Oleh BADLISHAH MAT

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan sesiapa sahaja termasuk beliau sendiri perlu kuat sekiranya mahu ‘bertikam lidah’ dalam sesuatu isu atau perkara yang ingin diperkatakan.

Tanpa menamakan mana-mana individu, Muhammad Sanusi dipercayai merujuk kepada hantaran di Facebook miliknya semalam yang mendapat reaksi Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam isu bola sepak tanah air.

“Panas tak apa, jangan koyak (merajuk), koyak teruk sangat. Cuit sikit sahaja pun, amboi manja sangat anak sapa ha (ya). Hati mau brutal, baru boleh nak bertujai (bertikam lidah).

“Kalau nak bertujai dengan orang lepas itu balik mengadu kat pak (bapa) baik tak payah. (Hati) mau keras la sikit kan. Agak nak koyak pi habaq (pergi mengadu) kat pak teruk la lagu tu (macam itu), baik toksah (tak payah) berkawan dengan orang,” katanya ketika berucap pada perasmian Karnival Sejahtera Prihatin Negara di Sungai Petani hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi yang ditemui media selepas perasmian itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan cuma menyatakan hanya yang mengetahui sahaja tahu siapa yang beliau maksudkan.

Dalam status di Facebook sebelum ini, Muhammad Sanusi menulis, kini sudah tahun 2022 dan bukan lagi tahun 1422 yang mana sesiapa sahaja boleh memberi pendapat atau pandangan terhadap orang lain dan bukan hanya seseorang individu sahaja boleh melakukan apa-apa sahaja yang dimahukan.

“Yang nampak dok kalut (masuk campur) pasai (berkaitan) jurulatih pasukan lain tu pasai (sebab) apa? Agaknya pasai jurulatih tu dia takleh nak call direct macam dia dok call jurulatih team lain sebelum ni kot!

“Cerita dia nak ambik balik player pinjaman pun, dia call jurulatih dgn player direct jaaa (sahaja) suruh balik, padahal perjanjian pinjaman dibuat antara pengurusan team A dengan pengurusan team B, bukan dengan jurulatih pun, nampak dak kerek dia?,” tulis Muhammad Sanusi.

Sementara itu, TMJ menerusi laman Instagram baginda yang memuat naik status tanpa menyebut nama sesiapa memaklumkan agar lebih baik menutup mulut kerana semakin banyak bercakap akan menampakkan kebodohan.

“Pegang semua benda gagal. Negeri gagal, ekonomi gagal, sukan gagal, semua gagal. Ini namanya expert of gagal atau failure,” tulis TMJ yang kemudian memadam hantaran tersebut tidak berapa lama kemudian.

Hantaran berlatar belakangkan poster karikatur makanan segera yang diolah seperti badut itu turut menulis perkataan ‘Suweynasi’ dan gambar seekor burung yang berwarna hijau kuning.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here