AHLI Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyantuni penduduk Pagoh pada Majlis Ihya Ramadan bersama-sama penduduk Bukit Pasir di Masjid As Syakur, Kampung Tengah, Muar, petang semalam.
Pada majlis itu Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada 22 buah masjid, 47 buah surau dan 28 asnaf.
“Semoga sumbangan ini dapat membantu masjid dan surau di parlimen ini meneruskan aktiviti sepanjang bukan Ramadan dan meringankan beban asnaf terlibat.
Muhyiddin menyampaikan sumbangan kepada pihak masjid dan surau pada Majlis Ihya Ramadan di Masjid As Syakur, Kampung Tengah, Muar, petang semalam.
“Sempena 10 malam terakhir Ramadan ini, marilah kita sama-sama mempertingkatkan ibadah dan berdoa semoga Allah menerima segala amal kebaikan kita, insya-Allah.
“Sudah menjadi kebiasaan setiap kali tiba bulan Ramadan, masjid dan surau di sekitar Parlimen Pagoh akan mengadakan program seperti ini. Sebelum berbuka puasa dan solat maghrib bersama-sama masyarakat setempat,” katanya dalam hantar terbaharu menurusi Facebook miliknya.
KES Macau Scam di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan dengan 144 kertas siasatan dibuka melibatkan kerugian kira-kira RM4.56 juta bagi tempoh Januari hingga 21 April lepas, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Ab Ghani.
Beliau berkata kes tersebut menunjukkan peningkatan 336 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan 33 kertas siasatan dibuka melibatkan jumlah kerugian RM930,000 bagi tempoh sama.
Aibee berkata terbaharu, polis menerima dua laporan penipuan daripada dua wanita melibatkan kerugian RM1.58 juta pada tiga hari lepas.
“Kes pertama melibatkan warga emas berusia 77 tahun mengalami kerugian RM1.186 juta, pengadu merupakan pesara kerajaan menerima panggilan daripada seorang wanita yang menyamar sebagai petugas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya, ” katanya dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini.
Beliau berkata wanita tersebut dikatakan mempunyai tunggakan cukai atas nama syarikat milik mangsa sebanyak RM18,336 namun telah dinafikan, kemudian panggilan tersebut disambung kepada beberapa individu lain yang menyamar sebagai polis.
Wanita itu telah diperdaya sehingga menyebabkan mangsa memberikan maklumat lengkap sembilan akaun bank serta nombor kad pengenalan kepada individu tidak dikenali itu.
Aibee berkata kes kedua melibatkan seorang guru berusia 39 tahun berasal dari Sabah dan menetap di Nilai, ditipu oleh individu yang menyamar sebagai pegawai LHDN sebanyak RM394,358.
“Wanita itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dia mempunyai tunggakan cukai RM38,000, kemudian panggilan itu disambung kepada individu lain dan mendakwa mangsa juga terlibat dalam kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram,” katanya.
Beliau berkata wanita itu turut membuat pinjaman peribadi dengan beberapa bank bagi menyelesaikan tunggakan cukai dan segala kesulitan yang dimaklumkan tersebut sehingga melakukan beberapa kali transaksi ke empat akaun bank berlainan.
Justeru, polis mengingatkan orang awam supaya tidak melayan sebarang panggilan yang meminta maklumat diri terutamanya akaun peribadi. – Bernama
SERAMAI 80 orang baki tahanan entik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu, Rabu lalu masih dikesan pihak polis.
Ketua Polis Kedah CP Wan Hassan Wan Ahmad berkata, seramai 65 lelaki dewasa, lapan wanita dewasa dan tujuh kanak-kanak perempuan belum ditemukan setakat malam tadi.
“Setakat ini, seramai 448 tahanan etnik Rohingya telah ditemukan iaitu 229 lelaki dewasa, 89 wanita dewasa, 69 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Satu Berita.
Beliau menambah, sehingga kini jumlah tahanan yang brada di dalam depot berkenaan adalah 15 orang dengan kerja-kerja dokumentasi sedang dilakukan sebelum mereka dihantar ke depot tahanan lain.
Seramai 528 warga asing etnik Rohingya melarikan diri pada awal pagi Rabu lepas, bagaimanapun enam daripada mereka maut dirempuh kereta ketika cubaan melarikan diri di lebuh raya.
KERAJAAN akan mengkaji semula pemberian kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kepada pelarian etnik Rohingya di negara ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kajian itu perlu dilakukan susulan ratusan tahanan etnik itu yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu, Rabu lepas.
“Kita tidak boleh memberi ruang supaya mereka dengan mudah memasuki negara tanpa dokumen dan terus mendapat kad UNHCR.
“Ia sesuatu yang tidak betul…ini bukan negara untuk pendaftaran UNHCR sebab itu kita ambil sikap tegas bahawa pemegang kad bukan bermakna boleh tinggal di negara kita.
“Jadi kerana itu perlu kaji semula punca pelarian UNHCR duduk di sini dengan bebas dan bagi kad dengan bebas kerana tiada bantuan diberikan kepada kita. Kita sebagai negara yang bersikap perikemanusiaan kepada sesiapa pun tidak bermakna mereka boleh memasuki negara dengan sewenangnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan asnaf Parlimen Larut kepada 1,000 orang kurang berkemampuan di Dewan Astaka Batu Kurau, Larut, hari ini.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata kerajaan telah memberi keperluan yang mencukupi kepada pelarian etnik Rohingya malah menempatkan mereka di sesuatu tempat iaitu depoh tahanan atas sifat keperimanusiaan disebabkan ketiadaan dokumen negara asal untuk dihantar pulang.
“Mereka sepatutnya tidak melarikan diri. Itu maknanya mereka hendak melakukan kesalahan untuk bebas dalam negara yang mereka sendiri tidak ada dokumen diri,” katanya sambil menambah tiada tempoh ditetapkan bagi tahanan yang ditempatkan di depoh.
Ditanya mengenai dakwaan kesesakan di depoh dipercayai antara punca tahanan melarikan diri, beliau berkata ia hanya sekadar pendapat sesetengah pihak.
Dalam kejadian awal pagi Rabu lepas, 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya melarikan diri, bagaimanapun enam daripada mereka maut dirempuh kereta ketika cubaan melarikan diri di lebuh raya. – Bernama
TINDAKAN sebuah lori kargo 10 tan melarikan diri membawa 22,400 liter minuman keras tidak bercukai semasa dikejar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak berhasil apabila berjaya ditahan, semalam.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, lori berkenaan berjaya ditahan di Kilometer (KM) 13, Lebuhraya Link Kedua (Arah Utara), Johor Bahru.
“Seorang lelaki berusia 44 tahun yang merupakan pemandu kepada lori berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Sebelum itu, bertindak atas maklumat, kastam Johor telah mengesan sebuah lori kargo 10 tan yang disyaki membawa muatan tidak bercukai dan pasukan kita mengekori lori itu dari Lebuhraya Sultan Iskandar serta mengarahkannya untuk berhenti.
“Bagaimanapun pemandu lori itu terus bertindak agresif dengan memecut laju untuk melarikan diri. Pemandu lori juga beberapa kali cuba mengancam keselamatan pasukan dengan berhenti lalu mengundurkan kenderaannya bagi melanggar kenderaan jabatan.
“Seorang daripada pasukan serbuan telah melepaskan tujuh das tembakan untuk memaksa pemandu berkenaan berhenti sebelum dia akhirnya ditahan selepas kira-kira 30 minit dikejar pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor, Johor Bahru, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan pihak berkuasa terpaksa melepaskan beberapa tembakan bagi menahan sebuah lori dipercayai membawa muatan minuman keras tidak bercukai dalam satu kejadian di Jalan Tuas-Lima Kedai di sini.
Pemeriksaan mendapati lori terbabit sedang membawa muatan minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM1.8 juta di Iskandar Puteri, semalam
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, sebanyak tiga kereta polis terlibat bersama kenderaan kastam terlibat untuk menghentikan lori berkenaan daripada terus melarikan diri.
Kejadian berkenaan turut menjadi tular menerusi sebuah video berdurasi 1 minit 22 saat yang menyaksikan sebuah lori berkenaan sedang dikejar sebuah kenderaan kastam selain beberapa das tembakan turut dilepaskan.
Dalam pada itu, Abdul Latif berkata, pemeriksaan lanjut dalam lori berkenaan mendapatinya membawa sebanyak 36,708 botol dan tin minuman keras dipercayai baharu diseludup masuk dari negara jiran.
“Pemandu lori tersebut gagal mengemukakan dokumen yang sah berkaitan dagangan yang dibawa masuk itu. Kita anggarkan kesemua minuman keras ini adalah bernilai RM284 dengan nilai cukai dilarikan sebanyak RM1.6 juta.
“Hasil daripada tangkapan ini, kita juga akan melakukan siasatan lanjut untuk mengesan sekiranya terdapat suspek lain atau pun dalang terlibat dengan kegiatan ini,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 136 (a) Akta Kastam 1967.
GARA-GARA berebut pelanggan, sekumpulan lelaki dikatakan bertindak diluar batasan sehingga tercetusnya pergaduhan di sebuah pasar raya di Kota Bharu, malam tadi.
Malah, kejadian yang berlaku pada pukul 9.30 malam itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati dua pekerja premis telefon bimbit dalam pasar raya terbabit yang berebut pelanggan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, dua pekerja kedai telefon itu membawa rakan masing-masing dan berlaku pergaduhan di dalam dan luar pasar raya.
Haria Metro melaporkan, beliau berkata, polis menerima dua laporan daripada kedua pihak mengenai kejadian pergaduhan itu dan tujuh individu berusia antara 19 hingga 30 tahun sudah ditahan.
“Antara yang ditahan ialah pembantu kedai, buruh, pemandu lori dan petani di mana ujian saringan yang dibuat mendapati semua negatif.
“Bagaimanapun hasil semakan, lima daripada mereka mempunyai rekod lampau bersabit jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Rosdi, semua lelaki terbabit dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut namun tiada kecederaan serius dilaporkan.
Ujarnya, semua suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama lima tahun atau denda atau keduanya sekali.
Beliau berkata, pihaknya masih mengesan beberapa lagi individu lain yang turut terbabit dalam insiden tersebut.
Tambah beliau, terdapat tiga rakaman video berkaitan kejadian dengan durasi 7, 27 dan 31 saat dimuat turun dalam Facebook dan polis sedang mengesan beberapa suspek lain yang terbabit.
Justeru katanya, polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap sesuatu perkara yang berlaku kerana ia menyalahi undang-undang.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” jelas beliau.
SERAMAI 13 orang cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 357, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Slim River, tengah malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian terbabit, 11.53 malam tadi.
Beliau berkata, kemalangan tersebut membabitkan sebuah Proton Perdana, Perodua Bezza, Proton Wira, Audi dan Honda HRV.
“Sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dikejarkan ke tempat kejadian.
“Tiba di tempat kejadian, lima kenderaan terbabit dalam kemalangan, termasuk dua kenderaan terbalik.
Seramai 13 orang cedera dalam kemalangan yang membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 357, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di Slim River, malam tadi.
“Seramai 13 mangsa terbabit dalam kemalangan berkenaan iaitu lapan lelaki dan lima perempuan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.
Jurucakap JBPM berkata, sebahagian mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan dan selebihnya dengan bantuan orang awam.
“Anggota bomba bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera.
“Semua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Katanya, operasi tamat pukul 12.40 tengah malam tadi.
INDONESIA mendapat kuota haji paling tinggi tahun ini iaitu 100,051 jemaah, selaras dengan kedudukan negara itu yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia.
Pakistan pula di tempat kedua yang diperuntukkan 81,132 jemaah dan India di tempat ketiga dengan 79,237 jemaah.
Berita Harian memetik laporan Agensi memaklumkan, Bangladesh akan menghantar jemaah haji keempat terbesar dengan kuota 57,585.
Negara Afrika pula, Angola berada di bahagian bawah senarai dengan jumlah paling rendah iaitu 23 jemaah. Di antara negara-negara Afrika, Nigeria mendapat bahagian terbesar seramai 43,008 jemaah.
Bagi negara-negara Arab pula, Mesir mendahului dengan 35,375 jemaah haji. Kuota yang diperuntukkan untuk Iran berjumlah 38,481 manakala kuota Turki berjumlah 37,770.
Menurut sumber, kuota yang diperuntukkan untuk Amerika Syarikat ialah 9,504 jemaah manakala Russia (11,318), China (9,190), Thailand (5,885) dan Ukraine 91.
Kementerian Haji dan Umrah sebelum ini mengumumkan jemaah haji asing meliputi 85 peratus daripada jumlah sejuta jemaah yang akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini.
Seramai 850,000 jemaah asing akan dibenarkan menunaikan haji manakala jumlah jemaah dalam negeri dihadkan kepada 150,000.
Jumlah keseluruhan 850,000 jemaah haji asing adalah hanya 45.2 peratus daripada kuota sebenar jemaah haji yang diperuntukkan untuk setiap negara sebelum penularan pandemik COVID-19.
Kementerian Haji dan Umrah juga menetapkan terma dan syarat tertentu untuk jemaah haji asing bagi mengerjakan haji tahun ini.
Ini termasuk tidak membenarkan jemaah haji berusia 65 tahun ke atas dan jemaah haji perlu mengambil dua dos vaksin COVID-19.
SINGAPURA menghapuskan kebanyakan sekatan Covid-19 yang masih ada mulai Selasa ini.
Langkah itu dilihat memudahkan syarat kemasukan bagi pengembara, sebagai tindak balas kepada penurunan jangkitan harian.
Ini termasuk menamatkan had perhimpunan awam dan membenarkan semua pekerja kembali ke tempat kerja, sekali gus menyaksikan hab kewangan Asia Tenggara itu menurunkan tahap amaran Covid-19 buat kali pertama sejak wabak bermula.
Pada 7 Februari 2020, Singapura menaikkan Sistem Tindak Balas Wabak Penyakit (DORSCON) kepada Jingga (tahap risiko tinggi) selepas republik itu merekodkan lonjakan kes Covid-19.
Namun, Singapura akan menukar tahap DORSCON kepada Kuning mulai 26 April memandangkan jangkitan Covid-19 tempatan semakin pulih.
Pada masa sama, Kementerian Kesihatan (MOH) juga mengumumkan penghapusan syarat bagi pengembara yang diberi vaksin untuk mengambil ujian Covid-19 sebelum berlepas ke Singapura.
“Dengan perubahan ini, kita kini boleh menarik nafas lega selepas dua tahun yang sangat sukar untuk memerangi virus itu.
“Perlu diingat, kita semakin hampir ke garisan penamat, tetapi perlumbaan dan wabak pastinya belum berakhir,” kata Menteri Kewangan, Lawrene Wong yang juga pengerusi bersama pasukan petugas Covid-19 kerajaan, lapor Sinar Harian hari ini yang memetik Agensi.
Tambahnya, walaupun kebanyakan sekatan dimansuh, beberapa peraturan akan dikekalkan seperti pemakaian mandatori pelitup muka di kawasan awam tertutup dan pengangkutan awam.
“Pun begitu, kebanyakan sekatan akan kekal untuk individu yang tidak divaksinasi,” katanya.
Singapura telah memvaksin 93 peratus daripada 5.5 juta penduduknya, salah satu daripada kadar tertinggi di dunia.
Ia juga telah mencapai salah satu daripada kadar kematian Covid-19 yang terendah.
Singapura ketika ini merekodkan sebanyak 1.17 kes positif termasuk 1,322 kematian.
SEORANG lelaki kategori orang kurang upaya (OKU) tidak pernah menjadikan kekurangannya itu sebagai penghalang untuk mencari rezeki sebagai penghalang untuk mencari rezeki.
mempunyai semangat berkobar-kobar untuk berdikari dengan mencari kerja walaupun tidak dapat berjalan dan hanya mengensot serta berguling untuk bergerak ke mana-mana.
D.Y.J. Logeswaran, 38, mempunyai semangat berkobar-kobar untuk berdikari dengan mencari kerja walaupun tidak dapat berjalan dan hanya mengensot serta berguling untuk bergerak ke mana-mana.
Dia yang baru menetap empat hari di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Perling, Johor Bahru, mengharapkan sinar baharu dalam hidup.
Lelaki berkenaan yang tidak mempunyai kedua-dua belah kaki sejak kecil selain kini menghidapi sakit untut, berazam untuk terus berdikari dan hidup bahagia bersama-sama isteri, M. Anjalaidevi, 31.
Logeswaran dan Anjalaidevi (duduk) mengharapkan sinar baharu untuk kehidupan mereka selepas baru empat hari berpindah ke PPR Taman Perling, Johor Bahru.
“Saya baru berpindah di PPR ini, sebelum ini kami duduk di sebuah rumah papan yang usang, lusuh dan sudah bocor bahagian atapnya di Kulai Besar, Kulai, dekat ini dengan sewa RM400 sebulan.
“Sebelum ini saya mencari rezeki dengan membuat alas kami selain mengajar tuisyen untuk subjek Tamil, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan pendapatan RM200 sebulan selain mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua MIC Bahagian Kulai, S Suppayah dan Timbalannya, Datuk Seri Siva Das di PPR tersebut, hari ini.
Logeswaran dan isteri yang masih belum dikurniakan cahaya mata sejak mendirikan rumah tangga empat tahun lalu kini dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan rumah baharu itu dengan sewa RM250 sebulan.
Sementara itu, Anjalaidevi sedang mencari kerja selepas berhenti kerja kilang di Kulai selepas patah kaki pada 4 Disember lalu berharap ada pihak yang sudi menyumbangkan kerusi roda untuk Logeswaran.
“Dia memerlukan kerusi roda yang automatik. Ini akan memudahkan saya apabila keluar bekerja nanti kerana kerusi roda itu akan membantu dia berdikari dan bergerak dalam rumah untuk menguruskan dirinya.
“Sebelum ini setiap hari pada pukul 5.30 pagi, saya akan masak untuk Logeswaran sebelum pergi kerja. Kami berkenalan melalui media sosial kira-kira tiga tahun sebelum berkahwin dan ada juga kemudian membuat ‘video call’,” katanya.
Anjalaidevi kemudian setuju untuk menjadi isteri Logeswaran walaupun mengetahui keadaan suaminya yang berstatus OKU.
Sementara itu, Suppayah berkata, MIC Bahagian Kulai membayar deposit RM1,5000 dan sewa rumah pasangan itu untuk setahun bagi meringankan beban mereka kerana sebelum ini tinggal di rumah yang sangat usang dan daif.
Suppayah (kiri) menunjukkan dokumen kediaman PPR kepada Logeswaran (tengah) dan Anjalaidevi (duduk kanan) di PPR Taman Perling, Johor Bahru
Katanya, MIC bahagian tersebut yang sebelum ini berusaha mendapatkan PPR tersebut lega kerana pasangan tersebut kini boleh hidup selesa.
Beliau berkata, MIC bahagian berkenaan akan melancarkan satu tabung khas untuk Logeswaran dalam masa terdekat supaya sumbangan yang bakal diperoleh nanti dapat membantu kehidupan pasangan itu.
“Saya menyeru syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yayasan atau mana-mana pihak untuk sudi membantu pasangan ini. Selain itu Anjalaidevi berhasrat berniaga makanan secara kecil-kecilan di kawasan flat ini,” katanya.
Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan, boleh menggunakan akaun Logeswaran Bank Simpanan Nasional (BSN) 0110729000156833 atau Anjalaidevi Hong Leong Bank 00500366361, boleh juga berhubung dengan Anjalaidevi 010 8800509.