GARA-GARA berebut pelanggan, sekumpulan lelaki dikatakan bertindak diluar batasan sehingga tercetusnya pergaduhan di sebuah pasar raya di Kota Bharu, malam tadi.

Malah, kejadian yang berlaku pada pukul 9.30 malam itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati dua pekerja premis telefon bimbit dalam pasar raya terbabit yang berebut pelanggan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, dua pekerja kedai telefon itu membawa rakan masing-masing dan berlaku pergaduhan di dalam dan luar pasar raya.

Haria Metro melaporkan, beliau berkata, polis menerima dua laporan daripada kedua pihak mengenai kejadian pergaduhan itu dan tujuh individu berusia antara 19 hingga 30 tahun sudah ditahan.

“Antara yang ditahan ialah pembantu kedai, buruh, pemandu lori dan petani di mana ujian saringan yang dibuat mendapati semua negatif.

“Bagaimanapun hasil semakan, lima daripada mereka mempunyai rekod lampau bersabit jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Rosdi, semua lelaki terbabit dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut namun tiada kecederaan serius dilaporkan.

Ujarnya, semua suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama lima tahun atau denda atau keduanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya masih mengesan beberapa lagi individu lain yang turut terbabit dalam insiden tersebut.

Tambah beliau, terdapat tiga rakaman video berkaitan kejadian dengan durasi 7, 27 dan 31 saat dimuat turun dalam Facebook dan polis sedang mengesan beberapa suspek lain yang terbabit.

Justeru katanya, polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap sesuatu perkara yang berlaku kerana ia menyalahi undang-undang.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here