Author: Admin

  • Kes rompak: Pemandu e-hailing, rakan dipenjara

    Kes rompak: Pemandu e-hailing, rakan dipenjara

    PEMANDU e-hailing dihukum penjara 10 tahun sementara rakannya dikenakan hukuman sama selama 11 tahun bersama enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Tawau selepas mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang lelaki.

    Hukuman diputuskan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas kedua-dua tertuduh, Ziana Abdul Zain, 27, dan Hamzah Syed Hamid, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan, mengikut laporan Berita Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersama seorang lagi rakan yang masih bebas ke atas harta milik Mohd. Rizwan Evaristus, 27, iaitu satu unit telefon bimbit jenama Vivo ketika mangsa menggunakan perkhidmatan e-hailing dipandu Ziana.

    Kejadian dilaporkan berlaku di hadapan sebuah hotel, di pusat bandar sekitar Tawau pada pukul 3.36 pagi pada 14 Jun lalu.


    Ketika rompakan berlaku, Ziana yang juga warga Filipina berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) memandu kenderaan jenis Proton Gen2 bersama dua lelaki termasuk Hamzah yang bersembunyi di tempat duduk belakang.

    Difahamkan, seorang daripada mereka mengacukan senjata berbahaya (pisau) kepada mangsa.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Suhaimi Suriana, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira trauma dilalui mangsa ketika bergelut untuk menyelamatkan diri semasa kejadian, selain kesalahan dilakukan amat serius serta demi kepentingan awam.

    Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bagaimanapun dalam rayuan masing-masing memohon hukuman diringankan.

    Awang Kerisnada menetapkan hukuman penjara bermula tarikh mereka ditangkap iaitu 15 Jun lalu, selain memerintahkan Ziana dirujuk kepada Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman untuk diusir pulang ke negara asal.

  • Pemain skuasy nombor satu negara parah kemalangan, tak sertai Sukan Komanwel

    Pemain skuasy nombor satu negara parah kemalangan, tak sertai Sukan Komanwel

    PEMAIN skuasy wanita nombor satu negara, S. Sivasangari tidak dapat menyertai Sukan Komanwel selepas cedera parah dalam kemalangan kereta di Lebuhraya Maju semalam.

    Menurut Free Malaysia Today yang memetik laporan New Straits Times, pemain nombor 19 dunia itu cedera di kepala dalam kemalangan tersebut.

    Sivasangari berada di tempat duduk penumpang ketika kereta yang dinaikinya terbabit dalam pertembungan dengan sebuah lori.

    Wanita itu sempat dikeluarkan dari kereta sebelum ia terbakar dan beliau dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk menjalani pembedahan.

    Sukan Komanwel akan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini di Birmingham, England.

    Anak jati Kedah itu merupakan sandaran negara untuk meraih pingat dalam acara individu dan beregu wanita.

    Pemain berusia 23 tahun itu memenangi kejuaraan kebangsaan keduanya bulan ini dan dijangka menjadi pembawa bendera kontinjen negara bersama atlet Paralimpik Bonnie Bunyau Gustin di Birmingham.

  • Sindiket tipu pembelian online beroperasi dari banglo mewah tumpas

    Sindiket tipu pembelian online beroperasi dari banglo mewah tumpas

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan belian barangan online yang beroperasi dari sebuah banglo mewah tiga tingkat dalam serbuan di Batu Ferringhi, kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin.

    Dalam serbuan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang itu, seramai 23 suspek warga Taiwan berusia antara 19 hingga 48 tahun turut ditahan.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sindiket itu dipercayai baru beroperasi kira-kira sebulan lalu dan menawarkan produk pembelian online seperti beg tangan wanita, minyak wangi, kasut dan sebagainya.

    “Siasatan awal mendapati kesemua suspek warga Taiwan itu ditawarkan bekerja di Pulau Pinang dengan gaji sebanyak RM7,000 sebulan.

    “Bagaimanapun, mereka hanya menerima bayaran sebanyak RM5,000 kerana dipercayai turut ditipu oleh satu sindiket untuk datang bekerja di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di Bukit Mertajam hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, turut dirampas dalam serbuan itu adalah pelbagai barangan termasuk 46 buah telefon bimbit; laptop (14); Ipad (8); ‘walkie-talkie’ (6) dan kad prabayar (12).

    Bagaimanapun jelas beliau, polis masih menyiasat jumlah kerugian serta sedang mengesan dalang sindiket itu kerana ketika serbuan, suspek dikatakan sempat memadam sebahagian daripada bahan bukti kes berkenaan.

    “Namun, siasatan awal mendapati tidak ada rakyat Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan ini buat masa ini,” katanya.

    Mohd. Shuhaily berkata, kesemua suspek direman selama enam hari bermula semalam dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Jika sabit kesalahan jelas beliau, boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun selain dikenakan sebatan.

    Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat pembelian secara online selain melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan yang berlaku di sekitar kawasan kediaman masing-masing.

  • Pelajar perempuan 16 tahun ditemui mati disyaki dibunuh kekasih

    Pelajar perempuan 16 tahun ditemui mati disyaki dibunuh kekasih

    SEORANG pelajar perempuan Tingkatan Empat ditemui maut disyaki dibunuh kekasihnya selepas berlaku perselisihan faham di rumah lelaki berkenaan di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 3.40 pagi berhubung penemuan remaja perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri di halaman rumah itu.

    “Pada pukul 2 pagi semalam, suspek dipercayai membawa mangsa ke bilik di rumahnya, kemudian berlaku perselisihan faham dan suspek dipercayai menyebabkan kematian mangsa.

    “Siasatan juga mendapati suspek mengangkat mangsa dan membawa keluar dari bilik hingga ke halaman rumah itu.

    “Kemudian suspek meminta bantuan daripada ahli keluarganya. Ahli keluarga menelefon polis serta memaklumkan kejadian itu dan kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Hoong Fong berkata, hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan calar dan lebam di bahagian muka dan leher.

    “Hasil bedah siasat yang dijalankan pula mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas akibat ditekup disyaki dengan menggunakan bantal. Bantal itu dijadikan barang bukti kes,” katanya.

    Tambahnya lagi, siasatan mendapati mangsa berumur 16 tahun yang juga pelajar sekolah di Lembah Klang manakala suspek berumur 24 tahun dan tidak bekerja.

    “Suspek berkenalan dengan mangsa selama setahun dan hubungan mereka diketahui keluarga malah suspek sudah beberapa kali membawa mangsa ke rumah itu.

    “Bagaimanapun ketika kejadian, ibu bapa serta abang suspek sedang tidur dan mereka tidak mendengar bunyi bising, hanya dikejutkan oleh suspek selepas kejadian itu,” katanya.

    Katanya, suspek yang tiada rekod lampau kini ditahan reman sehingga 3 Julai depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

  • Maritim Malaysia rampas 62 set bubu naga di perairan Pulau Pinang

    Maritim Malaysia rampas 62 set bubu naga di perairan Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 62 set bubu naga di tujuh lokasi berbeza di kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika barat Permatang Keriang, Penaga, antara pukul 4.40 hingga 6.40 petang semalam.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bubu naga itu dikesan ketika rondaan rutin bot Maritim Malaysia yang menemukan beberapa pelampung mencurigakan di lokasi berkenaan.

    Kata beliau, kesemua bubu naga dengan anggaran nilai RM7,500 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.
     
    Tegasnya, penggunaan bubu naga merupakan peralatan penangkapan hasil laut yang diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif serta merosakkan ekosistem perairan dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

    “Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tanbah Abd. Razak, masih terdapat individu yang berdegil menggunakan kaedah penangkapan hasil laut yang tidak dibenarkan dan Maritim Malaysia mengingatkan mereka supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

    Semua bubu naga dengan anggaran nilai RM7,500 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut

    Sehubungan itu tegasnya, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Pulau Pinang.

    “Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

  • Didera ibu bapa angkat, remaja lari ke balai polis

    Didera ibu bapa angkat, remaja lari ke balai polis

    SEORANG remaja perempuan nekad melarikan diri dari rumah keluarga angkatnya di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, selepas dipukul ibu dan bapa angkatnya menggunakan rotan, 22 Jun lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Manjiji berkata, mangsa melarikan diri ke Balai Polis Sri Hartamas 1.15 tengah hari pada hari kejadian.

    “Mangsa bertindak sedemikian kerana tidak tahan didera dan dipukul menggunakan rotan oleh ibu dan bapa angkatnya yang masing-masing berusia 55 dan 66 tahun.

    “Difahamkan punca mangsa dipukul kerana keadaan rumah berkenaan tidak terurus dan tidak dikemas oleh remaja terbabit,” katanya, lapor Harian Metro.

    Habibi berkata, mangsa dilaporkan dalam keadaan baik dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

    “Kami juga sudah memaklumkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut dan menempatkan remaja berkenaan di tempat selamat.

    “Susulan laporan itu, kedua-dua suspek ditahan pihak polis pada hari sama laporan dibuat mangsa berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

    Mengulas lanjut, kedua-dua suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada 23 Jun lalu selepas keterangan mereka diambil bagi membantu siasatan.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera dan menganiaya mangsa,” katanya.

  • Kapal LPG asing ditahan ceroboh perairan negara

    Kapal LPG asing ditahan ceroboh perairan negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN sebuah kapal tangki Liquefied Petroleum Gas (LPG) dari Monrovia, Liberia menceroboh dan bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor timur semalam, membawa padah apabila ditahan Agensi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

    Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, pihaknya mengesan kehadiran kapal LPG asing itu sebelum menahannya pada kedudukan 14.5 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, Kota Tinggi.

    Beliau memberitahu, kapal tangki LPG berkenaan ditahan pukul 3.15 petang oleh bot ronda maritim semasa melaksanakan operasi rutin.

    “Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan 16 kru lelaki termasuk nakhoda terdiri daripada lapan warga Korea Selatan dan lapan warga Indonesia berumur antara 21 hingga 52 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Pemeriksaan ke atas dokumen kapal mendapati nakhoda telah gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kapal itu seterusnya ditahan dan nakhoda beserta seorang kru dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.

    Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan PerkapalanSaudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    Maritim Johor katanya, menasihatkan kepada pemilik atau pengusaha perkapalan agar sentiasa memastikan kapal-kapal di bawah seliaan mereka untuk mematuhi undang-undang dan peraturan di perairan negara.

  • Tiada sebab Khir Toyo mahu ceraikan isterinya

    Tiada sebab Khir Toyo mahu ceraikan isterinya

    BEKAS Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo, 57, enggan menceraikan isterinya, Zaharah Kechik, 57,

    Sebaliknya kata beliau, permohonan untuk bercerai adalah permintaan isterinya.

    Namun Mohamad Khir menyerahkan perkara itu kepada Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam untuk menentukan masa depan rumahtangganya yang dibina sejak lebih 30 tahun itu.

    “Pertamanya isteri saya minta cerai, sebagai suami saya sudah laksanakan tanggungjawab, saya tiada sebab hendak menceraikannya, jadi itulah puncanya.

    “Kita akan biarkan mahkamah tentukan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Syariah Shah Alam, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hari ini Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam memerintahkan bekas Menteri Besar Selangor itu dan isterinya agar melantik hakam Islah bagi kes perceraian mereka.

    “Plaintif (Zaharah) masih tekad untuk berpisah manakala defendan (Mohamad Khir) mahu membincangkan hal (perceraian itu).

    “Berikutan itu, kedua-dua pihak perlu melantik hakam Islah dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Julai depan,” katanya.

    Terdahulu, Mohamad Khir yang berkemeja putih, berseluar hitam dan bersongkok manakala Zaharah yang berbaju kurung tiba di mahkamah itu dengan peguam, kira-kira jam 9 pagi.

    Sementara itu, peguam mewakili Zaharah, Datuk Dr. Mohd. Zaidi Md. Zain berkata, anak guamnya memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 pada 24 Februari lalu.

    “Selepas mendengar laporan JKP, mahkamah hari ini mendapati berlaku syiqaq iaitu perbalahan berpanjangan dalam rumah tangga kedua-dua pihak.

    “Oleh demikian, anak guam saya dan defendan perlu melantik hakam Islah iaitu wakil lelaki untuk berbincang sebelum menyerahkan laporan kepada mahkamah,” katanya.

    Sementara itu, peguam Elly Jasmin Aminuddin yang mewakili Mohamad Khir pula berkata, pihaknya akan menamakan hakam pada tarikh yang ditetapkan itu.

    “Satu perbincangan akan turut dilakukan antara hakam-hakam Islah pada hari berkenaan dan sepanjang prosiding kes ini, kita akan melihat isu syiqaq itu sebenarnya berpunca daripada siapa,” katanya.

  • Ibu maut, anak perempuan parah kereta dinaiki terbabas

    Ibu maut, anak perempuan parah kereta dinaiki terbabas

    SEORANG wanita maut manakala anak perempuannya parah apabila kereta dinaiki terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Beris Lalang, Bachok, malam tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 10 malam itu telah mengorbankan kerani swasta, Aslina Ismail, 46, manakala anak perempuannya yang berusia 11 tahun cedera di bahagian kepala dan patah tangan.

    Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, mangsa memandu kereta jenis Proton Gen 2 bersama anak perempuannya dalam perjalanan dari Besut menghala pulang ke rumah di Kampung Air Deras, Kota Bharu.

    “Apabila sampai di Jalan Beris Lalang, Bachok, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan kemudian terus merempuh sebatang pokok.

    “Mangsa dikejarkan Klinik Kesihatan Bachok untuk rawatan awal namun disahkan meninggal dunia pada pukul 10.15 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohamad Ismail berkata, anak perempuan mangsa kini masih dirawat di hospital.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Bubar Parlimen untuk selesai kes mahkamah-Anwar

    Bubar Parlimen untuk selesai kes mahkamah-Anwar

    DESAKAN untuk membubarkan parlimen supaya pilihan raya awal dapat diadakan adalah tindakan terdesak beberapa pemimpin UMNO untuk melepaskan diri masing-masing daripada kes mahkamah yang sedang dihadapi mereka.

    Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini susulan asakan demi asakan beberapa pemimpin yang berkeras mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) walaupun penggal tersebut berbaki lebih setahun lagi.

    “Sebab apa Parlimen nak bubar? Sebab kluster mahkamah nak settle (selesaikan) kes dia.

    “Ingat kalau dia menang PRU, dia boleh tutup kes. Jadi, rasional bubar itu kita pertikaikan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli partinya di Rawang, Selangor, lewat petang, semalam, lapor Malaysiakini hari ini.

    Sebelum ini, beberapa pemimpin-pemimpin UMNO berkata, mereka sedia menunggu untuk pilihan raya diadakan selepas memorandum persefahaman (MOU) kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tamat pada 31 Julai depan.

    Antara pemimpin yang terus memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Kedua-dua mereka sedang berdepan kes rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah dan sering dilabel sebagai ‘kluster mahkamah’.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata bahawa PH bersedia untuk menghadapi PRU-15, sekalipun jika parlimen dibubarkan lebih awal.

    “Walaubagaimanapun, kalau parlimen bubar kita bersedia.

    “Sebab sambutan rakyat sangat baik. Jadi kita bersedia,” katanya.