Author: Wartawan WartaRakyat

  • Virus cacar monyet boleh tular melalui hubungan seks

    Virus cacar monyet boleh tular melalui hubungan seks

    VIRUS cacar monyet dikhuatiri boleh menular melalui hubungan seks, menurut pihak berkuasa kesihatan United Kingdom (UK).

    Sehubungan itu, agensi-agensi kesihatan di negara berkenaan menasihatkan mereka yang dijangkiti virus tersebut agar tidak melakukan hubungan seks.

    Memetik laporan Mirror, nasihat itu terkandung dalam panduan terkini yang disedakan empat agensi kesihatan awam iaitu Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA), Kesihatan Awam Scotland (PHS), Kesihatan Awam Wales (PHW) dan Agensi Kesihatan Awam Ireland Utara (PHA).

    Mereka turut menasihatkan agar pesakit cacar monyet yang telah sembuh mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai kondom ketika melakukan hubungan seks.

    “Pesakit mesti menahan diri daripada melakukan hubungan seks pada peringkat awal simptom dikesan dan mengelakkan sentuhan dengan cacar.

    “Walaupun tiada bukti yang menunjukkan cacar monyet boleh disebarkan melalui sperma, sebagai langkah berjaga-jaga, pesakit dinasihatkan memakai kondom dalam masa lapan minggu selepas dijangkiti,” jelasnya.

    Sebelum ini, mereka menyatakan bahawa cacar monyet disebarkan melalui sentuhan fizikal, khususnya menerusi cacar dan kudis pesakit.

    “Pesakit cacar monyet perlu mengelakkan sentuhan dengan orang lain sehingga cacar mereka sembuh dan kudis menjadi kering.

    “Mereka boleh mengurangkan risiko penularan virus dengan mematuhi kaedah pembersihan dan nyahjangkitan standard serta mencuci pakaian dan alas tilam dengan sabun secara berasingan,” tambahnya.

    Pihak berkuasa kesihatan UK turut menasihatkan pesakit cacar monyet agar mengasingkan diri di rumah sehingga mereka sembuh.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran, jumlah kes cacar monyet di seluruh dunia mungkin lebih tinggi kerana dipercayai banyak kes yang tidak dilaporkan.

  • Lelaki ditemukan mati dalam kereta McLaren

    Lelaki ditemukan mati dalam kereta McLaren

    SEORANG  lelaki ditemukan mati di dalam sebuah mewah berhampiran sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya, petang semalam.

    Orang ramai menghubungi polis selepas mendapati lelaki berusia 28 tahun itu tidak sedarkan diri.

    Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Najilan Che Pa berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada 6.03 petang sebelum menggerakkan jentera ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati sebuah kereta mewah model McLaren diparkir berhadapan pusat hiburan berkenaan dan terdapat mangsa seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Anggota kemudian bertindak membuka pintu kereta berkenaan menggunakan alatan khas. Sebaik berjaya dibuka, pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

    Berita Harian melaporkan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya yang dipetik Berita Harian berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

    “Siasatan awal mendapati kereta yang digunakan adalah kereta sewa jadi kita masih menyiasat dari semua sudut berhubung penemuan mayat lelaki ini.

    “Setakat ini kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan setakat ini tiada sebarang unsur jenayah ditemui,” katanya.

    Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

    “Kita juga turut sedang menyiasat bagaimanakah kereta yang dinaiki si mati berada di hadapan pusat hiburan berkenaan,” katanya.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999.

  • Empat termasuk penolong pegawai perubatan ditahan rasuah urus jenazah

    Empat termasuk penolong pegawai perubatan ditahan rasuah urus jenazah

    EMPAT individu termasuk dua penolong pegawai perubatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat meminta dan menerima suapan bagi urusan berkaitan kerja pengurusan jenazah membabitkan suapan berjumlah RM1,000 hingga RM4,000 setiap seorang.

    Sumber berkata, dua suspek yang juga pembantu kesihatan berusia 35 dan 38 tahun serta dua penolong pegawai perubatan berusia 37 dan 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang, hari ini di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

    Semua suspek lelaki yang berkhidmat di salah sebuah hospital di Selangor dipercayai meminta dan menerima wang suapan terbabit bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu.

    Difahamkan, ia sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.

    Pengarah SPRM Selangor Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    “Tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok untuk mendapatkan perintah reman.

    “Seorang lagi suspek yang juga penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun akan dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya lapor portal FMT

    Pada 27 Mei lalu, dua pembantu kesihatan berusia 40 dan 42 tahun ditahan reman selama lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes yang sama.

  • Pesta Kaamatan, Hari Gawai tahun ini lebih meriah – Muhyiddin

    Pesta Kaamatan, Hari Gawai tahun ini lebih meriah – Muhyiddin

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada mereka yang menyambutnya di Sabah dan Sarawak.

    Berikut adalah kenyataan penuh beliau seperti yang disiarkan dalam laman Facebook:

    Masyarakat Kadazandusun di Sabah pastinya sedang bergembira meraikan Pesta Kaamatan yang disambut hari ini.

    Perayaan etnik meraikan kesyukuran selepas musim menuai hasil tanaman ini akan diikuti pula oleh sambutan Hari Gawai oleh masyarakat Dayak di Sarawak, dua hari kemudian.

    Tentunya kedua-dua perayaan ini disambut dalam suasana lebih meriah berbanding dua tahun sebelum ini ketika kita sama-sama berjuang melawan penularan pandemik COVID-19.

    Nyatakan kegembiraan meraikan perayaan ini dengan kita saling berkunjung dan merapatkan silaturahim sesama ahli keluarga dan sahabat handai tanpa meringankan aspek keselamatan dan kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat di sekeliling.

    Semoga perayaan ini terus menyemarakkan semangat kebersamaan dan perpaduan antara kaum di bumi Malaysia yang tercinta ini.

    Selamat Menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2022.

  • Penyokong Liverpool ‘punca masalah’ pada malam final

    Penyokong Liverpool ‘punca masalah’ pada malam final


    Menteri Sukan Perancis, Amelie Oudea-Castera berkata, penyokong Liverpool yang tiba tanpa tiket sah dan pemuda tempatan yang cuba menceroboh masuk merupakan punca huru-hara sebelum permulaan final Liga Juara pada Ahad lalu.

    “Apa yang kita kena fikirkan adalah yang pertama; sejumlah besar penyokong Liverpool tiba sama ada tanpa tiket atau mempunyai tiket palsu. Apabila terdapat ramai di hadapan pintu masuk, ramai yang akan cuba untuk menceroboh kawasan. Terdapat sejumlah pemuda-pemuda tempatan yang cuba memasuki perlawanan tersebut dengan menyelinap bersama penyokong lain,” katanya.

    Sepak mula final Liga Juara Real Madrid menentang Liverpool ditangguhkan selama 35 minit selepas pihak polis Perancis menahan penyokong-penyokong yang cuba memasuki perlawanan besar itu tanpa tiket sementara yang mempunyai tiket sah tidak dapat memasuki Stade de France.

    Rakaman Televisyen menunjukkan gambar pemuda-pemuda yang tidak memakai baju Liverpool memanjat pagar manakala penyokong lain termasuk kanak-kanak disembur dengan gas pemedih mata.

    Keadaan yang huru-hara di stadium nasional itu dikatakan ‘memalukan’ dan akan menjejaskan imej Perancis yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Rugbi 2023 dan Kejuaraan Olimpik pada tahun 2024.

    Pengarah Eksekutif Liverpool, Billy Hogan menyatakan layanan terhadap penyokong mereka itu ‘tidak boleh diterima’ dan meminta penyiasatan yang mendalam oleh UEFA.

    Oudea-Castera berkata mereka ‘tidak mempunyai masalah’ dengan penyokong di bahagian bertentangan, Real Madrid dan memuji kelab Sepanyol tersebut kerana mengawal penyokong mereka dengan lebih baik.

  • Calon Naib Presiden PKR ragui keputusan, mahu siasatan dijalankan

    Calon Naib Presiden PKR ragui keputusan, mahu siasatan dijalankan

    SEORANG calon Naib Presiden yang kalah meragui hasil pemilihan PKR menggesa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) melaksanakan siasatan.

    Lebih menarik lagi, calon itu mendakwa berlaku “penipuan internet” yang menyaksikan kumpulan tertentu mencapai kemenangan.

    “Sekarang puak kami kalah teruk, terlalu teruk. Ini ‘permainan internet’ kita tak boleh cakap kerana internet kepakaran mereka, kami nak tahu respons JPP,” katanya lapor portal FMT.

    Calon itu yang juga Ahli Parlimen berkata, selain Gombak, beberapa bahagian lain seperti Bachok, Tanah Merah, Tanjong Karang, termasuk beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak telah memfailkan bantahan kepada JPP.

    “Terlalu banyak keraguan, majoriti keraguan amat luar biasa, berlaku banyak protes untuk disemak semula berpandukan rekod dan dokumen yang mereka (bahagian) ada.

    “Kami cadang buat audit forensik supaya lebih adil kepada mereka yang bertanding. Kita dah hantar surat, kita ada bukti jelas,” katanya.

    Semalam, Farhash Wafa Salvador Mubarak calon yang kalah dalam persaingan merebut jawatan Ketua Bahagian PKR Gombak, menggesa dilakukan audit forensik terhadap proses pemilihan parti itu.

    Farhash yang tewas kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bagi jawatan itu turut menuntut badan bebas yang dipersetujui semua pihak untuk meneliti dakwaannya.

    “Saya ingin menyatakan keraguan yang amat tinggi terhadap ketelusan dan kebenaran keputusan dikeluarkan itu. Pihak saya mempunyai bukti dan dokumentasi yang kukuh untuk menyatakan bantahan rasmi, dengan gesaan untuk parti menjalankan satu audit forensik terhadap sistem keputusan dan kaedah pelaksanaannya,” katanya.

  • Adam Adli menang jawatan Ketua Pemuda PKR

    Adam Adli menang jawatan Ketua Pemuda PKR

    ADAM Adli dipilih sebagai Ketua Pemuda PKR yang baharu selepas mengalahkan Fahmi Zainol dalam pemilihan parti itu.

    Aktivisi Mahasiswa itu mengesahkan kemenangannya selepas menerima ucapan tahniah daripada Fahmi.

    AKTIVIS mahasiswa Adam Adli mengesahkan beliau memenangi jawatan ketua Pemuda PKR pada pemilihan parti itu kali ini.

    “Saya baru dimaklumkan tentang (kemenangan) keputusan pemilihan,” katanya lapor portal FMT.

    Semalam, Adam dilaporkan mendahului bagi jawatan itu selepas memperoleh 7,545 undi di empat negeri.

    Mengulas lanjut Adam meminta semua barisan kepimpinan baharu dan ahli parti supaya kembali merapatkan saf dan memperkukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

    “Saya ucap terima kasih semua anggota telah jalankan demokrasi. Terima kasih untuk semua atas penghormatan dan komitmen ditunjukkan ahli dalam menunaikan tanggungjawab. Harapan saya untuk melihat kepimpinan baharu ini dapat jalankan tugas dengan lebih baik, dapat mengisi kelompongan yang ada dalam parti sebelum ini untuk terus perkuat parti hadapi PRU akan datang,” katanya.

    Beliau juga menafikan kononnya wujud puak-puak tertentu dalam pemilihan kali ini, sebaliknya berkata, semua bersatu hati untuk memperkuatkan parti.

    “Semua orang fokus persiapan PRU, tidak timbul isu puak-puak dalam parti dalam pemilihan. Tak timbul juga isu yang kalah merajuk, yang menang berbangga. Sebagai contoh semalam Saifuddin Nasution (calon timbalan presiden walaupun tewas) sudah tunjuk satu contoh baik,” katanya.

    Dalam pada itu, Adam berkata, setiap ahli parti yang bertanding dan tewas pemilihan kali ini akan diberi peranan masing-masing dan tidak akan dipinggirkan oleh parti.

  • 1,178 kes HFMD dicatatkan di Kedah

    1,178 kes HFMD dicatatkan di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 1,178 kes baharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dicatatkan di Kedah sepanjang tempoh Minggu Epidemiologi ke-21 (ME21) yang bermula 22 Mei hingga 28 Mei lalu.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, angka itu mencatatkan pertambahan sebanyak 388 kes atau 49 peratus berbanding minggu sebelumnya.

    Katanya, terdapat lima wabak baharu dilaporkan melibatkan tiga pra-sekolah, satu taman asuhan kanak-kanak (taska) dan satu tadika.

    “Empat daripada premis berkenaan diarah tutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 manakala satu lagi premis tidak ditutup kerana didapati berisiko rendah daripada penyebaran jangkitan.

    “Semua kes dilaporkan itu menunjukkan gejala ringan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar. Tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, dengan pertambahan kes dicatatkan sepanjang minggu itu, jumlah kes HFMD di Kedah setakat 28 Mei lalu secara keseluruhannya berjumlah 3,403 kes.

    Angka itu katanya, jauh mengatasi catatan kes dalam tempoh sama pada 2019 iaitu sebelum kedatangan pandemik Covid-19 yang mencatatkan hanya 2,628 kes.

    Menurutnya, sepanjang tahun ini daerah Kuala Muda mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 785 kes diikuti Kubang Pasu sebanyak 494 kes dan Kulim 451 kes.

    “Sepanjang tahun ini juga, sebanyak 45 wabak HFMD dilaporkan di Kedah dengan 44 daripadanya berlaku di pusat jagaan serta pendidikan awal kanak-kanak seperti Taska, Tadika dan pra-sekolah.

    “Sebanyak 43 premis telah diarahkan tutup sementara atau ditutup secara sukarela bagi tujuan sanitasi serta pencegahan jangkitan,” katanya.

  • Perebutan ‘berakhir’, Saifuddin ucap tahniah kepada Rafizi

    Perebutan ‘berakhir’, Saifuddin ucap tahniah kepada Rafizi

    PEREBUTAN kerusi Timbalan Presiden PKR ‘berakhir secara tidak rasmi’ malam tadi apabila Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang bertarung dengan Rafizi Ramli mengucap tahniah kepada lawannya itu yang mendahului perolehan undi di seluruh negara.

    Melalui catatan dalam Facebookny, Saifuddin berkata, beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli PKR seluruh negara.

    “Jawatankuasa Pemilihan Parti telah paparkan keputusan pemilihan pada hari ini. Biarpun belum dikira keputusan rasmi, namun saya telah mengutus ucap tahniah kepada Rafizi Ramli, Nik Nazmi (Nik Ahmad), Chang Li Kang dan lain-lain pemenang.

      “Sikap saya mudah dan jelas. Hormat keputusan yang dibuat oleh anggota-anggota parti. Amalan demokrasi menentukan ada yang terpilih dan ada yang tidak. Jangan sesekali carikkan silaturrahmi. Sentiasa jaga perpaduan sesama anggota parti. Insya-Allah, PKR akan terus kuat,” katanya

    Saifuddin berkata, tugasnya sebagai Setiausaha Agung PKR akan berakhir sebaik sahaja selesai Kongres Nasional PKR yang akan berlangsung Jun nanti dan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) selesai dipilih.

    Keputusan tidak rasmi yang dipaparkan di laman sesawang Pemilihan PKR 2022 menyaksikan Mohd Rafizi jauh meninggalkan Saifuddin dalam persaingan merebut kerusi nombor dua PKR.

    Setakat pukul 8.30 malam tadi, keputusan tidak rasmi untuk 13 negeri melibatkan 190 cabang menyaksikan Mohd Rafizi memperolehi 64,423 undi.

    Saifuddin yang juga ahli parlimen Kulim Bandar Baru jauh di belakang dengan mendapat 47,140 undi ketinggalan 17,283 undi.

  • Kanak-kanak lima tahun saksi ibu dibunuh secara kejam

    Kanak-kanak lima tahun saksi ibu dibunuh secara kejam

    SEORANG wanita ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman pada anggota badan di bilik sewanya, di sebuah bangunan di Bandar Baru Batu Kawah di Kuching semalam.

    Lebih menyedihkan, menurut sumber, kematian wanita terbabit dipercayai disaksikan sendiri oleh anaknya yang berusia lima tahun.

    Memetik Astro AWANI, katanya, kejadian itu disedari oleh kenalan mangsa yang juga seorang pengusaha kedai kopi di premis berhampiran.

      “Terdahulu, anak mangsa telah berlari keluar sambil menangis menuju ke kedai kopi terbabit.

    “Bimbang sesuatu buruk berlaku, pengusaha terbabit telah membawa kanak-kanak berkenaan kembali ke rumah mereka, dan menemui mangsa berlumuran darah.

    “Pengusaha terbabit kemudian segera melaporkan kejadian terbabit kepada pihak polis,” katanya di sini, pada Ahad.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan kejadian sekitar jam 5.30 petang itu.

    “Polis masih menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat lanjut mengenai kejadian terbabit.

    “Mangsa dipercayai berasal dari Kalimantan Barat dan tinggal bersama anak perempuannya berusia lima tahun,” katanya.