Banyak yang sudah diperkatakan mengenai harapan rakyat terhadap belanjawan yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.

Bajet amat penting dalam perjalanan pentadbiran kerajaan kerana ia menunjukkan kemampuan kerajaan dari sudut kewangan dan bagaimana wang tersebut hendak dibelanjakan.

Bajet 2023 juga dijangka menjadi tumpuan kerana pada tahun depan, dunia dijangka mengalami kemelesetan ekonomi yang akan memberikan kesan kepada banyak aspek kehidupan manusia.

Disebabkan kebimbangan cabaran itu juga, setiap lapisan masyarakat amat mengharapkan supaya mendapat manfaat daripada pengumuman yang akan dibentangkan itu nanti.

Seperti diketahui, dari sudut politik bajet pada kelazimannya adalah senjata penting parti pemerintah untuk mewujudkan ‘wow factor’ supaya pengundi terus kekal menyokong parti sedia ada.

Misalnya kita dapat lihat apabila bajet yang dibentangkan pada waktu hampirnya pilihan raya akan mengumumkan lebih banyak bantuan berbanding pada tahun tanpa pilihan raya.

Parti pemerintah yakin apabila rakyat gembira dengan bantuan dalam bajet yang diberikan, mereka akan meneruskan sokongan kepada parti sedia ada seperti mana dilakukan oleh BN pada tahun-tahun sebelum mereka tumbang.

Tetapi kali ini, situasinya adalah berbeza apabila BN bukan lagi menjadi parti majoriti dan kerajaan yang akan membentangkan bajet kali ini ialah PN yang turut dianggotai parti utama seperti Bersatu dan Pas.

Dan apabila kerajaan mengawalkan tarikh pembentangan bajet tiga minggu daripada tarikh rancangan awal, maka ramai yang beranggapan PRU15 akan diadakan sebaik sahaja bajet dibentangkan.

Orang politik juga percaya bahawa dengan mengadakan PRU15 selepas bajet dibentangkan, rakyat akan ‘gembira’ kerana telah mendapat macam-macam bantuan daripada kerajaan.

Seperti mana dikatakan oleh seorang menteri kabinet, Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkata biasanya orang politik akan gubal bajet yang baik sebelum ia dibentang dan diluluskan di Parlimen.

Katanya, apabila sudah lulus dan rakyat dah menikmati bajet itu, baru sesuai untuk bubar Parlimen dan adakan pilihan raya.

Tok Chey sebenarnya tertarik dengan pandangan seorang ahli akademik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof yang berpandangan bahawa kerajaan tidak perlu membentangkan bajet penuh jika mahu membubarkan Parlimen selepas itu.

Kata Pensyarah Undang-Undang dan Polisi UTM itu, sebaiknya hanya belanjawan yang melibatkan keperluan di bawah Perkara 102 (a) Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan peruntukan pembayaran penting seperti gaji penjawat awam dan operasi kritikal kerajaan dibentangkan.

Katanya, selebihnya belanjawan yang melibatkan bantuan lain akan dibentangkan pada suku kedua Mei-Disember 2023 oleh kerajaan baharu kerana kerajaan itu yang bertanggungjawab untuk memenuhi tuntutan yang terdapat dalam bajet berkenaan.

Walaupun tidak pernah dilakukan kerajan sebelum ini, Tok Chey sebenarnya amat setuju dengan pandangan tersebut kerana kita tidak mahu bajet yang akan dibentangkan oleh Ismail Sabri (kebiasaan Menteri Kewangan bentang bajet) – menjadi bajet gula-gula untuk PRU15.

Sedangkan belum tentu BN akan menang selepas ini dan menjadi satu beban kepada parti baharu yang menang pilihan raya memenuhi tuntutan itu walhal mereka tidak terlibat dalam perancangan untuk menentukan bajet tahun 2023.

Walaupun Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata kerajaan mendengar pandangan pembangkang dalam penyediaan bajet, pertimbangan akhir adalah terletak sepenuhnya di bawah kuasa pemerintah.

Maka, pada pandangan Tok Chey, parti-parti selain BN perlu mendesak kerajaan supaya tidak membentangkan bajet penuh pada tahun ini supaya belanjawan yang dirangka untuk rakyat adalah perbelanjaan yang benar-benar adil kepada semua pihak.

Kita tidak mahu ada yang mengambil kesempatan daripada pembentangan bajet untuk kepentingan dan survival politik parti masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here