SEORANG wanita maut manakala anak perempuannya parah apabila kereta dinaiki terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Beris Lalang, Bachok, malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 10 malam itu telah mengorbankan kerani swasta, Aslina Ismail, 46, manakala anak perempuannya yang berusia 11 tahun cedera di bahagian kepala dan patah tangan.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, mangsa memandu kereta jenis Proton Gen 2 bersama anak perempuannya dalam perjalanan dari Besut menghala pulang ke rumah di Kampung Air Deras, Kota Bharu.

“Apabila sampai di Jalan Beris Lalang, Bachok, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan kemudian terus merempuh sebatang pokok.

“Mangsa dikejarkan Klinik Kesihatan Bachok untuk rawatan awal namun disahkan meninggal dunia pada pukul 10.15 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Mohamad Ismail berkata, anak perempuan mangsa kini masih dirawat di hospital.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here