Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tangguh pemilihan parti, usaha halang Ismail jadi Presiden UMNO, dakwa Nazri`

    Tangguh pemilihan parti, usaha halang Ismail jadi Presiden UMNO, dakwa Nazri`

    TINDAKAN kumpulan kluster mahkamah dalam UMNO menangguhkan pemilihan parti bertujuan untuk menghalang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada menjadi Presiden parti itu, dakwa Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

    Bercakap kepada portal MalaysiaNow, beliau berkata, sejarah Malaysia menyaksikan individu yang dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri akan disahkan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebagai Timbalan Presiden.

    “Hampir semua Timbalan Perdana Menteri terdahulu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dahulu, kemudian parti akan undi sebagai Timbalan Presiden. Ismail dipilih oleh ahli Parlimen kita sendiri menjadi Perdana Menteri, tak logik dia tak jadi Presiden dalam parti,” katanya.

    Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan ahli Parlimen Umno yang diketuai Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak yang mempunyai pelbagai pertuduhan berkait jenayah rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

    Nazri berkata, kepimpinan UMNO sedia ada dijangka tewas sekiranya pemilihan diadakan dalam masa terdekat kerana rata-rata ahli UMNO tidak bersama-sama dengan kepimpinan dalam soal tarikh pilihan raya.

    “Mereka tidak mahu pilihan raya awal. Mereka ini orang yang jujur yang terkesan dengan yang apa sedang berlaku. Kluster mahkamah dan mereka yang kalah pilihan raya sahaja yang mahu pilihan raya,” katanya.

    Ahmad Zahid dalam Konvensyen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini.

    Ismail pula berkata pilihan raya perlu diadakan selepas BN benar-benar bersedia.

    UMNO baru-baru ini meminda Perlembagaan dalam Perhimpunan Agung Khas bagi membolehkan pemilihan parti ditangguhkan sehingga enam bulan selepas pilihan raya umum.

    Menurut Nazri, walaupun beliau menyokong pindaan itu sekiranya ia dikehendaki majoriti, ia tidak boleh terus dilaksanakan.

    “Tempoh 18 bulan akhir ini ialah untuk kita mengadakan pemilihan parti, bukan digunakan untuk membuat sesuatu yang tidak dibenarkan dalam perlembagaan parti sebelum ini. Ia untuk masa depan, bukan untuk memanjangkan tempoh pemegang jawatan,’’ katanya.

    Pentadbiran Ismail kata beliau berdepan cabaran harga barangan asas yang naik dan inflasi yang mampu menggugat kepercayaan orang ramai.

    Justeru, Nazri berkata tidak wajar untuk diadakan PRU15 dalam masa terdekat.

    Dalam pada itu, bekas Menteri Undang-undang tersebut berkata, sukar untuk gesaan mengadakan PRU15 lebih awal diterima.

    ‘’Ini kerana cadangan membubar Parlimen perlu melalui beberapa tahap antara berbincang dengan ketua-ketua parti komponen dalam kerajaan, perbincangan bersama Kabinet dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Pilihan raya tidak akan terjadi hanya kerana UMNO yang mendesak agar Parlimen dibubar,” katanya.

  • DAP bidas sikap tidak konsisten Ismail Sabri

    DAP bidas sikap tidak konsisten Ismail Sabri

    TINDAKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  yang dilihat tidak konsisten atau fllip flop dalam membuat kenyataan berkaitan bila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dikecam DAP.

    Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke berkata, Perdana Menteri  yang dipetik oleh Nikkei Asia pada Isnin berkata, PRU-15 tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat, namun dalam ucapan di konvensyen Barisan Nasional (BN) semalam, beliau mengatakan tidak akan melengah-lengahkan pembubaran Parlimen walaupun sesaat jika gabungan itu telah bersedia.

    “Namun dalam masa 48 jam sahaja, beliau telah menukar nada semasa berucap di konvensyen BN. Pokoknya perdana menteri perlu konsisten dan tegas dalam pendiriannya,” katanya melalui  Facebook hari ini.

    Beliau turut mengingatkan Ismail Sabri bahawa keputusan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen adalah budi bicara Perdana Menteri.

    Oleh itu katanya, keputusan yang begitu penting itu tidak seharusnya dipengaruhi oleh pihak tidak berkaitan yang hanya mementingkan “survival” politik mereka.

    “Sekiranya beliau benar-benar ingin menangani isu inflasi daripada memanggil pilihan raya dalam tempoh terdekat, maka sebagai Perdana Menteri beliau perlu mencari konsensus merentasi parti supaya seluruh fokus nasional menjurus kepada agenda membantu rakyat,” katanya.

    Pada masa sama, Loke menegaskan bahawa DAP tidak pernah bimbang untuk menghadapi pilihan raya yang diadakan pada bila-bila masa tetapi kenyataan dan mesej “flip-flop” hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berlanjutan dan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara.

    “Kami telah bersedia. Isu utamanya ialah Perdana Menteri perlu lebih tegas dalam pendiriannya,” katanya.

    Top of Form

    Bottom of Form

  • Ciapan Johnny Depp menyentuh hati

    Ciapan Johnny Depp menyentuh hati

    PENDERITAAN enam tahun Johnny Depp berakhir apabila barisan Juri di mahkamah Circuit di Fairfax, Virginia, mendapati aktres Amber Heard membuat fitnah terhadap Johnny Depp mengenai dakwaan didera oleh bekas suaminya.

    Pada tahun 2018, artikel Amber Heard di Washington Post menggegarkan dunia apabila ia menyifatkan Johnny Depp sebagai “wifebeater” atau pemukul isteri.

    Akibatnya, Johnny Depp kehilangan kontrak filem Pirate of the Caribbean bernilai hampir RM1 billion (USD 22.5 juta) menurut laporan New York Post.

    Berikutan artikel tersebut, John Christopher Depp, 58 atau lebih dikenali sebagai Johnny Depp memfailkan saman fitnah terhadap Heard dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM219 juta (USD 50 Juta).

    Dalam keterangan kepada mahkamah, bintang Pirate of the Caribbean itu menafikan dakwaan melakukan penderaan fizikal terhadap Heard, sebaliknya mendakwa wanita itu yang kerap bertindak ganas ke atasnya.

    Tujuh juri yang mendengar perbicaraan selama enam minggu itu mendapati bahawa artikel ditulis Heard pada 2018 untuk Washington Post mengenai dakwaan keganasan seksual adalah fitnah semata mata kepada Johnny Depp dan memutuskan Johnny Depp dibayar ganti rugi RM65.8 juta (USD 15 juta), lapor New York Times.

    Berikutan meraih kemenangan yang dinanti-nantikan sejak 2018 apabila Johnny Depp, memuat naik kenyataan yang menyentuh hati di Instagram (IG) kira-kira tujuh jam lepas.

    “Enam tahun lalu, hidup saya dan anak-anak termasuk mereka yang rapat dengan saya, juga mereka yang selama ini menyokong dan mempercayai saya, berubah dalam sekelip mata.

    Ciapan menyentuh hati Johnny Depp menerusi Instagram miliknya

    “Tuduhan jenayah palsu dan serius dikenakan terhadap saya melalui media. Ini mencetuskan kebencian ramai yang berterusan biarpun tiada dakwaan dibuat ke atas saya.

    “Saya terharu dengan limpahan kasih sayang dan sokongan dari seluruh dunia. Saya berharap agar kisah saya akan menolong ramai orang, tidak kira lelaki atau wanita yang mendapati diri mereka dalam keadaan saya untuk tidak mengaku kalah”,katanya yang terharu dengan sokongan dan kasih sayang peminat dari seluruh dunia sepanjang proses perbicaraan.

    “Saya berterima kasih kepada hakim, barisan juri, kakitangan mahkamah dan semua pihak lain termasuk kumpulan peguam yang melakukan tugas terbaik untuk membantu saya menegakkan kebenaran.

    Beliau menyifatkan keputusan mahkamah hari ini telah memulangkan kembali hidupnya dan babak baru bakal bermula

    Pada masa yang sama, Amber Heard menyatakan dia patah hati dan sangat kecewa dengan keputusan mahkamah.

    “Kekecewaan yang saya rasa hari ini tidak dapat diungkapkan dengan kata kata. Saya sedih kerana bukti yang banyak masih tidak mencukupi untuk menentang kuasa, dan pengaruh bekas suami saya.

    “Saya sedih atas kekalahan kes ini. Tetapi saya lebih sedih kerana telah kehilangan hak saya sebagai orang Amerika”, katanya.- SATU BERITA

  • Nazri bidas ahli Parlimen gesa adakan PRU-15

    Nazri bidas ahli Parlimen gesa adakan PRU-15

    AHLI Parlimen Padang Rengas Datuk Nazri Aziz membidas tindakan ahli-ahli politik yang menggesa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan ketika negara berhadapan dengan inflasi.

    Beliau menyifatkan golongan tersebut penting dan tidak memikirkan situasi yang dihadapi oleh rakyat.

    Sehubungan itu beliau menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam wawancara bersama akhbar kewangan Nikkei dua hari lalu yang menegaskan akan menunggu “masa yang sesuai” untuk membubarkan Parlimen.

    “Saya setuju dengan Perdana Menteri. Keutamaan kita sekarang adalah kesusahan rakyat dan kita semua tahu inflasi berlaku sekarang, jadi kita kena utamakan rakyat. Kita perlu cari jalan untuk mengatasi inflasi dan memastikan rakyat ada wang yang cukup untuk menyara kehidupan.

    “Itu lebih penting berbanding mementingkan diri sendiri secara politik dengan merasakan ini waktu yang sesuai untuk PRU,” katanya lapor Malaysiakini.

    Mengulas lanjut, Nazri mengkritik pihak dalam partinya yang merasakan kini waktu yang sesuai untuk mengadakan PRU, dengan keadaan pembangkang yang goyah dan kemenangan UMNO dalam beberapa PRN sebelum ini sebagai pertimbangan.

    “Jika itu yang anda fikir, yang inflasi bukan perkara penting dan pilihan raya lebih penting, itu mementingkan diri sendiri. Ahli parlimen dari kedua-dua pihak kini menyokong perdana menteri jadi tiada sebab langsung untuk buat pilihan raya.

    “Bagaimana Ahli Parlimen daripada pihak lain sokong Perdana menteri, tetapi parti Perdana Menteri sendiri tidak menyokongnya?” soal Nazri.

    Dengan keadaan ekonomi semasa, katanya lagi, negara perlu bersedia untuk menangguhkan pilihan raya, malah sehingga akhir penggal ini jika perlu.

    ‘’Apabila penggal sudah tamat dan pilihan raya perlu diadakan, Umno tidak akan dipersalahkan atas perkara itu,’’ katanya.

  • Bekas Puteri Qatar maut akibat terlebih ambil dadah

    Bekas Puteri Qatar maut akibat terlebih ambil dadah

    BEKAS Puteri Qatar ditemukan mati di rumahnya Ahad lalu disebabkan terlebih ambil dadah.

    Kasia Gallano, 45, merupakan bekas isteri kepada Abdelaziz bin Khalifa Al Thani, 73, bapa saudara kepada Emir Qatar.

    Mereka berkahwin pada 2004 dan mempunyai tiga anak perempuan.

    Selepas bercerai berlaku perebutan hak penjagaan anak-anak mereka selama 10 tahun. Gallano menuduh Abedlaziz telah membuat serangan seksual terhadap anak sulungnya, lapor Mirror. Bagaimanapun Abdelaziz menafikan tuduhan tersebut. Selepas

    Selepas Gallano dinafikan hak penjagaan anak-anaknya. Mereka tinggal bersama Abdulaziz di salah satu kawasan perumahan mewah di Montaigne, Paris.

    Beberapa minggu sebelum kematian, Gallanio dalam satu wawancara , dia tidak memiliki kebebasan dan terkena sumpahan wang.

    Dalam wawancara yang dikongsi melalui akaun Instagramnya, Gallanio mendedahhkan bagaimana perkahwinan semata-mata kerana wang telah disumpah.

  • Najib terus ‘dendang lagu lama’ burukkan Muhyiddin

    Najib terus ‘dendang lagu lama’ burukkan Muhyiddin

    TT langsung tak terkejut bila Najib Razak mengambil kesempatan untuk ‘menyerang’ Muhyiddin Yassin ketika Konvensyen BN.

    Najib terus dendang lagu lama dengan mengungkit soal apa yang berlaku ketika negara dilanda pandemik Covid-19. Ia termasuk soal gantung Parlimen dan PKP dalam tempoh yang panjang .

    TT rasa Najib sudah tidak ada modal untuk buruk-burukkan Muhyiddin, jadi beliau terpaksa ungkit isu-isu lama supaya rakyat benci kepada Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN). Faktanya semua orang tahu ketika itu negara sedang berhadapan dengan satu situasi yang tidak pernah dialami oleh negara sejak merdeka.

    Muhyiddin terpaksa melakukan tindakan-tindakan drastik bagi memulihkan negara. Apatah lagi ketika itu walaupun berada dalam kerajaan, segelintir ahli Parlimen UMNO bertindak bagaikan ‘duri dalam daging’.

    Malah Najib sendiri pun hampir setiap hari mengkritik apa sahaja usaha dilakukan oleh Kerajaan PN ketika itu bagi menangani pandemik berkenaan. Kalau Muhyiddin tidak menggantung Parlimen, kestabilan politik akan tergugat kerana ada gerakan mahu melaksanakan undi tidak percaya.

    Undi itu bukan untuk kepentingan rakyat tetapi demi membuka laluan kepada UMNO dan BN kembali berkuasa selepas ditolak rakyat dalam PRU-14.

    Tak kan ketika negara tengah tenat akibat pandemik Covid-19 nak ditambah pula dengan krisis politik? Begitu juga bila PKP terpaksa dipanjangkan, ia dilakukan semata-mata untuk menyelamatkan nyawa rakyat.

    Bayangkan jika PKP ditamatkan ketika kes sedang meningkat, bukankah ia akan menyebabkan lebih ramai rakyat negara ini kehilangan nyawa? Kenapa tidak ada sekelumitpun penghargaan terhadap usaha Muhyiddin  dalam melaksanakan Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK).

    Kenapa Najib tidak mahu mengakui bahawa disebabkan pelaksanaan PICK lah yang memungkinkan Malaysia berada dalam keadaan sekarang? Kenapakah mahu mengungkit dan mengulangi fakta yang boleh dipersoalkan semata-mata mahu mencari keuntungan politik?

    Adakah Najib semakin bimbang dengan khabar bahawa biarpun PN kalah di Melaka dan Johor tetapi jumlah undi atau sokongan kepada PN yang diterajui oleh Muhyiddin semakin meningkat?

    Inilah adalah fakta, kajilah keputusan PRN di kedua-dua negeri itu. Lagipun semasa pilihan raya berkenaan diadakan jumlah peratusan keluar mengundi adalah rendah terutamanya di Johor.

    Keadaan inilah memungkinkan Najib bimbang, tambahan pula dalam kalangan pemimpin-pemimpin BN sendiri mengakui kejayaan di Melaka dan Johor tidak boleh menjadi ukuran sokongan rakyat kepada BN.

    Oleh itu TT nak nasihatkan Najib cukup-cukuplah nak buruk-burukkan PN, kenapa tidak serang juga Pakatan Harapan habis-habisan? Kenapa hanya berani serang Muhyiddin? Apapun TT yakin rakyat tidak akan terpengaruh dengan ‘lagu lama’ yang cuba didendangkan oleh Najib. Mereka tahu menilai sejauh manakah kejayaan Muhyiddin menguruskan negara ketika pandemik.

    Apa yang mereka nikmati sekarang adalah hasil perjuangan Kerajaan PN dan Muhyiddin, mereka tahu apa yang kerajaan lakukan ketika ini hanya meneruskan apa yang sudah dirancang dan disusun oleh kerajaan terdahulu.

    Kalaulah apa yang dilakukan oleh Muhyiddin ketika memimpin kerajaan dahulu seperti Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak betul sudah pasti ia tidak akan diteruskan sehingga ke hari ini.

    Tetapi ia masih dilaksanakan manakala Majlis Pemulihan Negara (MPN) dipengerusikan Muhyiddin terus mengemukakan cadangan kepada kerajaan seperti pembukaan sempadan yang ternyata menghidupkan kembali ekonomi.

    Inilah yang cuba ‘ditutupi’ oleh Najib, kalau tidak kenapa secara tiba-tiba bekas Perdana Menteri itu ‘menyerang’ Muhyiddin di Konvesyen BN yang sepatutnya membincangkan soalan dalaman BN termasuk berani mengemukakan usul ‘merehatkan’ atau ‘menyingkirkan’  pemimpin-pemimpin yang telah mencemarkan BN dan UMNO dengan kes mahkamah mereka.

    Atau adakah Najib mahu membuktikan beliau masih relevan dan paling berpengaruh dalam BN sehingga akan mengenepikan Ismail Sabri Yaakob seperti ‘adegan’ dalam satu video ketika meraikan kemenangan BN di Johor dahulu?

    TT hanya bertanya sebab ada cakap-cakap Ismail Sabri sekadar calon PM tetapi belum tentu dapat mengangkat sumpah, benar atau tidak…sama-samalah kita tunggu.

  • “Pasal apa pulun nak PRU sangat?” Soal Sanusi

    “Pasal apa pulun nak PRU sangat?” Soal Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI
    “Saya pun hairan pasal apa ‘pulun’ nak Pilihan Raya Umum (PRU) sangat? Boleh menang ka?”

    Itu persoalan diajukan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap golongan tertentu yang dilihat ‘kalut’ mendesak supaya PRU-15 diadakan segera.

    Menurut Muhammad Sanusi, dirinya tetap kekal dengan pendirian bahawa PRU sepatutnya diadakan selepas berakhir penggal ini serta tidak perlu diawalkan.

    Katanya, sementara masih ada masa sebelum berakhir penggal, semua pihak perlu berusaha mengatasi masalah-masalah yang berlaku dalam negara, ketika ini.

    “Saya rasa di negeri-negeri tak ada isu (nak adakan pilihan raya awal) kerana Kelantan, Terengganu, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor, semuanya buat kenyataan sama iaitu mahu menanti hingga habis penggal.

    “Kalau yang nak PRU sangat itu, saya tak tahulah di peringkat mana tetapi saya takutlah nanti mereka kalah lagi teruk. Tunggulah sampai habis penggal dan tak payahlah kalut,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan kepada 358 ketua isi rumah di Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena, Kedah, hari ini.

    Kesemua penerima bantuan bernilai RM1,000 sumbangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu merupakan mereka yang terjejas dalam kejadian banjir pada 31 Oktober tahun lalu di daerah ini.

    Dalam temu bual eksklusif bersama Nikkei Asia baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan yang beliau tetap menunggu waktu sesuai bagi mengadakan pilihan raya walaupun didesak pihak tertentu supaya mempercepatkannya.

    Muhammad Sanusi menambah, sekiranya PRU ditetapkan untuk dilaksanakan selepas habis penggal, semua pihak sudah tidak perlu lagi berspekulasi mengenai perkara itu.

    “Tak payah lagi nak tekan sesiapa atau nak berkelahi. Tunggu saja sampai hujung penggal, baru pilihan raya akan diadakan… Habis cerita.

    “Sementara waktu yang ada ini, kita usahalah atasi apa jua masalah yang ada dalam negara ini. Tak perlulah sebarkan salah orang itu dan orang ini kerana semua itu tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada negara,” katanya.

    Tambahnya, adalah tidak wajar untuk mengheret seluruh negara ke dalam kancah politik hanya kerana satu atau dua orang punya ‘pasal’.

    “Lebih baik tunggu sampai habis penggal saja. Tak payah susah hati dan semua orang pun boleh buat kerja masing-masing,” katanya.

  • Rakyat masih label BN sebagai ‘gila kuasa, korup’

    Rakyat masih label BN sebagai ‘gila kuasa, korup’

    DALAM keghairahan UMNO mendesak Parlimen segera dibubarkan, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan bimbang dengan tanggapan negatif rakyat terhadap gabungan politik tersebut.

    Memetik laporan Malaysiakini hari ini, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO mengingatkan semua pihak dalam BN bahawa mereka sering dikaitkan oleh rakyat dengan gejala ‘gila kuasa, korup dan salah guna kuasa’.

    “Bila saya bertanya, bagaimana boleh kita mengungkapkan BN, jawapan yang saya terima kebanyakannya ‘standard’.

    “Rata-ratanya memberi jawapan, BN adalah parti politik pelbagai kaum. Atau BN adalah parti memerintah. Atau BN adalah gabungan pelbagai parti tetapi dikuasai UMNO.

    “Kalau jawapan versi yang lebih teruk pulak, BN dikaitkan dengan ‘gila kuasa, korup, salah guna kuasa dan pelbagai konotasi negatif’.

    “Semua ini sangat membimbangkan. Kita dilihat sebagai satu parti politik dengan ‘status-quo’ yang negatif dan tidak memukau imaginasi,” katanya dalam teks ucapan ketika merasmikan Konvensyen BN sempena ulang tahun ke-48 gabungan parti politik itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pagi ini.

    Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut menggesa BN agar tidak terus terperangkap dalam ‘nostalgia silam’ selaku parti pemerintah.

    “Kita tidak boleh leka dibuai nostalgia bahawa, BN akan memerintah semula, hanya kerana kita sekarang menjadi sebahagian dari kerajaan.

    “Apa yang berlaku, dalam semua kemenangan pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor, bukan jaminan bahawa BN akan pasti menang, dan menguasai kerajaan dengan mudah.

    “Jika kita beranggapan sedemikian, maka saya tegaskan hari ini bahawa, anggapan seperti itu bukan sahaja salah.

    “Malah, berbahaya dan berisiko kepada BN,” ujarnya lagi.

  • Kalau Tengku Zafrul bertanding, Dzulkefly tak jadi undur

    Kalau Tengku Zafrul bertanding, Dzulkefly tak jadi undur

    AHLI Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersedia membatalkan hasratnya untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor sekiranya parti lawan mencalonkan nama besar seperti Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di situ.

    Memetik laporan FMT, bekas Menteri Kesihatan itu sanggup mengubah fikiran jika diberi kepercayaan oleh Parti Amanah Negara (Amanah) untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya itu.

    Dr Dzulkefly turut menafikan bahawa niatnya untuk berundur dari pentas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah kerana beliau takut untuk berdepan dengan nama besar seperti Tengku Zafrul.

    “Kalau kepimpinan tertinggi parti mahukan saya bertanding atas apa-apa sebab, contohnya diturunkan menteri-menteri persekutuan, seperti Tengku Zafrul dan lain-lain, saya akan mempertimbangkan (untuk bertanding pada PRU-15).

    “Kalau dia (Tengku Zafrul) tak tanding, saya akan beri laluan kepada kepimpinan muda,” katanya.

    Pada masa yang sama, Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa keputusan awalnya untuk tidak bertanding pada PRU-15 adalah bagi memberi peluang kepada calon-calon muda dari Amanah.

    Malah, kata beliau, hasrat itu bukan sesuatu yang baharu dan mengejutkan kerana sudah lama dimaklumkan kepada pimpinan parti.

    “Saya telah pun menyatakan hasrat untuk berundur. Saya sedia beri laluan kepada pimpinan muda daripada Amanah.

    “Hanya dengan cara ini, kita akan dapat pimpinan muda terlibat dalam pilihan raya kali ini. (Keputusan) ini bukan saya buat dalam sebulan. Telah diuar-uarkan sekian lama,” jelasnya.

    Dr Dzulkefly menjadi Ahli Parlimen Kuala Selangor untuk kali yang kedua setelah berjaya menewaskan penyandang, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dari Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

    Sebelum itu, beliau mula menjadi Ahli Parlimen kawasan berkenaan pada PRU-12 namun kalah di tangan Irmohizam pada PRU-13.

    Dr Dzulkefly juga pernah bertanding sebagai calon PAS di kerusi Parlimen Rembau pada PRU-11 dan di kerusi Parlimen Kapar pada PRU-10.

    Beliau tewas kepada calon-calon BN iaitu Datuk Firdaus Muhammad Rom Harun (Rembau) dan Komala Devi M Perumah (Kapar) dalam kedua-dua PRU tersebut.

  • Kes konvoi Lamborghini: Pemandu Ford Ranger, pengawal peribadi didenda

    Kes konvoi Lamborghini: Pemandu Ford Ranger, pengawal peribadi didenda

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA individu yang terlibat kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dengan sekumpulan pemandu yang berkonvoi kereta mewah Lamborghini masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kulai.

    Pemandu wanita berkenaan, Lee Jia Min, 28, dan pengawal peribadi, Nor Razman Abd. Razak, 44, mengaku bersalah selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin, hari ini.

    Jia Min dituduh gagal mengawal kenderaan pacuan empat roda dipandunya sehingga menyebabkan kemalangan dan didakwa mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Selain hukuman denda RM2,000, wanita itu turut berdepan hukuman sebulan penjara sekiranya gagal membayar wang denda berkenaan.

    Manakala, Nor Razman yang turut didenda amaun sama didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada Jia Min dengan menampar di bahagian muka wanita itu.

    Dia yang merupakan penumpang dalam kenderaan Lamborghini itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan juga boleh dipenjarakan selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

    Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Kilometer 36.6 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke arah Selatan pada pukul 6.10 petang, pada 18 Mac lalu.

    Nor Razman ketika ditanya Sharifah Maleeha mengapa menampar Jia Min memberikan alasan tindakannya itu adalah kerana wanita tersebut telah melanggar kenderaan dipandu majikannya sehingga menyebabkan kerosakan.

    Sharifah Maleeha kemudian menasihatkan Nor Razman agar tidak memilih perbuatan keganasan sebagai satu jalan penyelesaian sebaliknya menyerah perkara tersebut kepada pihak berwajib mengikut saluran undang-undang sedia ada.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala Jia Min diwakili peguam, Tan Cheng Yee manakala Nor Razman pula diwakili Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias.

    Kedua-dua mereka membayar denda berkenaan sebelum meninggalkan kompleks mahkamah bersama peguam masing-masing.

    Sebelum ini, rakaman kemalangan berdurasi 1 minit 14 saat tular di media sosial yang memaparkan sebuah Ford Ranger berwarna putih dipandu secara berbahaya sehingga menyebabkan berlaku kemalangan dengan sebuah Lamborghini berwarna hijau.

    Pemandu pacuan empat roda berkenaan dilihat cuba memotong konvoi Lamborghini secara zig zag sebelum berlanggar dengan salah sebuah kereta mewah tersebut ketika cuba memasuki lorong kiri.

    Disebabkan pelanggaran itu, konvoi Lamborghini berkenaan tidak berpuas hati lalu menghentikan kenderaan di tengah-tengah lebuh raya dan berlaku perselisihan faham antara mereka.