Oleh RIZQI ZABIDI
“Saya pun hairan pasal apa ‘pulun’ nak Pilihan Raya Umum (PRU) sangat? Boleh menang ka?”

Itu persoalan diajukan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap golongan tertentu yang dilihat ‘kalut’ mendesak supaya PRU-15 diadakan segera.

Menurut Muhammad Sanusi, dirinya tetap kekal dengan pendirian bahawa PRU sepatutnya diadakan selepas berakhir penggal ini serta tidak perlu diawalkan.

Katanya, sementara masih ada masa sebelum berakhir penggal, semua pihak perlu berusaha mengatasi masalah-masalah yang berlaku dalam negara, ketika ini.

“Saya rasa di negeri-negeri tak ada isu (nak adakan pilihan raya awal) kerana Kelantan, Terengganu, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor, semuanya buat kenyataan sama iaitu mahu menanti hingga habis penggal.

“Kalau yang nak PRU sangat itu, saya tak tahulah di peringkat mana tetapi saya takutlah nanti mereka kalah lagi teruk. Tunggulah sampai habis penggal dan tak payahlah kalut,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan kepada 358 ketua isi rumah di Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena, Kedah, hari ini.

Kesemua penerima bantuan bernilai RM1,000 sumbangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu merupakan mereka yang terjejas dalam kejadian banjir pada 31 Oktober tahun lalu di daerah ini.

Dalam temu bual eksklusif bersama Nikkei Asia baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan yang beliau tetap menunggu waktu sesuai bagi mengadakan pilihan raya walaupun didesak pihak tertentu supaya mempercepatkannya.

Muhammad Sanusi menambah, sekiranya PRU ditetapkan untuk dilaksanakan selepas habis penggal, semua pihak sudah tidak perlu lagi berspekulasi mengenai perkara itu.

“Tak payah lagi nak tekan sesiapa atau nak berkelahi. Tunggu saja sampai hujung penggal, baru pilihan raya akan diadakan… Habis cerita.

“Sementara waktu yang ada ini, kita usahalah atasi apa jua masalah yang ada dalam negara ini. Tak perlulah sebarkan salah orang itu dan orang ini kerana semua itu tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada negara,” katanya.

Tambahnya, adalah tidak wajar untuk mengheret seluruh negara ke dalam kancah politik hanya kerana satu atau dua orang punya ‘pasal’.

“Lebih baik tunggu sampai habis penggal saja. Tak payah susah hati dan semua orang pun boleh buat kerja masing-masing,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here