BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan sedang menerima rawatan di sebuah hospital ekoran masalah kesihatan yang dialaminya.

Perkara itu dimaklumkan oleh bekas Setiausaha Politiknya, Faekah Husin dalam hantaran Facebook semalam.

Walau bagaimanapun, tiada maklumat yang diberikan tentang masalah kesihatan Abdul Khalid.

Berikut adalah hantaran penuh Faekah:

Assalamualaikum wbt teman-teman sekalian. Ku paparkan di sini sedikit luahan serta doa agar teman sekalian dapat turut merasa dan mendoakan serta mengaminkannya.

Semalam sempat ziarah YBhg Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Masuk sahaja ke bilik, nampak Puan Sri Salbiah (isteri Abdul Khalid) sedang duduk setia di sisi sambil memerhati beberapa nurse yang sedang menyediakan alatan untuk memberi rawatan kepada Tan Sri.

Dengan tidak semena-mena dadaku terasa berat, sebak dan pilu, apatah lagi kedengaran sayup bacaan al-Quran yang dipasang di bilik tersebut. Bertambah sedih kerana tiada peluang dan kesempatan untukku berbual bertanya khabar pada Tan Sri kerana nurse sudah mahu memulakan rawatan.

Ya Allah, jika ada kebaikan yang ku lakukan dan dengan keizinan-Mu, ku hadiahkan kebaikannya kepada insan mulia ini. Insan yang kami semua rindui keceriaannya dan setiap butir buah fikirannya.

Ya Allah.. permudahkan segala urusan rawatannya. Kembalikannya kepada kami untuk kami sama-sama beribadah, bersujud dan berisytighfar kepada-Mu. Berilah yang terbaik untuknya di dunia dan di akhirat.

Aamiin ya rabbal aa la miin..🤲

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here