Author: Wartawan WartaRakyat

  • Roslan Shah mahu jumpa Jamal Abdillah minta maaf

    Roslan Shah mahu jumpa Jamal Abdillah minta maaf

    PELAKON dan pengacara, Roslan Shah mahu bertemu Datuk Jamal Abdillah untuk membuat permohonan maaf kepadanya.

    Roslan yang kini sedang menunaikan ibadah umrah di Makkah dan menerusi video secara langsung menerusi Facebook hari ini berkata, dia ingin meleraikan isu itu secara berdepan kerana itu lebih afdal.

    Ini berikutan tercetus antara Jamal dan Roslan apabila beliau didakwa menyebabkan Roslan terpaksa menanggung kerugian lebih RM30,000 susulan tidak hadir untuk membuat persembahan dalam pameran ekspo yang berlangsung di Singapura itu.

    “Saya nak maklumkan bahawa saya akan bertemu dengan Datuk Jamal selepas saya pulang ke dari umrah. Sebelum ini dah ada permohonan maaf, tetapi saya rasa, lebih afdal kalau saya bersua muka,” katanya.

    Walaupun dikecam hebat oleh netizen, Roslan menerima setiap kecaman itu dengan ikhlas.

    “Saya tahu, ramai yang mengecam. Tapi, tak apa, saya terima semuanya,” katanya.

    Media semalam melaporkan, Jamal menyifatkan perbalahan berlaku antaranya dengan penyanyi dan pengacara dari Singapura itu sudah selesai apabila menerima permohonan maaf yang dibuat dalam program Melodi TV3, baru-baru ini.

  • Guru cemerlang sekolah rendah bakal dinaikkan gred lebih tinggi-Radzi

    Guru cemerlang sekolah rendah bakal dinaikkan gred lebih tinggi-Radzi

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin memaklumkan, guru cemerlang sekolah rendah kini berpeluang dinaikkan gred lebih tinggi sehingga DG52 atau DG54.

    “Kriteria dan perincian akan diumumkan kementerian dalam masa terdekat. Kita sedar sudah ramai guru siswazah ditempatkan sekolah rendah iaitu sekitar 90 peratus dan mereka akan diberi ruang sama seperti guru di sekolah menengah,” katanya.

    Beliau berkata demikian mengulas mengenai rungutan guru cemerlang sekolah rendah apabila kuota gred dikatakan setakat GD48 sahaja.

    Terdahulu beliau melawat tapak projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan di Sepang, hari ini.

    Guru cemerlang disandarkan sebagai pakar rujuk dalam bidang atau mata pelajaran diajar.

    Penyebaran ilmu dan pengetahuan guru cemerlang dilihat mampu untuk dimanfaatkan kepada bidang lain seperti penggubal soalan peperiksaan, penulis buku teks dan bahan ilmiah.

    Dalam perkembangan lain, Mohd. Radzi berkata, gred guru penolong kanan akan turut dinaikkan pangkat sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan.

    “Sekarang ini sudah sampai masanya untuk gred guru-guru siswazah ditingkatkan yang membolehkan mereka tidak boleh duduk di jawatan pentadbiran sekiranya kementerian tidak naikkan gred tersebut,” katanya.

    Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) telah bersetuju untuk meningkatkan gred tersebut.

    “Guru penolong kanan tak perlu risau kerana kementerian telah membuat penyusunan semula dalam model baharu struktur dalam organisasi di sekolah.

    “Perincian akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Semalam, KPM memutuskan untuk terus mengekalkan jawatan guru besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52, tanpa perlu kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

  • Projek SMK Kota Warisan bukan ‘gula-gula’ PRU15 – Radzi

    Projek SMK Kota Warisan bukan ‘gula-gula’ PRU15 – Radzi

    PROJEK pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan di Sepang yang akan bermula hujung tahun ini bukan `gula-gula’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya ia adalah keperluan penduduk.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd. Radzi Md. Jidin menolak dakwaan projek pembinaan sekolah itu bertujuan membantu penduduk menghantar anak ke sekolah yang lebih dekat dengan kediaman mereka.

    Beliau berkata, sekolah itu yang turut dilengkapi 42 bilik kelas, padang termasuk bangunan khas untuk pelajar berkeperluan khas mampu memuatkan kira-kira 1,400 pelajar.

    Katanya, tender projek sekolah itu sudah diiklankan sehingga Oktober dan kontraktor yang dipilih akan diberi surat setuju terima (SST) pada awal Disember.

    “Projek SMK Kota Warisan ini dijangka siap pada September 2025 dan kosnya akan diumumkan selepas pemilihan kontraktor dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak sekolah itu hari ini, seperti dilaporkan BH Online.

    Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah.

    Mohd. Radzi berkata, pembangunan sekolah itu sudah lama dinantikan penduduk kerana SMK yang berdekatan sudah padat dengan jumlah pelajar yang ramai.

    Katanya, SMK Dengkil yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Kota Warisan mempunyai 1,800 pelajar manakala dua sekolah di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) sekitar 13km dari sini iaitu SMK Seri Sepang mempunyai 2,200 pelajar dan SMK BBST, 2,400 pelajar.

    Beliau berkata, projek pembangunan sekolah ini perlu disegerakan bagi mengelak kesesakan pelajar lebih teruk di sekolah berdekatan.

  • Cubaan rampas aset: Malaysia bertindak balas tuntutan Kesultanan Sulu

    Cubaan rampas aset: Malaysia bertindak balas tuntutan Kesultanan Sulu

    KERAJAAN telah memulakan strategi global proaktif untuk menghalang dan mengetepikan sebarang cubaan merampas atau campur tangan dalam urusan berkaitan aset Malaysia di luar negara oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

    Ia susulan laporan waris Kesultanan Sulu telah mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah (Final Award) di Mahkamah Belanda terhadap aset-aset Malaysia di sana, termasuk rangkaian aset milik Petronas.

    Memetik laporan Sinar Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Malaysia akan meneruskan prosiding mahkamah di Perancis dan Sepanyol untuk mengetepikan dan membatalkan perintah berkaitan serta yakin penyelesaian prosiding mahkamah itu akan menyebelahi Malaysia.

    “Saya ingin menegaskan bahawa aset Petronas bukanlah milik Kerajaan Malaysia dan permohonan untuk mengiktiraf serta menguatkuasa aset-aset tersebut dilihat sebagai suatu pencabulan proses mahkamah.

    “Percubaan terkini oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu untuk merampas aset yang didakwa milik Kerajaan Malaysia di Belanda boleh dikatakan sebagai satu lagi tindakan mengambil kesempatan yang bertentangan dan melanggar dengan peraturan timbang tara dan norma di bawah Konvensyen New York dan The United Nations Commission on International Trade Law (UNCITRAL).

    “Pendirian Kerajaan Malaysia bahawa perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah di Paris pada bulan Februari 2022 adalah tidak teratur dan tidak mengikut lunas undang-undang.

    “Tambahan pula, perintah yang diperoleh sekiranya dikuatkuasa boleh mengakibatkan ketidakadilan serta implikasi yang serius kepada kestabilan negara lain. Perintah yang dikeluarkan oleh penimbang tara adalah tidak sah dan tidak mengikut norma atas beberapa sebab-sebab tertentu,” katanya hari ini.

    Wan Junaidi menurut laporan itu memberi contoh, tindakan mengalihkan proses pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah yang diperoleh daripada negara Sepanyol ke negara Perancis walaupun Mahkamah Agung Madrid mengisytiharkan pembatalan pelantikan Penimbang Tara dan prosiding susulan timbang tara.

    Bagaimanapun, pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu tetap meneruskan usaha-usaha menguatkuasakan perintah di negara-negara di mana Malaysia sedang melaksanakan tindakan sewajarnya.

    “Dalam masa yang sama, kerajaan melaksanakan tindakan perundangan yang sama di Luxembourg dan akan mengambil tindakan yang serupa di Belanda untuk mengetepikan dan menghalang sebarang percubaan oleh pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu bagi menguatkuasakan dan memperoleh faedah-faedah daripada perintah yang dikeluarkan Mahkamah.

    “Malaysia menghormati dan bangga menganggotai Konvensyen New York. Namun, Malaysia tidak akan sama sekali bertolak-ansur atau tunduk kepada mana-mana pihak yang memanipulasi dan menyalah guna sistem sedia ada demi kepentingan peribadi.

    “Justeru, Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan dan asetnya di luar negara,” tegasnya.

  • Gerakan sedia bantu SPRM banteras rasuah di Pulau Pinang

    Gerakan sedia bantu SPRM banteras rasuah di Pulau Pinang

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sedia membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencegah amalan rasuah terutamanya di kalangan penjawat awam Pulau Pinang.

    Naib Presiden Gerakan, Baljit Singh berkata, salah satu tunjang utama ‘Better Penang’ ialah ketulusan dan kerajaan beramanah di Pulau Pinang.

    Sehubungan itu katanya, Gerakan akan memberi komitmen untuk bersama-sama SPRM mencegah rasuah di negeri itu.

    “Berdasarkan perangkaaan SPRM, sebanyak 919 aduan diterima pihaknya berhubung kesalahan ini sejak 2019 sehingga kini.

    “Angka ini jika tepat, memburukkan imej negeri ‘Pulau Mutiara’ di mata dunia lebih-lebih lagi apabila ia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terbaik di Asia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Baljit, keyakinan syarikat asing untuk melabur di Pulau Pinang akan terjejas sekiranya gejala rasuah itu tidak dibanteras sekali gus tidak dapat merancakkan ekonomi negeri.

    Malah jelas beliau, sekiranya gejala rasuah semakin berleluasa, pentadbiran negara secara keseluruhannya akan terjejas dan segala dasar atau penguatkuasaan akan menjadi lemah.

    “Sepanjang 39 tahun mentadbir Pulau Pinang dan menjadi menteri di peringkat nasional, tiada seorang pun pemimpin Gerakan yang pernah dikaitkan atau didakwa dengan rasuah.

    “Rekod ini jauh berbeza dengan pentadbiran sekarang yang mana berlaku pelbagai tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa sehingga ada yang telah didakwa dan sedang dibicarakan di mahkamah,” katanya.

    Tambah beliau, pandemik rasuah adalah musuh negara dan mereka yang terbukti tersabit dalam gejala ini patut ‘dikurung’ (dipenjarakan).

    “Rasuah juga tidak terhad kepada mana-mana parti politik, negeri, agama dan bangsa. Malaysia mesti bersatu melawan rasuah,” katanya.

  • Rasuah membimbangkan, Pulau Pinang perlu terima positif

    Rasuah membimbangkan, Pulau Pinang perlu terima positif

    KERAJAAN negeri Pakatan Harapan (PH) – DAP Pulau Pinang diharapkan tidak terlalu ‘defensif’ dan sewajarnya menerima secara positif kenyataan berkaitan isu rasuah dalam kalangan penjawat awam di negeri itu yang disifatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahap membimbangkan kini.

    Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dalam satu kenyataan berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepatutnya mengatur pelbagai langkah bagi memastikan masalah rasuah dapat dicegah dengan segera daripada terus merebak di negeri itu.

    Jelasnya, MCW berpendapat kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkenaan situasi gejala rasuah di Pulau Pinang tersebut pasti mempunyai asas dan fakta.

    “Pelbagai kes yang telah dilaporkan pastinya sedang disiasat dengan teliti dan ada yang telah serta akan dibawa ke mahkamah dalam masa yang terdekat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam Azam mendedahkan, sebanyak 919 aduan diterima SPRM berhubung kesalahan menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang sejak 2019 sehingga kini.

    Daripada jumlah itu menurut Azam, sebanyak 312 aduan melibatkan kes menerima suapan manakala salah guna kuasa (147 kes).

    Dalam pada itu kenyataan tersebut menambah, masalah rasuah adalah masalah sejagat terutama di negeri yang maju kerana peruntukan atau jumlah perbelanjaan yang besar pasti akan membuka ruang serta peluang untuk berlakunya rasuah.

    Jelasnya, ekonomi yang berkembang pesat di Pulau Pinang adalah antara faktor penting yang mendorong rasuah semakin membimbangkan di negeri itu.

    Tambah kenyataan itu lagi, MCW berharap SPRM meneruskan usaha yang agresif untuk membanteras rasuah di semua negeri demi memastikan masalah itu dikawal terutama dalam sektor awam.

    Malah katanya, segelintir penjawat awam kelihatan semakin berani melakukan rasuah akibat ketidakstabilan politik pada masa ini.

    “Hakikat rasuah di Malaysia termasuk di Pulau Pinang adalah seperti kanser yang sedang merebak adalah rahsia umum yang telah diketahui oleh segenap lapisan rakyat.

    “Pelbagai kaedah pencegahan kelihatan kurang berkesan kerana ketamakan telah mengatasi prinsip kehidupan yang berintegriti,” katanya.

  • Segerakan siasatan dakwaan salah laku Tommy Thomas – PM

    Segerakan siasatan dakwaan salah laku Tommy Thomas – PM

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan siasatan lanjut terhadap kemungkinan salah laku oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dilaksanakan segera.

    Memetik laporan Berita Harian, Perdana Menteri berkata, pasukan petugas khas siasatan ke atas dakwaan dalam buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, sudah membentangkan laporan siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

    Katanya, berdasarkan siasatan yang dibuat, pasukan itu mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.

    “Pasukan petugas khas seterusnya mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil.

    “Sehubungan itu, saya mengarahkan supaya siasatan lanjut segera dilaksanakan mengikut Seksyen 124(1) & Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, laporan itu disediakan oleh pasukan berkenaan dalam tempoh sembilan bulan, bermula Disember 2021 sehingga Ogos 2022.

    “Ia memperincikan setiap dakwaan yang disebut oleh Thomas dalam bukunya itu,” katanya.

    Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, menggesa supaya hasil siasatan ke atas buku memoir itu wajar didedahkan segera oleh kerajaan.

    Buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, yang diterbitkan Thomas mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan.

    Selain itu, buku terbabit turut menyentuh mengenai peristiwa 13 Mei 1969, yang didakwa ditulis dengan tidak bertanggungjawab tanpa mengira sensitiviti masyarakat, selain tuduhan yang bertujuan merendahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

    Pasukan petugas khas itu dipengerusikan Joo Chung, dengan keahlian terdiri daripada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan dan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat merangkap bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Dr Junaidah Kamaruddin.

    Ahli lain adalah bekas Hakim dan Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Jagjit Singh; peguam, Datuk Shaharudin Ali dan K Balaguru.

    Mereka turut disertai wakil daripada kementerian dan jabatan yang berkepentingan seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC); Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

    Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak sebagai urus setia bagi jawatankuasa berkenaan.

  • Mesyuarat ‘Top 5’ UMNO bermula

    Mesyuarat ‘Top 5’ UMNO bermula

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini menghadiri mesyuarat membabitkan lima pemimpin tertinggi UMNO atau dikenali ‘Top 5’.

    Perkembangan itu dikongsikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi akaun Facebook miliknya.

    Selain itu, bekas Menteri Besar Johor itu turut memuat naik gambar kelima-lima mereka sedang bermesyuarat.

    Menurut laporan Berita Harian, mesyuarat itu difahamkan berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur.

    Top 5 merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Mohamed Khaled serta Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Sebelum ini, UMNO memaklumkan perkara berkaitan tarikh pilihan raya umum akan dibincangkan dalam kalangan Top 5 parti itu.

    Malam ini, MKT UMNO akan bermesyuarat, antaranya bagi membincangkan isu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Bulan lalu, Ismail Sabri memberi bayangan beliau akan berjumpa ‘top five’ UMNO untuk membincangkan tarikh PRU15 sebelum pembentangan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.

    “Macam saya beritahu sebelum ini apa sahaja keputusan yang dibuat kita tunggu ‘top five’ UMNO bermesyuarat,” katanya.

    Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata semua ahli MKT boleh membangkitkan sebarang isu untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Khas MKT.

    Beliau bagaimanapun tidak mengulas apabila ditanya sama ada PRU15 turut dimasukkan sebagai satu daripada agenda utama yang akan dibincangkan nanti.

    “Mesyuarat (Khas MKT UMNO) pada 30 September ini adalah mesyuarat bulanan parti. Biasanya, ia akan membincangkan isu-isu semasa. Mesyuarat ini adalah rutin parti setiap bulan. Begitulah juga pada mesyuarat bulan-bulan sebelum ini, isu semasa juga dibincangkan.

    “Bagaimanapun semua Ahli MKT boleh bercakap apa juga tajuk yang sesuai,” katanya.

  • Mahkamah tempat terbaik cari kebenaran – Ebit Lew

    Mahkamah tempat terbaik cari kebenaran – Ebit Lew

    PENDAKWAH Ebit Lew yang sedang melalui perbicaraan kerana pertuduhan melakukan gangguan seksual, bersyukur kerana baginya prosiding mahkamah adalah tempat terbaik mencari kebenaran.

    “Alhamdulillah, …syukur kepada Allah. Setahun saya menanti hari mahkamah ini. Pelbagai fitnah tidak berhenti yang tidak dapat disebutkan saya tanggung sendiri sejak balik dari Palestin tempoh hari.

    “Dengan ke mahkamah ini, saya berharap dapat tahu kebenaran. Mahkamah adalah tempat yang paling tidak boleh cakap apa sahaja. Kena ada bukti dan sekiranya tiada bukti apa sahaja perkara pasti akan ditolak,” kata Ebit, 37, atau nama sebenar Ebit Irawan Ibrahim Lew ketika ditemui selepas selesai hari terakhir sesi perbicaraan, hari ini, lapor BH Online.

    Ditanya mengenai perasaannya sepanjang perbicaraan selama empat hari di Mahkamah Majistret Tenom, Ebit memaklumkan beliau tetap berasa sedih kerana perlu melalui perkara seumpama itu.

    “Sedih juga sebab kena menanti lagi. Kalau boleh saya nak teruskan Sabtu esok sahaja sampai habis tetapi bukan saya yang tentukan.

    “Peguam saya turut cuba meminta tarikh lebih awal seperti tarikh paling awal November tetapi pendakwa raya tidak dapat tarikh itu kerana tarikh mereka penuh disebabkan pendakwa raya dari Putrajaya.

    “Oleh itu, kami bersetuju meneruskan perbicaraan ini pada Disember,” katanya.

    Terdahulu, Majistret Nur Asyraf Zolhani memberitahu prosiding hari keempat ditangguhkan dan akan disambung semula pada 20 hingga 22 Disember depan.

    Ebit Lew pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan membabitkan hantaran gambar serta perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.

    Semua kesalahan itu didakwa berlaku ke atas seorang wanita Melayu di daerah Tenom antara Mac hingga Jun 2021.

  • Kuari Runtuh: Waris Kheow sudah serahkan sampel DNA di Switzerland

    Kuari Runtuh: Waris Kheow sudah serahkan sampel DNA di Switzerland

    WARIS Kheow Loo Siew Soon iaitu seorang mangsa yang tertimbus dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Ipoh pada Mac lalu sudah menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kepada pihak hospital di Switzerland.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hasan Basri berkata, ketika ini pihak Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sedang berurusan dengan pihak terbabit bagi membawa sampel-sampel DNA berkenaan ke negara ini untuk tindakan lanjut.

    Jelasnya, pihak hospital di Switzerland akan berurusan dengan Jabatan Forensik HRPB untuk urusan pengambilan sampel DNA oleh ahli keluarga mangsa berkenaan.

    “Jadi, ketika ini pihak HRPB sedang dalam proses untuk membawa DNA waris mangsa ke negara ini untuk diproses (bagi padanan DNA mangsa).

    “Selain itu beliau berkata proses pengecaman mangsa melalui padanan DNA itu berkemungkinan akan memakan sedikit masa memandangkan sampel DNA waris masih berada di luar negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

    Katanya, siasatan pihak polis telah selesai dan ketika ini masih menunggu laporan penuh daripada pihak hospital yang mungkin akan memakan masa sedikit, lapor Astro Awani.

    Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga masih menunggu laporan penuh hasil ujian DNA membabitkan waris keluarga Itam Lasoh.

    Pada 22 Sept lalu, operasi mencari di tapak runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands ditamatkan susulan penemuan dua jengkaut, cebisan pakaian dan tulang manusia, dipercayai milik kedua-dua mangsa yang dilaporkan hilang ketika kejadian.

    Pada 8 Mac lalu, insiden runtuhan batu di tapak kuari yang terletak di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu mengakibatkan dua mangsa tertimbus.

    Mereka dikenali sebagai Itam, 43 tahun, dan Kheow, 49 tahun.