SEORANG lagi individu bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada Kementerian Kewangan Sabah.

Datuk berkenaan yang berusia 66 tahun yang juga bekas penjawat awam itu ditahan di pejabat SPRM Sabah, Kota Kinabalu pada pukul 4 petang hari ini ketika hadir memberi keterangan.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Permohonan reman terhadapnya dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Sementara itu, beliau mengingatkan pengusaha kilang kelapa sawit di seluruh negeri supaya bekerjasama dalam membantu siasatan kes itu kerana mengemukakan pengisytiharan palsu adalah kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 18 Mei lalu, seorang pegawai kanan di jabatan kerajaan negeri dan pesara kerajaan ditahan SPRM Sabah kerana dipercayai meminta serta menerima rasuah berjumlah kira-kira RM700,000 daripada sebuah syarikat kilang sawit.

Ia dilapor sebagai balasan untuk melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada MOF Sabah.

Mahkamah membenarkan reman tujuh hari terhadap kedua-dua individu yang berakhir 25 Mei.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here