Author: Admin

  • Tuntutan waris Sultan Sulu: Malaysia hantar nota diplomatik

    Tuntutan waris Sultan Sulu: Malaysia hantar nota diplomatik

    MALAYSIA Malaysia akan menghantar nota diplomatik kepada 168 negara yang menandatangani Konvensyen New York sebagai memberi makluman awal jika terdapat mana-mana pihak mahu membawa tuntutan mewakili pihak didakwa waris Sultan Jamalul Kiram II atau penimbang tara Dr Gondoza Stampa berhubung ‘Final Award’ kepada waris Sultan Sulu.

    Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata tindakan proaktif itu diambil supaya 168 negara itu mengetahui pihak berkenaan membuat tuntutan tersebut secara satu pihak selain proses diplomatik tersebut diharap membolehkan negara terbabit memaklumkan Malaysia jika ada permohonan serupa difailkan di negara mereka.

    Secara keseluruhannya, terdapat 169 negara yang menandatangani Konvensyen New York, bagaimanapun Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis, sebelum ini telah membuat keputusan supaya Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

    “Kementerian Luar akan menghantar notis kepada Kementerian Luar 168 negara terbabit kerana Stampa telah membuat Final Award di Perancis dan kita tidak tahu jika mereka (Stampa dan waris Sultan Sulu) akan berhenti di Perancis atau ke negara lain pula selepas ini dengan tuntutan sama.

    “Kita telah membuat permohonan untuk membatalkan Final Award ini dan kini sedang menunggu keputusan daripada Mahkamah Perancis yang dijangkakan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media semasa ditemui pada Jamuan Raya Parlimen dan Perikatan Nasional (PN) Indera Mahkota di Kuantan, hari ini.

    Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan dibuat pihak mendakwa waris kepada Sultan Sulu dan menolak sepenuhnya Final Award dikeluarkan Stampa atas dakwaan pelanggaran Perjanjian 1878 antara Sultan Sulu ketika itu dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent, yang menyaksikan Sultan Sulu menyerahkan buat selama-lamanya wilayahnya di Borneo Utara, kini Sabah.

    Sebagai balasan, Sultan Sulu serta warisnya diberikan wang serahan RM5,300 setiap tahun, bagaimanapun susulan serangan bersenjata di Lahad Datu, bayaran itu dihentikan pada 2013.

    Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata beliau bertemu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor semalam, dan memaklumkan tindakan kerajaan Persekutuan dalam menangani isu tuntutan waris Sultan Sulu, dengan kedua-dua pihak bersetuju pertemuan lebih kerap dapat dilakukan bagi melancarkan usaha tersebut.

    Selain berkaitan tuntutan Sultan Sulu, Saifuddin berkata beliau dan Hajiji juga bersetuju supaya wakil rasmi dari Sabah akan dilibatkan dalam dua jawatankuasa perundingan sempadan Malaysia-Indonesia yang membabitkan sempadan maritim dan darat.

    “Saya juga akan bertemu dengan Ketua Menteri, Menteri Besar dan Premier negeri yang bersempadan dengan negara-negara jiran supaya kita lebih bersistematik dan jawatankuasa perundingan sempadan akan ada wakil negeri berkaitan,” katanya. – Bernama

  • Bekalan ayam: Ini makanan, kena bertanggungjawab – Ameer Mydin

    Bekalan ayam: Ini makanan, kena bertanggungjawab – Ameer Mydin

    PEMBEKAL tidak boleh mengambil kesempatan dan perlu bertanggungjawab dalam isu kekurangan bekalan makanan seperti ayam.

    Astro Awani melaporkan Pengarah Urusan Mydin Holdings Sdn Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, hal sedemikian tidak seharusnya berlaku apa lagi di negeri Selangor.

    “Cerita ayam ini isu bekalan makanan jadi tidak patut mana-mana pihak enggan bagi bekalan, kalau bekalan ada. Kalau betul tak ada, itu cerita lain. Tetapi di Selangor kalau kata tak ada bekalan, saya rasa tidak betul.

    “Bekalan ada tetapi terhad. Di Mydin kita jual selalunya 20 tan tetapi sebab bekalan terhad jadi kita ada 8 atau 10 tan sahaja.

    “Disebabkan kawalan harga, kita tidak ada keuntungan tetapi kita bertanggungjawab. Ini makanan, untung rugi cerita lain, yang penting kena pastikan ada bekalan,” katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.

    Justeru, beliau mencadangkan kerajaan melepaskan buat sementara waktu kawalan harga bagi membolehkan bekalan masuk sekaligus menyeimbangkan harganya.

    “Pendapat saya, jangan ada kawalan harga kerana ia mengganggu pasaran. Lepaskan dulu kawalan harga sebab kos sekarang tinggi, kita beli RM8.80 daripada pembekal dan kita jual balik RM8.90, tak ada untung. Kami di Mydin masih boleh bertahan tetapi bagi peruncit atau peniaga di pasar contohnya, susah bagi mereka.

    “Saya faham kita nak kurangkan inflasi, tetapi kalau bekalan banyak, harga akan turun dengan sendirinya. Tengok macam test kit (COVID-19), bila sudah terlalu banyak bekalan, harga turun dengan sendirinya.

    “Yang mustahak sekarang ialah nak pastikan bekalan ada. Kawalan harga tak pernah berkesan untuk jangka masa panjang,” jelasnya.

    Beliau juga menyarankan orang ramai agar tidak panik dan bersabar dengan isu bekalan makanan yang terhad ketika ini.

    “Ini krisis global, kita di Malaysia masih bernasib baik sebab makanan masih ada. Ada negara lain jangan kata ayam, dan dapatkan barang asas seperti gandum dan gula pun susah, malah ada yang memang sudah kehabisan bekalan.

    “Tidak perlu panik, jangan beli terlalu banyak kerana takut Malaysia tak ada makanan, saya tidak rasa kita akan sampai ke tahap kebuluran.

    “Selain import makanan, kita juga ada makanan dalam tin, malah sayur-sayuran juga banyak di Cameron Highland,” katanya lagi.

    Semalam, Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS) mengesahkan tiada pengeluaran ayam dari ladang pada Sabtu.

    Pengerusinya, Idrus Zainal Abidin berkata, permasalahan tersebut disebabkan isu bekalan berpunca ayam sakit.

  • Hargai keamanan, ambil pengajaran dari negara bergolak-Permaisuri Johor

    Hargai keamanan, ambil pengajaran dari negara bergolak-Permaisuri Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    RAKYAT negara ini yang hidup aman dan makmur perlu mengambil pengajaran daripada keadaan di negara bergolak akibat pelbagai konflik dan krisis kemanusiaan.

    Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, baginda prihatin serta sentiasa cuba mendapatkan perkembangan dan berita terkini masalah dihadapi rakyat di negara yang berdepan konflik.

    Titah baginda, misalnya negara yang berdepan konflik bersenjata, dilanda kemarau atau bencana alam seperti taufan dan gempa bumi, ketidakstabilan politik serta mengalami masalah sosial yang serius.

    Raja Zarith yang juga Penasihat Diraja Bulan Sabit Merah Malaysia memberitahu kerap mengikuti perkembangan negara-negara itu menerusi laman web International Federation of Red Cross (IFRC) dan Red Crescent Societies yang memberikan informasi terkini.

    “Laman ini akan memberikan maklumat terkini tentang negara-negara di mana perang meletus, isu sosial yang serius dan paling menyayat hati, mengetahui tentang mereka yang terpaksa meninggalkan rumah sendiri dan hidup sebagai pelarian di negara lain selama bertahun-tahun.

    “Walaupun kami mengalu-alukan teknologi yang membolehkan berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan kami serta mendapatkan maklumat yang membantu kami atau seperti anda semua dalam pengajian anda, kami juga harus sedar bahawa kami kini sebahagian daripada komuniti global.

    “Oleh itu, sebagai warga global, kita mesti mengambil tahu terhadap apa yang berlaku di seluruh dunia. Peristiwa terkini mesti disebut walaupun dalam suasana akademik seperti ini,” titah Raja Zarith semasa merasmikan Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-65 di UTM, Skudai, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir Pro Canselor UTM, Che’ Puan Khaleeda Bustamam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail.

    Raja Zarith yang juga Canselor UTM bertitah, tragedi global terbaharu yang mengejutkan ialah insiden wartawan Palestin, Shireen Abu Akleh yang ditembak mati oleh Israel di Jenin di Wilayah Palestin pada Rabu.

    Seramai 5,672 graduan menerima ijazah pada konvokesyen UTM kali ini

    “Kepada pelajar Palestin yang akan menerima ijazah kedoktoran pagi ini, saya ingin mengucapkan simpati yang paling mendalam kepada anda dan rakyat Palestin. Sepanjang Ramadan, terutamanya pada 10 malam terakhir bagi yang beragama Islam ia dianggap sangat diberkati. Kita amat sedih, terkejut dan seram apabila melihat rakaman video pencerobohan terhadap mereka yang solat di Masjid Al- Aqsa,” titah baginda.

    Raja Zarith juga mahu penuntut tempatan mengeratkan silaturahim dengan penuntut dari negara bergolak dan bermasalah seperti Somalia dan Sudah selain menghormatinya kerana mereka adalah tetamu walaupun belajar di negara ini.

    “Semoga dengan ikatan persaudaraan yang dijalin, kita akan lebih memahami cabaran hidup yang dihadapi mereka serta lebih menghargai kehidupan kita di Malaysia dan kemakmuran yang wujud di negara kita ini. Kasihanilah mereka dan hulurkanlah talian persahabatan sepertimana digalakkan agama Islam,” katanya.

    Sementara itu, Dr Ahmad Fauzi berkata, seramai 5,672 graduan menerima ijazah pada konvokesyen kali ini dan daripada jumlah itu, 502 merupakan graduan antarabangsa dari 40 negara dengan Indonesia, Nigeria dan Iraq merupakan bilangan graduan luar tertinggi.

    Tambahnya, istimewanya kali ini Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani menerima ijazah doktor falsafah dalam bidang Pendidikan, Pentadbiran dan Pembangunan Tanah.

  • Ahmad Faizal harap kontinjen negara terus buru pingat

    Ahmad Faizal harap kontinjen negara terus buru pingat

    MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap atlet negara terus berjuang berhabis-habisan untuk meningkatkan koleksi pingat di Sukan SEA ke-31 di Vietnam. 

    Selepas mencapai sasaran 36 pingat emas semalam, beliau mahu kontinjen negara meneruskan semangat juang mereka pada dua hari terakhir temasya sebelum perasmian penutup pada Isnin ini. 

    “Insya-Allah (akan ada lagi), kita sama-sama doakan. Pada awalnya kita menanti nak capai 36 emas, kini kita dah capai 37, dan kita menantikan agar dapat lebih daripada sasaran yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di Hanoi Sports Training and Competition Center. 

    Terdahulu beliau menyaksikan atlet angkat berat negara Muhammad Erry Hidayat meraih gangsa kategori 73kg lelaki dengan memperbaharui rekod kebangsaannya selepas melakukan angkatan sejumlah 316kg.

    Sementara itu, Ahmad Faizal juga berharap dua atlet muda negara yang akan beraksi di final muay esok, dapat memberikan cabaran untuk tuai emas. 

    “Mereka telah beraksi dengan baik setakat ini, saya rasa ada peluang yang cukup tinggi walaupun berdepan lawan dari negara yang dianggap pilihan. Walaupun turun selaku underdog, berjuang habis-habisan dan cuba membawa pulang emas,” tambahnya. 

    Esok, Nur Amisha Azrilrizal bakal dicabar oleh Srila Oo Wansawang dari Thailand pada final acara wanita elit bawah 51kg, manakala Ahmad Nor Iman Aliff Rakib akan bertemu wakil tuan rumah Huynh Hoang Phi pada final lelaki elit bawah 54kg.

    Setakat 3 petang waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia), Malaysia telah meraih 37 pingat emas, 40 perak dan 81 gangsa. –Bernama

  • Pemilihan PKR cabang Hulu Selangor ditangguh

    Pemilihan PKR cabang Hulu Selangor ditangguh

    PEMILIHAN Parti Keadilan Rakyat (PKRO) Cabang Hulu Selangor terpaksa ditangguhkan pada pukul 11 pagi tadi susulan masalah ketiadaan peralatan termasuk kerusi dan meja, sekali gus membuatkan pengundi hampa.

    Menurut Koordinator Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Selangor, Mazli Saring, penangguhan itu dilakukan bagi mengelak berlaku ketegangan daripada pengundi yang telah menunggu seawal pukul 7.30 pagi.

    Sinar Harian melaporkan, Mazli berkata, dewan berkunci pada malam Jumaat menyebabkan pemeriksaan tidak dapat dilakukan oleh pengawas JPP.

    “Pagi tadi pukul 8 pagi sewaktu petugas tiba, dewan masih berkunci. Apabila dibuka didapati tiada kerusi dan meja.

    “Sehingga pukul 10 pagi baru kemudahan tersebut dapat disediakan namun kerusi dan meja itu dalam keadaan daif,” katanya ketika meninjau perjalanan Pemilihan PKR Cabang Gombak di Dewan Beringin Seri Gombak, hari ini.

    Beliau menjelaskan, penyediaan dewan untuk pemilihan di 22 cabang sepatutnya diuruskan oleh penyandang ketua cabang.

    “JPP telah membuat persediaan awal bagi memastikan pemilihan di Selangor berjalan lancar termasuk berhubung dengan urus setia peringkat cabang.

    “Alhamdulillah, 21 cabang yang lain semuanya terurus, namun saya tak pasti punca menyebabkan masalah di Hulu Selangor,” katanya.

    Tambahnya, tarikh baharu pemilihan cabang Hulu Selangor akan diputuskan kemudian.

    Pada perkembangan sama, beliau berkata, pengundian secara dalam talian banyak membantu melancarkan proses pengundian bagi pemilihan kali ini.

    “Lebih 40,000 undi dilakukan secara dalam talian di Selangor. Jumlah itu melebihi undi fizikal yang dijalankan pada pemilihan 2018 iaitu seramai 35,000 orang.

    “Kita jangkakan undian secara fizikal yang dijalankan pada hari ini adalah 20,000 orang di 22 cabang termasuk 1,000 undi daripada Gombak,” katanya.

  • 2 kapal tukar barang ditahan di perairan Pulau Pinang gagal pamer dokumen sah

    2 kapal tukar barang ditahan di perairan Pulau Pinang gagal pamer dokumen sah

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua kapal tukar barang (barter trade) dari Myanmar di kedudukan 0.8 batu nautika barat laut Pelabuhan Pulau Pinang pukul 6.50 dan 6.55 petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ‘barter trade’ dengan tanda nama THITDI AUNG 3 dan DANA THIDI 9 yang didaftarkan di Yangon itu gagal mempamerkan dokumen kapal serta insuran ketika pemeriksaan dilakukan.

    Menurut beliau, Kapal THITDI AUNG 3 dikendalikan sembilan kru termasuk  nakhoda (master) manakala kapal DANA THIDI 9 dikendalikan lapan kru termasuk  nakhoda (master). 

    Jelasnya, kesemua mereka merupakan warga Myanmar dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berusia 22 hingga 64 tahun.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kapal tersebut membawa muatan kayu paduak dari Yangon, Myanmar ke Pelabuhan Pulau Pinang dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal mengemukakan dokumen bot serta insuran ketika diminta oleh pegawai Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kapal tersebut membawa muatan kayu paduak dari Yangon, Myanmar ke Pelabuhan Pulau Pinang

    Ujar beliau, kedua-dua nakhoda beserta dua kru kapal tersebut telah dibawa ke Jeti PPM Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk proses siasatan dan tindakan lanjut.

    Tegasnya, Maritim Malaysia Pulau Pinang akan terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di sekitar Perairan Pulau Pinang serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara.
     
    “Orang awam diminta bekerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

  • Stok bekalan ayam akan dihantar ke negeri bermasalah-Rosol

    Stok bekalan ayam akan dihantar ke negeri bermasalah-Rosol

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menghantar stok bekalan ayam ke negeri-negeri yang mengalami masalah bekalan sumber makanan tersebut sebagai alternatif penyelesaian jangka pendek ekoran penutupan sebuah ladang ternakan akibat berhadapan masalah pengeluaran.

    Timbalan menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, KPDNHEP akan mengenal pasti kawasan yang terjejas teruk bagi menyalurkan bekalan untuk menampung permintaan.

    Menurut beliau, misalnya kekurangan berlaku di Perlis, pihaknya akan cuba tampung lebihan ayam yang ada di Pulau Pinang.

    “Langkah itu bagi meredakan keresahan pengguna berikutan kekurangan bekalan ayam yang dialami beberapa negeri,” katanya pada sidang akhbar sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Hulu Terengganu hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Rosol, setakat ini kementeriannya menerima maklumat hanya sebuah ladang yang tidak dapat mengeluarkan ayam pada 22 dan 23 Mei kerana mengalami masalah pengeluaran di mana ayam di ladang tersebut tidak mencapai berat yang sepatutnya untuk dipasarkan.

    Beliau berkata, siasatan dijalankan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan mendapati ayam di ladang ternakan tersebut mengalami masalah disebabkan kurang bekalan makanan selain dijangkiti penyakit.

    “Kita ada bukti di mana melalui gambar yang diambil menunjukkan ayam-ayam tersebut mengalami penyakit selain ada yang hanya mencapai berat 1.2 kilogram (kg) berbanding berat sepatutnya untuk dipasarkan iaitu 1.8kg,” katanya.

    Sementara itu Rosol berkata, isu mengenai bekalan ayam di pasaran sepatutnya tidak berlaku kerana terdapat penambahan 6.6 juta ekor ayam berbanding 6 juta sahaja untuk permintaan biasa bagi bekalan ayam di pasaran negara.

    Beliau berkata, sepatutnya masalah kekurangan bekalan ayam tidak sepatutnya berlaku kerana bekalan ayam telah ditambah disebabkan peningkatan permintaan.

    “Jadi, kita akan turun padang untuk menyiasat sekiranya ada unsur menyorok bekalan bagi tujuan menaikkan harga yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab,” ujar beliau.

    Menurut Rosol, siasatan akan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 sekiranya berlaku kes menyembunyikan ayam bagi tujuan manipulasi harga.

    Media pada Khamis lalu melaporkan dijangka berlaku kekurangan bekalan ayam di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis bagi tempoh dua hari ekoran penutupan ladang ternakan.

  • Kanak-kanak hilang disambar buaya

    Kanak-kanak hilang disambar buaya

    SEORANG kanak-kanak lelaki hilang diserang buaya dalam kejadian terkini di Kampung Nyabut, Telaga Air, Kuching pukul 8.30 pagi tadi.

    Mohamad Adammi Mokhtar, 7, sebelum itu sedang duduk bersama-sama nenek dan kakaknya di tebing sungai berkenaan sambil mengambil air.

    Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, bagaimanapun secara tiba-tiba, muncul seekor buaya lalu menyambar kanak-kanak berkenaan dan mengheretnya ke dasar sungai.

    “Sebaik menerima laporan kejadian sekitar pukul 9.30 pagi tadi, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya telah diatur gerak ke lokasi.

    “Setiba di lokasi, dengan kekuatan lima anggota, pasukan ini segera mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Bomba katanya lagi, turut menghubungi pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bagi mendapatkan bantuan pasukan elit pemburu buaya SWAT SFC.

    Ini merupakan kes kedua melibatkan serangan buaya di Sarawak dalam tempoh tiga hari, dengan kes yang pertama berlaku di Kampung Kangka, Sempadi, kira-kira 30 minit perjalanan dari Telaga Air.

  • 4 termasuk 2 warga asing seleweng diesel bersubsidi ditahan

    4 termasuk 2 warga asing seleweng diesel bersubsidi ditahan

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan empat lelaki termasuk dua warga asing menyeleweng 8,355 liter diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah premis di Jenjarom, Kuala Langat pada 17 Mei lalu.

    Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, tertuduh yang berusia 25 hingga 40 tahun itu ditahan selepas pihaknya menemukan dua buah lori yang menjalankan kegiatan pemunggahan minyak diesel ke dalam sebuah tangki di kawasan ladang kelapa sawit.

    “Dua lelaki warga Bangladesh dipercayai pekerja atau penjaga premis dan dua lelaki warga tempatan yang memandu lori itu turut ditahan untuk siasatan.

    “Jumlah minyak diesel yang disita adalah sebanyak 8,355 liter selain beberapa peralatan dan dokumen. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM198,330,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, kes tersebut dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang semalam bagi pertuduhan ke atas kesemua tertuduh.

    “Dua lelaki tempatan tidak mengaku bersalah dan dilepaskan dengan jaminan RM5,000 setiap seorang.

    “Sementara dua warga asing ditahan kerana tidak dapat mengemukakan dokumen pengenalan diri,” katanya.

    Azman memberitahu, pertuduhan dibuat di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang bersubsidi minyak diesel tanpa lesen.

    “Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu denda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan

    “KPDNHEP tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna,” ujarnya.

  • Lebih banyak tadika dijangka ditutup di Perak akibat HFMD

    Lebih banyak tadika dijangka ditutup di Perak akibat HFMD

    KERAJAAN negeri Perak menjangkakan lebih banyak taman didikan kanak-kanak (tadika) ditutup susulan peningkatan penularan Penyakit Tangan Kaki dan Mulut (HFMD).

    Menurut Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin, sehingga kini 42 tadika di Perak ditutup dengan daerah Kinta mencatat jumlah paling tinggi.

    Sinar Harian melaporkan, penutupan tadika tersebut katanya, dibuat secara sukarela oleh pengusaha selain terpaksa ditutup mengikut Akta Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

    “Kita jangka akan ada lagi tadika yang ditutup berdasarkan kes yang meningkat dengan mendadak.

    “Setakat ini tiada kes kematian dicatatkan disebabkan HFMD di Perak, namun kita minta semua pihak berwaspada,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut Bersama Perikatan Nasional Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, Selama, hari ini.

    Mohd. Akmal semalam melaporkan, sebanyak 42 tadika di Perak ditutup berikutan wabak HFMD, sehingga minggu epidemiologi ke-19 tahun ini, yang berakhir pada 14 Mei lalu.

    Daerah Kinta mencatatkan penutupan tadika tertinggi iaitu 20 buah dan diikuti daerah Perak Tengah enam buah.

    Secara keseluruhan, jumlah kes HFMD di Perak adalah 2,638 kes, berbanding hanya 159 kes bagi tempoh sama tahun 2021.

    Daerah Kinta mencatatkan kes tertinggi iaitu 178 kes; diikuti Hilir Perak (127); Perak Tengah (71); Manjung (70); Batang Padang (63); Hulu Perak (51); Kerian (51); Muallim (47); Kampar (46); Larut, Matang; Selama (28) dan Kuala Kangsar (22).