KELMARIN selepas sebelah siangnya di Melaka beliau memberi kata dua kepada Pas jika UMNO mahu bekerjasama dengan parti itu, pada sebelah malam, Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan satu lagi kenyataan.

Kenyataan pertama di Melaka mengandungi tiga syarat yang diberikan oleh Presiden UMNO tersebut kepada Pas iaitu Pas perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan.

Walaupun kenyataan Ahmad Zahid itu ibarat ‘menampar ke wajah’ Pas, namun hanya Tuan Ibrahim Tuan Man dan Idris Ahmad sahaja berani ‘menegur’.

Pemimpin-pemimpin Pas lain yang sebelum ini ‘terlompat’ bagaikan ‘terduduk atas duri’ apabila mendengar kenyataan Muhyiddin Yassin yang menganggap BN musuh utama, hanya terdiam bak kata seorang kawan bagaikan ‘berak kapur’.

Mungkin mereka yang dianggap begitu ‘pro-MN’ berasa lega apabila Ahmad Zahid seperti mahu ‘menenangkan’ keadaan apabila sebelah malamnya menegaskan UMNO tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah, termasuk dalam kerjasama politik parti itu dengan Pas – yang dianggap beliau menjadi asas kestabilan politik tanah air.

Pada sama beliau juga menegaskan, UMNO sentiasa menekan soal keikhlasan dan kejujuran dalam apa jua bentuk permuafakatan dan kerana itu tidak sesekali dapat menerima pihak yang berterusan melakukan pengkhianatan dan mengambil sikap menjadikan BN sebagai musuh utama.

Pengerusi Barisan Nasioanl, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi GAMBAR: Warta Rakyat

Hebat sekali Zahid bercakap soal keikhlasan, kejujuran dan pengkhianatan. Tetapi soalnya, adakah Zahid dan UMNO sendiri mengamalkan sikap itu ketika bersetuju menyertai kerajaan yang diterajui Muhyiddin pada awal tahun 2020 lalu?

Adakah ketika itu Zahid dan UMNO ikhlas, jujur dan tidak berniat melakukan pengkhianatan ketika berada dalam kerajaan? Kalau soal ikhlas dan jujur mahu diperkatakan, adakah Zahid jujur dan ikhlas ketika menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri? Istilah apa pula mahu digunakan apabila Zahid bersama beberapa ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyidin sebagai Perdana Menteri sehingga memaksa beliau meletakkan jawatan?

Kalaulah Zahid bercakap soal kejujuran dan keikhlasan. Adakah sikap itu benar-benar tersemai apabila beliau bercakap soal penyatuan ummah? Adakah kejujuran dan keikhlasan itu hanya berkisar soal penyatuan kerjasama UMNO dan Pas sahaja?

Kenapa pula mahu memaksa Pas mufaraqah dengan Perikatan Nasional (PN) khususnya Bersatu? Bukankah Bersatu itu parti Melayu? Bukankah Bersatu dianggotai 100 peratus orang Islam? Bukankah dengan memberi syarat berkenaan ia samalah seperti memberi kata dua kepada Pas? Tetapi yang aneh segelintir pemimpin Pas masih lagi menerima kenyataan keras Ahmad Zahid itu.

Mereka sudah lupa itu bukan kali pertama Ahmad Zahid membuat kenyataan yang boleh dianggap ‘menyinggung perasaan’ Pas, tetapi nampaknya setakat ini pemimpin Pas masih bersedia ‘terus membuka dada untuk ditikam berkali-kali’ oleh Ahmad Zahid yang sebelum itu pada 2 Ogos lalu berkata;

“Kalau nak jalin sebarang bentuk kerjasama, jalin selepas keputusan PRU15…sekarang ini kita turun ke gelanggang dan adu kekuatan…kekuatan dari segi pengaruh pengundi-pengundi. Walaupun mahukan persefahaman dan sebagainya itu hanyalah harapan, tetapi realitinya rakyat tahu parti mana boleh membela nasib mereka,” kata Zahid pada awal Ogos lalu.

Tetapi tidak mengapa, Pas tetap mahukan penyatuan ummah, walaupun kita tahu ada kalangan mereka separuh hati atau mungkin tidak ada hati sama sekali untuk merangkul bersama Bersatu dalam misi tersebut.

Ramai ‘yang kagum’ dengan tahap kesabaran Pas dalam melayan karenah Ahmad Zahid dan segelintir pemimpin UMNO yang ada antara mereka tak habis-habis memperlekeh Pas.

Namun apa nak buat, Pas tahu keuntungan politik yang boleh mereka perolehi jika bersama UMNO khususnya dalam berhadapan PRU-15 nanti. Disebabkan itulah ramai yang keliru dengan berita-berita berhubung manuver politik yang ditunjukkan oleh Pas.

Dari satu segi, mereka adalah anggota rasmi PN. Mereka berunding berbahagi-bahagi kerusi untuk bertanding dalam PRU-15 tetapi dari segi lain pula berlaku rundingan untuk bekerjasama dengan UMNO.

Lebih mengelirukan, soal penyatuan ummah ini tidak begitu diuar-uarkan atau mungkin tidak kedengaran langsung di sesetengah negeri yang dikuasai secara berasingan dan dominan sama ada oleh UMNO dan Pas. Penulis tidak perlu menyebut negeri-negeri tersebut. Sebab itulah gerakan yang berlaku melibatkan UMNO dan Pas itu lebih dilihat bermotif politik manakala penyatuan ummah sekadar untuk sekadar halwa telinga sahaja.

Pemimpin-pemimpin Bersatu pula hanya membiarkan sahaja ‘lelucon’ (jenaka) politik yang sedang ditunjukkan oleh kedua-dua parti berkenaan. Ia memandangkan rentetan politik yang berlaku sejak awal 2020, membuktikan mereka (Bersatu) lebih ikhlas dan jujur dalam bersahabat dengan Pas dan sama sekali tidak akan mengkhianati rakan satu gabungan.  Itu adalah fakta.

Ketika bersama UMNO menganggotai kerajaan, Bersatu kehilangan jawatan Perdana Menteri tetapi mereka tidak mengkhianati pemimpin UMNO yang menjadi Perdana Menteri, Bersatu kehilangan jawatan Menteri Besar Perak tetapi mereka tidak mengkhianati pemimpin UMNO yang  menduduki jawatan itu.

Soal adakah Pas sudah menyaksikan sikap  yang sama daripada UMNO? Sama-sama kita lihat nanti.Lagipun Pas masih berteka-teki ke mana hala tuju politik mereka dalam menghadapi PRU-15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here