Author: Admin

  • 3 keluarga Orang Asli tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran

    3 keluarga Orang Asli tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran

    NASIB malang menimpa ke atas tiga keluarga Orang Asli apabila terpaksa tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kayu didiami mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Galang, Pos Hau, Gua Musang petang semalam.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor, kejadian pada pukul 6 petang itu mengakibatkan dua rumah musnah 100 peratus, manakala sebuah lagi 25 peratus.

    Katanya, seramai sembilan anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 6.36 petang.

    Beliau berkata, pihaknya berjaya mengawal kebakaran tersebut pada pukul 8.45 malam.

    “Kejadian kebakaran ini tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dan kita menyiasat punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurut Mohd. Arifuddin, anggotanya mengalami sedikit kesukaran ke lokasi kejadian berikutan perlu melalui jalan balak dan ladang sebelum tiba di kawasan berkenaan dengan mengambil masa satu jam setengah.

    Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gua Musang, Azman Ngadiron ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah menyalurkan bantuan segera kepada kepada mangsa terbabit.

  • Didenda buang patung hiasan

    Didenda buang patung hiasan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda RM2,500 setelah dia mengaku bersalah melakukan perbuatan khianat membuang patung hiasan milik individu lain dalam kejadian lebih seminggu lalu.

    Tertuduh, Gabriele Jungkak Anak Steward, 23, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dijatuhkan hukuman itu setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin di Mahkamah Majistret Kulai, hari ini.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan mengambil patung hiasan pancutan air milik seorang lelaki berusia 33 tahun yang bersambung dengan paip kecil sehingga tercabut dan rosak sebelum membuangnya ke dalam tong sampah, menyebabkan kerugian bernilai RM25.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Scientex, Senai, kira-kira pukul 9 pagi, 15 Mei lalu.

    Ekoran itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun dengan denda atau kedua-duanya.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Ketika proses rayuan, Gabriele Jungkak berkata, dia membuang patung berkenaan kerana telah mengganggunya ketika melalui kawasan berkenaan selain turut mengaku pernah membuang dan membakar patung-patung hiasan lain di tempat lain.

    Sebelum hukuman dijatuhkan, Sharifah Maleeha menasihati pemuda itu untuk belajar hidup bermasyarakat dan menghormati barangan milik individu lain.

    Pada 19 Mei lalu, polis mencari suspek yang membuang patung sembahyang agama Hindu ke dalam tong sampah dalam kejadian yang tular melalui rakaman video berdurasi 42 saat di Facebook.

    Polis turut menerima laporan daripada seorang lelaki berkenaan rakaman kejadian terbabit pada pukul 4.30 petang, hari kejadian.

    Selain itu, pengadu mengesahkan patung sembahyang Dewa Ganesh itu diletakkan di luar halaman rumah untuk tujuan hiasan dan bukannya untuk tujuan sembahyang.

  • Empat pelajar mengaku salah buli, sebabkan kecederaan

    Empat pelajar mengaku salah buli, sebabkan kecederaan

    EMPAT pelajar lelaki di sebuah sekolah di Seremban didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar Tingkatan Satu sekolah sama pada 13 Mei lepas.

    Sinar Harian melaporkan, semua tertuduh berusia 15 hingga 16 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

    Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 22 Jun ini untuk pendengaran laporan akhlak bagi kesemua tertuduh sebelum hukuman dijatuhkan.

    Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun dengan cara memukulnya di bilik asrama sebuah sekolah di Seremban pada 12 tengah malam pada 13 Mei lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

    Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Kes rogol: Bapa saudara dipercayai mabuk

    Kes rogol: Bapa saudara dipercayai mabuk

    PIHAK polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan rogol seorang tukang besi terhadap anak saudaranya di Bandar Mutiara, Sungai Petani kira-kira pukul 12.30 tengah malam Sabtu lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya tidak menolak sekiranya suspek berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

    Menurutnya, lelaki berusia 34 tahun yang merupakan bapa saudara mangsa melakukan perbuatan itu ketika remaja perempuan berumur 15 tahun itu sedang menumpang tidur di rumahnya.

    “Turut berada dalam bilik tidur sama ialah ibu saudara (isteri suspek) dan dua sepupu mangsa yang berusia tujuh dan lapan tahun.

    “Kita percaya pasangan suami isteri itu berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian berlaku,” kata Zaidy semasa dihubungi Sinar Harian.

    Tambah beliau, meskipun percaya pasangan itu sedang mabuk, pihaknya masih tidak mengetahui jenis minuman yang diambil kedua-dua mereka.

    Dalam kejadian Sabtu lalu itu, suspek dikatakan memasuki bilik tidur sebelum meraba dan merogol mangsa.

    Mangsa difahamkan tidak menjerit disebabkan perasaan takut terhadap tindakan bapa saudaranya sendiri itu.

    Sebelum ini, dilaporkan bahawa terdapat seorang remaja dirogol ketika menumpang tidur di rumah bapa saudara kerana nenek yang menjaga mangsa pulang ke kampung di Pendang selama dua hari.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

  • ‘Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta’, TMJ cabar Sanusi

    ‘Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta’, TMJ cabar Sanusi

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KENYATAAN terbaharu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengenai dakwaan terdapat individu tertentu ‘mengawal’ Liga Malaysia mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor.

    Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman Twitter baginda menggesa Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu untuk mẹmbuat pendedahan tersebut secara terperinci berkaitan dakwaan yang dilakukannya.

    Pemilik kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut mendesak Muhammad Sanusi agar menceritakan segala-galanya serta mendedahkan identiti individu yang dimaksudkan oleh beliau.

    “Dia cakap pasal siapa? Sebut nama. Ceritakan segalanya, ini cakap main sembur badut McDonald pun boleh.

    “Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta. Setiap kali tenggelam, terus buat cerita sensasi nak naikkan rating. Sikap tipikal ahli politik,” titah Tunku Ismail menerusi ciapan tersebut.

    Dalam program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada Sabtu lalu, Muhammad Sanusi mengulangi pendiriannya untuk menolak budaya ‘supreme’ atau memberikan kuasa penuh kepada seseorang individu di dalam sukan bola sepak.

    Beliau mendakwa terdapat individu yang mahu pihak tertentu mengikut telunjuknya.

    Malah katanya, lebih dahsyat individu terbabit sanggup memberi bonus kepada mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan Kedah dalam saingan Liga Malaysia.

    “Dia ‘order’ sana, ‘order’ sini, suruh buat ini, suruh buat itu, kawan (ada pihak) nak pergi latihan sana, kena tanya dia dahulu.

    “Lepas itu dia pusing pasukan lain, beri bonus kalau menang dengan Kedah. Saya tahu semua itu, dia ingat orang tak tahu, jangan bagi saya cerita semuanya,” katanya.

    Sebelum ini, Muhammad Sanusi telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa sukan bola sepak untuk semua dan bukannya individu tertentu sehinggakan ada yang perlu menyembah ‘tokong’.

    Beliau mendakwa semua mata kini tertumpu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan terdapat beberapa kejadian yang didakwa sangat pelik pernah berlaku dalam arena bola sepak tanah air.

    Pergeseran antara Muhammad Sanusi dan Tunku Ismail dilihat menjadi punca Johor Darul Ta’zim (JDT) memanggil semula Syafiq Ahmad untuk kembali ke pangkuan pasukan dari Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

    Ini kerana tempoh pinjaman Syafiq kepada Lang Merah belum genap setahun seperti yang dipersetujui sebelum ini, dan dia baru beraksi dalam sembilan perlawanan sahaja.

  • 15 nelayan Vietnam ceroboh perairan ditahan

    15 nelayan Vietnam ceroboh perairan ditahan

    SEBUAH bot nelayan Vietnam bersama-sama 15 kru kerana menceroboh perairan negara ditahan pada pukul 3 petang kelmarin pada kedudukan 100 batu nautika dari Kuala Terengganu.

    Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, bot nelayan asing tersebut ditahan aset maritim dalam rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Naga Barat dan Op Khas Kuda Laut di kawasan terbabit.

    “Pemeriksaan terhadap 15 kru termasuk tekong bot yang merupakan warga Vietnam berumur antara 20 hingga 50 tahun juga gagal menunjukkan pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pihaknya turut merampas peralatan menangkap ikan, hasil laut pelbagai jenis dianggarkan seberat 700 kilogram dan bekalan diesel kira-kira 1,000 liter yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

    Muhammad Suffi berkata, bot dan kesemua kru yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

    Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

  • Kesal senarai calon Jawatankuasa PKR Kota Kinabalu tidak tersenarai

    Kesal senarai calon Jawatankuasa PKR Kota Kinabalu tidak tersenarai

    KETUA Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Kinabalu, Datuk Christina Liew terkejut dengan aduan pengundi yang mendakwa senarai calon bertanding cabang berkenaan bagi penggal 2022-2025 tidak disediakan.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api berkata, pengundi mendakwa senarai berkenaan tiada dalam tablet pengundian yang disediakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

    “Pengundi telah hadir untuk mengundi seawal 6.30 pagi untuk pengundian secara fizikal dari pukul 8 pagi sehingga 4 petang di pusat mengundi yang ditempatkan di Golden Hotel Sembulan, Kota Kinalau, pada Ahad.

    “Apabila saya tiba di pusat berkenaan, ramai pengundi mengadu kepada saya bahawa mereka tidak menemui nama saya sebagai calon untuk jawatan Ketua Bahagian, termasuk keseluruhan calon Jawatankuasa Bahagian, Wanita dan Pemuda yang hilang dari tablet berkenaan.

    “Calon yang tersenarai hanya dari kalangan Majlis Pemimpin Pusat (MPP),” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

    Katanya, menurut pengundi mereka hanya mengundi tiga orang calon sahaja untuk MPP kerana hanya tiga nama tersenarai.

    “Apabila terdapat seorang peguam bertanyakan mengenai senarai calon Jawatankuasa Bahagian Kota Kinabalu, pengawas terlibat kemudian set semula tablet berkenaan dan senarai asal mencul.

    “Bagaimanapun, senarai berkenaan hilang ketika tiba giliran saya untuk mengundi. Pengundi juga dilaporkan diberitahu pengawas pemilihan untuk tidak mengundi nombor satu (Christina Liew) sebaliknya undi nombor dua (pencabarnya).

    “Difahamkan pengawas terbabit turut memberitahu pengundi bahawa ‘hanya ini sahaja calon yang boleh diundi’ dan ‘calon nombor satu tidak bertanding’,” katanya.

    Satu laporan telah dihantar ke Ibu Pejabat PKR di Kuala Lumpur, sumber kepada Christina juga menjelaskan sejumlah 700 pengundi telah hadir untuk mengundi secara fizikal tetapi keputusan akhir tidak menepati dengan jumlah terbabit disebabkan masalah teknikal.

    Setelah tempoh mengundi tamat pada 4 petang, Ketua Pengawas memaklumkan kepada Christina bahawa berdasarkan pengiraan, hanya 456 pengundi sahaja telah menjalankan tanggungjawab.

    Hanya seramai 1,368 pengundi telah mengundi untuk calon MPP, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) diperingkat Pusat dan Jawatankuasa Bahagian Kota Kinabalu, Wanita dan AMK untuk peringkat cawangan.

    Ketika ditanya wartawan bagaimana dia (Ketua Pengawas) mengira jumlah 456 pengundi, pengawas terbabit menjawab hanya dengan ‘agak-agak sahaja’.

    Keadaan itu disebabkan ramai pengundi tidak mengundi untuk semua enam jawatankuasa diperingkat Pusat dan bahagian. Separuh daripada pengundi hanya mengundi dua jawatankuasa sementara bakinya mengundi tiga Jawatankuasa diperingkat Pusat dan bahagian.

    JPP dijangka akan mengeluarkan keputusan daripada kesemua 26 Bahagian di Sabah dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

    Keseluruhannya, seramai 821 pengundi telah mengundi secara ‘e-voting’ untuk peringkat Pusat dan cabang Kota Kinabalu.

  • 6 rakyat Palestin larikan diri dari jel Israel dihukum penjara

    6 rakyat Palestin larikan diri dari jel Israel dihukum penjara

    ENAM penduduk Palestin yang melarikan diri pada tahun 2021 melalui terowong dari sebuah penjara di utara Israel, dijatuhi hukuman penjara tambahan selama lima tahun semalam.

    Menurut peguam mereka, Raslan Mahajana, keenam-enam itu yang sedang menjalani hukuman seumur hidup atas kesalahan melakukan serangan anti-Israel bertindak melarikan diri pada 6 September tahun lalu dari penjara Gilbao melalui terowong yang digali di bawah sinki.

    Tindakan meloloskan diri dari penjara tersebut menyebabkan keenam-enam lelaki tersebut diburu Israel dalam operasi secara besar-besaran dengan menggunakan anggota-anggota tentera dan dron sebelum mereka berjaya ditangkap beberapa minggu kemudian.

    Selain daripada hukuman penjara tambahan, lelaki-lelaki itu masing-masing didenda sebanyak 5,000 shekel (RM6,531).

    “Anak guam saya memberitahu mahkamah dia tidak menyesal kerana melarikan diri,” kata Raslan kepada media Israel menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi, hari ini.

    Antara yang melarikan diri itu ialah Mahmud Ardah yang merupakan seorang anggota kumpulan militan Jihad Islam dan dianggap sebagai dalang operasi itu.

    Selepas ditangkap semula, Ardah berkata dia telah menggunakan sudu, pinggan dan juga pemegang cerek untuk menggali terowong itu.

    Dia melarikan diri bersama Zakaria al-Zubeidi iaitu ketua cabang bersenjata parti Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

  • Lelaki Myanmar culik budak bermain depan rumah ditahan

    Lelaki Myanmar culik budak bermain depan rumah ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki warga Myanmar selepas dipercayai cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang bermain di hadapan rumahnya di Batu Tiga, Jalan Gambang, Kuantan, pukul 9 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, suspek, 30, berjaya ditahan di tepi jalan berdekatan Pusat Dagangan Batu 3 di Kuantan oleh orang awam selepas melihat bapa mangsa mengejar lelaki terbabit.

    “Pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam sekitar pukul 9.45 pagi sebelum sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dari Unit Kereta Peronda (MPV) bergegas ke lokasi kejadian.

    “Semasa tiba di lokasi didapati suspek telah diberkas oleh orang awam dan bapa mangsa. Suspek dibawa ke IPD Kuantan dan proses reman akan dilakukan oleh pegawai penyiasat kes hari ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, turut dirampas bersama-sama suspek ialah sehelai kain lampin berwarna putih dipercayai digunakan untuk menutup kepala mangsa.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 atas cubaan melarikan orang dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri.

    Sebelum itu, Wan Mohd. Zahari memaklumkan bapa mangsa yang merupakan seorang penjual ketam nipah membuat laporan polis berkaitan kejadian tersebut.

    Jelasnya, berdasarkan laporan diterima, kejadian berlaku ketika mangsa bermain pasir di hadapan rumah manakala ibunya pula menyiram pokok bunga di halaman.

    Tambahnya, bapa mangsa mendengar bunyi jeritan isterinya yang mengatakan anak bongsu mereka dilarikan seorang lelaki tidak dikenali.

    “Susulan itu, bapa mangsa bertindak mengejar suspek.

    “Dengan bantuan orang ramai, suspek ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis untuk tangkapan semula,” katanya.

    Sehubungan itu, Wan Mohd. Zahari menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan ahli keluarga dan peka terhadap kawasan sekeliling bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

  • Kempen bumi hijau atasi krisis bekalan makanan

    Kempen bumi hijau atasi krisis bekalan makanan

    guane

    KETUA Antarabangsa  Pengilang Dalam Operasi Eurasia, Eren Gunhan Ulusoy, baru-baru ini mengatakan bahawa semua institusi antarabangsa bersetuju dunia bakal menghadapi krisis kelaparan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

    Beliau berkata, hakikat itu antara lain turut diakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

    Malah pandangan Ulusoy itu yang memetik laporan antarabangsa bahawa 811 juta orang kekurangan zat makanan dan 276 juta hidup dalam kedaifan dikemukan ketika berucap pada persidangan antarabangsa membabitkan kumpulan itu di Istanbul.

    Beliau juga berpendapat, setiap biji gandum itu berharga dan manusia mesti mengambil langkah mengurangkan kelaparan dengan mengelakkan pembaziran serta mencegah kerugian.

    Bagi penulis, perkara itu tidak mustahil berlaku memandangkan dunia sekarang sudah semakin ‘berusia’ dan berhadapan dengan pelbagai cabaran,  kekalutan dan ‘penyakit’

    Antara topik yang dibincangkan pada persidangan tersebut ialah meminta pengilang agar berusaha untuk melindungi setiap gram bahan mentah.

    Selain itu kebimbangan turut terbuai sekiranya  gangguan rantaian bekalan disebabkan krisis di Ukraine gagal diselesaikan, 47 juta lagi orang akan berdepan ancaman kemiskinan.

    Ini kerana, Ukraine antara pengeksport gandum utama dunia telah menggantung eksportnya akibat operasi ketenteraan Rusia di negara tersebut.

    Jika ini terus berlaku, ia turut melibatkan rakyat di negara kita.

    Ini memandangkan gandum merupakan barangan keperluan yang amat sinonim bagi rakyat Malaysia.

    Malah sejak penulis masih kecil lagi makanan berasas gandum boleh dikatakan setiap hari menjadi hidangan sekeluarga.

    Antaranya termasuklah lempeng, roti canai, biskut dan jemput-jemput.

    Suka penulis ingin mengingstkan bahawa kehidupan orang dahulu banyak bergantung kepada bahan mentah yang ada di sekeliling.

    Memandangkan ramai yang bekerja sendiri dan sukar mendapatkan wang, maka ramai yang bekerja sebagai nelayan dan petani.

    krisis makanan
    Kerajaan seharusnya menggalakkan rakyat mengusahakan tanah untuk tanaman yang boleh menghasilkan makanan. (Gambar hiasan: Kindel Media / Pexels)

    Rata-rata penduduk mengusahakan tanah dengan menanam padi, bijirin, sayur-sayuran dan pelbagai jenis ubi.

    Berdasarkan itu, ia mampu mengelakkan penduduk daripada kelaparan.

    Persoalannya, apakah rakyat di negara kita sudah bersedia untuk berhadapan dengan krisis makanan sepertimana dinyatakan oleh Ulusoy itu?

    Apapun, sebaiknya kita perlu menjadikan pengalaman orang dahulu iaitu zaman nenek moyang kita untuk bersedia ke arah itu.

    Usah kita terlalu leka dan masih lagi terbuai dengan sikap malas untuk mengerjakan sawah bendang atau tanah kebun yang terus terbiar.

    Apa yang dikesalkan  penulis mendapati rakyat kita sentiasa merungut setiap kali bahan basah seperti beras, bijirin, sayur-sayuran, ubi kayu dan keledek naik harga sedangkan mereka mempunyai banyak tanah terbiar yang ditumbuhi lalang dan semak samun

    Justeru, penulis ingin mencadangkan agar kerajaan menggerakkan program bumi hijau dengan  memperkenalkan  kempen setiap rumah ditanam sayur-sayuran dan tanaman bijirin.

    Ia selaras dengan arahan kerajaan sebelum ini yang mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyediakan pelan jangka panjang dan pendek bagi mengelak krisis makanan daripada berlaku di negara ini.

    Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dipetik sebagai berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap masalah dihadapi peladang terutamanya dalam situasi dunia sekarang yang mengakibatkan peningkatan kos bahan mentah.

    Malah, kebimbangan tidak cukup bekalan makanan merupakan isu global bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga seluruh dunia.

    Justeru kata beliau, kementerian itu juga diminta supaya mengambil tindakan segera berhubung isu kos sara hidup yang meningkat.

    Perdana Menteri turut menggesa Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melaksanakan perubahan dan anjakan paradigma bagi memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.

    Dengan persediaan, pelaksanaan dan hala tuju yang jelas, penulis berharap Malaysia tidak akan mengalami masalah krisis makanan yang agak teruk.