Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TINDAKAN sebuah lori kargo 10 tan melarikan diri membawa 22,400 liter minuman keras tidak bercukai semasa dikejar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak berhasil apabila berjaya ditahan, semalam.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, lori berkenaan berjaya ditahan di Kilometer (KM) 13, Lebuhraya Link Kedua (Arah Utara), Johor Bahru.

“Seorang lelaki berusia 44 tahun yang merupakan pemandu kepada lori berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Sebelum itu, bertindak atas maklumat, kastam Johor telah mengesan sebuah lori kargo 10 tan yang disyaki membawa muatan tidak bercukai dan pasukan kita mengekori lori itu dari Lebuhraya Sultan Iskandar serta mengarahkannya untuk berhenti.

“Bagaimanapun pemandu lori itu terus bertindak agresif dengan memecut laju untuk melarikan diri. Pemandu lori juga beberapa kali cuba mengancam keselamatan pasukan dengan berhenti lalu mengundurkan kenderaannya bagi melanggar kenderaan jabatan.

“Seorang daripada pasukan serbuan telah melepaskan tujuh das tembakan untuk memaksa pemandu berkenaan berhenti sebelum dia akhirnya ditahan selepas kira-kira 30 minit dikejar pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor, Johor Bahru, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan pihak berkuasa terpaksa melepaskan beberapa tembakan bagi menahan sebuah lori dipercayai membawa muatan minuman keras tidak bercukai dalam satu kejadian di Jalan Tuas-Lima Kedai di sini.

Pemeriksaan mendapati lori terbabit sedang membawa muatan minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM1.8 juta di Iskandar Puteri, semalam

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, sebanyak tiga kereta polis terlibat bersama kenderaan kastam terlibat untuk menghentikan lori berkenaan daripada terus melarikan diri.

Kejadian berkenaan turut menjadi tular menerusi sebuah video berdurasi 1 minit 22 saat yang menyaksikan sebuah lori berkenaan sedang dikejar sebuah kenderaan kastam selain beberapa das tembakan turut dilepaskan.

Dalam pada itu, Abdul Latif berkata, pemeriksaan lanjut dalam lori berkenaan mendapatinya membawa sebanyak 36,708 botol dan tin minuman keras dipercayai baharu diseludup masuk dari negara jiran.

“Pemandu lori tersebut gagal mengemukakan dokumen yang sah berkaitan dagangan yang dibawa masuk itu. Kita anggarkan kesemua minuman keras ini adalah bernilai RM284 dengan nilai cukai dilarikan sebanyak RM1.6 juta.

“Hasil daripada tangkapan ini, kita juga akan melakukan siasatan lanjut untuk mengesan sekiranya terdapat suspek lain atau pun dalang terlibat dengan kegiatan ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 136 (a) Akta Kastam 1967.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here