Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRU-15: Dr. Radzi ikut sahaja ketetapan parti

    PRU-15: Dr. Radzi ikut sahaja ketetapan parti

    NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskan kawasan yang akan ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Sebagai ahli parti, beliau akur dengan sebarang keputusan yang ditetapkan. Seperti mana saya sebutkan sebelum ini, tempat mana yang akan dipertandingkan, terpulang kepada parti.

    “Apa sahaja ditetapkan parti, itulah saya ikut,” katanya menerusi sidang akhbar selepas program Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan di Putrajaya hari ini.

    Mengenai kecenderungan sebagai calon Parlimen Putrajaya susulan penglibatan beliau dalam pelbagai program komuniti, Mohd Radzi berkata, ini kerana rumah beliau berada di Putrajaya.

    “Jadi saya dengan masyarakat Putrajaya ini adalah jiran tetangga saya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sebelum ini, kekerapan program sama ada program rasmi kementerian ataupun komuniti yang dihadiri oleh Mohd Radzi di Putrajaya menimbulkan persoalan sama ada beliau sedang ‘merisik’ pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu sebagai lokasi pilihannya.

    Bagaimanapun, Mohd. Radzi memberi alasan pemilihan Putrajaya sebagai lokasi program adalah memudahkan pergerakan.

    Kerusi Putrajaya disandang Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas menang majoriti 3,372 undi dalam pertandingan tiga penjuru menewaskan calon Pakatan Harapan, Samsul Adabi Mamat dan Zainal Abidin Kidam dari Gagasan Sejahtera pada PRU-14.

  • Wanita maut dipijak gajah liar

    Wanita maut dipijak gajah liar

    SEORANG wanita maut dipercayai diserang seekor gajah liar yang mengamuk berhampiran kawasan Dumpas, Jalan Merotai-Kalabakan, pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Samsiah Arshad, 50, maut selepas dipijak gajah liar tersebut.

    Difahamkan, ketika kejadian mangsa bersama suaminya Tahir Salleh, dalam perjalanan untuk melawat cucu mereka di Kongsi 4, Ladang Kelapa Sawit Cenderamata dengan menaiki sebuah motosikal.

    Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, kedua-dua mereka diserang mamalia itu tetapi suaminya berjaya menyelamatkan diri.

    Selain itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, Primus Lambut mengesahkan pihaknya menerima maklumat berkaitan kes amukan gajah liar di kawasan Dumpas.

    Menurutnya, gajah itu bukan gajah betina bunting yang sebelum ini dilaporkan sesat memasuki kawasan pekan Merotai.

    “Ini gajah lain, gajah betina sebelum ini sudah dihalau ke habitatnya dan gajah yang menyerang mangsa tidak memakai kolar,” katanya ketika dihubungi lapor Astro Awani.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin mengesahkan ada menerima laporan awal mengenai kejadian tersebut dan kes masih dalam siasatan.

  • Kematian wanita tak pakai tudung sempurna cetus rusuhan ganas Iran, 17 maut

    Kematian wanita tak pakai tudung sempurna cetus rusuhan ganas Iran, 17 maut

    SEKURANG-kurangnya 17 orang maut setelah rusuhan antikerajaan merebak ke seluruh Iran semalam ketika laporan tidak sahih mendakwa angka kematian mencecah 31 orang.

    Mahsa Amini

    Kekacauan itu tercetus susulan kematian seorang wanita Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis moral Iran kerana didakwa memakai tudung secara tidak sempurna.

    Kematian wanita Kurdish berusia 22 tahun itu selepas tiga hari dia ditahan kemudiannya mencetuskan kemarahan orang ramai.

    Lapor CBS News, pihak berkuasa mendakwa wanita itu meninggal dunia akibat serangan jantung.

    Namun pengkritik mendakwa wanita itu dipukul selepas tular imej merakamkan gambar badannya mempunyai kesan lebam dan berdarah.

    Rakaman video yang tersebar memaparkan penunjuk perasaan melaungkan kata-kata termasuk ‘wanita, kehidupan, kebebasan’, ketika Iran berdepan gelombang demonstrasi terbesar dalam tempoh hampir tiga tahun.

    Sejumlah penunjuk perasaan wanita turut membakar tudung mereka di jalanan, malah ada yang menggunting rambut sendiri sebagai simbolik bantahan terhadap kod pakaian yang menetapkan peraturan ketat.

    Presiden Iran, Ebrahim Raiso berkata, kematian Amini akan disiasat secara menyeluruh.

    Memetik laporan AFP, angka rasmi korban pergolakan itu kini mencecah sekurang-kurang 17 mangsa, termasuk lima anggota keselamatan.

    Namun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Oslo, Hak Asasi Manusia Iran (IHR), mendakwa sekurang-kurang 31 orang awam telah maut berdasarkan kiraan pihaknya.

    Pengarah IHR, Mahmood Amiry-Moghaddam, mendakwa penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan secara aman, ditembak dengan peluru.

    Agensi berita rasmi, IRNA pula melaporkan penunjuk perasaan melemparkan batu, membakar kenderaan polis dan melaungkan slogan antikerajaan.

    Amerika Syarikat sementara itu mengenakan sekatan terhadap polis moral Iran dan beberapa pegawai tertinggi kerajaan termasuk Pasukan Pertahanan dan agensi penguatkuasaan undang-undang lain.

    Semalam, pihak berkuasa menahan dua jurugambar wanita, Niloufar Hamedi daripada akhbar reformasi Shargh, dan Yalda Moayeri yang bekerja dengan media tempatan, serta aktivis Mohammad-Reza Jalaipour, lapor media Iran.

    Keganasan dikhuatiri terus meningkat selepas Iran menyekat akses kepada Internet serta aplikasi pesanan, termasuk WhatsApp dan Instagram yang digunakan secara meluas di negara itu selepas pihak berkuasa menyekat platform lain, termasuk Facebook serta Twitter sejak beberapa tahun lalu.

    IHR mendakwa, perkhidmatan Internet mudah alih turut disekat sepenuhnya di Tabriz yang juga bandar utama di utara Iran.

  • Pas nafi mahu bersama UMNO sebab BERSATU hilang pengaruh

    Pas nafi mahu bersama UMNO sebab BERSATU hilang pengaruh

    PAS menyangkal dakwaan bahawa parti itu mahu kembali bersama UMNO kerana BERSATU sudah hilang pengaruh.

    Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menyifatkan parti BERSATU mempunyai kekuatan dan pengaruh mereka yang tersendiri.

    “Saya rasa tidak (hilang pengaruh kerana) keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka, kita tengok pengaruh BERSATU masih kuat dan ada sokongan.

    “Malah, hasil soal selidik yang kita buat pun mereka ada sokongan dan menang di Melaka dan di Johor. Saya fikir BERSATU ada pengaruh walaupun mungkin cawangan jentera tidak sekuat PAS yang lama, tetapi secara realiti kita ada kira-kira 43 peratus pengundi atas pagar yang baru kali pertama mengundi.

    “Kita lihat ada kecenderungan mereka (mengundi) rakan kita daripada BERSATU,” katanya selepas Ceramah 3 Menteri Besar PAS dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Pra Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini, malam tadi.

    Laporan itu turut menyatakan penegasan Tuan Ibrahim yang menafikan dakwaan BERSATU hanya mahu menumpang jentera PAS dalam menghadapi PRU-15.

    Katanya, PAS bersama BERSATU serta gabungan parti politik yang ada di dalam Perikatan Nasional (PN) saling membantu antara satu sama lain bagi memastikan kemenangan bersama di dalam PRU-15.

    “Kita bersama (dan) apabila kita dalam muafakat politik, tidak timbul soal jentera (dan) kita bersama-sama ke arah kemenangan bersama.

    “(Jadi) tak timbul soal tumpang-menumpang kerana bagi kita setiap parti ada kelebihan dan ada kekurangan yang kita saling tampung-menampung,” katanya.

  • Remaja 14 tahun maut dua motosikal bertembung sesama sendiri

    Remaja 14 tahun maut dua motosikal bertembung sesama sendiri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG remaja maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Simpang Lima-Parit Sulong, Batu Pahat, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 1.35 pagi daripada orang awam.

    Katanya, kejadian tersebut berlaku di hadapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat di jalan berkenaan melibatkan dua motosikal.

    “Mangsa berusia 14 tahun dipercayai sedang menunggang motosikal dari arah Parit Sulong ke Simpang Lima.

    “Tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah hadapan yang telah masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan maut di tempat kejadian.

    Penunggang motosikal yang datang dari arah bertentangan berusia 17 tahun mengalami cedera ringan, ujarnya.

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyyen 41(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Youtuber didakwa bunuh 6 orang termasuk kanak-kanak dalam kemalangan

    Youtuber didakwa bunuh 6 orang termasuk kanak-kanak dalam kemalangan

    SEORANG Youtuber didakwa membunuh enam orang termasuk seorang kanak-kanak berumur 10 tahun dalam satu kemalangan di Mexico.

    Amado Amir Gonzalez, 26 atau dikenali sebagai Heisenwolf di Youtube mempunyai 1.7 juta pengikut di laman tersebut.

    Gonzalez dilaporkan menyebabkan kemalangan itu selepas keretanya melintas lebuhraya Atlacomulco-Acambay Pan-American dan merempuh sebuah teksi secara berdepan.

    Menurut pihak pendakwaraya, kejadian itu berlaku di Atlacomulco pada Ahad lalu.

    Kemalangan dikatakan melibatkan sebuah kereta Chevrolet berwarna merah yang dimiliki oleh Gonzalez dan teksi Nissan Tsuru yang dinaiki enam mangsa.

    Mangsa-mangsa tidak dinamakan namun dikatakan merangkumi 3 lelaki dan 3 wanita. Antara mangsa kejadian ialah seorang kanak-kanak berumur 10 tahun, dua wanita berumur 30 dan 56 tahun dan tiga lelaki berumur 26,35 dan 62.

    Gonzalez turut tercedera dan dirawat di hospital berdekatan.

    Pihak berkuasa di Mexico telah membuka penyiasatan tentang pembunuhan secara tidak sengaja ke atas Gonzalez.

  • [VIDEO] Ambulans langgar lampu isyarat, motosikal sehingga meletup

    [VIDEO] Ambulans langgar lampu isyarat, motosikal sehingga meletup

    SEORANG lelaki berusia 60 tahun maut selepas ambulans dipandu laju melanggar lampu merah dan menyebabkan motosikal meletup di Mahasarakham, utara Thailand.

    Kejadian berlaku di Persimpangan Chiang Yuen apabila ambulans dari Hospital Yang Talad merempuh penunggang motosikal itu pada pukul 6 pagi semalam.

    Rakaman video dari kenderaan di belakang motosikal itu merakamkan mangsa, Boonyong Guykhumtod, menunggang ke hadapan sebelum ambulans melanggarnya menyebabkan kebakaran.

    Sumber: Media sosial

    Menurut Satu Berita yang memetik laporan Agensi, mangsa cedera parah dalam kebakaran sebelum meninggal dunia di hospital.

    Polis melaporkan bahawa ambulans sedang memindahkan seorang pesakit ke hospital lain di daerah Khon Kaen.

    Dilaporkan terdapat tiga orang dalam ambulans iaitu pemandu berusia 44 tahun, Prawit, dan dua penumpang, termasuk seorang pesakit.

    Semua individu dalam ambulans selamat, pesakit dihantar ke sebuah hospital di Khon Kaen dengan kenderaan pasukan penyelamat yang lain.

    Menurut polis, penunggang motosikal itu baru sahaja membeli satu gelen petrol di stesen minyak berhampiran sebelum dilanggar, menjadi punca berlakunya kebakaran.

    Di samping itu, pemandu akan disoal siasat bagi mendapatkan maklumat lanjut.

    Di bawah Seksyen 291 Undang-undang jenayah, pemandu boleh didakwa kerana cuai dan perbuatan yang menyebabkan kematian.

    Pemandu ambulans itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM2445 (20,000 baht).

  • Pas tidak pernah gentar bertembung dengan UMNO

    Pas tidak pernah gentar bertembung dengan UMNO

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, Pas sedia melawan UMNO di Pahang dan Perlis sekiranya parti itu berdegil untuk bertembung di Terengganu dan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurutnya, jentera Pas kini giat mengukuhkan gerak kerja sebagai persediaan menghadapi senario pertandingan tiga penjuru dalam PRU-15.

    Pada PRU-14 katanya, Pas menang dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu, begitu juga UMNO menang di dua negeri.

    “Kalau mereka terus isytihar untuk lawan Pas di Terengganu dan Kelantan, Insya-Allah kita akan lawan mereka di Pahang dan Perlis

    “Pas tidak pernah takut berlawan dengan UMNO sepanjang kewujudan parti itu dalam sejarah politik tanah air.

    “Namun pertembungan itu sebenarnya tidak menguntungkan mana mana-mana pihak dan Pas akan tetap memperjuangkan tawaran kerjasama bersama UMNO,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran jentera PRU-15 sempena Pra Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Kompleks Sukan Terengganu, di Kuala Nerus, malam tadi.

    Pra Himpunan Teguh Pertahan yang berlangsung sehingga pukul 12.30 tengah malam dihadiri kira-kira 10,000 penyokong.

    Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, parti itu tidak pernah gentar untuk bertembung dengan UMNO dalam PRU-15.

    Ujar beliau, Pas sebelum ini mahu meneruskan kerjasama biarpun pernah mempunyai sejarah hitam dengan UMNO atas agenda lebih besar iaitu penyatuan ummah dan perpaduan parti Melayu, Islam, namun kerjasama itu kini dilihat agak mustahil untuk direalisasikan.

    “UMNO kata kita tidak boleh lawan mereka depan-depan. Tapi sepanjang 60 tahun kita lawan, enam hari sahaja berkawan. Kenapa UMNO nak kelahi (bergaduh) hari-hari buat kenyataan Pas berkubur, Pas terhegeh- hegeh.

    “Kita korbankan semua perasaan, kita berkorban semua ingatan, sejarah bahawa Pas selama 60 tahun ditindas UMNO, BN sehingga ada orang kita yang mati syahid termasuk ketika peristiwa Memali di Baling, semua itu kita padam.

    “Tetapi, saya katakan di sini, kalau anda nak kawan datanglah, tapi kalau anda nak lawan, anda tunggulah,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Kebenaran ditegakkan hari ini – Ahmad Zahid

    Kebenaran ditegakkan hari ini – Ahmad Zahid

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersyukur “kebenaran ditegakkan” hari ini setelah mahkamah membebaskan beliau daripada semua tuduhan rasuah sistem visa luar negara (VLN).

    “Saya telah diaibkan, dimalukan, ditelanjangkan dengan pelbagai tanggapan, Jumaat kebenaran ditegakkan,” katanya yang dipetik dalam laporan Free Malaysia Today.

    Beliau berkata kepada media selepas Mahkamah Tinggi mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zahid yang berdepan 40 tuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk menyambung kontrak berkaitan VLN.

    Dalam pada itu, Zahid berkata beliau tidak bersalah dan yakin pelaksanaan perundangan telah diteliti dan diperincikan oleh hakim.

    Katanya, semua pertuduhan yang didakwa terhadapnya tidak pernah dilakukan.

    “Keputusan hari ini merupakan kemenangan untuk Barisan Nasional (BN) dan Umno,” katanya.

    Beliau turut berterima kasih kepada barisan peguam, pemimpin Umno dan keluarganya yang tidak putus memberikan sokongan.

    “Terima kasih kepada barisan peguam yang amat profesional dan cemerlang. Saya bangga dengan usaha mereka,” katanya.

    Tohmahan musuh

    Sementara itu, penyokong Zahid, Rahmat Bujang berkata keputusan hari ini membuktikan segala tuduhan terhadap presiden Umno adalah tohmahan daripada pihak musuh.

    Katanya, perkara itu sudah menjadi lumrah dalam politik dan diharap keputusan berkenaan memberikan kelebihan kepada Umno dan BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    “Ini terbukti hanya tohmahan oleh parti lawan terhadap Zahid,” katanya.

    Ketua Jabatan Penyelidikan dan Perancangan Strategik Umno, Noor Azizan Abdul Majid, berharap selepas ini pihak lawan menghentikan segala amalan politik balas dendam.

    Katanya, janganlah ada mana-mana pihak cuba menyalahgunakan institusi kehakiman bagi membalas dendam dan menjadikan pemimpin politik tertentu sebagai “mangsa” kluster mahkamah.

    “Ini satu kemenangan untuk rakyat Malaysia. Henti permainan kotor sebab hari ini rakyat susah dan sedang fikir nak makan apa. Diharap selepas ini kita ‘move on’ hadapi pilihan raya,” katanya.

  • Gambar baharu Jho Low diambil penyiasat persendirian didedahkan

    Gambar baharu Jho Low diambil penyiasat persendirian didedahkan

    PENYIASAT persendirian berjaya merakam gambar terbaharu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low di sebuah pusat beli- belah di Macau, China.

    Jho Low dikehendaki pihak berkuasa selepas rakannya, Datuk Seri Najib Razak yang kini bergelar banduan disabitkan dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi rakan jenayahnya itu masih bebas di luar negara.

    Gambar terbaharu Jho Low itu didedahkan wartawan Tom Wright dan Bradley Hope yang sebelum ini turut mendedahkan lokasi sama, bagaimanapun tiada tindakan susulan diambil pihak berkuasa.

    Menurut Bradley, foto tersebut diterima daripada penyiasat persendirian yang merakam gambar Jho Low memakai baju berwarna oren yang membelakangkan kamera.

    Bradley berkata, penyiasat persendirian itu turut menunjukkan sebuah foto yang mendedahkan wajah Jho Low pada ketika itu namun beliau tidak dibenarkan untuk berkongsikan gambar berkenaan atas sebab tertentu.

    “Jelas sekali terdapat masa yang berbeza apabila Jho Low menjadi individu yang sangat dicari kerana usaha ingin mendapatkan semula wang (telah diseleweng daripada 1MDB.

    “Tidak jelas siapa yang mengupah penyiasat persendirian ini tetapi ia mungkin kerajaan Malaysia atau perantara kerajaan Malaysia. Tetapi bagaimanapun ia telah dikesan,” ujar Bradley menerusi perkongsian di YouTube bersama Tom pada Jumaat menurut laporan Sinar Harian.

    Bradley berkata, turut kelihatan di dalam gambar tersebut ialah isteri kepada Jho Low iaitu Jesselynn Chuan Teik Ying yang memakai gaun hitam bersama seorang pembantu dan seorang individu dipercayai merupakan penjaga kepada ahli perniagaan tersebut.

    Bagaimanapun, kedua-dua wartawan tersebut tidak mendedahkan mengenai tarikh ketika foto tersebut diambil.

    Dalam pada itu, Bradley berkata, dengan mengambil kira nilai AS$8.5 bilion atau RM38.8 bilion diselewengkan daripada 1MDB berbanding jumlah berjaya dipulihkan oleh beberapa kerajaan termasuk Malaysia, Jho Low dilihat masih mempunyai kekayaan yang besar.

    Beliau berkata, kerajaan AS dan United Kingdom (UK) ketika ini dilaporkan berjaya memulihkan aset berjumlah kira-kira 1.4 bilion dolar AS atau RM64 bilion merangkumi aset seperti rumah mewah, kapal terbang dan pemilikan saham syarikat.

    Tambah beliau, tidak semua wang yang diselewengkan daripada 1MDB berjaya dikesan dan diketahui keberadaannya.

    Tom berkata, dengan mengambil kira situasi tersebut, beliau percaya Jho Low masih mempunyai pegangan terhadap berbilion ringgit wang yang diselewengkan daripada 1MDB dan perkara itu juga dilihat menjadi sebab mengapa ahli perniagaan itu mampu kekal bebas.

    “Adalah menjadi satu di luar kebiasaan untuk orang yang dalam pelarian (ada kekayaan yang besar).

    “Ini adalah satu lagi sebab kenapa rakyat Malaysia dan kerajaan Malaysia perlu sangat marah terhadap fakta bahawa tiada sebarang tindakan diambil (untuk menangkap Jho Low),” ujarnya.

    Setakat November tahun lepas, Kementerian Kewangan mengumumkan sebanyak RM20.53 bilion aset 1MDB telah dipulangkan semula kepada kerajaan Malaysia.