INDONESIA mendapat kuota haji paling tinggi tahun ini iaitu 100,051 jemaah, selaras dengan kedudukan negara itu yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia.

Pakistan pula di tempat kedua yang diperuntukkan 81,132 jemaah dan India di tempat ketiga dengan 79,237 jemaah.

Berita Harian memetik laporan Agensi memaklumkan, Bangladesh akan menghantar jemaah haji keempat terbesar dengan kuota 57,585.

Negara Afrika pula, Angola berada di bahagian bawah senarai dengan jumlah paling rendah iaitu 23 jemaah. Di antara negara-negara Afrika, Nigeria mendapat bahagian terbesar seramai 43,008 jemaah.

Bagi negara-negara Arab pula, Mesir mendahului dengan 35,375 jemaah haji. Kuota yang diperuntukkan untuk Iran berjumlah 38,481 manakala kuota Turki berjumlah 37,770.

Menurut sumber, kuota yang diperuntukkan untuk Amerika Syarikat ialah 9,504 jemaah manakala Russia (11,318), China (9,190), Thailand (5,885) dan Ukraine 91.

Kementerian Haji dan Umrah sebelum ini mengumumkan jemaah haji asing meliputi 85 peratus daripada jumlah sejuta jemaah yang akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

Seramai 850,000 jemaah asing akan dibenarkan menunaikan haji manakala jumlah jemaah dalam negeri dihadkan kepada 150,000.

Jumlah keseluruhan 850,000 jemaah haji asing adalah hanya 45.2 peratus daripada kuota sebenar jemaah haji yang diperuntukkan untuk setiap negara sebelum penularan pandemik COVID-19.

Kementerian Haji dan Umrah juga menetapkan terma dan syarat tertentu untuk jemaah haji asing bagi mengerjakan haji tahun ini.

Ini termasuk tidak membenarkan jemaah haji berusia 65 tahun ke atas dan jemaah haji perlu mengambil dua dos vaksin COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here