Author: Admin

  • Kongres PKR ditangguh ke 15 hingga 17 Julai

    Kongres PKR ditangguh ke 15 hingga 17 Julai

    PKR menangguhkan kongres parti itu yang dijadualkan akhir bulan ini ke 15 hingga 17 Julai.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

    Memetik laporan FMT, beliau berkata, keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara pada mesyuarat MPP PKR semalam bagi memberi ruang kepada audit forensik berhubung pemilihan parti.

    “Mesyuarat malam tadi memutuskan untuk tangguh kongres pada Julai bagi memberi ruang untuk selesaikan aduan dan juga lakukan audit forensik,” katanya kepada FMT.

    Kongres PKR dijadualkan berlangsung pada 24-26 Jun, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

    FMT melaporkan pihaknya sedang menunggu maklumat lanjut daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

    Pada 5 Jun lalu, Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya terbuka untuk membuat audit forensik selepas seorang calon, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, mempersoalkan kesahihan lebih 25,000 undi dalam persaingan antara Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan Timbalan Presiden.

    Katanya, seramai 147,000 ahli PKR membuang undi dalam persaingan tersebut, namun keseluruhan undi yang diperolehi oleh Rafizi dan Saifuddin Nasution hanya berjumlah 119,030.

    Sementara itu, Bernama melaporkan, Kongres Nasional Tahunan PKR yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 26 Jun ini ditangguhkan ke 15 hingga 17 Julai depan.

    Saifuddin Nasution dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penetapan tarikh baharu itu adalah bagi membolehkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengurus dan menyelesaikan beberapa perkara yang telah dibangkitkan, berkaitan pemilihan parti baru-baru ini.

    “Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan telah meneliti beberapa dapatan dan syor yang dibentang JPP, berhubung proses aduan terutama bagi Pemilihan Keadilan 2022. 

    “Setelah meneliti dan memberi pertimbangan kepada pembentangan JPP ini, MPP memutuskan tarikh baharu Kongres Nasional ke-16 pada 16 hingga 17 Julai 2022 mengambil kira tempoh masa yang diperlukan untuk JPP mengurus dan menyelesaikan beberapa perkara yang telah dibangkitkan, serta memberi masa yang mencukupi kepada kepimpinan cabang baharu untuk membuat beberapa pelantikan,” katanya.

    Saifuddin berkata, kongres yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor akan dimulai dengan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat serta Kongres Wanita Keadilan (Wanita) Pusat pada 15 Julai dan disusuli dengan kongres nasional pada keesokan hari.

    Mengikut perancangan sebelum ini, kongres AMK dan Wanita PKR akan berlangsung pada 24 Jun dan disusuli dengan kongres nasional pada 25 dan 26 Jun.

  • JIM tumpas dua sindiket RTK, 6 ditahan termasuk warga Bangladesh

    JIM tumpas dua sindiket RTK, 6 ditahan termasuk warga Bangladesh

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan kegiatan dua sindiket Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) selepas menahan enam individu menerusi serbuan di dua premis berasingan di Jalan Lumut, Kuala Lumpur dan Pandan Cahaya, Ampang, Selangor.

    Serbuan dilakukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas pada Rabu lalu itu mendapati kedua-dua sindiket berkenaan berselindung di sebalik agensi pekerjaan haram dan syarikat pembinaan yang mengaut keuntungan melebihi RM2 juta.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, satu daripada sindiket itu didalangi warga Bangladesh berusia 42 tahun serta berstatus pemegang Pemastautin Tetap (MyPR) yang berkahwin dengan seorang warga tempatan.

    Sindiket kedua didalangi seorang wanita tempatan berusia 36 tahun yang berkahwin dengan seorang warga Bangladesh yang mempunyai pas lawatan sosial jangka panjang.

    “Berdasarkan bayaran yang dikenakan serta jumlah rampasan pasport, setiap individu dikenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM4,200.

    “Taktik sindiket ini adalah menubuhkan syarikat pembinaan dan agensi pekerjaan haram bagi mengaburi pihak berkuasa dengan meyakinkan pelanggan untuk urusan pengambilan pekerja asing, khususnya melalui RTK yang dimulakan sejak tahun lalu,” katanya pada sidang media di Purtajaya, hari ini, lapor Harian Metro.

    Hasil serbuan di dua lokasi itu, Imigresen merampas 488 naskhah pasport antarabangsa terdiri daripada 457 pasport Bangladesh, masing-masing lapan naskhah pasport Indonesia, India dan Pakistan, enam pasport Myanmar dan sekeping pasport Nepal.

    Turut dirampas 12 cap syarikat, dua set komputer dan wang RM38,308 hasil keuntungan daripada aktiviti berkenaan.

    Khairul Dzaimee berkata, berdasarkan siasatan, pemilik premis pada serbuan pertama di Jalan Lumut adalah warga Bangladesh yang mendapat MyPR pada 2015.

    Turut ditahan pada serbuan pertama adalah seorang pekerja warga Bangladesh.

    “Hasil risikan yang dijalankan selama dua bulan mendapati, syarikat pembinaan itu beroperasi sejak 2014 dan disyaki menjalankan aktiviti sebagai ejen menguruskan permohonan pekerja asing sekitar tahun lalu,” katanya.

    Menurut beliau, pada operasi kedua, pihaknya memeriksa sebuah premis yang menjalankan aktiviti sama sebelum menahan seorang wanita tempatan yang juga pemilik syarikat pembinaan bersama suaminya.

    Katanya, turut ditahan di premis itu adalah dua lelaki warga Bangladesh berusia 36 hingga 52 yang berperanan sebagai pengantara syarikat dan pelanggan.

    “Kes masih dalam siasatan dan kesemua pasport yang dikeluarkan itu akan dibatalkan.

    “Enam individu berusia 36 hingga 52 tahun itu ditahan di lokap Jabatan Imigresen mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(1) (f) Akta Pasport 1966.

    “Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Wadar penjara, rakan mengaku tidak bersalah edar dadah

    Wadar penjara, rakan mengaku tidak bersalah edar dadah

    WADAR Jabatan Penjara Malaysia dan seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas tiga tuduhan mengedar dadah jenis heroin, ganja dan syabu di Beseri, Padang Besar pada 4 Jun lalu.

    Tertuduh, Mohd. Hasif Abdul Rahim, 27, yang bertugas di Penjara Tapah, Perak dan rakannya, Mohd. Farhan Abdul Aziz, 37, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhasliza Md. Ali.

    Harian Metro melaporkan, Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua tertuduh didapati mengedar dadah iaitu heroin seberat 132 gram di sebuah rumah di Taman Melati Indah, Beseri, Padang Besar pada 1.45 tengah hari.

    Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, mereka didapati memiliki dadah berbahaya jenis ganja seberat 85.9 gram dan syabu seberat 27 gram di lokasi, tarikh dan waktu yang sama seperti pertuduhan pertama.

    Oleh itu, bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta boleh dikenakan tidak kurang daripada 15 kali sebatan.

    Bagi pertuduhan kedua pula, keduanya didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dipenjara selama lima tahun hingga seumur hidup dan 10 kali sebatan.

    Untuk pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Polis Inspektor S Mageswaran, manakala tertuduh diwakili Burhanudeen Abdul Wahid.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

  • PGA berkas 20 PATI berhimpit dalam Toyota Estima

    PGA berkas 20 PATI berhimpit dalam Toyota Estima

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) menahan dua tekong dan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dalam sebuah kereta Toyota Estima di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas pukul 12.30 malam tadi.

    Ketika kejadian anggota Batalion 7 PGA sedang membuat rondaan sebelum terserempak kenderaan terbabit di persimpangan Kampung Pok Jak dalam keadaan mencurigakan.

    Pegawai Pemerintah Medan Ops Wawasan Kelantan, Deputi Superintendan K. Ramesh berkata, anggota mengekori kereta itu sebelum seorang penumpang warga tempatan dilihat keluar untuk melarikan diri sebaik kenderaan berhenti, namun berjaya dikejar dan ditahan.

    “Hasil pemeriksaan dalam kereta tersebut mendapati terdapat 20 penumpang disyaki warga Myanmar terdiri daripada 14 lelaki dan enam wanita berusia 17 sehingga 35 tahun.

    “Sementara dua lelaki warga tempatan berusia 25 dan 40 tahun turut ditahan, yang mana salah seorang bertindak sebagai pemandu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, semua PATI diarahkan ‘berhimpit’ dalam satu kenderaan bagi mempercepatkan proses perjalanan selain untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Tekong bertindak membuka tempat duduk bahagian penumpang belakang bagi memudahkan PATI dibawa dengan jumlah yang ramai melebihi muatan sebenar.

    “Malah kenderaan yang digunakan juga adalah kereta mewah dengan cermin yang gelap supaya kegiatan mereka ini tidak dikesan oleh anggota bertugas,” katanya.

    Ramesh berkata, hasil siasatan mendapati kesemua warga Myanmar berkenaan tidak mempunyai pasport atau kad perjalanan yang sah selain mengakui memasuki sempadan negara melalui pangkalan haram yang tidak diwartakan.

    “Anggota merampas kereta manakala dua tekong dan 20 PATI ditahan untuk di bawah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut dibawah Seksyen 26(J) ATIPSOM 2007 serta Seksyen 1(C) Imigresen 1953/1969.

    “Siasatan awal mendapati, kesemua PATI ini dibawa masuk secara haram melalui jalan sungai sebelum ditempatkan sementara di lokasi sepanjang Sungai Golok sebelum dibawa menaiki kenderaan oleh tekong yang sedia menunggu.

    Ujarnya, PATI itu dipercayai mahu ke Kuala Lumpur bagi tujuan bekerja dalam pelbagai sektor termasuk sebagai buruh dan pekerja kilang.

  • Bersatu Parit Sulong harap Ismail Sabri tepati janji

    Bersatu Parit Sulong harap Ismail Sabri tepati janji

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parit Sulong mendesak Perdana Menteri memenuhi janjinya kepada kepimpinan Perikatan Nasional (PN) bahawa tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan dirunding bersama-sama.

    Ketua Bahagiannya, Datuk Ariss Samsudin berkata, tarikh bersesuaian mesti dibincang sesama mereka dan bukan mengikut desakan pihak-pihak tertentu dalam Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

    Katanya, perkara itu perlu dipatuhi agar tidak berulang lagi apa yang telah berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor di mana PN telah dikhianati oleh BN.

    “BN dan PN telah keluarkan kenyataan bahawa tarikh PRU-15 mesti dirundingkan bersama. Selain itu, kuasa menentukan PRU adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat kerajaan, bukannya kuasa segelintir pemimpin UMNO atau BN.

    “Maka saya harap kepimpinan PN dan Bersatu mengingatkan kerajaan Ismail Sabri akan ikrar dan janjinya mengenai PRU-15 kepada PN dan Bersatu baru- baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ariss turut mempersoalkan sama ada desakan agar PRU-15 disegerakan itu disebabkan segelintir pemimpin UMNO takut dengan apa yang mungkin terjadi terhadap nasib mereka yang kini berhadapan kes mahkamah.

    “Adakah ini sebab yang sebenarnya? Saya minta pihak-pihak ini jangan kelirukan rakyat dengan desakan PRU-15 perlu segera diadakan kononnya atas sebab-sebab yang sedang mereka gembar-gemburkan hari ini.

    “Sebenarnya, mereka desak PRU-15 segera kerana takut akan apa yang mungkin menimpa diri sebelum pilihan raya itu. Jangan heret rakyat bagaikan lembu cucuk hidung. Jangan gunakan alasan rakyat akar umbi untuk selamatkan tengkuk individu tertentu dalam UMNO dan BN,” katanya.

    Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu turut berkata, Bersatu bukan berjuang untuk menipu rakyat sebaliknya menegakkan hak untuk rakyat Peribumi, Melayu dan Islam, serta seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

    “Terbaru ada kenyataan bahawa pembangkang membantah PRU-15 segera diadakan kerana kononnya mahu membeli masa untuk mendapatkan ruang mencukupi membohongi rakyat dalam PRU-15.

    “Untuk pengetahuan pemimpin UMNO dan BN berkenaan, Bersatu dan PN bukannya pembangkang di peringkat kerajaan Pusat dan hakikat perjuangan Bersatu adalah penuh integritri dan berhemah tinggi.

    “Kita akan terus berjuang untuk hapuskan rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia demi rakyat dan negara. Hakikat perjuangan ini sama dengan matlamat perjuangan PN,” katanya.

    Sementara itu, Bersatu Parit Sulong menolak kerjasama parti itu dengan DAP walaupun mereka akur apa jua keputusan PN dan Bersatu pusat khususnya pembentukan ‘khemah besar’ bagi menewaskan BN.

    “Apa jua keputusan muktamadnya, Bersatu Parit Sulong berharap tidak akan diulangi lagi keputusan untuk bekerjasama dengan DAP. Kami serik bekerjasama dengan DAP dalam PRU14. Semoga kerjasama seperti ini tidak akan berlaku lagi dalam PRU15 kelak,” tegasnya.

  • Walaupun tinggalkan JDT, TMJ masih pemegang saham majoriti

    Walaupun tinggalkan JDT, TMJ masih pemegang saham majoriti

    PENGARAH Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards memaklumkan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih kekal sebagai pemilik kelab tersebut dengan memegang saham majoriti.

    Menurut beliau, Tunku Mahkota Johor itu akan melepaskan tugas berkaitan hal-hal bola sepak dan teknikal kepada pengurusan kelab tersebut.

    Namun jelas Alistair, Tunku Ismail akan terus memantau perkara-perkara berkaitan infrastruktur, komersial dan kewangan kelab.

    “Apa yang dimaksudkan ini adalah DYAM Tunku Ismail tidak akan lagi terlibat secara menyeluruh dalam aspek seperti perpindahan pemain, perbincangan pasukan, perkara harian berkaitan pasukan, aktiviti-aktiviti pasukan, perbincangan kontrak dan sebagainya yang menjadi sebahagian daripada tugas DYAM Tunku Ismail di kelab sebelum ini.

    “Perkembangan terbaharu ini juga bermakna DYAM Tunku Ismail tidak akan lagi kerap berada di Pusat Latihan JDT atau Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan dan sesi latihan, sesuatu yang DYAM Tunku Ismail sentiasa mengambil sedikit masa daripada jadualnya untuk berkunjung,” ujar Alistair dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi Johor Southern Tigers, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Alistair berkata, Tunku Ismail telah terlibat secara aktif dalam urusan harian pengurusan Harimau Selatan sepenuhnya sejak penubuhan kelab pada 2013 termasuk memberikan sentuhan peribadi kepada para pemain, jurulatih dan pegawai kelab tersebut.

    “Kami memahami bahawa DYAM Tunku Ismail perlu fokus kepada komitmen lain seperti hal-hal berkaitan negeri Johor dan pengurusan JDT terharu kerana telah diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab kelab ini,” jelasnya.

    Tunku Ismail semalam membuat pengumuman mengejut apabila memaklumkan akan meninggalkan JDT pada Khamis melalui satu hantaran dalam Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

  • Warga emas direman kes bunuh jiran

    Warga emas direman kes bunuh jiran

    SEORANG warga emas direman selama enam hari di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan jirannya di Jalan Kelochor, Kota Bharu, semalam.

    Reman lelaki berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Mohd. Rusli Ahmad.

    Tempoh reman suspek berkuat kuasa hari ini sehingga Rabu ini, lapor Sinar Harian.

    Media malam tadi melaporkan seorang lelaki warga emas maut akibat serangan jantung selepas dipercayai dipukul oleh jirannya dengan kayu akibat pergaduhan berpunca daripada mangsa yang menanam pokok di laluan di Jalan Kelochor semalam.

    Mangsa yang berusia lewat 60-an ditemui meninggal dunia di bahagian dapur rumahnya dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari.

    Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan reman berkenaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum mati mandatori,” katanya.

  • Bon Odori: Alasan kebudayaan Jepun tidak cukup merit – Dewan Ulamak Pas Pusat

    Bon Odori: Alasan kebudayaan Jepun tidak cukup merit – Dewan Ulamak Pas Pusat

    DEWAN Ulamak Pas Pusat menyarankan agar umat Islam tidak menyertai Festival Bon Odori kerana mendakwa terdapat unsur-unsur keagamaan di dalamnya.

    Menurut ketuanya, Senator Datuk Ahmad Yahya, meskipun terdapat pandangan yang menjelaskan festival tersebut turut berkait dengan kebudayaan Jepun, namun tidak sesekali mengetepikan pandangan bahawa ia mengandungi unsur ritual keagamaan Buddha.

    “Prinsip ini selaras dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh para mufti, pengkaji agama serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

    “Kesemua pendirian ini dinyatakan berdasarkan maslahah awam supaya tidak terjerumus kepada perkara yang boleh membawa kepada pelanggaran akidah.

    “Dalam hal ini, alasan kebudayaan Jepun semata-mata tidak cukup merit untuk dipertimbangkan bersama,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan pihaknya tidak akan menghalang mana-mana individu untuk menghadiri program Bon Odori yang dijadual pada 16 Julai depan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).

    Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, penetapan itu dibuat susulan titah Sultan Selangor yang tidak berkenan apa-apa keputusan mengenai perkara itu disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian mendalam.

    Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai program tersebut kerana didakwa mengandungi unsur agama lain.

    Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Dewan Ulamak Pas Pusat mencadangkan agar semua pihak mengikuti langkah kerajaan negeri Kelantan yang tidak lagi menyenaraikan tarian Bon Odori sebagai acara persembahan kebudayaan dalam Festival Kebudayaan Kelantan-Jepun 2022 Mei lalu.

    Tambahnya, Dewan Ulamak Pas Pusat menggesa supaya umat Islam mengambil perhatian terhadap perbahasan berkenaan dengan Festival Bon Odori ini serta tidak mengambil bahagian dalam festival tersebut.

    “Di samping itu, badan-badan autoritatif agama di negara ini sewajarnya mewacanakan semula bentuk-bentuk perayaan dan festival dari dalam dan luar negara yang mempunyai kaitan dengan unsur keagamaan lain.

    “Ia perlu dibendung secara konstruktif bagi menjaga maslahah ammah di negara ini,” ujarnya.

  • 2 pekerja terjatuh dalam tangki coklat di kilang gula-gula

    2 pekerja terjatuh dalam tangki coklat di kilang gula-gula

    DUA pekerja terjatuh ke dalam tangki coklat di kilang gula-gula Mars Wrigley di Pennsylvania, semalam, lapor media Amerika Syarikat (AS).

    Bagaimanapun keduad-uanya berjaya diselamatkan selepas terjatuh ke dalam tangki coklat di kilang gula-gula Mars Wrigley di Pennsylvania, lapor media Amerika Syarikat (AS).

    Menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi, kedua-duanya tidak dapat keluar dari tangki tersebut yang mana mereka dilaporkan berdiri separas pinggang dalam muatan coklat sehingga diselamatkan.

    Rakaman media tempatan di lokasi kejadian menunjukkan sejumlah anggota polis dan kenderaan kecemasan berada di luar kilang milik sebuah syarikat coklat di bandar Elizabethtown timur laut AS.

    Pekerja itu dibawa ke hospital tetapi keadaan mereka tidak diketahui, kata media tempatan.

    Setakat ini, punca yang menyebabkan dua pekerja itu terjatuh ke dalam tangki tersebut masih belum diketahui.

    Lima anggota bomba telah berjaya menarik mereka keluar dari tangki, kata Brad Wolfe iaitu penyelia komunikasi untuk penghantaran daerah Lancaster.

    Pihak berkuasa telah dipanggil untuk membantu kerja-kerja menyelamat manakala Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sedang menyiasat kejadian tersebut.

  • Mufti Perlis beri dua cadangan kepada penganjur Bon Odori

    Mufti Perlis beri dua cadangan kepada penganjur Bon Odori

    MUFTI Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin mencadangkan dua perkara kepada penganjur Festival Bon Odori susulan isu pertembungan agama dan budaya yang menjadi pertikaian beberapa pihak.

    “Cadangan pertama ialah isi sambutan festival itu tidak bersifat keagamaan dengan tidak memasukkan unsur khurafat atau syirik dan tiada ritual yang mewakili kepercayaan tertentu.

    “Keduanya, jika boleh berikan nama baharu atau nama tambahan di samping nama Bon Odori bagi mengelakkan kekeliruan dengan perayaan asal yang mempunyai unsur syirik dan khurafat.

    “Ini seperti menamakan festival kebudayaan Jepun atau masyarakat Jepun, maka dengan itu festival dapat diteruskan dan polemik dapat dikurangkan,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan, pihaknya tidak akan menghalang mana-mana individu untuk menghadiri Festival Bon Odori yang dijadual pada 16 Julai depan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).

    Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, penetapan itu dibuat susulan titah Sultan Selangor yang tidak berkenan apa-apa keputusan mengenai perkara tersebut disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian mendalam.

    Media sebelum ini melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai program tersebut kerana mengandungi unsur agama lain.