Author: Admin

  • UMNO Johor sasar 20 kerusi Parlimen pada PRU-15

    UMNO Johor sasar 20 kerusi Parlimen pada PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UMNO Johor yakin mengekalkan momentum kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sekali gus mampu memperoleh dua pertiga daripada 26 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, UMNO di negeri ini menyasarkan sekurang-kurangnya 20 kerusi untuk dimenangi pada PRU15 nanti berdasarkan kemampuan parti.

    “Kalau kita lihat senario sekarang ini, sokongan rakyat dan momentum yang dimiliki parti, ia tentu sekali menjurus kepada lebih banyak kerusi Parlimen untuk kita menangi.

    “Jika kita boleh menang 40 daripada 56 kerusi pada PRN yang lalu, ia memberi tafsiran ada peluang lebih besar kali ini untuk menang banyak kerusi dengan syarat kita mampu mengukuhkan jentera dan aset dalam parti khususnya penerangan,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri Penerangan UMNO Johor di Impiana Hotel Senai, Kulai, malam tadi.

    Dr. Adham berkata, jentera penerangan bahagian parti di negeri ini pada masa ini sudah bersiap sedia untuk PRU-15 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

    Katanya, antara perkara yang akan menjadi pertimbangan penerangan ialah kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa berkempen kelak memandangkan sudah melangkah ke fasa endemik.

    “Melihat kepada pembukaan sektor ekonomi sejak 1 April lalu, ia memberi bayangan bahawa ada lebih kebebasan untuk berkempen.

    “Apapun, kita tetap akan menggunakan pendekatan hibrid iaitu menggunakan pertemuan fizikal serta menggunakan media sosial khususnya menarik pengundi baharu,” katanya.

    Sementara itu, beliu berkata, PRU-15 dijangka diadakan lebih awal sekiranya Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pembangkang tidak akan disambung setelah tamat pada 31 Julai ini.

    Sehingga kini katanya, belum ada sebarang perbincangan diadakan ke arah mewujudkan CSA 2.0 setelah perjanjian terdahulu akan tamat tempoh tidak lama lagi.

    “Sama ada perjanjian itu akan diteruskan atau tidak, kerajaan berdepan senario paling penting iaitu membentangkan Bajet 2023 dan Perdana Menteri sentiasa mengutamakan perpaduan dalam kalangan jentera kerajaan baik di peringkat Pusat dan Jemaah Menteri.

    “Sekiranya CSA 2.0 berlaku, ini bermakna wujud persefahaman antara kerajaan dan pihak pembangkang yang tentu sekali akan cuba berkompromi berhubung beberapa perkara yang akan menyebabkan kerajaan sedia ada meneruskan usaha yang dijalinkan itu,” katanya.

  • Mangsa kedua yang hilang dihanyutkan kepala air ditemukan mayatnya

    Mangsa kedua yang hilang dihanyutkan kepala air ditemukan mayatnya

    OPERASI mencari dan menyelamat menemukan mayat kedua pendaki wanita yang hilang dihanyutkan kepala air ketika mendaki Gunung Suku Simpang Pulai, Ipoh, Ahad lalu ditemukan pukul 11.20 pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhammad Shahrizal Aris berkata, mayat yang cukup anggota badan itu ditemukan Unit Pengesan K9 di kawasan terowong berhampiran jalan besar.

    Jelasnya, mayat ditemukan di bawah timbunan tanah dan batu di lokasi Sektor C kawasan terowong berhampiran jalan besar dan seterusnya kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijalankan di lokasi berkenaan.

    “Anggota badan mayat lengkap cuma ada kecederaan di badan dan kepala. Pada pukul 11.55 pagi mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, operasi pencarian hari ketujuh itu diteruskan sejak pukul 9 pagi dengan kekuatan anggota penyelamat seramai 43 orang dari pelbagai agensi.

    Muhammad Shahrizal berkata, operasi pencarian tamat sepenuhnya pada pukul 1 tengah hari tadi.

    Ahad lalu, Dua wanita dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, dihanyutkan kepala air ketika mendaki gunung berkenaan kira-kira 5 pagi.

    Dalam kejadian itu, sekumpulan 29 pendaki gunung mendengar bunyi air dan tanah runtuh dari atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

    Namun, ketika dalam perjalanan kepala air menimpa kumpulan pendaki itu dan dua wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras.

    Sebelum ini media melaporkan, pasukan penyelamatan menemukan sebelah kaki mangsa dan kemudian turut menemukan bahagian badan dipercayai milik seorang daripada pendaki terbabit.

    Media kemudiannya turut melaporkan menemui beberapa cebisan pakaian mangsa selain turut menemukan lagi cebisan anggota badan dipercayai mangsa dua pendaki pada hari sama.

  • Polis tahan penjawat awam terlibat kes samun

    Polis tahan penjawat awam terlibat kes samun

    POLIS menahan seorang penjawat awam kerana melakukan kegiatan samun di sebuah rumah di Taman Bandar Putri, Sungai Soi, Kuantan, semalam.

    Suspek berusia 30 tahun itu ditahan di sekitar Sungai Soi oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, pukul 9.20 malam.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, penahanan suspek sekali gus menyelesaikan satu kes samun yang dilaporkan berlaku pertengahan bulan ini.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu tidak memiliki sebarang rekod lampau berkaitan jenayah, namun positif dadah jenis methamphetamine.

    “Tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua beg tangan wanita dan beberapa dokumen pengenalan diri milik suspek dirampas.

    “Turut dirampas 14 helai pakaian dalam wanita, 15 helai baju dan seluar wanita, sepasang telekung, tiga helai tudung dan satu anak tudung yang dijadikan sebagai topeng muka oleh suspek,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Wan Mohd. Zahari menjelaskan, modus operandi digunakan dengan melakukan jenayah samun secara bersendirian dengan cara memecah masuk ke dalam rumah.

    “Selepas memasuki rumah mangsa, suspek akan menutup mulut mangsa menggunakan pita pelekat sebelum melakukan samun.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat,” katanya.

    Katanya, suspek direman bermula Sabtu hingga 27 Mei ini bagi membantu siasatan.

    Beliau turut menasihati semua masyarakat di Kuantan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada kerana penjenayah sentiasa mencari ruang serta peluang untuk melakukan kegiatan jenayah.

    “Lapor kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan di kawasan anda.

    “Masyarakat diingatkan supaya mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berkuasa bagi mengelakkan keadaan panik dan mengurangkan kegusaran tentang sesuatu kejadian jenayah,” katanya.

  • Cuba seludup 17 kg dadah, tiga rakyat Malaysia dicekup di Singapura

    Cuba seludup 17 kg dadah, tiga rakyat Malaysia dicekup di Singapura

    TIGA rakyat Malaysia ditahan susulan cubaan menyeludup kira-kira 17,704 gram heroin, 261g ‘Ice’ dan 2g pil ‘Ecstasy’ di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Rabu (18 Mei) digagalkan Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA).

    Penemuan itu mendorong operasi penguatkuasaan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB), di mana sejumlah tiga lelaki warga Malaysia berumur antara 23 dan 28 tahun, termasuk pemandu kereta, telah ditahan di lokasi berbeza di Singapura dalam tempoh dua hari.

    “Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai hampir S$1,295,000 dan mencukupi bagi menampung penggunaan kira-kira 8,430 penagih heroin dan 150 penagih ‘Ice’ untuk seminggu,” menurut ICA dan CNB dalam satu kenyataan bersama.

    Pada petang 18 Mei, kereta yang didaftarkan di Malaysia memasuki lorong pemeriksaan imigresen di Zon Ketibaan dan menjalani pemeriksaan rutin.

    “Bungkusan dipercayai dadah ditemui dalam bonet kereta. Pemandu warga Malaysia berusia 28 tahun segera ditahan dan dirujuk kepada CNB untuk siasatan,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, dalam operasi susulan dijalankan pada awal pagi 19 Mei, CNB berjaya menahan dua lelaki warga Malaysia disyaki penerima bungkusan itu di sekitar Bedok North Street 1.

    Siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan, kata pihak berkuasa. –Bernama

  • Murid lelaki dicabul, cuba diliwat pengawal keselamatan

    Murid lelaki dicabul, cuba diliwat pengawal keselamatan

    POLIS menahan seorang murid lelaki dipercayai dicabul dan cuba diliwat oleh seorang pegawal keselamatan semasa tidur di surau sebuah sekolah rendah agama, semalam.

    Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 12.15 pagi ketika mangsa yang berusia 12 tahu sedang tidur bersama-sama rakan di dalam surau sekolah berkenaan.

    “Kejadian itu terbongkar selepas mangsa menceritakan perlakuan suspek lelaki tersebut kepada ibu bapanya yang datang ke sekolah berkenaan.

    “Hasil siasatan awal mendapati kejadian mangsa dicabul dan cuba diliwat tersebut berlaku di surau sekolah ketika mangsa tidur bersama rakan di surau itu.

    “Pada malam tersebut juga mangsa terlibat dengan program qiamullail,” katanya memetik laporan Sinar Hariab, hari ini.

    Katanya, mangsa memberitahu kejadian cabul dan cubaan liwat itu kepada ibu bapanya ketika dijemput di sekolah tersebut pada pukul 10.15 pagi hari sama.

    “Mangsa dibawa oleh ibu bapa membuat laporan polis dan dirujuk ke Hospital Tanah Merah untuk pemeriksaan lanjut.

    “Susulan daripada itu, pengawal keselamatan yang berusia 38 tahun tersebut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

    Tambah beliau, suspek dibawa ke Mahkamah Tanah Merah pada hari ini untuk mendapatkan perintah reman.

    “Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017,” katanya.

  • Untitled post 35698

    Najib Razak ajak Lim Kit Siang berdebat.

    Nak alih ‘isu si dia’ yang tengah heboh la tu.

  • SPRM tahan Datuk bagi kes lindungi pemalsuan pengisytiharan cukai

    SPRM tahan Datuk bagi kes lindungi pemalsuan pengisytiharan cukai

    SEORANG lagi individu bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada Kementerian Kewangan Sabah.

    Datuk berkenaan yang berusia 66 tahun yang juga bekas penjawat awam itu ditahan di pejabat SPRM Sabah, Kota Kinabalu pada pukul 4 petang hari ini ketika hadir memberi keterangan.

    Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    “Permohonan reman terhadapnya dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sementara itu, beliau mengingatkan pengusaha kilang kelapa sawit di seluruh negeri supaya bekerjasama dalam membantu siasatan kes itu kerana mengemukakan pengisytiharan palsu adalah kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Pada 18 Mei lalu, seorang pegawai kanan di jabatan kerajaan negeri dan pesara kerajaan ditahan SPRM Sabah kerana dipercayai meminta serta menerima rasuah berjumlah kira-kira RM700,000 daripada sebuah syarikat kilang sawit.

    Ia dilapor sebagai balasan untuk melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada MOF Sabah.

    Mahkamah membenarkan reman tujuh hari terhadap kedua-dua individu yang berakhir 25 Mei.

  • KPDNHEP rampas 43,929 barang tiruan lebih RM1 juta

    KPDNHEP rampas 43,929 barang tiruan lebih RM1 juta

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur merampas 43,929 unit barangan berjenama disyaki tiruan bernilai lebih RM1 juta selepas menyerbu empat stor di kompleks pemborong di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

    Serbuan oleh penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur bersama wakil pemilik cap dagang itu dilakukan selepas risikan selama dua minggu.

    Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, sebelum serbuan itu, pihaknya memperoleh aduan berkenaan barang jenama tiruan tersebut wakil pemilik cap dagang.

    “Pemeriksaan terhadap empat stor itu menemukan 43,929 barang disyaki tiruan, terdiri daripada beg, dompet, tali pinggang dan minyak wangi.

    “Nilai keseluruhannya dianggar RM1,072,750 dan ia disita kerana disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah mengikut Akta Cap Dagangan 2019,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Sebahagian daripada barang-barang tiruan terdiri daripada beg tangan, dompet, tali pinggang dan minyak wangi pelbagai jenama terkemuka dianggarkan bernilai RM1,072,750.00 yang berjaya dirampas KPDNHEP ketika mengadakan sidang media di Segambut, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Ariffin berkata, premis terbabit juga didapati menjual barangan itu secara dalam talian, dengan pemilik mempunyai kedai di kompleks berkenaan.

    Bagaimanapun katanya, barangan terbabit tidak dipamer di premis bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    “Penjualan (barang jenama disyaki tiruan) didakwa dibuat kepada pelanggan tetap dan hanya dikenali oleh pekerja dan pemilik premis berkenaan,” katanya.

    Menurutnya, operasi itu turut menahan dua individu iaitu pemilik dan pekerja stor untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

    Dalam pada itu, katanya, sebanyak 44 kes berkaitan dilapor sejak Januari hingga bulan ini, membabitkan 97,169 unit barang rampasan yang bernilai RM2,829,384.47.

    Katanya, 13 orang ditahan di bawah Ops Jeriji 3.0 kerana kesalahan berkaitan harta intelek.

  • Pemandu lori maut dihempap pokok tumbang

    Pemandu lori maut dihempap pokok tumbang

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG pemandu lori maut dihempap sebatang pokok yang tumbang dan menimpa bumbung kenderaan dinaikinya di Jalan Sri Wangi 1/5, Kawasan Perindustrian Desa Plentong, Johor Bahru.

    Kejadian pada pukul 2.52 petang itu berlaku semasa hujan dan mangsa sedang memandu lori berkenaan ketika melintasi tempat kejadian.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Sufian Mohd. Lis berkata, mangsa yang meninggal dunia ialah R. Nasarudin Abd. Kadir yang berusia 40-an.

    “Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian dan mendapati sebuah lori jenis Daihatsu tiga tan telah dihempap sebatang pokok pada ketinggian 20 kaki.

    Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meningal dunia

    “Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa tersepit di tempat duduk pemandu. PKO bertindak memotong pokok menggunakan satu unit ‘chainsaw’ dan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.

    Sebuah jentera FRT dan satu jentera EMRS dari BBP Johor Jaya dengan kekuatan keseluruhan seramai 11 anggota dihantar ke tempat kejadian.

    Sufian berkata, PKO yang berjaya mengeluarkan pemandu berkenaan menyerahkan mangsa kepada pihak Kementerian Kesihatan.

    “Pihak Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Si mati dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk proses bedah siasat,” katanya.

  • Lelaki didakwa cabul kanak-kanak dalam lif

    Lelaki didakwa cabul kanak-kanak dalam lif

    SEORANG lelaki didakwa ke Mahkamah Seksyen di Putrajaya, hari ini atas tuduhan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dalam lif sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di Kerinchi, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tertuduh berusia 30-an itu tidak mengaku salah selepas didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

    “Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    “Mahkamah turut memerintahkan tertuduh ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan mental di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 Julai ini.

    Pada Selasa lalu, media melaporkan, seorang lelaki direman lima hari berhubung kes amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dalam lif sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kerinchi, 14 Mei lalu.