Author: Wartawan WartaRakyat

  • Perompak bakar kedai, pukul pekerja hingga cedera parah

    Perompak bakar kedai, pukul pekerja hingga cedera parah

    SEORANG warga Indonesia yang bekerja di sebuah kedai runcit cedera parah dalam kejadian rompakan di Felda Tersang 1 di Raub pukul 2 pagi tadi.

    Pemilik kedai runcit, Ika Jalal, 38, berkata, pekerjanya Nur Hasanah, 42, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka akibat dipukul dengan besi oleh perompak yang memecah masuk ke kedainya. 

     Menurutnya, lebih menyayat hati apabila Nur Hasanah turut ditumbuk, dicampak ke dinding dan lantai, dijerut di leher serta tangan diikat dengan menggunakan pita pelekat.

    “Ketika kejadian Nur Hasanah tidur di kedai manakala saya berada di Temerloh untuk menghantar barang sebelum jiran menghubungi saya bagi memaklumkan kejadian kebakaran terbabit.

    “Saya bergegas pulang ke kampung dan terkejut apabila melihat kedai runcit yang diusahakan sekian lama musnah terbakar selain pekerja mengalami kecederaan parah akibat dipukul,” katanya kepada Astro AWANI

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima maklumat berlaku kejadian kebakaran kedai runcit dan terdapat seorang wanita meminta bantuan dengan kecederaan di kepala serta muka.

    “Mangsa mengatakan antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi, terdapat seorang lelaki bertopeng memanjat bumbung dan masuk ke dalam kedai sebelum bertindak menyerangnya dengan menggunakan sebatang besi hingga menyebabkan kecederaan di kepala.

    “Suspek kemudiannya melarikan wang tunai sebanyak RM1,700 yang berada di kaunter kedai dan dua utas gelang emas milik mangsa. Mangsa diikat di tangan menggunakan pita pelekat dan melihat suspek bertindak membakar kedai. Mangsa berjaya melarikan diri dan meminta bantuan,” katanya.

    Beliau berkata, pihak polis giat menjalankan siasatan bagi mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 394/435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merompak hingga mendatangkan cedera dan khianat dengan api.

    Sementara itu, Ketua Zon 3 Bomba Pahang, Shahrulnizam Nasir berkata, sebaik menerima panggilan sepasukan 15 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dan BBP Sungai Koyan bergegas ke tempat kejadian bagi membantu memadam kebakaran.

    “Setiba di lokasi kebakaran, kita mendapati terdapat dua buah kedai musnah terbakar.

    “Anggota bomba berusaha memadamkan api dengan menggunakan dua aliran hos dan satu aliran salur air tangki pam jentera bagi mengelak api dari merebak ke deretan kedai yang lain,” katanya.

    Beliau berkata, api dapat dikawal dalam tempoh 15 minit dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

  • Doakan Abdul Khalid Ibrahim sembuh – Faekah

    Doakan Abdul Khalid Ibrahim sembuh – Faekah

    BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan sedang menerima rawatan di sebuah hospital ekoran masalah kesihatan yang dialaminya.

    Perkara itu dimaklumkan oleh bekas Setiausaha Politiknya, Faekah Husin dalam hantaran Facebook semalam.

    Walau bagaimanapun, tiada maklumat yang diberikan tentang masalah kesihatan Abdul Khalid.

    Berikut adalah hantaran penuh Faekah:

    Assalamualaikum wbt teman-teman sekalian. Ku paparkan di sini sedikit luahan serta doa agar teman sekalian dapat turut merasa dan mendoakan serta mengaminkannya.

    Semalam sempat ziarah YBhg Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Masuk sahaja ke bilik, nampak Puan Sri Salbiah (isteri Abdul Khalid) sedang duduk setia di sisi sambil memerhati beberapa nurse yang sedang menyediakan alatan untuk memberi rawatan kepada Tan Sri.

    Dengan tidak semena-mena dadaku terasa berat, sebak dan pilu, apatah lagi kedengaran sayup bacaan al-Quran yang dipasang di bilik tersebut. Bertambah sedih kerana tiada peluang dan kesempatan untukku berbual bertanya khabar pada Tan Sri kerana nurse sudah mahu memulakan rawatan.

    Ya Allah, jika ada kebaikan yang ku lakukan dan dengan keizinan-Mu, ku hadiahkan kebaikannya kepada insan mulia ini. Insan yang kami semua rindui keceriaannya dan setiap butir buah fikirannya.

    Ya Allah.. permudahkan segala urusan rawatannya. Kembalikannya kepada kami untuk kami sama-sama beribadah, bersujud dan berisytighfar kepada-Mu. Berilah yang terbaik untuknya di dunia dan di akhirat.

    Aamiin ya rabbal aa la miin..🤲

  • [VIDEO] Aksi bapa saudara dakap  anak saudara tumbang dalam perbarisan tarik perhatian

    [VIDEO] Aksi bapa saudara dakap anak saudara tumbang dalam perbarisan tarik perhatian

    AKSI bapa saudara yang sudah lanjut usia berlari mendakap erat seorang anggota penguat kuasa yang tumbang dalam perbarisan, sempena Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, di Maktab Penjara Kajang, Kajang mendapat perhatian warganet.

    Tindakan spontan warga emas itu yang bergegas mendapatkan anak saudaranya yang dibesarkan selepas yatim piatu sejak sekian lama, mengundang air mata hadirin gugur kerana sebak.

    Tidak terkecuali, air mata Alexander Nanta Linggi selaku menteri dalam kementerian itu juga jatuh, melihat lelaki terbabit dengan segala kudratnya, berlari mengangkat anggota tumbang itu di padang kawad, tanpa menghiraukan lagi selipar dipakai sudah terlucut dari kaki, lapor FMT.

    Dalam hantaran di Facebook, Alexander berkata, pada mulanya beliau menyangka warga emas itu akan menarik keluar anggota berkenaan, namun meleset apabila lelaki itu sedaya upaya mengangkatnya yang hampir tidak sedarkan diri, kembali tegak berdiri dalam perbarisan.

    Alexander yang turut memuat naik gambar warga emas yang mendakap anggota terbabit dari belakang untuk menjadi “benteng” agar anaknya itu tidak rebah semula.

    “Meskipun badan ‘ayahnya’ dimamah usia, anaknya dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya kembali rebah.

    “Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali,” katanya dalam hantaran itu.

    Lelaki itu kekal mendakap anggota berkenaan sehingga dia sedar dan dilihat kembali tegap berdiri dalam perbarisan, baharu lah warga emas itu melepaskan dakapannya.

    Kejadian itu turut mendapat ulasan daripada warganet menyatakan, betapa untungnya anak itu kerana mempunyai ‘bapa’ yang begitu menyokongnya.

    Terdapat juga warganet yang mengatakan peristiwa itu menyebabkan mereka teringat kepada ayah yang telah tiada.

    “Kasihnya ibu dibawa ke syurga dan kasihnya ayah berkorban nyawa. Yang masih ada mak dan ayah hargai mereka semasa beliau masih ada. Teringat arwah ayah dan ibuku semoga arwah kedua orang tuaku tenang di syurga. Amen,” kata seorang pengguna, Mary Ng.

    Seorang pengguna dengan nama Pak Mud turut berkata, pengorbanan serta kasih sayang seorang ayah tanpa batasnya adalah terbaik, amat beruntung bagi mereka yang masih ada ayah.

    @utusantvofficial

    Replying to @rajagift0 . Ni min repost balik video milik @zamanajmain . Marilah sama2 mata masuk habuk. #beritaditiktok #fyp #TrendingNewsMalaysia

    ♬ Yasir Lana – arief akdw

    Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, dalam hantarannya, berkata anggota yang tumbang itu dikenali sebagai Nik Mohd Adhar, yang merupakan anak angkat sejak dia bersekolah di Sekolah Genting Tumpat, Kelantan.

    “Dalam gambar yang meluru kepada beliau dan memapahnya untuk bangkit kembali seraya jatuh pitam seketika ketika berkawat pagi tadi, ialah bapa saudaranya yang bernama Abdul Aziz Ya’acob, yang memeliharanya sejak kematian kedua ibubapa Nik Adhar.

    “Baru hubungi beliau bertanya khabar. Rupanya beliau demam ketika berkawat sempena Hari Penguatkuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang pagi tadi. Moga Allah beri kesembuhan yang sempurna kepadanya,” katanya.

  • Kenapa Teresa tak kritik perkhidmatan awam semasa jadi menteri dulu?

    Kenapa Teresa tak kritik perkhidmatan awam semasa jadi menteri dulu?

    AHLI Parlimen Seputeh, Teresa Kok ditempelak ekoran kenyataannya yang menuduh terdapat dasar berasaskan kaum dari segi pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam di negara ini.

    Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, kenyataan Teresa mengenai struktur gaji yang rendah dan kurangnya peluang untuk kemajuan kerjaya antara faktor utama menghalang bukan bumiputera menyertai perkhidmatan awam juga sangat tidak tepat kerana ia melibatkan semua warga perkhidmatan awam ketika tanpa mengira bangsa.

    “Bahkan jika dilihat rekod perkhidmatan YB Seputeh semasa berada dalam kerajaan sebelum ini pun tiada usaha daripada beliau untuk ‘menasihati’ kerajaan bagi mengangkat profesion dalam sektor perkhidmatan awam ke suatu tahap yang sewajarnya.

    “Bahkan ramai penjawat awam yang menerima tekanan, ugutan serta ditamatkan kontrak perkhidmatan. Malah ada rakan-rakan daripada YB Seputeh yang mendesak kerajaan mengurangkan bilangan penjawat awam sambil menyifatkan kami semua sebagai bebanan kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Semalam, FMT melaporkan, Teresa mendakwa, dasar berasaskan kaum dalam pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam menyebabkan ramai bakat enggan memohon menyertai perkhidmatan awam.

    Adnan menambah, perkhidmatan awam selama ini tidak pernah menetapkan bangsa sebagai faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam seperti yang difikirkan oleh Teresa.

    Beliau memberitahu, CUEPACS ingin menegaskan bahawa pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam sektor perkhidmatan awam dilakukan berasaskan merit dan kompetensi calon tanpa membabitkan sebarang kuota seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

    “SPA tidak pernah menetapkan pengambilan kakitangan perkhidmatan awam perlu menepati sebarang kuota termasuk membabitkan agama, kaum, etnik atau negeri tertentu.

    “Sebaliknya, kebanyakan yang menyertai perkhidmatan awam adalah bergantung kepada kehendak, minat dan kecenderungan individu berkenaan sendiri. Permohonan pula adalah terbuka kepada semua bangsa dan agama,” jelasnya.

    Adnan berkata, tanpa membuat permohonan melalui SPA, bagaimana seseorang individu itu boleh menyertai perkhidmatan awam atau dilihat berminat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.

    “Sambutan daripada kaum bukan bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam dilihat kurang kerana mereka berpandangan gaji rendah berbanding jika bekerja di sektor swasta atau berniaga,” ujarnya.

    Menurut beliau, sebelum ini ramai yang tidak berminat untuk menyertai perkhidmatan awam disebabkan faktor gaji yang rendah jika dibandingkan pekerjaan dalam bidang lain.

    Adnan berkata, kebanyakan mereka yang menyertai perkhidmatan awam terutama di sektor keselamatan dan pertahanan adalah disebabkan faktor patriotik dan cintakan negara.

    “Disebabkan faktor ini jugalah penjawat awam sentiasa neutral dan tidak apolitikal dalam mencurahkan bakti kepada negara dan rakyat tanpa mengambil kira bangsa seseorang itu.

    “Kita tidak pernah melihat penjawat awam mengabaikan sesuatu bangsa dalam memberikan perkhidmatan bahkan penjawat awam jugalah kumpulan pertama yang berada dibarisan hadapan bagi membantu rakyat sekiranya berlaku bencana atau darurat,” katanya.

    Kata beliau, CUEPACS ingin menasihatkan semua pihak terutama ahli politik supaya tidak menggunakan perkhidmatan awam hanya untuk kepentingan politik masing-masing.

    “Sebagai penjawat awam, kami semua tetap berpegang teguh kepada konsep keneutralan dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

  • Mahkamah tolak Queen’s Counsel wakili Najib

    Mahkamah tolak Queen’s Counsel wakili Najib

    QUEEN’S Counsel (QC) dari United Kingdom tidak akan mewakili Najib Razak dalam rayuan kes rasuah SRC International bekas perdana menteri itu.

    Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan untuk membenarkan kemasukan sementara QC Jonathan Laidlaw sebagai peguam di Malaysia.

    Hakim Kamal Akmal Md Shahid memutuskan Laidlaw gagal menunjukkan dia mempunyai kelayakan dan pengalaman khas untuk mengendalikan rayuan Najib dalam kes SRC, lapor Malaysiakini.

    Jonathan Laidlaw

    Hakim menyatakan bahawa isu kes SRC mampu dikendalikan oleh peguam Malaysia.

    Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Najib bagi membatalkan sabitan kesalahan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan RM42 juta daripada SRC.

  • Benarkah Rafizi tolak Anwar, atau cuma wayang politik?

    Benarkah Rafizi tolak Anwar, atau cuma wayang politik?

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berasa sangsi dengan kritikan yang dilemparkan oleh Rafizi Ramli terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau mempersoalkan sama ada Timbalan Presiden PKR itu benar-benar menolak Anwar atau tindakan itu cuma strategi politik partinya.

    Dr Mahathir berpandangan, PKR ingin membuktikan kepada rakyat kononnya bukan semua ahli dan pemimpin parti itu menyokong Anwar.

    “Ini kerana, saya rasa Rafizi faham bahawa Anwar tidak lagi popular seperti dahulu. Jika Anwar hendak bercerita lagi kisah beliau dianiaya, ia sudah tidak berkesan di hati rakyat.

    “Anwar juga masih tiada cakap lain, asyik bercakap hendak menjadi Perdana Menteri sahaja.

    “Sebab itu, saya perlu mendapat sedikit masa lagi untuk melihat tingkah laku Rafizi. Betulkah Rafizi tolak Anwar atau itu cuma strategi politik PKR?” katanya seperti dilaporkan FMT yang memetik Sinar Harian.

    Pada Kongres Nasional PKR Ke-16 di Shah Alam baru-baru ini, Rafizi berkata, kepimpinan baharu PKR tidak perlu membodek atau mempertahankan Anwar apabila Presiden parti itu dikritik.

    Menurut Rafizi, tiada sesiapa perlu mempertahankan Anwar daripada sebarang kritikan kerana peranan penting PKR adalah untuk menarik semula sokongan rakyat terhadap parti itu.

    Selain itu, bekas Ahli Parlimen Pandan itu menyatakan, Anwar perlu menerima dapatan kajian Invoke bahawa populariti Ahli Parlimen Port Dickson itu semakin jatuh.

    Mungkin pandangan Dr Mahathir itu ada benarnya kerana ‘aura’ Anwar tidak memberi kesan positif terhadap prestasi PKR dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor.

    Malah, strategi yang dicatur Anwar di Melaka dan Johor serba tidak menjadi sehingga menyebabkan PKR mengalami kekalahan yang memalukan.

    Rakyat juga sudah semakin bosan dengan modal kempen ‘Anwar mesti jadi Perdana Menteri’ yang sering dicanangkan PKR sejak 1998 lagi.

    Tidak mustahil ‘gerakan’ yang diwayangkan oleh Rafizi dan pasukannya cuma bertujuan mengaburi mata rakyat daripada kegagalan Anwar sedangkan segala kata pemutus masih terletak dalam tangan Presiden PKR itu.

  • Rafizi ‘jeneral’ jentera PRU-15, PKR semakin jauh dari khemah besar

    Rafizi ‘jeneral’ jentera PRU-15, PKR semakin jauh dari khemah besar

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Timbalannya, Rafizi Ramli akan mengetuai jentera pilihan raya parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata, pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR malam tadi.

    Ahli Parlimen Port Dickson itu yakin Rafizi mampu mengangkat martabat dan kedudukan PKR dan Pakatan Harapan (PH).

    “Untuk itu, saya telah mencadangkan agar Rafizi selaku Timbalan Presiden mengetuai pasukan perang pilihan raya ini.

    “Rafizi akan diberikan wewenang untuk bergerak secepat mungkin bagi memperkuat jentera pilihan raya parti,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat MPP di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, semalam.

    Anwar menambah, Rafizi akan dibantu naib-naib presiden serta Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh.

    Rafizi menjadi Timbalan Presiden PKR setelah menewaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada pemilihan parti dengan perbezaan 16,688 undi.

    Bekas Ahli Parlimen Pandan itu merupakan antara pemimpin PKR yang keras menentang gagasan khemah besar.

    Pada masa yang sama, Saifuddin pernah menyatakan bahawa PKR bersedia mempertimbangkan idea tersebut bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru.

    Pandangan serupa turut dikongsi dengan sekutu-sekutu lain dalam PH antaranya Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

    Dengan peranan baharu yang bakal dimainkan Rafizi, kemungkinan besar PKR tidak akan menyertai khemah besar, sekali gus mengulangi tragedi kekalahan yang memalukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Melaka.

  • Orang Melayu tolak DAP punca Pejuang enggan masuk ‘khemah besar’

    Orang Melayu tolak DAP punca Pejuang enggan masuk ‘khemah besar’

    PENOLAKAN orang Melayu terhadap DAP menjadi antara faktor yang menyebabkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) enggan menyertai gagasan khemah besar bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Sehubungan itu, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, pintu rundingan bagi partinya untuk membincangkan gagasan tersebut dengan parti-parti lain sudah tertutup sama sekali.

    Beliau berkata, keputusan itu dibuat Pejuang susulan parti tersebut mempunyai pendapat berbeza selain sokongan oleh rakyat terhadap mereka tidak begitu jelas.

    “Umpamanya ramai orang Melayu tidak boleh terima DAP. Jadi, kalau kita bawa masuk DAP, maka ramai orang Melayu yang akan menolak kita.

    “Jadi, kita tidak akan mengadakan kerjasama dengan PH, sama ada dengan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) atau pun PKR,” katanya seperti dilaporkan FMT yang memetik Sinar Harian.

    Dr Mahathir menambah, Pejuang hanya mahu bekerjasama dengan orang tidak terlibat politik dan tidak membangkitkan perasaan benci kepada mereka.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, kegagalan parti-parti pembangkang dan Perikatan Nasional (PN) mengelakkan pertembungan banyak penjuru telah membuka laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk kembali berkuasa di negeri itu dengan majoriti lebih dua pertiga.

    Pejuang menerima tamparan hebat di mana kesemua 42 calonnya bukan sahaja kalah, malah mereka hilang wang deposit.

    Susulan keputusan PRN Johor, penganalis politik mendapati kemaraan BN dapat dihalang sekiranya parti-parti pembangkang dan PN bersepakat untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru.

    Berdasarkan keputusan PRN itu, gabungan jumlah undi parti-parti pembangkang dan PN di sebahagian besar kerusi adalah lebih tinggi berbanding jumlah yang diperoleh calon-calon BN.

    Kemudian, timbul gagasan khemah besar bagi membentuk permuafakatan strategik parti-parti selain BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Idea itu mendapat sambutan menggalakkan daripada Bersatu dan beberapa pemimpin Amanah serta PKR termasuk Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Namun, pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain seperti Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menentang keras gagasan khemah besar.

    Dengan keputusan muktamad yang diumumkan Dr Mahathir, gagasan khemah besar sukar dilaksanakan dan bakal mengulangi padah yang serupa seperti apa yang berlaku pada PRN Johor dahulu.

  • Muhyiddin bincang hubungan dua dengan Menteri Luar Bangladesh

    Muhyiddin bincang hubungan dua dengan Menteri Luar Bangladesh

    TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan perbincangan dua hala Malaysia-Bangladesh dengan Menteri Luar Bangladesh, Dr A. K. Abdul Momen di Kuala Lumpur hari ini ini.

    Dalam catatan melalui Facebook beliau, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, mereka berbincang terutama kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan dan tenaga kerja.

    ‘’Saya menjelaskan kepada Dr A. K. Abdul Momen mengenai proses pemulihan negara pasca pandemik yang sedang berjalan dan antara kekangan utama yang dihadapi oleh sektor industri terutama SME di negara ini ialah kekurangan tenaga kerja,’’ katanya selepas menerima kunjungan hormat Dr A.K Abdul Momen.

    Muhyiddin berkata, Dr.A.K Abdul Momen memberi jaminan bahawa Bangladesh bersedia membekalkan tenaga kerja yang diperlukan oleh Malaysia susulan MOU yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Bangladesh pada 19 Disember 2021.

    ‘’Proses penghantaran tenaga kerja Bangladesh ke negara ini sedang berada di peringkat akhir tertakluk kepada beberapa perkara yang sedang dimuktamadkan oleh kedua-kedua pihak,’’ katanya.

    Mengenai isu kebajikan pekerja asing di Malaysia yang dibangkitkan oleh Dr A.K. Abdul Momen, Muhyiddin berkata, beliaumemberi jaminan bahawa hak dan kebajikan mereka adalah terjamin mengikut lunas undang-undang negara ini.

    ‘’Dalam pertemuan ini juga, beliau mengalu-alukan syarikat dari Malaysia untuk melabur dalam  pelbagai sektor ekonomi di Bangladesh terutamanya  bidang pertanian yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan,’’ katanya.

  • Nurul Izzah kembali sebagai Naib Presiden PKR

    Nurul Izzah kembali sebagai Naib Presiden PKR

    NURUL Izzah Anwar akan kembali memegang jawatan Naib Presiden PKR selepas melepaskan jawatan itu pada penghujung 2018.

    Sumber memberitahu portal Malaysiakini, Nurul yang juga Ahli parlimen Permatang Pauh dikatakan bersetuju untuk dilantik semula ke jawatan itu.

    “Semalam, Presiden parti (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Presiden Rafizi Ramli  dan seorang lagi individu yang merupakan Penasihat Anwar.

    “Hasil mesyuarat, semua pihak setuju melantik Nurul sebagai naib presiden,” kata sumber itu.

    Untuk rekod, pada 17 Disember 2018, Nurul Izzah membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

    Sementara itu, buat masa ini pucuk pimpinan parti bersetuju melantik Ahli Parlimen Selayang William Leong sebagai Bendahari manakala Manakala, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dilantik sebagai Ketua Penerangan.

    Lantikan itu dijangka dibawa untuk kelulusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang dijadual bermesyuarat malam ini dan diumumkan selepas itu.

    Setakat ini difahamkan tiada bantahan terhadap cadangan pelantikan jawatan-jawatan di atas.

    “Setahu saya, tiga jawatan ini dimuktamadkan. Bagi jawatan yang lain Presiden akan mengadakan perbincangan dengan Rafizi hari ini sebelum mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) malam ini,” katanya.

    Dalam pada itu, satu lagi sumber memberitahu bahawa PKR masih tidak mengambil keputusan mengenai jawatan Setiausaha Agung.

    “Selain Saifuddin (Nasution Ismail), bekas pengerusi Wilayah Persekutuan Zahir Hassan disebut-sebut sebagai Setiausaha Agung. Zahir adalah pilihan Rafizi. Namun, kebanyakan pemimpin parti masih nak Saifuddin dikekalkan. Apapun, keputusan muktamad akan dibuat malam ini,” katanya.

    Kongres tahunan PKR di Shah Alam baru-baru ini, gambar hiasan

    Ketika dihubungi, Saifuddin berkata dia tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai jawatan setiausaha agung.

    “Tiada apa-apa info diterima. Saya sekarang berada di Pulau Pinang bermesyuarat bersama ketua menteri.

    “Saya kini fokus sebagai Adun Pulau Jerejak dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu,” katanya.