ekonomi, sosial dan pendidikan termasuk wakil daripada parti-parti pembangkang.’’

    Jadi kat celah mana, ia boleh jadi  platform kepada Muhyiddin mengabsahkan propaganda politiknya? Kalau apa yang dibentangkan oleh Muhyiddin kelmarin tidak betul, bukankah Menteri Kewangan yang disebut-sebut bakal bertanding atas tiket Barisan Nasional dalam PRU-15 di Parlimen Kuala Selangor boleh memberi penjelasan? Lagipun mahukah pakar-pakar pelbagai bidang terlibat dalam satu majlis yang sekadar akan menjadi ‘mengabsahkan propanganda politik’ mana-mana individu?

    Kalau Zahid berkata Pengerusi MPN yang bukan Perdana Menteri dilihat melemahkan majlis itu, harap beliau juga bertanya apa status Majlis Tindakan Ekonomi (AEC) ketika ini? Dalam situasi ekonomi sekarang diharapkan AEC akan bermesyuarat setiap minggu kerana ia dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

    Sebab seperti mana kata Muhyiddin, beliau tidak menuding jari kepada sesiapa kerana;

    ’Tujuan saya ialah supaya semua pihak sedar bahawa negara kita tidak berada dalam situasi yang baik pada masa ini. Petunjuk-petunjuk positif ini adalah sementara sebelum negara kita berhadapan dengan jangkaan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun hadapan. Jika langkah-langkah segera tidak diambil untuk memperbaiki keadaan, rakyatlah yang akan menanggung sengsara.’’

    Justeru lebih baik pemimpin UMNO beri  nasihat kepada PM berhubung persediaan bagi menghadapi kemelesetan ekonomi  tahun depan daripada ‘serang’ Muhyiddin. Selain itu minta PM tengok-tengokkan perakuan MPN yang sudah diluluskan dilaksanakan segera, ia demi kebaikan rakyat dan negara, bukan sekadar bertaburan atas meja pak menteri atau ketua jabatan.

    Insha-Allah Ismail Sabri sebagai ‘poster boy BN’ pasti akan mendengarnya apatah lagi dah heboh ‘pembubaran Parlimenpun dah tak sampai dua minggu lagi. Betul tak?

  • Pertimbang syor tidak bentang belanjawan penuh

    Pertimbang syor tidak bentang belanjawan penuh

    Banyak yang sudah diperkatakan mengenai harapan rakyat terhadap belanjawan yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.

    Bajet amat penting dalam perjalanan pentadbiran kerajaan kerana ia menunjukkan kemampuan kerajaan dari sudut kewangan dan bagaimana wang tersebut hendak dibelanjakan.

    Bajet 2023 juga dijangka menjadi tumpuan kerana pada tahun depan, dunia dijangka mengalami kemelesetan ekonomi yang akan memberikan kesan kepada banyak aspek kehidupan manusia.

    Disebabkan kebimbangan cabaran itu juga, setiap lapisan masyarakat amat mengharapkan supaya mendapat manfaat daripada pengumuman yang akan dibentangkan itu nanti.

    Seperti diketahui, dari sudut politik bajet pada kelazimannya adalah senjata penting parti pemerintah untuk mewujudkan ‘wow factor’ supaya pengundi terus kekal menyokong parti sedia ada.

    Misalnya kita dapat lihat apabila bajet yang dibentangkan pada waktu hampirnya pilihan raya akan mengumumkan lebih banyak bantuan berbanding pada tahun tanpa pilihan raya.

    Parti pemerintah yakin apabila rakyat gembira dengan bantuan dalam bajet yang diberikan, mereka akan meneruskan sokongan kepada parti sedia ada seperti mana dilakukan oleh BN pada tahun-tahun sebelum mereka tumbang.

    Tetapi kali ini, situasinya adalah berbeza apabila BN bukan lagi menjadi parti majoriti dan kerajaan yang akan membentangkan bajet kali ini ialah PN yang turut dianggotai parti utama seperti Bersatu dan Pas.

    Dan apabila kerajaan mengawalkan tarikh pembentangan bajet tiga minggu daripada tarikh rancangan awal, maka ramai yang beranggapan PRU15 akan diadakan sebaik sahaja bajet dibentangkan.

    Orang politik juga percaya bahawa dengan mengadakan PRU15 selepas bajet dibentangkan, rakyat akan ‘gembira’ kerana telah mendapat macam-macam bantuan daripada kerajaan.

    Seperti mana dikatakan oleh seorang menteri kabinet, Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkata biasanya orang politik akan gubal bajet yang baik sebelum ia dibentang dan diluluskan di Parlimen.

    Katanya, apabila sudah lulus dan rakyat dah menikmati bajet itu, baru sesuai untuk bubar Parlimen dan adakan pilihan raya.

    Tok Chey sebenarnya tertarik dengan pandangan seorang ahli akademik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof yang berpandangan bahawa kerajaan tidak perlu membentangkan bajet penuh jika mahu membubarkan Parlimen selepas itu.

    Kata Pensyarah Undang-Undang dan Polisi UTM itu, sebaiknya hanya belanjawan yang melibatkan keperluan di bawah Perkara 102 (a) Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan peruntukan pembayaran penting seperti gaji penjawat awam dan operasi kritikal kerajaan dibentangkan.

    Katanya, selebihnya belanjawan yang melibatkan bantuan lain akan dibentangkan pada suku kedua Mei-Disember 2023 oleh kerajaan baharu kerana kerajaan itu yang bertanggungjawab untuk memenuhi tuntutan yang terdapat dalam bajet berkenaan.

    Walaupun tidak pernah dilakukan kerajan sebelum ini, Tok Chey sebenarnya amat setuju dengan pandangan tersebut kerana kita tidak mahu bajet yang akan dibentangkan oleh Ismail Sabri (kebiasaan Menteri Kewangan bentang bajet) – menjadi bajet gula-gula untuk PRU15.

    Sedangkan belum tentu BN akan menang selepas ini dan menjadi satu beban kepada parti baharu yang menang pilihan raya memenuhi tuntutan itu walhal mereka tidak terlibat dalam perancangan untuk menentukan bajet tahun 2023.

    Walaupun Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata kerajaan mendengar pandangan pembangkang dalam penyediaan bajet, pertimbangan akhir adalah terletak sepenuhnya di bawah kuasa pemerintah.

    Maka, pada pandangan Tok Chey, parti-parti selain BN perlu mendesak kerajaan supaya tidak membentangkan bajet penuh pada tahun ini supaya belanjawan yang dirangka untuk rakyat adalah perbelanjaan yang benar-benar adil kepada semua pihak.

    Kita tidak mahu ada yang mengambil kesempatan daripada pembentangan bajet untuk kepentingan dan survival politik parti masing-masing.

  • Kalau nak ‘bertujai’, lepas tu mengadu kat bapa… baik tak payah’’ – Sanusi

    Kalau nak ‘bertujai’, lepas tu mengadu kat bapa… baik tak payah’’ – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan sesiapa sahaja termasuk beliau sendiri perlu kuat sekiranya mahu ‘bertikam lidah’ dalam sesuatu isu atau perkara yang ingin diperkatakan.

    Tanpa menamakan mana-mana individu, Muhammad Sanusi dipercayai merujuk kepada hantaran di Facebook miliknya semalam yang mendapat reaksi Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam isu bola sepak tanah air.

    “Panas tak apa, jangan koyak (merajuk), koyak teruk sangat. Cuit sikit sahaja pun, amboi manja sangat anak sapa ha (ya). Hati mau brutal, baru boleh nak bertujai (bertikam lidah).

    “Kalau nak bertujai dengan orang lepas itu balik mengadu kat pak (bapa) baik tak payah. (Hati) mau keras la sikit kan. Agak nak koyak pi habaq (pergi mengadu) kat pak teruk la lagu tu (macam itu), baik toksah (tak payah) berkawan dengan orang,” katanya ketika berucap pada perasmian Karnival Sejahtera Prihatin Negara di Sungai Petani hari ini.

    Bagaimanapun, Muhammad Sanusi yang ditemui media selepas perasmian itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan cuma menyatakan hanya yang mengetahui sahaja tahu siapa yang beliau maksudkan.

    Dalam status di Facebook sebelum ini, Muhammad Sanusi menulis, kini sudah tahun 2022 dan bukan lagi tahun 1422 yang mana sesiapa sahaja boleh memberi pendapat atau pandangan terhadap orang lain dan bukan hanya seseorang individu sahaja boleh melakukan apa-apa sahaja yang dimahukan.

    “Yang nampak dok kalut (masuk campur) pasai (berkaitan) jurulatih pasukan lain tu pasai (sebab) apa? Agaknya pasai jurulatih tu dia takleh nak call direct macam dia dok call jurulatih team lain sebelum ni kot!

    “Cerita dia nak ambik balik player pinjaman pun, dia call jurulatih dgn player direct jaaa (sahaja) suruh balik, padahal perjanjian pinjaman dibuat antara pengurusan team A dengan pengurusan team B, bukan dengan jurulatih pun, nampak dak kerek dia?,” tulis Muhammad Sanusi.

    Sementara itu, TMJ menerusi laman Instagram baginda yang memuat naik status tanpa menyebut nama sesiapa memaklumkan agar lebih baik menutup mulut kerana semakin banyak bercakap akan menampakkan kebodohan.

    “Pegang semua benda gagal. Negeri gagal, ekonomi gagal, sukan gagal, semua gagal. Ini namanya expert of gagal atau failure,” tulis TMJ yang kemudian memadam hantaran tersebut tidak berapa lama kemudian.

    Hantaran berlatar belakangkan poster karikatur makanan segera yang diolah seperti badut itu turut menulis perkataan ‘Suweynasi’ dan gambar seekor burung yang berwarna hijau kuning.

  • Jangan taksub angka pertumbuhan ekonomi, terperangkap dalam sindrom penafian

    Jangan taksub angka pertumbuhan ekonomi, terperangkap dalam sindrom penafian

    Oleh DATUK DR.MARZUKI MOHAMAD

    HARI ini Setiausaha Politik Perdana Menteri, Syed Fazmi Sayid Mohammad, menyanggah kenyataan saya mengenai tahap kepuasan hati rakyat terhadap Perdana Menteri yang rendah.

    Kenyataan saya itu adalah berasaskan kajian yang dilakukan oleh Merdeka Centre for Opinion Research yang mendapati purata tahap kepuasan hati rakyat terhadap Perdana Menteri hanyalah 45%.

    Beliau tidak percaya kajian sentimen rakyat oleh Merdeka Centre yang menggunakan sampel 2,000 ke 3,000 orang boleh menggambarkan sentimen 32 juta rakyat Malaysia.

    Maafkan saya. Mungkin Syed Fazmi tidak begitu memahami ‘the logic of sampling’. Kalau beliau mendalami ilmu statistik dan kajian kuantitatif yang menggunakan kaedah persampelan, beliau akan lebih faham.

    Beliau juga berkata Merdeka Centre silap ketika membuat andaian mengenai kemenangan Barisan Nasional dalam PRU-14. Jadi kajiannya mengenai sentimen rakyat terhadap Perdana Menteri tidak boleh diguna pakai. Saya tidak fikir kajian itu silap. Mungkin tafsirannya sahaja yang agak terkhilaf.

    Kenapa saya berkata demikian?

    Kerana pada tahun 2017, saya juga menggunakan data kajian Merdeka Centre sebagai sebahagian daripada rujukan saya ketika membuat kajian mengenai kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku dalam PRU-14. Berdasarkan kajian saya itu, saya menjangkakan BN hanya boleh menang maksima 100 kerusi Parlimen dalam PRU-14. Ternyata dalam pilihanraya itu, BN hanya menang 79 kerusi Parlimen.

    Boleh baca hasil kajian tersebut dalam artikel saya bertajuk “Najib doesn’t have GE 14 in the bag” yang disiarkan pada 18 Oktober 2017 di The New Mandala, sebuah portal online yang diselenggara oleh Australian National University (https://www.newmandala.org/najib-doesnt-ge14-bag/). Kajian tidak silap, cuma tafsirannya sahaja mungkin berbeza.

    Setiausaha Politik Perdana Menteri juga berkata tidak mungkin Perdana Menteri gagal mengurus ekonomi kerana angka-angka menunjukkan sebaliknya. Kadar pengangguran rendah iaitu 3.8% sahaja manakala inflasi pula terkawal. Ini suatu kenyataan yang amat berbahaya. It is bordering on denial syndrom which led to the defeat of Barisan Nasional in GE14.

    Kenapa saya kata begitu?

    Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 29 Ogos 2022, kadar inflasi Malaysia meningkat kepada 4.4% pada bulan Julai 2022, berbanding 3.4% pada bulan Jun. Inflasi makanan adalah yang paling tinggi, iaitu 6.9%.

    Kerana itulah ramai yang merungut harga barang makanan semakin mahal. Dengan kejatuhan nilai ringgit, harga barang makanan dijangka meningkat lebih mahal kerana Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan dari luar negara.

    Pada masa yang sama, akhbar The Edge baru-baru ini melaporkan Malaysia akan berhadapan dengan masalah fiskal yang meruncing untuk beberapa tahun akan datang. Negara kita mungkin terpaksa berhutang untuk menampung perbelanjaan mengurus, termasuk untuk membayar hutang (Sila baca: https://www.theedgesingapore.com/capital/tongs-portfolio/theres-no-free-lunch-economics–its-who-receives-and-who-pays)

    Saya telah membaca laporan serupa mengenai kedudukan fiskal negara yang disediakan oleh Kementerian Kewangan ketika berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri suatu masa dahulu. Saya boleh sahkan laporan The Edge itu adalah tepat.

    Ini bermakna, ruang fiskal kerajaan pada tahun-tahun mendatang akan menjadi lebih terhad dan saya jangkakan perbelanjaan kerajaan untuk subsidi, termasuk subsidi bahan api dan makanan, akan dikurangkan. GST juga mungkin akan diperkenalkan semula untuk menambah hasil kerajaan yang semakin susut.

    Kehidupan rakyat, terutamanya golongan B60 pastinya akan terjejas. Pada masa ini pun telah ada yang mengikat perut dan lewat membayar bil dan hutang.

    Lebih menyulitkan keadaan, sepertimana yang diakui oleh Menteri Kewangan, negara kita akan turut terkesan dengan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih perlahan pada tahun hadapan. Jadi, angka pertumbuhan ekonomi 8.9% pada suku kedua tahun ini mungkin tidak boleh bertahan pada tahun hadapan.

    Apatah lagi pertumbuhan ekonomi sebanyak 8.9% adalah berasaskan base yang rendah akibat pandemik dan pada masa ini banyak didorong oleh pertumbuhan dalam sektor pembuatan (12%) dan perkhidmatan (9.2%), manakala sektor pertanian (-2.4%), pembinaan (2.4%) dan perlombongan dan kuari (-0.5%) masih rendah.

    Angka-angka ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi adalah tidak sekata bagi semua sektor dan mereka yang terlibat dalam sektor-sektor yang pertumbuhannya adalah rendah masih perlu berjuang untuk hidup. Ini tidak termasuk masalah kos operasi perniagaan yang semakin meningkat.

    Kita tidak boleh terlalu taksub dengan angka-angka pertumbuhan ekonomi untuk menggambarkan kejayaan kerajaan mengurus ekonomi negara. People don’t eat GDP. They eat food on their table.

    Kalau saya pegawai Perdana Menteri, saya akan teliti kajian Merdeka Centre secara lebih terperinci dan membaca semua laporan Jabatan Perangkaan, Bank Negara, Kementerian Kewangan dan kertas-kertas yang dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi dan Majlis Pemulihan Negara. Baca dan hadam semua ini. Selepas itu saya akan berjumpa Perdana Menteri dan berkata kepada beliau, “Sir, we are in deep trouble. Don’t rest on our laurel. We must buck up or off we go!”

    Ini bukan masanya untuk terperangkap dalam “denial syndrom”.

    *Datuk Dr.Marzuki Mohamad adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8

  • Dera anak saudara: Suami isteri dituduh di mahkamah esok

    Dera anak saudara: Suami isteri dituduh di mahkamah esok

    SEPASANG suami isteri yang disyaki mendera dua kanak-kanak akan dituduh di Mahkamah Ampang pada pukul 9 pagi esok.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua suspek itu akan dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta kanak-kanak 2001, lapor Sinar Harian.

    Pada Jumaat, media melaporkan polis menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 6 petang selepas disyaki mendera dua beradik berkenaan.

    Suspek wanita adalah adik kepada ibu mangsa yang menjaga dua beradik itu sejak dua tahun lalu selepas bapa kanak-kanak itu meninggal dunia.

    Sepasang suami isteri itu direman seminggu bagi membantu siasatan selepas disyaki mendera dua anak saudara mereka.

    Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang berada seorang diri di rumah cuba melarikan diri dari tingkap sebuah unit kondominium di tingkat empat.