MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh  Ahmad Zahid  Hamidi malam tadi memutuskan;

‘’Pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada tahun ini juga.

‘’Berdasarkan keputusan ini, YAB Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.’’

Keputusan itu yang diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan itu sama sekali tidak mengejutkan sebaliknya sudah dijangka tetapi apa yang menarik perhatian ialah kenyataan Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin kepada wartawan selepas mesyuarat berkenaan.

Beliau yang kalah dalam PRU-14 lalu berkata;

‘’ Memang kita berbincang mengenai pilihan raya secara mendalam, kesediaan dan kekuatan parti sedang diukur.  Kita akui ia (tarikh PRU) budi bicara Perdana Menteri, UMNO(dan kita) menghormati perkara itu.’’

Sudah pastilah mereka yang tidak menghadiri mesyuarat itu tidak tahu bilakah tarikh yang akan dipilih oleh Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi apa yang pasti apabila UMNO menegaskan, ‘’pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini juga’’ – ia bermakna Perdana Menteri perlu memilih tarikh sekitar 7 Oktober hingga 31 Disember 2022.

Ismail Sabri tidak ada banyak  pilihan walaupun beliau adalah Perdana Menteri kerana UMNO adalah parti kesayangannya dan sebagai seorang yang setia kepada parti, Ismail Sabri  akan akur dengan kehendak parti. Pilihan raya tahun ini hanya  dapat dielakkan jika ia tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka yang dianggap Raja berjiwa rakyat dan sentiasa mengutamakan rakyat dalam segala perkara sudah pasti memiliki kebijaksanaan untuk mempertimbangkan wajar atau tidak, perlu atau tidak PRU-15 ‘diadakan pada tahun ini juga’ seperti mana kehendak UMNO. Ia memandangkan negara berhadapan dengan ancaman banjir berikutan fasa peralihan monsun bermula esok hingga November ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, semasa Fasa Peralihan Monsun itu, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.

 “Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak,” katanya pada 29 September lalu.

Muhammad Helmi berkata keadaan cuaca itu berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh. Inilah kebimbangan rakyat yang sama sekali tidak peduli kenyataan UMNO bahawa PRU itu mahu ‘’memulangkan mandat rakyat  yang tertangguh akibat Pandemik Covid-19’’.

Ancaman banjir itu bukannya satu dongeng atau kebimbangan tidak bertempat sehingga ada pemimpin UMNO menyindir soal ‘ada ilmu kasyaf ke’, tetapi ia adalah fenomena yang berlaku saban tahun terutama di negeri-negeri pantai timur.

Dan paling membimbangkan, banjir kini bukan lagi popular di pantai timur tetapi juga ‘sudah merebak’ negeri-negeri lain.

METMalaysia juga menjangkakan jika banjir berlaku 10 juta rakyat akan terlibat. Negeri terlibat Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak. Selain itu Selangor, Kuala Lumpur dan utara Kedah juga dijangka dilanda banjir akibat perubahan cuaca.

Tahun lalu, 8 negeri terjejas akibat banjir, 70,000 hilang tempat tinggal dan lebih RM6.1 bilion kerugian dilaporkan.

Semua ini adalah fakta yang sepatutnya menjadi pertimbangan UMNO. Bukannya mahu mengadakan pilihan raya semata-mata kerana merasakan ini waktu terbaik memandangkan parti-parti lawan tengah lemah atau berkeceramuk.

Atas sebab itulah berdasarkan reaksi dan komen dalam media sosial selepas kenyataan media oleh Ahmad Maslan, majoriti rakyat menolak keghairahan UMNO mahu mengadakan pilihan raya.

Tengok sahaja reaksi rakyat ketika ‘live’ sidang media Ahmad Maslan, di situ sahaja kita dapat menilai apa sentimen rakyat. Di Twitter pula sudah ‘trending’ #UndiBanjir – sebagai protes menolak keghairahan UMNO mahukan PRU ketika musim banjir.

Sebab itulah mereka berharap Yang di-Pertuan Agong akan mempertimbangkan untuk menolak pembubaran Parlimen pada tahun ini.  Bagaimanapun rakyat yakin kebijaksanaan Seri Paduka dalam menangani isu penting seumpama ini seperti mana ketika pandemik Covid-19 dahulu.

Mereka tidak faham kenapa UMNO beria-ia benar mahukan pilihan raya walaupun ancaman banjir menanti. Lagipun tarikh tamat tempoh mengadakan pilihan raya masih lambat lagi iaitu sehingga Julai tahun depan. Jadi kenapa UMNO kelam kabut sangat! Lagipun Ismail Sabri pernah meminta wartawan bertanya kepada rakyat, marah atau tidak, jika PRU semasa banjir. Kini beliau sudah pasti tahu reaksi rakyat!

Agak melucukan apabila Ahmad Maslan berkata, keputusan UMNO mahu mengadakan PRU tahun ini juga adalah ‘’ berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat Pandemik Covid-19  setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan kerana persengketan dalaman politik sesama mereka.’’

Kalau betullah UMNO begitu kukuh mahu memulangkan mandat rakyat atau sentiasa percaya kepada mandat rakyat, kenapa baru sekarang bercakap soal itu? Kenapa selepas UMNO yang kalah dalam PRU-14 bersedia berada dalam ‘dua kerajaan’ dengan dua Perdana Menteri berbeza?

Dulu bersama Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin daripada Bersatu dan sekarang Ismail Sabri daripada UMNO, tetapi gabungan pembentukan kerajaan daripada ‘ramuan yang sama’. Kalau UMNO berpegang kepada MANDAT RAKYAT, tidak payahlah sertai kedua-dua kerajaan itu walaupun jawatan Perdana Menteri akan diberikan kepada mereka sekalipun. Bukankah MANDAT SEBENAR RAKYAT pada PRU-14  ‘MENOLAK UMNO/BN’’ tetapi parti itu akhirnya jadi kerajaan dan kuasai jawatan Perdana Menteri? Macam mana pula sekarang UMNO bercakap pasal MANDAT RAKYAT?

Kalau betul pegang MANDAT RAKYAT, sehebat manapun ajakan untuk tubuh kerajaan selepas kerajaan PH jatuh, UMNO  wajib menolaknya dan bersedia kekal di blok pembangkang hingga penggal berakhir.

Kesimpulannya MANDAT RAKYAT hanyalah alasan UMNO yang tidak sabar-sabar lagi mahu kembali berkuasa. Itu sahaja. Tidak payahlah bermain dengan sentimen bahawa pilihan raya bertujuan mahu membentuk kerajaan yang stabil bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup rakyat.

Kalau kerajaan sekarang tidak stabil macam mana boleh rakyat sentiasa dibentangkan dengan angka-angka pertumbuhan ekonomi ‘yang memberangsangkan’? Kalau tak stabil mesti pertumbuhan ekonomi pun tak berlaku? Kalau tak stabil, macam mana pula Ismail Sabri pernah berkata ‘’kerajaan stabil, tidak ada pertembungan besar antara parti dalam kerajaan’?

Dan kalau pilihan raya perlu untuk pulih ekonomi ekonomi, kenapa pemimpin UMNO ‘mengamuk’ bila Muhyiddin kata, Perdana Menteri gagal urus ekonomi? Oleh itu hentikanlah hujah-hujah dangkal tersebut bagi ‘menghalalkan’ hasrat UMNO mengadakan PRU tahun ini juga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here